Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Friday, December 31, 2010

Dari Meja Ketua Pengarah Himpunan

Assalamu'alaikum dan Salam Mahasiswa Untuk Malaysia!~

Esok, 1 Januari 2011..satu lagi sejarah akan terlakar dalam dimensi gerakan mahasiswa di Tanah Air kita apabila Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan mengadakan Himpunan Mahasiswa Untuk Malaysia (HIMUM) secara besar-besaran dengan mensasarkan seramai 1,111 orang mahasiswa dari IPTA mahupun IPTS akan turun beramai-ramai di Padang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Perhimpunan yang berteraskan kepada beberapa agenda ini membawa harapan di peringkat mahasiswa pada tahun 2011 iaitu untuk membuka mata kepada masyarakat bahawa mahasiswa bukan sahaja golongan cerdik pandai yang terperuk di dalam kampus semata-mata malah turut memainkan peranan yang aktif dalam bertindak sebagai penyambung lidah ataupun jurucakap kepada masyarakat.

Selain itu, di peringkat SMM juga turut meletakkan salah satu matlamat dalam himpunan ini iaitu sebagai platform kepada mahasiswa dalam memperkasakan peranan mereka sebagai agen 'check & balance'  kepada tampuk pemerintahan negara serta meningkatkan lagi momentum mahasiswa selaku generasi pemimpin pada masa hadapan yang lebih dinamik.

Di peringkat kami amat berharap agar HIMUM ini menjadi suatu titik tolak kepada kebangkitan mahasiswa bagi tahun 2011 dan berterusan untuk masa yang akan datang.

Ayuh!!

Turun beramai-ramai bagi menjayakan himpunan ini!

"Dari MAHASIWA untuk MALAYSIA"

"STUDENT POWER!!"

Ezuan Saad
Ketua Pengarah,
Himpunan Mahasiswa Untuk Malaysia (HIMUM) 1.1.11


BERNAMA : Datuk Saifuddin Mengalu-alukan Himpunan Mahasiswa Untuk Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah mengalu-alukan penganjuran Himpunan Mahasiswa Untuk Malaysia yang berlangsung pada Sabtu dan berharap ia berjaya menjadi pemangkin bagi memperkasakan gerakan mahasiswa negara dalam seluruh spektrum kehidupan termasuk politik.

Saifuddin berkata seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menganggap remaja sebagai 'rakan kongsi' kerajaan dilihat sebagai amat bersesuaian dengan dua keperluan besar dalam gerakan pembangunan mahasiswa.

"Pertama, keperluan untuk memenuhi tiga permintaan asas mahasiswa iaitu: mahasiswa mahu suaranya didengar, mahasiswa mahu peranannya diiktiraf dan mahasiswa mahu isu-isunya ditangani dengan cara yang berorientasikan mahasiswa," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berkata keperluan menghayati hakikat menjadi keperluan kedua iaitu selain sebagai pemimpin masa depan, mahasiswa yang juga pemimpin hari ini iaitu pemimpin bagi generasi yang lebih muda, juga adalah pemimpin bagi angkatannya dan rakan kepimpinan dengan universiti dan kerajaan.

"Justeru, sudah tiba masanya kita bersama dalam langkah untuk memenuhi kedua-dua keperluan tersebut. Satu daripada kaedahnya ialah dengan melakukan inovasi demokrasi iaitu dengan meningkatkan dan meluaskan penyertaan mahasiswa dalam struktur dan proses membuat keputusan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, isu membenarkan mahasiswa terlibat politik adalah relevan sebagaimana yang didukung pelbagai pihak termasuk Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar Institut Pengajian Tinggi 2010 dan Makmal Pemuda Barisan Nasional.

"Di samping itu, kita perlu memulakan diskusi inisiatif-inisiatif inovasi demokrasi yang lain seperti pendaftaran automatik pemilih, menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun, melantik wakil belia sebagai Senator dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sebagainya," katanya.

Saifuddin berkata langkah-langkah itu untuk mengisi perjuangan membentuk masyarakat baik yang berteraskan budaya ilmu, tamadun tauhidik, keadilan sosial, kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam sekitar yang bersesuian dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.

Himpunan 1111 : 300 mahasiswa daripada UKM

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) menyasarkan akan dapat menghantar seramai 250 - 300 orang mahasiswa-mahasiswa UKM dari kampus Bangi, Cheras dan Kuala Lumpur ke program Himpunan Mahasiswa Untuk Malaysia 1.1.11 pada hari Sabtu ini.

Jurucakap GMUKM yang juga Pengerusi Gerakan Mahasiswa Lantang Negara, saudara Fadhlan bin Sugiman berkata, "Setakat kini (daripada) maklumat yang kita peroleh daripada 'front-front' sama ada di Bangi, Cheras dan KL (Kuala Lumpur) mendapat respon yang positif.

" Mobilasi ahli-ahli daripada GMLN, AKSIS, MAMPU, KAMI dan di segenap lain-lain kawasan telah memberikan jaminan bahawa kita mampu mengumpul dan menghantar seramai kira-kira 250 hingga 300 mahasiswa. Itu tidak termasuk mahasiswa-mahasiswa yang tidak respon dan berdaftar dengan kita lagi. Tetapi jika masih ada mana-mana mahasiswa yang ingin menyertai himpunan ini juga masih dapat mendaftar dengan kami melalui Facebook.

" Kita percaya dengan semangat azam tahun baru di dekad baru ini; 2011 ini akan menyuntik dan memberi sedikit sebanyak semangat yang baru yang sinergi dan mantap. Kita percaya, sebagai salah sebuah universiti yang agak senior, jumlah seramai 250 atau 300 bukan sekadar itu sahaja, tetapi akan bertambah dalam sedikit masa lagi, " tambah beliau lagi.


Dalam pada itu, pengarah program himpunan ini, saudara Mohd Ezuan Saad, himpunan yang bakal disertai lebih daripada 50 buah institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta itu dan diharap akan dapat membawa mahasiswa turun ke lapangan masyarakat serta memainkan peranan penting dalam pemerintahan negara.

"Himpunan ini diharapkan dapat berperanan sebagai medan kapada setiap mahasiswa di seluruh negara untuk tampil dengan wajah dan nafas baru yang lebih dinamik pada tahun baru 2011.

(Di peringkat) kami mahu para mahasiswa terus memainkan peranan yang dominan di dalam masyarakat serta politik dalam negara kita," ujar beliau lagi.

Sementara itu pula menurut jurucakap GAMIS, saudara Ahmad Shukri Kamarudin berkata, program lima jam tersebut bermula seawal pukul 8.30 pagi itu bertujuan memberikan mesej bahawa mahasiswa bersama-sama dengan masyarakat.

Program ini juga antara lain telah menggariskan beberapa buah objektif yang ingin dicapai seperti;
i. Menghimpunkan mahasiswa Malaysia sebagai tanda solidariti di bawah semangat patriotisme
ii. Merangka deklarasi Mahasiswa Malaysia bersempena dengan kedatangan tahun baru 2011
iii. Memberikan mesej kepada masyarakat bahawa mahasiswa bersama-sama dengan masyarakat Malaysia
iv. Memberi gambaran kepada masyarakat bahawa segala tindakan yang dilakukan oleh mahasiswa adalah berdasarkan rasa tanggungjawab terhadap Negara.

