Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Monday, February 8, 2010

Sertai Himpunan Aman


Bersama menegakkan keadilan dan suara Mahasiswa. Tetapkan pendirian Mahasiswa dalam pencabulan Demokrasi Kampus..

Saturday, February 6, 2010

MPP Mahasiswa Terus Jejak KTDI dan Tanjung Karang


Kuala Lumpur, 5 Februari- MPP Mahasiswa terus mengorak langkah berjumpa dengan mahasiswa perubatan Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) dan di Tanjung Karang. 9 orang MPP Mahasiswa yang terlibat itu berjaya mengedar buah limau dan penanda buku kepada mahasiswa tahun 3 Fakulti Perubatan di Cheras petang itu. Edaran yang dibuat di dewan-dewan kuliah dapat menghidupkan semangat bakal doktor ini untuk terus tekun dalam akademik setelah mendapat perhatian yang cukup baik daripada pemimpin mereka.



Perjalanan diteruskan ke JKM Tanjung Karang, tempat praktikal bagi mahasiswa perubatan UKM. Pada perancangan asal, MPP Mahasiswa akan turut menyertai majlis kesyukuran dan berbuka puasa anjuran penyokong GMUKM di sana, namun disebabkan kesesakan lalulintas, MPP Mahasiswa selamat tiba di tempat program pada jam 9.00 malam.

Walaubagaimanapun, MPP Mahasiswa disambut meriah oleh mahasiswa di sana. Peluang berinteraksi dengan warga perubatan kebanggaan UKM ini digunakan sepenuhnya untuk merapatkan ukhuwwah. Selain bertaaruf, aduan dan permasalahan juga disuarakan oleh mahasiswa.



"Jarang pelajar dari kampus Bangi berjaya sampai di sini. Kami berasa sangat terharu dan berbangga kerana MPP Mahasiswa sanggup turun melihat dan berjumpa dengan kami," luah seorang siswi yang dikenali sebagai Farhana, salah seorang pelajar perubatan di sana. Tambahnya lagi, pemimpin yang turun pada masyarakat ini sukar untuk dicari pada zaman kini. Beliau melihat, MPP Mahasiswa cukup prihatin dan sanggup meluangkan masa dengan mahasiswa minoriti yang berada di sana, yang selalunya mereka dianaktirikan.

Selepas sesi interaksi, MPP Mahasiswa bergerak ke rumah-rumah kediaman mahasiswa perubatan untuk edaran buah limau dan penanda buku disamping beramah mesra dengan mereka.

Ikrar Keramat Mahasiswa


Bahawasanya kami
Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia
Berikrar dan berjanji
Menjunjung dan membela tinggi
Varsiti universiti kami.

Bahawasanya kami
Berikrar dan berjanji
Turut setia bersama-sama mahasiswa
Mempertahankan nilai integriti
Pembudayaan akhlak
Keintelektualan dan profesionalisma kami
Dalam memelihara
Pemikiran kelas pertama milik kami

Maka dengan ini
Kami mengakui
Ikrar setia kami
Dalam mempertahankan varsiti universiti
Dan hak kami
Sejajar dengan dokongan
Falsafah universiti.

Friday, February 5, 2010

Aduan Mahasiswa Ditolak Lagi

Pihak pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menolak tiga aduan yang dikemukakan oleh kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M) yang lebih dikenali sebagai GMUKM berhubung pilihan raya kampusnya yang berlangsung pada 28 Januari lalu.

Jurucakap pro-M, Ammar Ishak berkata aduan tersebut dikemukakan kepada jawatankuasa rayuan pilihan raya kampus UKM yang bersidang hari ini.

Pertama, kumpulan pro-A didakwa menggunakan kaunter SPKG (Sistem Penilaian Kompetensi Generik) untuk berkempen dengan mengedarkan risalah.

“Kita mempunyai bukti, dengan merampas risalah yang diedarkan dan juga rakaman foto,” kata Ammar yang menambah, ia berlaku di Kolej Kediaman Keris Mas.

Kedua, katanya, ialah dakwaan sebuah peti undi telah dibawa masuk ke sebuah bilik, sebelum dibawa keluar semula selepas itu.

“Kita tidak tahu apa yang berlaku dalam bilik tersebut. Tapi kita ada saksi yang melihatnya, dan kita telah merakamkan pengakuannya,” tambahnya.

Ammar berkata rakaman tersebut turut dikemukakan hari ini berhubung kejadian itu yang berlaku di Kolej Kediaman Burhanuddin Helmi.

Katanya, satu lagi aduan yang dibuat hari ini ialah berhubung ugutan yang diterima seorang pelajar di Kolej Za'aba dua hari menjelangn pilihan raya kampus yang lalu.

Dalam kejadian tersebut, seorang pelajar telah membuat laporan polis pada 26 Januari lalu, mendakwa dia diganggu sekumpulan 10 lelaki dan perempuan yang didakwanya tidak puashati dengan sokongannya kepada pihak tertentu yang bertanding dalam pilihan raya kampus.

Ammar berkata, pihaknya turut mengemukakan aduan polis serta rakaman audio percakapan seorang pegawai kolej berkenaan yang didakwa mengandungi unsur-unsur ugutan terhadap pelajar terbabit.

Bagaimanapun, katanya, kesemua aduan tersebut telah ditolak oleh jawatankuasa rayuan yang bersidang pagi tadi dan keputusannya diumumkan kira-kira jam 12.45 tengahari tadi.

Namun begitu, kata Ammar, jawatankuasa tersebut mengakui berlakunya perkara itu tetapi berpendapat ianya tidak mempengaruhi keputusan pilihan raya kampus bulan lalu.

“Ekoran itu, mereka menolak aduan kami,” tambahnya.

Sehubungan itu, maka keputusan pilihan raya kampus UKM kekal dimenangi oleh pro-Asprasi yang mendapat 20 daripada 35 kerusi yang dipertandingkan.

Manakala pro-M pula memangni 15 kerusi, bertambah dua kerusi dari tahun lalu.

“Keputusan bertulis mengenainya telah dikeluarkan pada jam 5 petang tadi dan laporan lengkap keseluruhan siasatan akan siap dua minggu lagi,” kata Ammar.

Pada 2 Februari lalu, UKM juga menolak satu lagi bantahan pro-M yang mendakwa dua kerusi di fakulti kejuruteraan dan fakulti alam bina, yang sepatutnya dimenangi mereka, telah diumumkan dimenangi kumpulan pro-Aspirasi (pro-A).

Menurut Ammar, bantahan mereka itu telah ditolak tanpa pihak pentadbiran yang didakwanya tidak memberi sebarang alasan yang munasabah.

Ikrar Mahasiswa


Pengumuman Keputusan Siasatan atas Rayuan oleh GMUKM | 12.00 tgh hari | Jumaat | 5 Februari 2010 | Dataran Canselori


Ikrar MAHASISWA | Jumaat | 5 Februari 2010 | Masjid UKM | Selepas Solat Jumaat

Thursday, February 4, 2010

MPP Mahasiswa Gegarkan KTSN


Kuala Lumpur, 3 Feb- MPP Mahasiswa yang telah dipilih dalam pemilihan MPP baru-baru ini meluangkan masa berkunjung ke UKM KL untuk berdialog dan beramah mesra dengan mahasiswa/i. Barisan MPP juga mengedarkan kalendar dan penanda buku percuma sebagai tanda penghargaan kepada mahasiswa/i yang telah memberi mandat kepada mereka untuk memimpin dan mewakili SUARA MAHASISWA. Antara MPP yang hadir ialah Khairul Anuar B Mat Lazim, Muhamad Faiz B. Ismail, Nik Ahmad Shafie B Raja Daud, Nabilah Bt Mohamad Maiyidin, Sarzliana Bt Soaidin, Nur Ili Bt Mohamad Tarmizi dan Mariah Bt Zakaria.

Ramah mesra tersebut berlangsung kira-kira 2 jam dan mendapat respon yang positif daripada warga UKM Kampus KL. Mereka berharap agar MPP Mahasiswa mampu melakukan penambahbaikan dan berusaha melaksanakan manifestp yang dicanangkan. Kunjungan tersebut turut diserikan lagi dengan edaram buah limau sempena Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi. Antara kawasan yang menjadi tumpuan MPP Mahasiswa ialah kafe, tempat menunggu bas, dewan kuliah dan kawasan sekitar fakulti.

Menurut MPP Umum Tahun 3 & 4, Muhamad Faiz Ismail, kunjungan ini memberi ruang kepada mahasiswa untuk mengenali pemimpin mereka seterusnya menjadi medan untuk MPP memungut suara dan aduan mahasiswa.

"Keyakinan mahasiswa terhadap pemimpin semakin berkurangan disebabkan kegagalan pemimpin menjalankan tugas dengan baik. Kesannya, terdapat mahasiswa yang tidak ambil peduli soal kebajikan mereka kerana menganggap bahawa MPP yang dipilih tidak mampu untuk membawa suara mereka. Justeru, inisiatif untuk bertemu dengan mahasiswa dilihat sebagai galakan kepada mahasiswa untuk menyuarakan maslah, kritikan dan cadangan kepada MPP," ujarnya lagi.


MPP Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Nur Ili Mohamad Tarmizi yang ditemui pula berkata, kepimpinan mahasiswa perlu dilonjakkan semula ke tempat yang sepatutnya.

"Mahasiswa perlu bersama-sama dengan MPP dalam usaha melaksanakan agenda kebajikan mahupun keilmuan. Mahasiswa bertanggungjawab untuk memastikan barisan pemimpin yang dipilih tidak 'lepas tangan' atau sekadar menaburkan 'janji kosong'. Sememangnya MPP tidak mampu memberi jaminan terhadap pelaksanaan manifesto, namun apa yang lebih penting adalah keazaman dan kesungguhan MPP untuk merealisasikan hasrat tersebut,"katanya.

Wednesday, February 3, 2010

Hentikan Demokrasi MATI!!


Berkabung untuk tunjukkan tanda protes terhadap pencabulan demokrasi kampus.

Kembalikan HAK MAHASISWA.

Biar kami mencatur sendiri urusan kami tanpa campurtangan pihak luar.

Kami BUKAN BONEKA atau ANAK KECIL yang sentiasa perlu dicatur.

Kami mampu BELAJAR dan berdiri atas kaki kami sendiri.

Tidak salah memberi tunjuk ajar, tapi JANGAN SAMPAI menjadikan kami lembu yang dicucuk hidung..

Mengajar kami mengikut dan menolak suara kami.

KEMBALIKAN HAK KAMI!!

HENTIKAN DEMOKRASI MATI!!

Penyelewengan PRK UKM:Pengetua kolej gagal bagi penjelasan

KUALA LUMPUR, 2 Feb: Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kesal dengan keengganan pengetua-pengetua kolej kediaman yang bertindak sebagai ketua pusat undi dalam pilihanraya kampus (PRK) minggu lalu untuk mengadakan sesi dialog berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam tempoh pembuangan dan pengiraan undi.

Seorang jurucakap Pro-M UKM berkata, meskipun pihaknya telah membuat desakan agar pengetua-pegetua kolej yang didakwa melakukan penyelewengan memberikan penjelasan,namun mereka enggan berbuat demikian tanpa sebarang alasan.

"Apa yang Pro-M kesalkan, kita mintak diadakan sesi dialog dengan pengetua-pengetua kolej, tapi mereka tidak mahu buat.

"Kita bukan mengharapkan sangat pun dari sudut menang dan sebagainya tapi kita nak berdialog dengan pengetua-pengetua kolej yang banyak buat penyelewengan.Kita nak dengar penjelasan daripada mereka.Itu matlamat utama kita," kata sumber berkenaan ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Pro-M mendakwa, Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di beberapa kolej kediaman melakukan kesalahan sepanjang tempoh pembuangan dan pengiraan undi di kolej-kolej bertujuan memenangkan calon Aspirasi.

Hampir semua kolej kediaman dikesan melakukan penyelewengan antaranya Kolej Keris Mas, Kolej Burhanuddin Hilmi, Kolej Tun Hussien Onn, Kolej Ibrahim Yaakob, Kolej Ungku Omar, Kolej Ibu Zain, Kolej Pendeta Za’ba dan Kolej Dato’ Onn.

Di Kolej Ungku Omar sebagai contoh, Jawatankuasa Pelaksana Kolej berterusan mencatat nombor siri dan nombor matrik yang tercatat pada kertas undi walupun dibantah oleh calon dan wakil calon secara terhormat kepada pengetua yang bertindak sebagai ketua pusat undi dengan merujuk kepada buku Peraturan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UKM 2009.

Merujuk kepada Perkara 43(1) Peraturan Pemilihan MPP,kertas undi adalah rahsia dan hanya dapat dikeluarkan pada hari pembuangan undi sahaja. Calon dan wakil calon yang membuat bantahan telah ditekan dan dimarahi oleh pengetua berkenaan. Tindakan Jawatankuasa Pelaksana di peringkat kolej ini jelas dan nyata melanggar peruntukan dalam Peraturan ini walau dengan apa alasan sekalipun.

Tindakan ini juga tegas Pro-M, jelas sebagai usaha memberikan tekanan kepada pengundi-pengundi terutama pelajar-pelajar Tahun 1. Hal ini kerana perkara ini tidak berlaku sama sekali di Pusat Pembuangan Undi di Pusaneka yang rata rata pengundinya adalah tinggal di luar kampus.

Pihak Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i (JAKSA) kolej bersama beberapa kumpulan pelajar yang memakai baju berlogo “Aspirasi” pula bertindak mengedarkan senarai nama-nama calon kepada pelajar-pelajar tahun 1 sebagai tekanan meraih undi kepada pengundi. Merujuk Perkara 23 Buku Panduan Calon Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar 2009,larangan memancing undi di dalam dan di sekitar tempat mengundi. Pelajar tidak boleh memancing undi di dalam dan sekitar tempat undi.Walaupun perkara ini telah dibantah calon dan wakil calon,namun perkara ini masih berlaku dan mereka pula dimarahi apabila membuat bantahan.

Sekumpulan pelajar yang memakai baju berlogo “Aspirasi” dilihat cuma mewujudkan pondok panas diluar pusat pengundian sebagai usaha meraih undi daripada pengundi pengundi terutamanya pelajar Tahun 1. Tindakan ini dilihat member tekanan kepada pengundi pengundi terutamanya palajar pelajar Tahun 1. Perkara ini bertentangan dengan Peraturan 48(3)(a) dan (b) yang mana larangan kepada mewujudkan pondok pondok panas dan usaha meraih dan merayu undi.

Sehubungan itu, Pro-M semalam menghantar surat bantahan kepada Jabatan Perkhidmatan Pelajar berhubung aduan itu dan pihak pentadbiran berjanji akan mengeluarkan keputusan rasmi pada jam 5 petang ini.

Sebelum ini, pihak pentadbiran berjanji untuk mengeluarkan keputusan rasmi semalam namun tidak berbuat demikian atas alasan Pro-M tidak melakukan prosedur bantahan yang betul.

Usaha Pro-M untuk berjumpa dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik (TNC HEPA) Prof.Dato Dr.Mohamad Abdul Razak bagi mendapatkan penjelasan beliau juga masih gagal.

"Usaha kita untuk berjumpa denga TNC HEPA pun masih belum berjaya.Kita sudah tunggu di pejabat beliau, kena marah dengan pegawai, kena tengking walaupun TNC ada dalam bilik beliau," katanya.

Pro-M turut menegaskan, sekiranya pihak pentadbiran masih gagal mengeluarkan keputusan rasmi petang ini seperti yang dijanjikan, pihaknya tidak akan berdiam diri dan akan memanjangkan perkara berkenaan kepada pihak yang berkaitan.

Bantahan Pro-M ditolak, Pro-Aspirasi kekal menang di UKM

KUALA LUMPUR,3 Feb: Bantahan Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap penyelewengan yang berlaku dalam proses pilihanraya kampus (PRK) kampus tersebut minggu lalu ditolak dan keputusan tetap berpihak kepada Pro-Aspirasi.

Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM menolak semua bantahan yang dibuat Pro-M dengan alasan ianya tidak dibuat sewaktu hari pembuangan undi.

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) khususnya Pro-M amat kesal dengan alasan yang diberikan itu kerana semua bantahan telah dibuat sewaktu hari pembuangan hari namun tidak dilayan oleh pihak jawatankuasa.

Seorang jurucakap Pro-M UKM berkata, alasan yang diberikan itu sangat tidak munasabah kerana pihaknya telah membuat bantahan kepada pengetua kolej kediaman yang bertindak sebagai ketua pusat undi setelah mengesan berlakunya kesalahan sewaktu tempoh pembuangan dan pengiraan undi.

"Semua bantahan ditolak atas satu alasan sahaja. Mereka tanya kenapa kita tak buat bantahan sewaktu hari pembuangan undi sedangkan bertimbun-timbun kita buat bantahan tapi tidak diterima. Tiba-tiba mereka cakap bantahan ditolak sebab tidak buat bantahan semasa hari pembuangan undi,"katanya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Petang semalam, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik (TNC HEPA) Profesor Datuk Dr. Mohamad Abdul Razak mengeluarkan satu surat rasmi menyatakan bantahan GMUKM ditolak dan Aspirasi kekal memenangi 20 kerusi manakala Pro-M 15 kerusi daripada 35 kerusi yang dipertandingkan.

Bantahan berhubung undi bagi Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina yang dikira di kolej kediaman tidak sama dengan yang diumumkan di pusat penjumlahan undi juga ditolak.

Rentetan penolakan bantahan itu, Pro-M UKM akan berkabung bagi menunjukkan 'silent protest' terhadap keputusan tersebut bermula hari ini sehingga hujung minggu ini.

"Kami akan berkabung untuk menunjukkan 'silent protest' kami di hadapan bangunan canselori mulai hari ini sehingga hujung minggu ini.

"Kami sangat kecewa dengan keputusan yang tidak adil ini sedangkan segala bukti penyelewengan kami sudah tunjukkan,"katanya.

Sebelum ini, usaha Pro-M untuk bertemu dengan Dr. Mohamad dan mengadakan sesi dialog dengan pengetua-pengetua kolej kediaman bagi mendapatkan penjelasan berhunung perjalanan PRK yang tidak telus juga gagal.

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !