Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar…
Setinggi-setinggi kesyukuran dihulurkan kepada yang maha esa kerana dengan limpah kurniaNya masih memberi peluang kepada kita pada tahun ini untuk sekali lagi meraikan hari kemenangan yang sentiasa kita raikan setelah sebulan kita menempuh dan menunaikan perintah dariNya di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan kemuliaan.
Selawat serta salam kepada junjugan besar Nabi Muhammad s.a.w kerana dengan pengorbanan dan perjuangan bagindalah kita sebagai umat Islam, masih lagi dapat merasa dua nikmat kurniaan Ilahi yang akan memandu kita ke pintu syurga Allah taala, iaitu iman dan islam. Sebagaimana firman Allah taala yang bermaksud :-
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." ( Surah Al-Imran : Ayat 102 )
Bagi pihak Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM), saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, hari kebesaran kurnia daripada Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.
Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan dan kegembiraan bagi umat islam di seluruh pelusuk dunia. Hari yang dikurniakan Allah taala untuk meraikan kejayaan kita setelah sebulan menunaikan perintahNya dengan menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadhan demi membuktikan akan keimanan dan kemampuan kita melaksanakan perintahNya.
Kedengaran laungan takbir dan tahmid bergema di seluruh ruang angkasa bumi umat islam menandakan seruan perhambaan diri kepadaNya di pagi hari kemenangan dan menunjukkan bahawa kita adalah selemah-lemah hamba ciptaanNya. Seluruh umat islam yang mengakui diri beriman kepada Allah taala tunduk mempersembahkan diri bersyukur kepadaNya sama ada miskin kaya, kuat lemah, tinggi rendah semuanya tunduk tersungkur memperhambakan diri kepada Allah taala.
Berlalunya Ramadhan merupakan satu kesedihan bagi umat islam yang beriman dan cintakan kepada Allah taala. Bulan Ramadhan merupakan bulan penuh keberkatan dan kerahmatan berbanding dengan bulan-bulan yang lain, tetapi janganlah kita berpegang dan menyangka bahawa hanya di bulan Ramadhan sahaja adalah waktu untuk kita mengerjakan amalan mahmudah. Bahkan tetapkanlah amalan mahmudah di bulan Ramadhan sehingga berterusan di bulan-bulan yang lain. Jadikanlah bulan ramadhan ini, sebagai madrasah ilmu untuk perbaiki diri kita sebagai umat islam.
Disamping kita bergembira di hari kemenangan ini, perlulah kita ingat akan sahabat-sahabat kita yang tidak semampu dengan kita. Mereka yang telah kehilangan keluarga, mereka yang kehilangan ayah, mereka yang kehilangan ibu, mereka yang kehilangan adik beradik, mereka meraikan hari yang sepatutnya menjadi hari kegembiraan bertukar menjadi hari yang penuh dengan kepiluan. Kerana di hari ini mereka tidak dapat bersama orang yang tersayang, membuktikan kekuasaan Allah yang maha penyayang.
Namun di sana masih lagi terdapat sahabat-sahabat kita yang tidak dapat meraikan hari kegembiraan ini seperti kita. Seperti sahabat-sahabat kita yang berada di bumi Palestin, Iraq, Afghanistan, Chechnya dan selatan Thailand. Setiap hari mereka ditindas oleh pihak yang mengkufuri Allah taala. Sesungguhnya mereka amat zalim terhadap sahabat-sahabat kita yang digelar pejuang agama Allah yang sanggup menjadikan diri sebagai penahan dan pelindung bagi agama Allah dan kita meyakini bahawa mereka adalah golongan yang dijanjikan Allah akan syurgaNya.
Oleh itu, di samping kegembiraan kita ini janganlah kita leka dan abaikan sahabat-sahabat kita yang berhajat kepada pertolongan kita. Mereka juga inginkan kehidupan yang sempurna seperti kita lalui sekarang, bantulah mereka dengan sedaya upaya kita sama ada pertolongan kita itu berbentuk harta benda, kewangan dan yang paling penting jikalau kita tidak mampu membantu mereka secara zahiriyah maka bantulah dengan mendoakan mereka. Semoga aidilfitri yang kita raikan ini menjadi hari kegembiraan kita bersama. Semoga ianya menjadi satu muhasabah kepada diri kita yang selalu lalai dan leka dari mengsyukuri nikmat kurniaanNya.
Disamping itu juga, janganlah kita terlalu leka dengan kegembiraan yang diraikan ini. Kita masih ada perjuangan nilai mahasiswa yang masih panjang. Selagi falsafah UKM, kebajikan semua mahasiswa serta nilai keintelektualan tidak dijadikan sebagai agenda perjuangan pemimpin mahasiswa UKM, selagi itulah kita berjuang dengan sepenuh hati dan pengorbanan. Kepada rakan-rakan kita, India, Cina, Iban, Bidayuh, Kadasan, dan termasuk ahli Aspirasi yang insaf, anggaplah bahawa kehadiran GMUKM sebagai harapan baru buat anda di kampus. GMUKM bertegas tidak akan berkompromi dalam isu kebajikan semua mahasiswa tanpa berbilang kaum dan di peringkat kami juga, kami yakin bahawa perjuangan GMUKM melangkaui sempadan politik perkauman sempit yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak ’tertentu’ di Universiti kebanggan kita ini.
Akhirnya, dikesempatan yang ada ini saya mewakili Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang turut membantu dan menyumbang segala kerjasama sama ada berbentuk tenaga, kewangan dan sebagainya dalam menjayakan gerak kerja GMUKM selama ini dalam cita-cita untuk menguasai PMUKM dalam pilihanraya kampus akan datang. Saya melihat bahawa GMUKM sudah membuka mata mahasiswa UKM dalam mencari alternatif baru pemimpin mereka yang selama ini memperlihatkan kegagalan Aspirasi menjalankan amanah yang diberikan. Siri roadshow, piket, majlis dialog, poster dan ucapan kad raya mempersembahkan hasil atau output kerja ikhlas dan dengan penuh kesungguhan yang rakan-rakan telah dapat hasilkan (the output speaks by itself). Saya yakin dan optimis bahawa selepas ini UKM akan mendapat satu udara baru dalam kepimpinan pelajar apabila GMUKM mengambil alih tampuk kepimpinan PMUKM yang hilang sejak 2002 lalu.
Akhir kata, teruskan usaha dan tawakkal untuk kita mara ke singsahsana PMUKM. Jangan gentar dan takut dengan ugutan serta cabaran kerana ingatlah bahawa pengorbanan kita bukan setakat tiga atau empat tahun kita di UKM, tetapi lebih kepada satu jangka waktu yang panjang, untuk selamatkan UKM daripada pemimpin yang zalim dan gagal memimpin. Semoga segala sumbangan dan jasa keringat yang dihulurkan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah taala.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillah il-hamd.
“HARAPAN BARU MAHASISWA”
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR & BATIN 1429 HIJRAH
Ahmad Farhan Bin Yusoff Pengerusi Gabungan Mahasiswa UKM