Menurut saudara Ahmad Shukri lagi, program itu akan diisi dengan acara melakar kain rentang bertemakan Jalur Gemilang, Pidato Mahasiswa 'berantai' dan pengisytiharan Deklarasi Mahasiswa 1.1.11

Thursday, December 30, 2010

Himpunan lepasi sasaran - Pengerusi MAMPU


Himpunan Mahasiswa Islam tengahari tadi disifatkan berjaya oleh pihak penganjur, Membina Mahasiswa Penggerak Ummah (MAMPU). Presiden MAMPU, saudara Firdaus Azam ketika dihubungi memaklumkan, di peringkat beliau hanya menyasarkan kehadiran sekitar 100 orang tetapi jumlah yang hadir hari ini amat memberangsangkan.

" Biarpun kita mendapat 'lawatan' daripada Unit Keselamatan yang kelihatan sengaja membuat provokasi, tetapi hari ini mahasiswa Islam membuktikan bahawa kita tidak gentar dan takut dengan ancaman daripada mereka.

" Di samping itu, saya mewakili saf kepimpinan 'front' MAMPU pada hari ini merakamkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan mahasiswa yang turun bersama kita pada pagi (tengahari) ini. Tujuan kita mengadakan himpunan pada hari ini untuk menyampaikan 'signal' kepada warga UKM bahawa kita sudah bersedia kembali mewarnai politik kampus bumi UKM ini. 

" Kita juga dalam masa yang sama menyeru kepada rakan-rakan terutama yang beragama Islam untuk bermuhasabah dalam pada kita sedang melangkah dekad yang baru, iaitu menuju 2011 yang kita lihat serba mencabar dan menggugat terutama dalam isu-isu sosial dan integriti warga Malaysia," tambah beliau lagi.

MAMPU merupakan sebuah badan yang telah ditubuhkan menjelang sesi akademik 1986/87. MAMPU antara 'front' yang bersama-sama menggagaskan Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM)  pada tanggal 22 Ogos 2005 bersama rakan-rakan mahasiswa daripada 'front' Malaysia Democratic Student & Youth Movement (DEMA), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa/i (JKMI) dan lain-lain.




Selaku jurucakap dan duta ummah, MAMPU menginsafi bahawa kepimpinan sewajarnya berperanan membawa masyarakat yang dipimpinnya meraih keredhaan Allah SWT. Kuasa yang diperoleh bukan semata-mata atas dasar gilakan pangkat dan nama mahupun wang ringgit, tetapi MAMPU menginsafi bahawa setiap satu tanggungjawab itu adalah amanah yang akan disoal kembali di Akhirat kelak.

Sebagaimana di dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda, “ Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan disoal pada hari akhirat ke atas apa yang kamu pimpin” (Riwayat Muslim)

MAMPU : Salam Ikhlas Penuh Ukhwah

BANGI, 30 Dis - Himpunan Mahasiswa Islam anjuran Membina Mahasiswa Penggerak Ummah (MAMPU) yang diadakan di Foyer Fakulti Pengajian Islam (FPI) tengahari tadi telah dihadiri lebih daripada 100 orang. 

Himpunan dipengerusi saudara Ikram bin Darus dan menjemput beberapa orang wakil dari Persatuan Mahasiswa Fakulti ; iaitu saudara Muzammil (FEP), Aiman Zafri (FST) dan Fadhlan Sugiman (FPI). 




Pengucapan awam tersebut bertemakan pengisian tahun baru 2011 yang bakal menjelma dua hari lagi. Rata-rata jurucakap membicarakan permasalahan mahasiswa Islam dan azam seorang mahasiswa Islam.

Di dalam himpunan tersebut juga, risalah MAMPU turut diedarkan sebagai salah satu kaedah penerangan kepada rakan-rakan mahasiswa yang hadir.



Wednesday, December 29, 2010

MAMPU : 2011 Tahun Perubahan Mahasiswa Islam


Membina Mahasiswa Penggerak Ummah (MAMPU) mengajak rakan-rakan mahasiswa UKM khususnya untuk hadir beramai-ramai ke Himpunan Mahasiswa Islam UKM di Foyer Fakulti Pengajian Islam (FPI) pada esok hari, 30 Disember 2010 pada jam 12 tengahari.

Bertemakan "2011 Tahun Perubahan Mahasiswa Islam"  MAMPU optimis tahun hadapan; 2011 akan menjadi tahun transformasi dan kebangkitan bagi mahasiswa Islam khususnya di UKM tercinta ini.Justeru itu, MAMPU menyeru seluruh mahasiswa Islam bersama-sama kita menterjemahkan segala arahan dan perintah Allah dalam al Quran ke dalam kehidupan kita.

Kita harus mempunyai perasaan belajar dan segera melaksanakan segala ajaran al Quran tanpa alasan. Jangan jadikan al Quran hanya sebuah teori tanpa praktikal. Al Quran adalah panduan hidup, panduan Ilahi yang tulen dan Allah sendiri telah merasmikan bahawa al Quran sebagai garis pemisah antara hak dan bathil. Marilah kita bersama-sama menjadi tenaga-idea kita digunakan untuk merealisasikan cita-cita.

Wahai sahabat mahasiswa!Ingatlah,  Jangan kamu bersikap lemah dan janganlah kamu bersedih hati, pada hal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang- orang beriman [rujuk Surah Ali Imran:139].

Teruskan perjuangan, sesungguhnya kita berada di landasan yang benar untuk menegak kalimah tayyibah di alam ini sebagai tanda pengabdian kita kepada Allah SWT bukannya mengabdikan diri sesama manusia.

Wahai sahabat mahasiswa! Ranjau berduri harus kita terima dengan redha dan sabar. Demi menguatkan semangat dan jiwa, marilah kita nyalakan pelita perjuangan, marilah kita menyemak dan mengkaji serta mengambil iktibar daripada sirah nabi, para sahabat dan pemimpin haraki untuk menghadapi musuh yang bertuhankan material. Lihatlah Sayyid Qutb hanyalah seorang penulis tetapi ditakuti oleh pemerintah sekular Mesir. Akibatnya ia dihukum gantung tetapi baginya kematian hanya satu perjalanan untuk menuju matlamatnya. Matlamat Sayyid Qutb menemui kekasih yang merinduinya di taman- taman syurga.

Ayuh sahabat! Mari bersama menegak Islam di kampus dengan serius dan bersungguh-sungguh!



Ber-GM Lebih Baik!

GMUKM Gesa Pihak Pentadbiran Atasi Masalah Dalaman

Mendepani isu mahasiswa UKM khususnya di Bangi, Gabungan Mahasiswa melihat pelbagai kecelaruan dan kekhilafan yang sedang berlaku. Antaranya isu gred TL bagi mahasiswa tahun 1 untuk subjek HX, di samping berita perletakan jawatan TNC HEPA, Datuk Mohamad Abdul Razak, serta penamatan kontrak beberapa orang penting di Pusat Perkembangan Pelajar (PPP) serta terbaru, khabar angin yang bertiup kencang berkenaan pertukaran tugas antara PPP dan JPPel.

Gabungan Mahasiswa melihat isu ini agak meruncing dan membimbangkan kerana hal tersebut sedikit sebanyak melibatkan mahasiswa secara tidak langsung. GMUKM juga melihat dan menggesa isu ini perlu ditangani dengan segera kerana jika tidak, ia bakal memburukkan nama universiti yang menuju RU (Research University) di bawah kepimpinan bonda Prof. Tan Sri Dato' Dr Sharifah Hapsah Syed Shahabudin.
Gabungan Mahasiswa juga melihat isu yang berkait rapat dengan mahasiswa seperti kebajikan dan kewangan sangat penting dan perlu diutamakan untuk diselesaikan. Misalnya isu kelewatan biasiswa Persekutuan JPA yang dilihat gagal ditangani dan diberi penerangan dengan secukupnya. Cuma hari ini, JPPel melalui Unit Kebajikan Pelajar mengeluarkan kenyataan bahawa mana-mana mahasiswa yang mengalami masalah kewangan boleh memohon pendahuluan bayaran sebanyak RM500 dengan mengisi borang di JPPel UKM atau berhubung terus dgn Puan Wan Roshana Wan Embong di talian 03-89215316.

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) mengharapkan segala isu yang timbul sejak kampus dibuka 20 Disember yang lalu akan ditangani dengan segera. GMUKM juga yakin dan percaya pihak pentadbiran yang telah berpengalaman banyak menangani isu-isu sebelum ini akan menyelesaikan segala permasalahan yang disebut di atas sebaik-baiknya.


Ber-GM Lebih Baik!

Sunday, December 26, 2010

Mahasiswa golongan ‘Third Force’ semasa PRU nanti

PETALING JAYA: Mahasiswa merupakan golongan ‘third force’ yang bila-bila masa sahaja akan membuat keputusan penentu sama ada mengekalkan kepimpinan yang ada atau menggulingkan kepimpinan baik di negeri Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR).

Setiausaha Gerakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Mohd Ridzuan Othman berpendapat, mahasiswa berperanan sebagai ‘check and balance’ yang akan menentukan sokongan kepada kerajaan yang diperintah BN ataupun pembangkang bukan kerana agenda politik mereka tetapi menilai sejauh mana ketelusan, keadilan dan kesaksamaan yang dibawa oleh sesebuah parti dalam negara.

Beliau menegaskan "tidak perlu melabelkan mahasiswa pro kerajaan atau pro pembangkang.

"Jika hak mahasiswa dijamin, jika mahasiswa diberikan ruang bebas berbicara dan melontarkan pendapat, jika AUKU tidak mengekang hidup mahasiswa, jika PTPTN tidak menyusahkan hidup mahasiswa dengan kadar faedah yang tinggi, saya yakin dan percaya mahasiswa sudah celik dan mampu berfikir siapa yang mereka perlu pilih untuk perjuangkan hak-hak mahasiswa ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tentang kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir kelmarin, yang berkata pemimpin mahasiswa berperanan penting untuk membantu mengembalikan keyakinan di kalangan penuntut universiti supaya menyokong kerajaan kerana trend kebanyakan mahasiswa yang kini lebih cenderung untuk menyokong pembangkang.

Mahasiswa menolak politik sempit

Sehubungan itu, beliau menasihati penuntut universiti agar tidak terpedaya dengan pelbagai tohmahan dan janji-janji yang diberikan oleh mereka kerana ia akan merugikan negara dan rakyat Malaysia.

"Mahasiswa dan mahasiswi perlu membandingkan apa yang dibuat oleh kerajaan di bawah Barisan Nasional dan negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang dan menilai sendiri pihak manakah yang lebih berkhidmat kepada rakyat," kata Mukhriz.

Mohd Ridzuan berkata, walaupun kenyataan Mukhriz hanya merupakan pandangan peribadi, ‘ketakutan’ yang dirasai oleh sesetengah pihak terhadap mahasiswa adalah pandangan sisi yang perlu dinilai sebaik mungkin kerana mahasiswa hanya akan memilih kerajaan yang adil dan amanah di dalam pemerintahan.

Beliau menegaskan mahasiswa adalah golongan bersifat bebas dan tegas menolak politik sempit dan perkauman yang menebal, berpendapat tidak tepat jika mengatakan bahawa kerajaan telah memberikan pelbagai kemudahan dan peluang kepada mahasiswa.

"Bagi saya mana-mana parti pun yang memerintah, tanggungjawab sebagai kerajaan adalah membantu rakyatnya.

Jika parti itu tidak mampu menunaikan tanggungjawab, maka mahasiswa akan menghukum di dalam pilihan raya, berteraskan konsep demokrasi berparlimen," katanya.

Friday, December 24, 2010

AKSIS ucap takziah buat keluarga Siti Nabilah

Salam takziah daripada Angkatan Siswi Dinamis UKM (AKSIS) buat keluarga allahyarhamah Siti Nabilah binti Anuar yang telah kembali ke rahmatullah akibat satu nahas kemalangan kelmarin. AKSIS menerima laporan bahawa kemalangan tersebut dipercayai kes langgar-lari dan kes ini masih berada dalam siasatan pihak polis untuk menjejaki suspek yang disyaki terlibat. Nahas ini turut melibatkan seorang rakan allahyarhamah yang kini disahkan masih berada di wad ICU.

Allahyarhamah Siti Nabilah merupakan mahasiswi tahun satu dari Fakulti Sains & Teknologi dan mengambil kursus Oleokimia. Allahyarhamah yang berasal dari Banting, Selangor juga merupakan salah seorang anggota Sukarelawan Kor Siswa/Siswi (SUKSIS) dan menetap di Kolej Keris Mas. Beliau juga Rakan Exco Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Teknologi (PMFST).

Berita pemergian allahyarhamah nyata merupakan sesuatu kejadian yang mengejutkan dan AKSIS yakin ia menjadi tamparan yang hebat juga buat keluarga allahyarhamah Siti Nabilah memandangkan baru sahaja 4 hari sesi pengkuliahan semester baru bermula.

AKSIS cakna akan kes kemalangan ini dan menasihati seluruh warga UKM terutamanya rakan-rakan siswi agar berhati-hati di jalan raya dan di mana jua pada setiap masa. AKSIS amat menitikberatkan keselamatan para siswi UKM dan berharap agar masing-masing dapat menjaga diri khususnya buat mereka yang memiliki kenderaan dan lebih-lebih lagi bagi siswi yang menaiki motosikal memandangkan statistik menunjukkan penunggang motosikal merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk terlibat dalam kemalangan dan mendapat kecederaan yang teruk.


Jurucakap AKSIS tahun satu dan dua saudari Noraini binti Jumahir menyatakan, beliau amat terkejut ketika dikhabarkan mengenai berita kemalangan yang melibatkan kematian allahyarhamah Siti Nabilah. Katanya ketika ditemui, “ Saya kira berita ini sangat memeranjatkan kerana kita baru sahaja memulakan sesi pengkuliahan setelah menghabiskan masa yang lama bersama keluarga. Saya terbayang akan keluarga allahyarhamah yang pasti terlalu sedih kerana baru beberapa hari yang lalu berpisah dengan anak mereka untuk meneruskan pembelajaran di UKM dan rupanya mereka berpisah buat selama-lamanya.”

Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (QS. 62:8)

Sambung saudari Noraini, “saya yakin pasti ada hikmah arwah Siti Nabilah dijemput terlebih dahulu menemui Allah kerana sememangnya kita tidak dapat lari dari ajal maut yang telah ditetapkan untuk kita. Mungkin esok lusa giliran saya pula. Sebagai salah seorang siswi yang menaiki motosikal, saya menasihatkan raan-rakan siswi yang lain agar sentiasa berhati-hati dan bersikap cermat di jalan raya. Saya pernah melalui lokasi kejadian yang menimpa arwah Siti Nabilah. Kawasan tersebut memang terkenal dengan lalu lintasnya yang agak sesak pada waktu petang dan berbahaya di waktu malam memandangkan keadaan jalan raya yang sempit. Oleh itu, saya berharap agar rakan-rakan siswi tidak membawa kenderaan secara laju dan terburu-buru di lokasi tersebut dan jika boleh, kurangkan untuk pergi ke sana tanpa sebarang perkara yang penting lebih-lebih lagi pada waktu malam.”

Saudari Noraini turut mendoakan agar roh allahyarhamah pergi dengan tenang dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman manakala rakannya yang masih berada di wad ICU akan kembali sembuh seperti sedia kala.

AKSIS berharap agar kes kemalangan seperti ini dapat dihindari pada masa akan datang. Pandu cermat, jiwa selamat. Ingatlah keluarga tersayang. Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat allahyarhamah Siti Nabilah Binti Anuar. Al-Fatihah.

Thursday, December 23, 2010

Mahasiswa Perlu Nilai Pentadbiran Negeri BN & PR

KENYATAAN RASMI GMUKM :
Mahasiswa Perlu Nilai Pentadbiran Negeri BN & PR


Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) bersetuju dan sependapat dengan Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang meminta mahasiswa-mahasiswi membandingkan apa yang telah dibuat oleh kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). (Rujuk SINI)

Gabungan Mahasiswa memahami kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ini yang secara tersirat mengaku dan bersetuju, bahawa apabila negeri-negeri diperintah oleh parti-parti yang berlainan, maka kita akan dapat lihat dan menilai secara jujur parti mana yang memerintah negeri dengan lebih efisen dan efektif. Kenyataan Datuk Mukhriz ini juga bermaksud beliau bersetuju bahawa apabila monopoli pentadbiran negeri dan negara dipecahkan, (seperti yang terjadi pada Tsunami 08 Mac 08 dahulu ) maka rakyat negara akan dapat merasa dan melihat parti mana lebih jujur berpolitik.

Gabungan Mahasiswa juga memahami kenyataan Datuk Mukhriz ini bahawa beliau secara tersirat cuba mengajak rakan-rakan komponen BN untuk kembali ke pangkal jalan. Ini kerana, beliau secara tersirat mengingatkan mahasiswa-mahasiswi IPT bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh komponen BN kini sebenarnya mengalami masalah amalan rasuah yang kian meruncing berbanding negeri-negeri PR sepertimana yang didedahkan oleh Jabatan Audit Negara untuk Laporan Tahunan 2009 , akhir bulan Oktober lalu. Malahan umum sudah mengetahui kerajaan negeri Kelantan yang beralih pentadbiran sejak 1990 sudah bersih daripada amalan korupsi dan nepotisme yang kini juga diikuti tiga buah negeri seterusnya.

Gabungan Mahasiswa juga menyedari bahawa rancangan realiti 'Bersamamu' yang disiarkan di TV3, seringkali terpaksa memaparkan kisah-kisah kemiskinan dan kesulitan rakyat-rakyat negeri yang telah diperintah secara monopoli dan sekian lama seperti di Sabah dan Pahang akibat permasalahan-permasalahan yang dibangkitkan oleh Datuk Mukhriz tersebut. Ini bersamaan dengan Indeks Kemiskinan Rakyat Malaysia yang cuba disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu. Sebagai rujukan, sila lihat gambar di bawah.


Justeru itu, Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) dengan ini jelas bersetuju dan mengakui secara jujurnya bahawa pandangan Datuk Mukhriz Tun Mahathir adalah tepat dan benar bahawa rakan-rakan mahasiswa di IPT-IPT seluruh Malaysia perlu melihat kembali dan menilai sejujur-jujurnya akan keadaan semasa negeri-negeri dan membandingkannya seterusnya bertindak sebagai ejen perubahan masyarakat dan negeri tersebut. 

Tarikh : 23 Disember 2010

Ber-GM Lebih Baik!

Al-Fatihah.


( Arwah Siti Nabilah bertudung oren)


Al-Fatihah. Salam takziah kepada keluarga arwah Siti Nabilah binti Anuar yang kembali ke rahmatullah akibat satu nahas kemalangan di Jalan Reko - Kajang, berhampiran UKM sekitar pukul 3 pagi semalam. . Kejadian tersebut dipercayai kes langgar-lari dan suspek masih diburu oleh pihak polis. Kejadian tersebut turut melibatkan seorang rakan beliau yang kini masih berada di wad ICU.


Untuk rekod, arwah Siti Nabilah merupakan mahasiswi tahun satu dari Fakulti Sains & Teknologi, (FST) mengambil kursus Oleokimia. Arwah yang berasal dari Banting, Selangor merupakan salah seorang anggota Sukarelawan Kor Siswa/Siswi (SUKSIS) dan menetap di Kolej Keris Mas.

MPP GMUKM dalam pada itu menasihati rakan-rakan mahasiswa untuk menjaga keselamatan diri di mana jua dan pada bila-bila masa. Al-Fatihah.





Wednesday, December 22, 2010

Simbolik himpunan 1,111 mahasiswa dan 1 Januari 2011




KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) julung-julung kalinya akan menganjurkan himpunan terbesar mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia pada 1 Januari depan bertempat di Padang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Simboliknya, himpunan yang bertemakan "Mahasiswa Untuk Malaysia" akan menghimpunkan 1,111 mahasiswa sebagai simbolik kepada tarikh himpunan serta ketibaan tahun baru aiaitu 1 Januari 2011.

Menurut pengarah program terbabit, Mohd Ezuan Saad, himpunan yang disertai lebih 50 institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta itu diharap dapat dapat membawa mahasiswa turun ke lapangan masyarakat serta memainkan peranan penting dalam pemerintahan negara.

"Himpunan ini diharapkan dapat berperanan sebagai medan kapada setiap mahasiswa di seluruh negara untuk tampil dengan wajah dan nafas baru yang lebih dinamik pada tahun baru 2011.

"Maka kami mahu para mahasiswa terus memainkan peranan yang dominan di dalam masyarakat serta politik dalam negara kita," katanya ketika sidang media di Gazebo berdekatan Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya.

Katanya, program yang dijalankan lebih santai malah dana untuk himpunan ini ditanggung sepenuhnya oleh GAMIS sendiri.

Jurucakap GAMIS, Ahmad Shukri Kamaruddin pula berkata setakat ini permit untuk himpunan tersebut masih belum diperolehi dan perbincangan sedang giat dijalankan dengan pihak polis.

Malah katanya, GAMIS masih menunggu respon daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah untuk merasmikan program itu nanti.

"Petang ini kami akan bertemu pihak berkuasa untuk membincangkan mengenai permit ini. Kami juga turut menjemput Datuk Saifuddin dan masih menunggu maklum balas daripada beliau," jelasnya.

Mahasiswa gesa pihak pentadbiran IPT buang amalan birokrasi


Majlis Perwakilan Pelajar Gabungan Mahasiswa UKM (MPP-GMUKM) berpandangan yang jelas dan sama dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin bin Abdullah yang semalam menyarankan supaya pihak pentadbiran IPT tempatan supaya 'membuang amalan karenah birokrasi yang masih mengekang kebebasan para pelajar' dan segera menerapkan budaya 'Inovasi Demokrasi'. (Rujuk SINI)

Jelas beliau, budaya inovasi merujuk kesediaan berubah, mencuba perkara dan cara baru dalam kehidupan.

Dari segi konsep, budaya inovasi merangkumi kreativiti dan inovasi yang menjadi penggerak kepada pertumbuhan dalam setiap bidang."

Menurut beliau, budaya inovasi adalah satu daripada nilai dalam gagasan 1 Malaysia. Akan tetapi malangnya walaupun banyak pelan transformasi telah dilancarkan, malangnya pelajar masih dikekang oleh karenah birokrasi walaupun nilai ini jelas dikehendaki kerajaan untuk dicapai.

Beliau memberi contoh karenah birokrasi yang sering mengekang inovasi pelajar IPT yang perlu dihapuskan segera antara lain para pelajar dikehendaki menyediakan kertas kerja tebal untuk menganjurkan aktiviti mudah seperti ceramah dan forum.

Malah kata beliau, para pelajar terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kelulusan aktiviti semata-mata kerana pegawai yang mempunyai kuasa meluluskannya bercuti, menghadiri mesyuarat dan sebagainya.

Sepatutnya kelulusan disegerakan kerana hayat keaktifan pelajar adalah mengikut sesuatu semester sahaja, justeru mereka tidak mempunyai tempoh masa yang panjang untuk sesuatu aktiviti,” ujar Datuk Saifuddin.

Tambah Ahli Parlimen Temerloh ini, kedapatan aktiviti pelajar yang dikekang oleh kekurangan atau ketiadaan peruntukan, tetapi apabila terdapat permohonan aktiviti lain, ada pula peruntukannya dan melampau peruntukannya.

Sepatutnya seboleh-bolehnya dijimatkan peruntukan supaya pelajar dapat menganjurkan sebanyak mungkin aktiviti,” katanya.

Apabila pelajar mencari dana sendiri, mereka disukarkan pula untuk mendapatkannya untuk menyelesaikan urusan pembayaran aktiviti. Sepatutnya semakin pelajar bijak mencari dana sendiri, semakin dipermudahkan urusan mereka,” tambah beliau lagi.

Di samping itu beliau juga menegur sesetengah pihak yang memarahi dan memberi amaran kepada pelajar kerana menghubungi menteri atau timbalan menteri, secara langsung atau secara terus melalui media sosial. “Sepatutnya pelajar digalakkan untuk merapati menteri atau timbalan menteri secara terus,” katanya lagi.

Di peringkat MPP GMUKM, kita juga mengharapkan juga segala saranan dan komen daripada Datuk Timbalan Menteri KPT ini akan diambil perhatian oleh pihak yang berkenaan. Tiada sebarang agenda tersembunyi (hidden agenda) di peringkat mahasiswa dengan pihak pentadbiran kerana jelas kami mahasiswa di UKM ini secara khususnya masih dalam proses pembelajaran. Sekiranya di peringkat pembelajaran ini pun sudah wujud amalan birokrasi, bagaimanakah kita hendak capai tahap keintelektualan serta paduan ilmu, iman dan amal sepertimana yang digariskan di dalam Falsafah UKM ?

Bak kata Prof Ungku A. Aziz, "Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.."


Tuesday, December 21, 2010

Deklarasi Belia dan Mahasiswa sempena Hari Hak Asasi Mahasiswa

Pengenalan
Pada 8 Jun 2001, tujuh mahasiswa yang menyertai perhimpunan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri telah dibuang universiti oleh Akta Universiti dan Kolej 1971.  Mereka tidak dibenarkan belajar semula di universiti sehingga hari ini.  Sebagai penghormatan yang tertinggi pengorbanan mereka, belia dan mahasiswa telah menetapkan hari ini sebagai Hari Hak Asasi Mahasiswa.

Oleh itu, sebagai belia, mahasiswa serta warganegara Malaysia, kami telah bersedia untuk bertanggungjawab serta menyeru pemyertaan pemimpin negara supaya memandang serius tentang halangan yang dihadapi dalam kesedaran sosial pemuda dan mahasiswa.  Oleh itu, kerjasama harus dilakukan untuk meningkatkan kesedaran sosial dan politik pemuda dan mahasiswa negara kita.

 1.0 SISTEM PENDIDIKAN

SISTEM PENDIDIKAN YANG MEMENTINGKAN PELAJAR
Kami membantah pendidikan yang berasaskan peperiksaan.  Ini adalah kerana pendidikan yang berlandaskan peperiksaan akan menyebabkan persaingan yang negatif.  Situasi ini akan menyebabkan, pelajar hanya fokus kepada pelajaran dan mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat.  Keputusan peperiksaan hanya suatu cara yang menilaikan diri sendiri tetapi bukan untuk tujuan pendidikan.  Oleh itu, kami menuntut untuk sistem pendidikan yang berlandaskan keutamaan pelajar.

PELUANG PENDIDIKAN YANG SERATA
Pendidikan merupakan hak asasi manusia.  Justeru itu, kami menuntut untuk peluang mendapat pendidikan yang sama rata dan membantah penswastaan pendidikan.  Pendidikan tidak seharusnya dijadikan sebagai alat mengaut untung untuk kapitalis.  Kerajaan harus memikul tanggungjawabnya untuk memastikan setiap rakyat mempunyai peluang untuk mendapat peluang pendidikan yang percuma dengan tidak kira bangsa, agama, jantina dan kekayaan.  Tiada sesiapapun boleh meragut hak asasi ini.  Situasi ini dapat mengelakkan pelajar hanya fokus kepada persaingan dalam pendidikan kerana takut disingkirkan.

PENDIDIKAN SIVIL
Kerajaan harus menambahkan bajet pendidikan negara supaya dapat memuatkan pendidikan sivil dan pengetahuan hak asasi manusia dalam pendidikan formal negara kita.  Pada masa yang sama, kerajaan juga harus membekalkan lebih banyak peluang kerjasama antara badan bukan kerajaan yang berasaskan hak asasi manusia dengan pendidikan.  Ini dapat memastikan kesedaran sivil masyarakat dapat ditingkatkan.

KEBEBASAN AKADEMIK
Kami membantah segala sistem pendidikan yang memenuhi permintaan sama ada  pemasaran atau agenda parti politik terutamanya Barisan Nasional yang berasaskan agenda perkauman.  Ini akan menyebabkan institusi pendidikan memproseskan pelajar yang berjenis "makanan tin".  Oleh itu, kami memegang bahawa setiap institusi pendidikan terutamanya universiti harus mempunyai kuasa autonomi dan kebebasan akademik.  Pada masa yang sama, kami juga menyeru pihak berkuasa untuk memberhentikan segala penindasan terhadap staf akedemik.

KEPELBAGAIAN DAN PENDIDIKAN BAHASA IBUNDA
Kami juga menuntut untuk pendidikan yang terdiri daripada pelbagai aliran dan bahasa.  Ini adalah kerana situasi begini akan mewujudkan toleransi pendidikan dan mengelakkan daripada kehilangan peluang pendidikan untuk segelintir masyarakat.  Kami juga menekankan bahawa pendidikan ibunda merupakan hak asasi manusia dan tambahan pula pendidikan ibunda dapat memastikan penguasaan pengetahuan yang telah diajar dalam sekolah.

Kami membantah Barisan Nasional yang cuba mempolitikkan pendidikan bahasa ibunda.  Di sini kami ingin menegaskan bahawa pendidikan ibunda tidak berlandaskan isu perkauman dan tidak dimiliki oleh sesiapa kaum, sesiapa sahaja juga boleh mempelajarinya.  Justeru itu kami membantah pendidikan yang hanya fokus kepada satu aliran.  Pendidikan seharusnya mempunyai pelbagai aliran dan hanya dengan ini, semua pihak dapat saling belajar.

2.0 AKTA UNIVERSITI DAN KOLEJ UNIVERSITI

MANSUHKAN AUKU
Tuntutan utama kami ialah mansuhkan AUKU yang bermotifkan politik.  Akta zalim yang diwujudkan semata-mata untuk mengukuhkan kedudukan politik sesetengah pihak, tanpa mempertimbangkan perkembangan akademik, adalah sesuatu yang akan menjejaskan kualiti mahasiswa.  Justeru, akta zalim ini harus dimansuhkan.  Akta Universiti yang melindungi demokrasi kampus, autonomi pelajar, dan kebebasan akademik harus diwujudkan untuk menggantikan akta yang zalim ini, AUKU.  Dengan ini, barulah hak mahasiswa dapat dijamin, dan seterusnya turut menjamin kualiti mahasiswa dan memastikan kesedaran politik mahasiswa.

DEMOKRASI KAMPUS
Kami menyeru agar demokrasi kampus dikembalikan kepada universiti dan kolej universiti.  Pusat pengajian tinggi harus mempunyai hak bertadbir yang bermotifkan akademik, dan bukannya seperti AUKU yang memberikan kuasa yang sepenuhnya kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Sekiranya pusat pengajian tinggi dapat ditadbir secara bersama-sama oleh pelajar dan pengajar yang benar-benar memahami keperluan warga pusat pengajian tinggi, maka mahasiswa dapat belajar dalam persekitaran yang lebih baik, dan seterusnya meningkatkan kesedaran politik mereka melalui proses yang demokrasi dalam kampus.

3.0 MASYARAKAT DAN PERSEKITARAN

PENGLIBATAN POLITK DARI BAWAH KE ATAS
Kami membantah polisi kerajaan yang kurang mendengar pendapat rakyat.  Sistem politik dari atas ke bawah telah mengabaikan kepentingan penglibatan demokrasi.  Kerajaan berslogan "rakyat didahulukan" dengan mengabaikan pendapat rakyat adalah tidak berkesan tentang polisi yang dikatakan memihak rakyat.  Oleh itu, kami meminta kerajaan mengadakan dialog atau forum secara terbuka supaya rakyat yang berlainan bidang dan lapisan dapat menglibatkan diri dalam membuat keputusan bagi membina sistem politk dari bawah ke atas.

KEBEBASAN MAKLUMAT
Rakyat menglibatkan diri dalam membuat keputusan dengan lebih efisien bersama kerajaan jika menerima maklumat yang mencukupi.  Hal ini juga akan meningkatkan permikiran berdikari dan kritik.  Oleh itu, kami meminta kerajaan mengumumkan segala informasi yang berkaitan dengan rakyat iaitu memansuhkan Akta Rasmi Rahsia dan menggubal Akta Kebebasan Informasi.  Perbelanjaan agensi kerajaan ditanggung oleh rakyat, oleh itu informasi kerajaan adalah dimiliki oleh rakyat, kerajaan hanya mengurus dan menyimpan informasi.  Rakyat mendapatkan informasi daripada kerajaan merupakan hal yang berpatutan.

PENOLAKAN POLITIK PERKAUMAN
Politik perkauman merupakan musuh utama rakyat yang bersatu padu dan menghalang kemajuan negara. Ia juga mengakibatkan rakyat menjadi irrational.  Justeru itu, kami membantah politk perkauman menjadi taktik parti politik.

4.0 PENGLIBATAN DIRI DALAM POLITIK

KEMBALIKAN AUTONOMI PELAJAR
Justeru, dengan tegasnya kami menyeru agar AUKU dimansuhkan untuk mengembalikan autonomi pelajar.  Pendidikan kini bukan sahaja harus menekankan teori tetapi harus juga menitikberatkan praktikal.  Kewujudan autonomi pelajar memberikan peluang kepada mahasiswa untuk mempraktikkan ilmu yang dipelajari.  Mereka akan lebih prihatin, mengambil inisiatif dan bertanggungjawab dalam hak bersama.

KEMBALIKAN HAK PENGLIBATAN POLITIK MAHASISWA
Kami juga menyeru agar hak penglibatan dalam politik mahasiswa dikembalikan.  Mengikut Perlembagaan, semua warganegara yang berusia 21 tahun ke atas mempunyai hak penglibatan dalam politik.  Namun, AUKU telah meyekat kebebasan berpolitik mahasiswa yang dinyatakan dalam Perlembagaan.  Kementerian Pengajian Tinggi harus memandang politik sebagai sesuatu yang positif kerana penglibatan politik dapat melahirkan mahasiswa yang berfikiran matang, dan bertanggungjawab atas segala kelakuannya.

*Deklarasi Belia dan Mahasiswa sempena Hari Hak Asasi Mahasiswa pada 8 Jun.

Sokongan daripada:
1.Malaysia Youth and Students Democratic Movement
2.UPM Student Progressive Front (UPMSPF)
3.USM Student Progressive Front (USMSPF)
4.UUM Student Progressive Front (UUMSPF)
5.NEC Student Progressive Front (NECSPF)
6.NEC Student Union
7.Persatuan Bahasa Tionghua UPM (PBTUPM)
8.Persatuan Bahasa Cina UM (PBCUM)
9.KLSCAH Youth Section
10.NEC Debate Society
11.Universiti Malaya Association of New Youth (UMANY)
12.UTM Chinese Students Council (CSCUTM)
13.NEC Media Studies Society
14.Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
15.Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
16.Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
17.Centre for Independent Journalism (CIJ)
18.Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
19.Civil Rights Committee of the Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (CRC)
20.Gabungan Anak Muda & Pelajar (GAMP)
21.Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)

Sunday, December 19, 2010

Kepentingan ilmu dalam peradaban manusia

Para pemimpin negara, negeri mahupun setempat kini mula menunjukkan kecenderungan mereka dalam menggalakkan masyarakat setempat mempraktikkan budaya keilmuan. Ini selari dengan harapan dengan ilmu, rakyat semakin celik dan taraf sosio-ekonomi akan bertambah baik dan secara tidak langsung kadar jenayah dan perkara-perkara negatif berjaya dikurangkan kalau tidak pun dihapuskan sama sekali.

Ilmu agenda utama dalam kehidupan manusia
Islam telah meletakkan asas syiar Islam itu adalah mencari dan menggarap ilmu pengetahuan menerusi ayat pertama dari surah pertama yang diturunkan iaitu Al-Alaq kepada baginda Nabi Muhammad SAW.

Mana mungkin baginda Nabi mampu menyeru manusia dengan pelbagai ragam cita rasa peribadatan pada masa itu tanpa dibekalkan Allah dengan ilmu.

Sesungguhnya ilmu itu boleh diperolehi dengan jalan membaca, memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah terhadap bahan-bahan ciptaan-Nya, memerhatikan kebesaran kerajaan Allah dalam mentadbir bumi dengan segala kebenaran daripada-Nya.

Malah Islam telah menyediakan satu dasar dalam konsep ‘Usul Fiqh’, bahawa semua amal ibadat seseorang itu yang tidak disandarkan dengan kefahaman ilmu dan makrifat, maka ia akan terbatal dengan sendirinya.

Ia memberi maksud, jika seorang muslim yang rajin beramal ibadat, tetapi amalan-amalan yang dilakukannya bukanlah kerana atas kefahaman yang dipelajarinya, malah lebih kepada warisan secara tradisi, maka adalah dibimbangi, amalannya itu tidak diterima di sisi Allah SWT.

Kenapa perlu kepada ilmu, terutamanya ilmu-ilmu agama?
Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menulis di dalam kitabnya bahawa, ilmu-ilmu agama merupakan alat bagi kita untuk menyelesaikan banyak perkara. Perumpaan yang diberi, jika sesuatu mesin industri rosak, jurutekniknya memiliki alat-alat berkaitan dengan pembaikannya, maka tugasnya menjadi mudah kerana dia memiliki alat untuk mengendalikan proses pembaik-pulih mesin berkenaan.

Begitulah juga dengan masalah agama, kebanyakan manusia walauoun bernama Islam hari ini tetapi semakin longgar ikatan mereka dengan Islam. Ada yang tidak sembahyang walaupun berpuasa, mengucap. Ada yang memakan riba, rasuah, membunuh orang tanpa sebab yang dibenarkan dan lain-lain akibat tidak mahu mendalami ilmu agama dengan cara duduk dalam majlis-majlis ilmu agama atau sekurang-kurangnya mahu mendengar kuliah-kuliah agama di televisyen.

Amat pelik sekarang orang bukan Islam semakin menunjukkan minat untuk tahu apakah sebenarnya Islam, tetapi kita sebagai orang yang dilahirkan sebagai seorang Islam yakni Muslim enggan memahami dan mendalami ilmu Islam itu sendiri. Bayangkan bagaimana kita sebagai orang Islam mampu menghadapi situasi di mana bukan Islam mahukan kita membimbing mereka; sedangkan mungkin kita tidak boleh menjelaskan sesuatu perkara berkenaan Islam kepada mereka jika kita sendiri kosong daripada ilmu-ilmu alat.

Apa sebenarnya ilmu-ilmu alat itu?
Kita mesti bertindak segera, masa untuk tidur dan berhibur sudah berlalu, yang penting kita kena belajar ilmu-ilmu alat tersebut yang terdiri daripada ilmu-ilmu ‘Syariah Islam’ dan ‘Usuluddin’.

Ilmu Syariah Islam yang menitik-beratkan persoalan ilmu fiqh, Usul fiqh, ayat-ayat hukum, sama ada yang ada dalam al-Quran atau hadis-hadis hukum yang membicarakan persoalan harian khususnya dalam konteks ibadat dan amalan, masalah kenegaraan, kuasa eksekutif dalam pentadbiran negara, dasar-dasar hukum Islam dan lain-lain.

Ia boleh dijelmakan secara praktikal dengan mempelajari ilmu fiqh, ilmu akhlak Islam termasuk ilmu-ilmu Usululddin seperti tafsir, hadis, Sirah, ilmu akidah-tauhid, tasauf dan lain-lain yang dilihat penting yang menjadi alat kepada kita untuk menyelesaikan banyak perkara, terutamanya ketika menghadapi isu-isu semasa yang melibatkan peroslan hukum agama seperti penternakan babi, masyarakat majmuk, pelaksanaan hukum hudud, tahaluf siasi (percantuman) parti-parti politik yang terbentuk daripada pelbagai fahaman dan agama.

Kesemua itu perlu digarap dengan serius jika kita mengaku bukan sahaja sebagai ahli gerakan Islam, malah sebagai orang Islam yang menjadi khalifah di muka bumi Allah ini.

Dengannya kita akan menjadi ummah yang kuat yang mampu menghadapi sebarang kemungkinan, kerana kita sudah bersedia dari peringkat awal lagi bahawa Islam mampu menguasai dan memerintah bumi ini dengan segala kebaikan yang hanya datang daripada Allah SWT.

Dari Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang berjalan menuntut ilmu, maka Allah memudahkan jalannya menuju Syurga. Sesungguhnya Malaikat akan meletakkan sayapnya untuk orang yang menuntut ilmu kerana redha dengan apa yang mereka lakukan. Dan sesungguhnya seorang yang mengajarkan kebaikan akan dimohonkan ampun oleh makhluk yang ada di langit mahupun di bumi hingga ikan yang berada di air. Ssungguhnya keutamaan orang alim atas ahli ibadah seperti keutamaan bulan atas seluruh bintang. Sesungguhnya para ulamak itu pewaris para Nabi. Dan sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, yang mereka wariskan hanyalah ilmu. Dan barangsiapa yang mengambil ilmu itu, maka sungguh ia telah mendapat bahagian yang banyak. (HR. Ahmad)

----------------------------------------------------------------------

MAMPU atau nama penuhnya, 'front' MEMBINA MAHASISWA PENGGERAK UMMAH mengucapkan selamat kembali ke kampus buat warga Universiti Kebangsaan Malaysia yang kini kebanyakannya sudah bergerak pulang ke bumi Bandar Baru Bangi tercinta ini. Kita mengharapkan sahabat-sahabat sekalian akan terus bersemangat untuk meneruskan keghairahan menuntut ilmu sepertimana yang ditunjukkan sejak awal kemasukan kita ke UKM dahulu.

MAMPU juga percaya dengan keputusan peperiksaan yang lalu akan sedikit sebanyak memberikan motivasi kepada kita semua untuk menambahbaik sebarang kekurangan agar keputusan semester 2 ini akan lebih baik.

Thursday, December 16, 2010

AKSIS : Cegah Segera Pelacuran di IPT



Angkatan Siswi Dinamis UKM (AKSIS) terpanggil untuk membicarakan isu hangat siswi-siswi di IPTA/S yang didapati melacur dan perihal menyimpan 'sugar daddy'. Masakan bau bangkai gajah dapat ditutup. Tidak dapat tidak, setiap hari kita dapat membaca sama ada di akhbar-akhbar rasmi mahupun di media-media tidak rasmi di alam maya , yang menyebut tentang kegiatan pelacuran yang dilakukan oleh golongan siswi IPT-IPT tempatan, tidak kira awam mahupun swasta. 

Isu ini kembali hangat apabila ADUN Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat meminta Kementerian Pengajian Tinggi beri perhatian serius kepada masalah aktiviti pelacuran di kalangan mahasiswi kerana ia menjejaskan nama baik IPT, selain menyelamatkan masa depan golongan yang terlibat. Rujuk  sini : http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1204&pub=utusan_malaysia&sec=Terkini&pg=bt_07.htm&arc=hive  dan sini http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1207&pub=utusan_malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm&arc=hive

AKSIS jelas terpanggil untuk menyatakan dengan tegas atas apa alasan sekali pun kegiatan melacur ini adalah haram. AKSIS juga percaya permasalahan ini timbul apabila di kalangan pengurusan universiti dan pihak berkuasa serta kerajaan tidak tegas dan menyebabkan hari ini, kegiatan pelacuran ini baik secara sukarela atau terpaksa makin membiak.AKSIS percaya semua kegiatan ini berpunca daripada hasil pulangan yang lumayan.Lebih-lebih lagi ada tangan-tangan yang menjadi 'ejen' untuk melakukan urusaniaga yang jijik sebegini.

AKSIS kecewa kerana status siswi yang sedang berada di pusat pengajian tinggi maka menyebabkan harga diri yang ditawarkan akan menjadi lebih tinggi. Kita yakin harga yang ditawarkan semakin tinggi berdasarkan ilmu akademik. Ditambah lagi kalau ada rupa paras maka semakin mahal harga lacuran mereka.

AKSIS juga kecewa kerana seandainya di peringkata pendidikan tertinggi mula disaluti kegiatan melacur maka tidak mustahil sedikit masa lagi makin ramai yang terjebak dalam kegiatan pemerdagangan orang ini. Dengan status mereka yang berpendidikan tinggi, bertopengkan pelajar di pusat pengajian tinggi, masyarakat sudah terpedaya dengan helah mereka maka jangan terkejut sekiranya selepas tamat pengajian, melacur ini menjadi kerja sampingan mereka. Sistem 'perniagaan' mereka akan lebih bersistematik kerana mereka berselindung dengan kerjaya yang sah, mempunyai jawatan dan berpendapatan tetap.

AKSIS berpandangan jelas bahawa inilah natijahnya sistem pendidikan negara yang berorientasikan kepada peperiksaan dan pasaran kerja tanpa mengambilberat ajaran agama yang menyebabkan fenomena pelacuran ini akan berterusan dan makin berpengaruh tanpa dapat disekat.

AKSIS juga berpandangan jelas pelacuran dan amalan menyimpan ‘sugar daddy’ di  kalangan pelajar IPT perlu dibersihkan segera. Program pemutihan perlu dilakukan segera kerana gelaja pelacuran ini tidak mustahil akan melibatkan pekerja universiti kerana golongan ini adalah mereka yang berhubungan dengan siswa-siswi setiap hari. Jalan mudah untuk mendapat gred yang baik, serahkan diri anda kepada pensyarah!

AKSIS juga membantah dengan kenyataan seorang pemimpin rakyat baru-baru ini yang berpendapat isu pelacuran dan ‘sugar daddy’ ini tidak perlu dihebah-hebahkan demi menjaga imej IPT. (Rujuk sini : http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1209&pub=utusan_malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_07.htm&arc=hive)  AKSIS ingin melontarkan persoalan, yang mana lebih perlu; imej atau moral ?

AKSIS UKM di bawah Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) jelas menjunjung Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia yang jelas menekankan Paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu. Seharusnya ilmu yang tinggi mampu mendidik dan menjadi benteng untuk mengawal maruah bukannya dijadikan batu loncatan untuk mencari pendapatan lumayan dengan kerja-kerja haram seperti pelacuran ini.

AKSIS juga dengan ini menyeru pihak pentadbiran IPT-IPT awam mahupun swasta, ahli-ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM), badan-badan pelajar yang berauthoriti serta orang perseorangan khususnya yang terlibat dan berhubungan dengan kampus-kampus setiap hari agar bersama-sama memantau gejala yang hari demi hari merosakkan nusa, bangsa dan negara ini. Bersama-sama kita mencegah dan membanteras aktiviti tidak bermoral  ini. Laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya anda mendapati rakan-rakan anda terlibat dengannya.










 
Angkatan Siswi Dinamis (AKSIS) 
Universiti Kebangsaan Malaysia

Debat atasi masalah graduan kurang kritis dan pasif

Sumber : UKM News Portal

















BANGI, 13 Dis. 2010 –Debat sebagai satu latihan intelektual telah disyor dijadikan sebahagian daripada kurikulum Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di semua institut pengajian tinggi (IPT).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah yang membuat syor itu hari ini berkata bahawa mahasiswa akan digalakkan bertanya dan berhujah dalam kuliah melalui kaedah debat. Dengan itu tidak akan timbul soal graduan kurang kritis dan pasif dalam pekerjaan yang menjadi rungutan ramai majikan hari ini.

Malah keadaan diburukkan lagi dengan persepsi graduan tempatan pasif berbanding dengan graduan luar negara kerana proses Pengajaran dan Pembelajaran di sana yang lebih interaktif,” katanya ketika berucap merasmikan pertandingan akhir Debat 1Malaysia antara Institusi Pengajian Tinggi 2010, anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) di sini, hari ini.

Beliau juga menyatakan bahawa debat boleh membantu mengatasi masalah kekurangan intelektual yang berlaku dalam negara sekarang. Sebagai galakkan, KPT telah memperuntukkan RM365,000 tahun ini bagi pembangunan aktiviti debat.

Saifudin mahu MADUM menyediakan satu platform di universiti masing-masing agar sebuah unit khusus dibentuk bagi mengurus hal-hal perdebatan dan pengucapan awam seperti MASUM ada Pusat Sukan dan MAKUM ada Pusat Kebudayaannya.

Inilah salah satu cara kita boleh meningkatkan ‘Learning Outcome Kemahiran Insaniah’ para mahasiswa dan akhirnya menjana keboleh pasaran para graduan.

Dengan adanya unit khusus yang mengendalikan aktiviti debat dan pengucapan awam di universiti, saya percaya era kepemimpinan mahasiswa awal tujuh puluhan dapat dihidupkan semula.

Speaker Corner yang menjadi medan para mahasiswa mengasah bakat dapat dilaksanakan, ketandusan kepemimpinan yang serba boleh dapat dilahirkan, keberkesanan berkomunikasi serta ketrampilan diri mahasiswa dapat diserlahkan,” kata beliau.

Sementara itu, Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dalam ucapannya berkata, UKM telah menjadi perintis dalam memperkenalkan semula Sudut Pidato sebagai platform kepada seni pengucapan umum pada Januari 2010 selepas tiga dekad ia diharamkan di IPT di seluruh negara.

Sudut Pidato yang merupakan pentas popular untuk menyuarakan pandangan di kalangan mahasiswa pada era 1960-an sehingga 1970-an telah melahirkan ramai tokoh terkenal yang menyumbang kepada negara dalam pelbagai bidang.

Antaranya ialah Datuk Alimuddin Mohd Dom, mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia; Datuk Dr Jemilah Mahmood, Presiden Mercy Malaysia; Datuk Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan dan banyak lagi individu yang mengukir nama dengan gemilang dalam arena mereka tersendiri.

“Diharap penubuhan semula Sudut Pidato akan melahirkan lebih ramai tokoh ilmuwan di masa depan,” tegasnya.

Di peringkat akhir debat 1Malaysia itu, Pasukan Debat UiTM mengalahkan Pasukan Debat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !