Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Tuesday, August 31, 2010

Merdeka BUKAN Bebas Mutlak


Assalamualaikum dan Salam Kemerdekaan

31 Ogos bukan tarikh yang asing bagi penduduk tanahair kita. Tahun ini merupakan tahun yang ke-53 kita menyambut hari kemerdekaan yang jatuh pada bulan Ramadhan. Ianya diraikan oleh segenap lapisan masyarakat dengan slogan dan sorakan yang penuh bersemangat untuk menzahirkan rasa gembira kerana dapat hidup di atas muka bumi yang bebas daripada cengkaman penjajah.

Kebiasaannya, malam kemerdekaan menjadi tumpuan masyarakat untuk menanti detik-detik 12 malam. Letupan bunga api menghangatkan suasana dan menjadi simbolik ulangtahun kemerdekaan. Ramai anak muda dan golongan remaja tidak ketinggalan dalam menghargai kemerdekaan hasil titik peluh pejuang terdahulu.

Selain itu, ada yang memilih untuk mengadakan majlis berbuka puasa, ceramah kemerdekaan, bersolat terawih secara berjemaah dan Qiamullail untuk menyambut kemerdekaan di samping memuliakan Ramadhan. Kempen cegah maksiat turut digerakkan bagi membanteras perilaku sumbang yang melibatkan ramai golongan remaja. Sememangnya, terdapat golongan anak muda yang cenderung untuk meraikan kemerdekaan dengan berpesta, berkaraoke, melakukan seks bebas dan sebagainya.Justeru, adakah merdeka gagal untuk difahami? atau ada kemungkinan ianya sutelah disalahtafsir?

Golongan anak muda ini memahami bahawa merdeka merupakan bebas secara mutlak. Dalam erti kata lain, mereka bebas untuk melakukan apa-apa sahaja yang diingini tanpa kongkongan atau keterikatan daripada mana pihak. Lebih menyedihkan apabila mereka sanggup melakukan perkara yang bertentangan dengan agama atas alasan kebebasan dan menganggap bahawa diri mereka sudah merdeka.

Oleh yang demikian, usaha untuk memimpin generasi muda ke arah erti dan nilai kemerdekaan yang sebenar perlu digerakkan secara bersepadu kerana merdeka BUKAN bebas secara mutlak. Kita masih terikat dengan sistem beragama yang mampu menjamin kelangsungan hidup manusia di atas muka bumi. Ayuh! sahutlah seruan pencerahan, buktikan bahawa generasi merdeka punya kekuatan untuk mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. 
 
SALAM KEMERDEKAAN!
Ber-GM Lebih Baik!

Monday, August 30, 2010

Sekitar Sambutan Ambang Kemerdekaan ke-53


Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) selaku 'front' mewakili mahasiswa UKM yang cakna dan prihatin meneruskan agenda merakyatkan GM dengan program edaran bendera Jalur Gemilang sekitar UKM pada petang tadi sempena sambutan 31 Ogos pada esok hari sebagai Hari Kebangsaan Malaysia.

Acara bermula dengan sambutan mahasiswa daripada IPTA-IPTA seluruh Malaysia yang hadir ke UKM untuk program di UKM sempena Sambutan Ambang Merdeka UKM - KARISMA JASA di Dewan Canselori Tun Abdul Razak (DECTAR). Antara mahasiswa yang kelihatan tiba ialah UniMAP, UMP, UiTM Johor, UPSI dan lain-lain lagi.




Seterusnya seusai taklimat ringkas oleh koordinator acara petang ini, semua ahli Gabungan Mahasiswa meneruskan rancangan acara sambutan kemerdekaan ini dengan berkonvoi ke kolej-kolej kediaman UKM. Di samping itu, ahli konvoi turut berkesempatan mengedarkan bendera di beberapa perhentian bas sekitar UKM.





Acara konvoi diteruskan ke Kolej Pendeta Za'ba untuk pengedaran bendera Jalur Gemilang kepada penghuni kolej.



Para penghuni kelihatan teruja dan tidak menyangka Gabungan Mahasiswa UKM sudi menghadiahkan bendera Jalur Gemilang kepada mereka.



Tidak ketinggalan kepada pekedai-pekedai



Acara konvoi sempat singgah di Kolej Burhanuddin Helmi


Acara sambutan kemerdekaan ini kemudian berkumpul di tempat letak motorsikal FPI untuk mengumpul ahli Gabungan Mahasiswa yang hadir untuk sambutan ini.

Para hadirin menyanyikan Lagu Negaraku


Duta GMUKM bagi Tahun Dua, saudara Fariq Fitri telah menyampaikan pidato kemerdekaan beliau. Antara yang disentuh adalah pengertiaan sebenar istilah 'kemerdekaan' selain beliau menekankan pengisian kepada kemerdekaan dari skop seorang mahasiswa universiti.


Seterusnya saudara Hafiz bin Abdul Razak selaku Pengerusi Gabungan Mahasiswa tampil ke hadapan untuk menyampaikan pidato bertajuk 'Mahasiswa & Merdeka'. Antara intipati yang beliau sampaikan ialah pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu samada kita kenali atau tidak amat besar dan perlu dicontohi. Perjuangan menubuhkan UKM ini juga telah melalui beberapa peringkat halangan dan rintangan sebelum terbinanya ia hari ini.


GMUKM juga sempat mengedarkan bendera Jalur Gemilang kepada pemandu-pemandu kereta dan bas



 Tidak dilupakan kepada Pengawal Keselamatan


Acara sambutan kemerdekaan ini kemudian berakhir menjelang pukul 7.00 petang. Kepada semua hadirin pendokong dan penyokong Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, kita mengucapkan jutaan terima kasih di atas komitmen anda.


Ber-GM Lebih Baik!

Isu HX/HE mengundang kontroversi di UKM KL



Menyentuh isu HX/HE yang diperkenalkan pada sesi ini, Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) melihat walaupun objektif subjek ini diwujudkan adalah murni, namun pelaksanaannya terhadap mahasiswa UKM dilihat agak membebankan. Hal ini lebih dirasai mahasiswa daripada Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), UKM KL yang perlu ke Bangi setiap kali sesi HX dijalankan.

Untuk rekod, para mahasiswa UKM KL perlu hadir ke Bangi sekurang-kurang sebanyak 9 kali sesi untuk sesi kepimpinan, sukan dan kebudayaan.

Saudara Hafiz, pelajar tahun satu dari Fakulti Pergigian ketika ditemui Wartawan GMUKM melahirkan rasa kurang senang dengan sistem yang diperkenalkan. Menurut beliau, masa belajarnya di hujung minggu terpaksa dikorbankan di atas jalan raya sahaja semata-mata untuk hadir ke sesi kokurikulum di Bangi.

" Senior-senior saya beritahu, sistem di zaman diaorang lebih senang dan 'tak complicated macam yang saya perlu tempuhi sekarang ni. " luah beliau dengan nada kesal.

" Yang lebih saya kesalkan, sehingga kini kami tidak diberitahu sistem permarkahan bagi aktiviti kokurikulum kami ini. Setiap kehadiran aktiviti dikatakan ada markah, tetapi kami tidak tahu berapa markahnya. Malah kami sekarang rasa diperbodohkan sebab setiap minggu (aktiviti yang dijalankan) sekadar hadir mendengar briefing saja. Rugi masa kami di sini saja!"

Wartawan GMUKM cuba membuat temujanji dengan pihak PPP untuk mendapatkan penjelasan berkenaan isu ini tetapi sehingga kini pihak PPP enggan menemui dengan pihak Gabungan Mahasiswa.

Gabungan Mahasiswa amatlah mengharapkan bahawa sebarang aduan,permasalahan, cadangan dan kritikan membina daripada pelajar dapat diajukan kepada kami dan pihak pentadbiran untuk kebajikan dan kesejahteraan kita bersama.


Ber-GM Lebih Baik!

Selamat Hari Merdeka

Detik 31 Ogos sudah menghampiri kita. Maka begitulah lumrahnya pada setiap tahun rakyat Malaysia disaran untuk mengibarkan bendera Jalur Gemilang. Tapi, apakah signifikan semua ini? Apakah seluruh fakta sejarah kemerdekaan kita ditulis dengan betul dan adil?

Tanggal 31 Ogos 1957 adalah tarikh kemerdekaan negara kita sebagaimana yang tercatat dalam buku-buku sejarah. Detik bersejarah ini telah dimulakan dengan penurunan bendera Union Jack di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur tepat pukul 12 malam. Keesokan harinya barulah diisytiharkan Merdekanya Tanah Melayu dari penjajah British dengan laungan "Merdeka!" oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka.

Namun demikian, beberapa persoalan timbul disebalik fakta sejarah kemerdekaan negara kita yang sedia ada iaitu: Adakah benar Parti Perikatan sahaja dari mula hingga akhir yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu? Apakah buku-buku sejarah yang ditulis pada hari ini berasaskan kepada fakta sebenar ataupun berasaskan kepada acuan pemerintah? Adakah benar Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan pemimpin-pemimpin pemerintah sahaja yang bersungguh terlibat memerdekakan negara kita?

Bagaimana pula peranan yang dimainkan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan ramai lagi berserta dengan pertubuhan-pertubuhan pimpinan mereka Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) untuk memerdekakan negara kita?

Adalah diakui bahawa tajuk ini sememangnya penuh kontroversi dan menjadi pertikaian sejak sekian lamanya. Penelitian kembali dari perspektif kajian Sains Politik dan Sejarah adalah mustahak bagi membolehkan usaha-usaha untuk mengembalikan keadilan dan kebenaran dalam penulisan pensejarahan fakta perjuangan kemerdekaan negara ini, mampu dilaksanakan oleh pengemblengan semua pihak yang cintakan kebenaran dan keadilan.

Sejarah Awal Perjuangan Kemerdekaan

Mengimbau kembali sejarah kemerdekaan Tanah Melayu diperoleh dari British pada tanggal 31 Ogos 1957. Dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara dan kebebasan bangsa kita, memang banyak golongan telah memberikan pelbagai sumbangan dan pengorbanan-tenaga dan nyawa.

Ketika Portugis menyerang Melaka, Bendahara Paduka Raja muncul sebagai pemimpin yang menentang serangan itu. Lebih tiga abad kemudian, penjajah Inggeris cuba menakluki negeri-negeri Melayu, timbul pula pembesar-pembesar Melayu terkenal: Datuk Maharajalela di Perak, Datuk Bahaman di Pahang, Tok Janggut di Kelantan dan ramai lagi yang bangkit melawan kuasa penjajah.

Dalam perjuangan menentang penjajah untuk mempertahan kedaulatan bangsa ini, dapat dilihat dua tradisi yang jelas. Pertama, tradisi melawan atau menentang penjajah habis-habisan. Kedua, tradisi bekerjasama dengan pihak penjajah.

Mereka yang menentang ada yang dibunuh, diburu, dibuang negeri dan dilucut kedudukan mereka. Yang menang pula kemudian diupah dengan pangkat, martabat dan kekayaan. (Dr. Syed Husin Ali (1998)

Selepas penjajah menakluki negara dan rakyat, maka timbullah golongan yang berjuang untuk menentang penjajahan dan menegakkan kemerdekaan. Sejarah membuktikan golongan yan mula-mula bangkit untuk menuntut kemerdekaan terdiri daripada tokoh-tokoh atau pertubuhan-pertubuhan yang dicop oleh penjajah sebagai radikal dan kiri.

Kenalkah kita dengan nama-nama seperti Ibrahim Yaakub, Ishak Hj Muhammad, Shamsiah Fakeh, Dr. Buhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan Abu Bakar Baqir ?  Mereka memimpin pertubuhan-pertubuhan yang dikenali sebagai Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Hizbul Muslimin. Inilah kumpulan pejuang kemerdekaan dalam golongan tradisi pertama seawal tahun 1930/1940-an. Oleh kerana sikap tokoh-tokoh dan pertubuhan-pertubuhan kiri ini tidak mahu bekerjasama dengan pihak penjajah malah, mereka yang menentang penjajah habis-habisan, maka mereka ditekan, ditangkap dan dipenjara bertahun-tahun.

Berikutan pengisytiharan darurat pada 20 Jun 1948 di mana penjajah British telah mengharamkan parti-parti politik yang keras dan dikatakan berhaluan kiri ini menentang mereka, maka ruang telah terbuka luas kepada Parti Perikatan yang lebih 'lunak' suara mereka di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman , Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock dan Tun S. Sambanthan melanjutkan tuntutan kemerdekaan. Ini disebabkan pihak penjajah British berasa lebih senang untuk menyerahkan kemerdekaan kepada Perikatan kerana Parti Perikatan sanggup bekerjasama, berkompromi dan bersedia menjaga kepentingan ekonomi penjajah.

Justeru, amat perlu untuk menekuni kesemua fakta sejarah kemerdekaan dengan mengambil kira semua peranan yang dimainkan oleh sesiapa juga; baik pemimpin ataupun rakyat biasa di semua peringkat dalam usaha memerdekan negara ini.

Ini penting demi menjamin penghakiman sejarah yang adil bagi mereka yang berjuang secara bersungguh untuk merdeka; kesungguhan perjuangan yang bukan hanya terhad di meja perundingan tapi juga sanggup berkorban nyawa demi memerdekakan tanah air dan membela maruah agama serta bangsa.

Tegasnya, sebelum Tunku Abdul Rahman melaungkan Merdeka pada 31 Ogos 1957, laungan ini sudah bergema dan banyak babak-babak sejarah yang dimainkan bukan hanya oleh Parti Perikatan.

Malahan fakta sejarah menegaskan wujudnya parti-parti politik nasionalis Melayu mendahului Umno dalam perjuangan kemerdekaan. Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang di pimpin oleh Mokhtaruddin Lasso ditubuhkan pada 17 Oktober 1945.Bersama parti ini ialah Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Baris Tani Se-Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) dan pada 14 Mac 1948 ditubuhkan pula Hizbul Muslimin. Ini semua adalah jaringan gerakan nasionalis Melayu yang menuntut kedaulatan dan kemerdekaan daripada British sedari awal daripada UMNO dan Parti Perikatan.

Realitinya pada hari ini, indoktrinasi yang cuba dan sentiasa diterapkan oleh Umno khususnya dan regu kuat politiknya-MCA dan MIC bahawasanya, merekalah pelopor kepada perjuangan memerdekakan Tanah Melayu.

Merujuk kepada sejarah perjuangan kemerdekaan Malaysia hari ini, banyak fakta yang dinafikan kerajaan yang memerintah. Ini jelas apabila sejarah perjuangan para pemimpin dan pertubuhan selain Umno/Perikatan serta rakyat biasa seolah-olah tidak diiktiraf.

Ini dapat dibuktikan bilamana, penulisan pensejarahan perjuangan kemerdekaan hari ini masih melabelkan Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Al-Helmy dan seangkatan dengan mereka serta pertubuhan mereka sebagai golongan radikal dan berhaluan kiri. Juga, mereka ini hanya berperanan kecil dalam usaha memerdekakan Tanah Melayu.

Ini satu ketidakadilan dalam pengungkapan sejarah, kerana fakta sejarah sebenar telah menegaskan Umno dan Perikatan hanya menyambung usaha menuntut kemerdekaan daripada British setelah pemimpin-pemimpin yang dilabelkan radikal ini ditahan oleh British.

Perjuangan sebenar menuntut kemerdekaan sedari awal bukanlah dipelopori oleh Umno/Perikatan tetapi pemimpin-pemimpin dan pertubuhan-pertubuhan yang berhaluan kiri tersebut. Inilah fakta kebenaran yang dinafi dan diselindung.

Generasi muda dan rakyat keseluruhannya telah dikeliru dan terkeliru; ditipu dan tertipu dengan fakta sebenar perjuangan kemerdekaan. Menyeleweng dan menyelindung kebenaran fakta sejarah perjuangan kemerdekaan adalah satu pengkhianatan terhadap sejarah perjuangan bangsa.

Ia mencemar perjuangan dan pengorbanan suci pejuang-pejuang terdahulu dalam membela maruah bangsa dan agama. Pengolahan dan pengungkapan fakta sejarah yang berat sebelah dalam penyataan memerdekakan Tanah Melayu beralasankan untuk mengelakkan kontroversi dan mencetuskan provokasi dalam masyarakat adalah hujah yang amat dangkal.

Ini kerana ia tidak akan membentuk kesatuan dan keharmonian dalam sambutan kemerdekaan pada setiap tahun. Generasi baru daripada salasilah keluarga tokoh-tokoh yang dilabelkan sebagai radikal dan kiri pada hari ini, tidak akan mengiktiraf kemerdekaan yang disambut disebabkan penafian peranan datuk-datuk mereka dalam memerdekakan Tanah Melayu dalam penulisan sejarah tanah air.

Justeru, selagi mana fakta sejarah sebenar dirahsiakan dengan menonjolkan pejuang-pejuang kemerdekaan secara selektif; dengan menyatakan perjuangan menuntut kemerdekaan hanyalah dipelopori oleh pertubuhan moderat Melayu iaitu Umno, lantas menafikan peranan para pemimpin dan pertubuhan lain, maka selagi itulah semangat meraikan kemerdekaan secara bersama tidak akan tercapai.

Penekunan dan penelitian kembali fakta-fakta sejarah dahulu dapat memberikan kefahaman yang mendalam pada kita untuk memahami keadaan sosio-politik hari ini. Yang terdahulu melahirkan yang terkini dan yang terkini akan menimbulkan yang akan datang.

Dalam perjuangan menentang penjajahan demi memerdekakan Tanah Melayu, kedapatan juga dua tradisi yang sama, iaitu: tradisi kerjasama serta kompromi dengan penjajah dan tradisi perlawanan serta penentangan terhadap penjajah. Penilaian dan justifikasi kita mungkin berbeza terhadap kedua-dua tradisi ini. Namun, adalah perlu untuk kita memberi pengiktirafan yang seimbang kepada tokoh-tokoh dan parti-parti penting dari kedua-dua tradisi ini.

Penutup & Kesimpulan

Adalah jelas bahawasanya sejarah perjuangan kemerdekaan pada hari ini tidak benar-benar mengungkapkan fakta pensejarahan yang tepat. Banyak fakta yang diselindung dan diseleweng khususnya bila melibatkan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang tidak sealiran prinsip perjuangannya dengan Umno dan Perikatan.

Seharusnya, kita memandang berat dan menghormati pandangan Tun Dr. Ismail, dengan mengikuti nasihatnya iaitu sebagaimana yang diungkapkan pada tahun 1972 : "sumbangan semua golongan, termasuk golongan kiri' mesti dihormati.' (Dr S.Husin Ali-'Hormati semua pejuang kemerdekaan') Sungguhpun beliau tidak menyebut satu-persatu golongan tersebut, maksudnya agak jelas.

Tiada siapa yang menafikan peranan Tunku dan Umno untuk akhirnya mendapatkan kemerdekaan dari kerajaan Inggeris menerusi perundingan. Tetapi sebaliknya, ia salah jika kita tidak mengiktiraf sama sekali peranan dan sumbangan oleh golongan-golongan lain, termasuk golongan ulama, bangsawan tradisional dan tokoh serta pertubuhan 'kiri' yang disebut tadi.

Pensejarahan semula perjuangan kemerdekaan Negara ini amat penting demi menjamin keadilan dan kebenaran fakta sejarah kemerdekaan keseluruhannya. Ini kerana kita tidak mahu "The victor writes history, the loser writes poetry" (Yang juara menulis sejarah, yang kalah menulis sajak)

Sunday, August 29, 2010

Sambutan Merdeka Bersama GMUKM


Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) selari dengan objektif asal penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang antara dasarnya menekankan falsafah UKM dengan berbesar hati ini mengajak teman-teman mahasiswa bersama-sama Gabungan Mahasiswa menyambut Hari Kebangsaan atau lebih dikenali Hari Merdeka.

Program ini bakal berlangsung sekitar UKM dengan pelbagai aktiviti yang telah diaturkan. Antaranya konvoi Gabungan Mahasiswa sekitar UKM, pengedaran bendera Malaysia dan Ucapan Merdeka daripada wakil-wakil 'front' Gabungan Mahasiswa.

Kami di peringkat Gabungan Mahasiswa dengan ini berbesar hati menjemput teman-teman mahasiswa bersama kami menyambut hari yang penuh bermakna ini. Selamat Hari Merdeka!


Ber-GM Lebih Baik!

Thursday, August 26, 2010

Parti politik dibenar masuk UKM ?



1 Azam Wanita - 1Malaysia. Itulah tema program 'Hari Wanita' peringkat kebangsaan yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Bumi UKM ini telah diwarnai dengan warna ungu sesuai dengan falsafah warna ungu yang lembut tetapi berani.

Program rasmi peringkat kebangsaan ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Program yang dianjurkan seharian suntuk melibatkan seminar pembentangan  kertas kerja khusus mengenai isu-isu wanita kontemporari. Penutup program ini adalah majlis berbuka puasa dan solat tarawih bersama pemimpin nombor satu Malaysia kita.




Kami di pihak Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) amat mengalu-alukan penganjuran program rasmi sebegini di dalam UKM. Selain mahasiswa UKM dapat berjumpa dengan pemimpin tertinggi negara, kami peringkat urusetia juga dapat mempelari kaedah pengurusan majlis rasmi yang berprotokol. Namun dalam pada itu, ada sesuatu perkara yang mungkin terlepas pandang di peringkat pengurusan majlis. Gabungan Mahasiswa mendapati terdapat unsur-unsur politik luar yang ingin dibawa masuk ke dalam majlis rasmi negara.

Adakah UMNO merupakan jabatan kerajaan ?

Apakah yang dimaksudkan dengan 'Exco Wanita' ?

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia dengan ini mengambil ketetapan untuk memohon penjelasan daripada pihak tertinggi Universiti dan pengurusan majlis ini;

> Apakah benar parti politik dibenarkan masuk ke dalam kampus universiti ?

> Apakah pihak universiti akan membenarkan parti politik samada daripada UMNO, MCA, MIC, PKR, PAS, DAP dan lain-lain untuk masuk ke UKM selepas ini ?

Kami di peringkat Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) dengan ini menyeru pihak pentadbiran universiti untuk mengkaji kembali polisi-polisi yang telah ditetapkan. Juga dipohon rujuk kembali pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan saban tahun yang melarang MANA-MANA parti politik untuk menggunakan kemudahan universiti atau mana-mana tempat di universiti.

Kami di peringkat Gabungan Mahasiswa juga menuntut profesionalisme pentadbiran UKM supaya tidak membenarkan unsur-unsur politik luar untuk masuk ke dalam kampus. Kampus ini sudah ada para pemimpin yang diundi di kalangan kami mahasiswa UKM. Kami melihat tiada keperluan untuk unsur-unsur politik luar itu untuk masuk atas sebarang alasan sekalipun. Kami juga selaku 'front' yang mewakili mahasiswa UKM juga menyeru pihak UKM profesional dalam membezakan antara pemerintah dan parti politik. Memang pemimpin mewakili parti politik, tetapi parti politik sama sekali TIDAK mewakili pemimpin. Dan sememangnya corak politik tersebut tidak diamalkan di UKM ; di mana setiap calon BUKAN berasal daripada MANA-MANA kelab atau persatuan pelajar.

Justeru kami selaku 'front' mahasiswa dengan tegas menuntut penjelasan daripada pihak pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tuesday, August 24, 2010

Salam takziah


Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) selaku 'front' yang mewakili mahasiswa UKM dengan dukacitanya dengan ini menzahirkan salam takziah di atas kejadian yang berlaku awal pagi tadi di Kolej Pendeta Za'ba. 

Peristiwa yang menggemparkan ini telah meragut nyawa seorang pelajar tahun satu yang dipercayai berbangsa Cina yang berasal dari utara Malaysia. 

Gabungan Mahasiswa akan mendapatkan maklumat terkini berkenaan peristiwa tragis ini dalam sedikit masa lagi.

Selamat Hari Wanita

AKSIS mengucapkan selamat hari wanita kepada semua yang bergelar wanita. Hari Wanita Kebangsaan bagi negara kita yang jatuh pada tarikh 25 Ogos pada setiap tahun sebenarnya telah mula diperkenalkan oleh Tun Tan Sri Dr. Fatimah Hashim yang merupakan bekas Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO.Beliau yang juga merupakan Wanita Pertama Malaysia yang dilantik menjadi Menteri Kabinet Malaysia (20 Mei 1969 – 28 Februari 1973 ) telah memulakan perayaan Hari Wanita Kebangsaan pada tahun 1962 dan ianya berlanjutan sehinggalah ke hari ini.

Pada tahun ini, genap 48 tahun sambutan ini diraikan di negara kita. Peranan dan fungsi kaum wanita dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara sememangnya tidak dapat dinafikan. Peranan dan fungsi cergas wanita ini telahpun bermula sejak sejarah awal Tanah Melayu, hatta ketika negara kita berada dalam cengkaman penjajah, era perjuangan menuntut kemerdekaan, era membangunkan ekonomi negara dan sehinggalah sekarang dalam zaman teknokrat, langit terbuka dan dunia tanpa sempadan. AKSIS menyokong penuh segala usaha yang dilakukan untuk memberi peluang kepada wanita di negara ini menunjukkan kebolehan mereka yang sebenar. AKSIS juga ingin menyeru mahasiswi sekalian agar berani tampil ke hadapan dan serlahkan potensi sebenar anda. Dalam masa yang sama AKSIS juga ingin menyeru rakan-rakan mahasiswi sekalian agar tetap teguh berpegang dengan nilai-nilai murni supaya mahasiswi yang ada di institute-institut pengajian tinggi di negara kita mampu melahirkan golongan intelektual yang cemerlang dari segala segi,baik gerak kerja mahupun sahsiah.

Mutakhir ini, golongan mahasiswi seringkali dihujani dengan masalah-masalah sosial yang kini kian membarah di dalam masyarakat. Kes buang bayi, pergaulan bebas mahupun kes-kes keruntuhan akhlak di kalangan golongan intelektual kian menjadi paparan dada-dada akhbar harian. Oleh itu, AKSIS amat berharap, sambutan hari wanita kebangsaan ini dapat membawa satu transformasi positif kepada wanita-wanita di negara ini. Wanita bukan lagi dijadikan bahan-bahan komersial mahupun symbol dagangan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.Hakikatnya, AKSIS mahukan satu perubahan dalam negara kita. Perubahan yang menjamin keselamatan kita, anak-anak kita dan ahli keluarga serta anggota masyarakat kita. Tidak ada ertinya menyambut Hari Wanita Kebangsaan setiap tahun jika segala titik bengit ini tidak mampu diperbetulkan seperti kata pepatah melayu, Kita tidak mahu menerima madu di tangan kanan dan pada masa yang sama diberikan racun pada tangan kiri!

Isu HX / HE terus menimbulkan persoalan

Isu HX/HE terus menjadi perbualan hangat di kalangan masyarakat kampus UKM yang prihatin. Tinjauan Gabungan Mahasiswa di dalam laman sosial, Facebook selepas artikel Mahasiswa tuntut penjelasan isu HE / HX diterbitkan mendapati isu HX/HE ini nyata mengundang perasaan kurang senang di kalangan pelajar senior UKM. Antara hujah yang dikeluarkan adalah sistem ko-kurikulum terbaru ini adalah pindaan kali ketiga dalam tempoh lima tahun iaitu ambilan 2006/2007. 

Sebagai makluman melalui tinjauan Gabungan Mahasiswa terhadap mahasiswa tahun akhir, jumlah kredit subjek ko-kurikulum bagi ambilan 2007/2008 adalah sekadar dua (2) unit untuk dua semester. Seterusnya pada ambilan mahasiswa tahun 2008/2009 jumlah kredit subjek ko-kurikulum telah ditambah menjadi lapan (8) kredit ; 3-3-2 untuk sistem subjek ko-kurikulum tiga semester tetapi subjek yang ditawarkan masih meliputi kebudayaan, seni mempertahankan diri, badan beruniform, pengurusan persatuan dan lain-lain. 

Bagaimanapun sistem kredit 3-3-2 walaupun masih diamalkan pada ambilan kali ini; 2010/2011 tetapi tertakluk kepada kursus-kursus tertentu sahaja. Malahan silibus kursus kali ini masih tidak jelas dan menimbulkan keraguan kepada mahasiswa; adakah sistem ko-kurikulum ini masih dalam pembikinan tetapi sudah dilancarkan untuk menutup isu SPKG yang menjadi kontroversi tahun lalu ?

Juga menjadi persoalan terhangat di peringkat Gabungan Mahasiswa, adakah sistem ko-kurikulum yang baru ini telah dibawa ke dalam mesyuarat tertinggi UKM dan telah mendapat kelulusan di peringkat pihak atasan ?

Soalan ini dipulangkan untuk difikirkan bersama.



Ber-GM Lebih Baik!

Monday, August 23, 2010

Selamat Hari Ulang Tahun buat GMUKM

Bangi- Tanggal 22 Ogos 2005 merupakan tarikh keramat tertubuhnya Gabungan Mahasiswa UKM. MAMPU (Membina Mahasiswa Penggerak Ummah) yang bergerak sendirian pada zaman sebelumnya mengambil inisiatif dengan mengadakan perbincangan bersama pimpinan tertinggi kumpulan gerakan mahasiswa kampus pada waktu itu dan akhirnya menggagaskan penubuhan GMUKM.

Antara front yang terlibat pada ketika itu ialah MAMPU (Membina Mahasiswa Penggerak Ummah), GMM (Gerakan Mahasiswa Maju), Malaysia Youth Democratic Movement (DEMA), JKMI (Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa/i), Pertubuhan Mahasiswa Sosialis UKM, GMLN (Gerakan Mahasiswa Lantang Negara), GAPIM (Gerakan Pelajar Intelek Malaysia), Solidariti Hak Asasi Mahasiswa UKM, Pertubuhan Mahasiswa Profesional Perubatan & Kesihatan UKM (Pro-PKUKM), KARISMA (Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Sempena ulangtahun GMUKM, MPP Mahasiswa menyeru kepada seluruh mahasiswa kampus agar bersama-sama dengan GMUKM dalam usaha untuk memperjuangkan 3 dasar utama iaitu Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kebajikan semua mahasiswa/i tanpa mengira batasan agama dan kaum, nilai Keintelektualan dan keilmuan.

MPP Faiz yang ditemui berkata, perjuangan mahasiswa masih belum berakhir. Mahasiswa perlu terus berperanan untuk menambahbaik universiti.

"UKM dilihat menuju ke arah masa depan yang gemilang,namun tanpa kita sedari ada banyak perkara yang berlaku di sekitar kampus bertentangan dengan matlamat asal penubuhan UKM. Jadi, saya harap mahasiswa tidak sekadar 'kunci mulut' kerana itu yang 'mereka' mahukan. Kita mesti berani, jangan sempitkan skop ilmu",katanya.

"Jangan mudah tunduk dengan tekanan. Jadi mahasiswa yang betul-betul independen. Fahami dasar perjuangan dan teruskan gerakan perubahan. Saya rasa dah tiba masa untuk mahasiswa UKM berubah, beri ruang kepada GMUKM untuk memerintah. Kita bukan sempurna tapi kita akan cuba yang terbaik",kata MPP Syafiq.

Beliau berharap agar GMUKM terus mara ke hadapan memimpin mahasiswa mengikut acuan kebenaran dan keadilan.

Sunday, August 22, 2010

Mahasiswa tuntut penjelasan isu HE / HX



Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) menerima banyak keluhan daripada mahasiswa UKM berkenaan sistem ko-kurikulum baru yang masih tidak dijelaskan secara terperinci dan samar-samar lagi. Antara aduan yang banyak diterima adalah daripada mahasiswa tahun 2 yang berada di tengah-tengah Sistem Penilaian Kompetensi Generik  dan sistem ko-kurikulum baru yang masih tidak diberi nama.

Namun dalam hal ini, para mahasiswa tahun satu lebih merasai keperitannya apabila sehingga kini sudah masuk minggu ke-5 perjalanan ko-kurikulum, pihak PPP yang mengurus sistem ko-kurikulum masih gagal mempamerkan sukatan pelajaran bagi pelajaran setiap minggu.

Dan lebih memeranjatkan Gabungan Mahasiswa apabila diberitakan seorang YDP Jaksa sebuah kolej yang terkenal dengan kontroversi pernah terpaksa menyelongkar laci pejabat pegawai atasan PPP demi mengetahui apakah perancangan perjalanan ko-kurikulum secara keseluruhannya. YDP Jaksa memaklumkan  bahawa beliau tidak berniat lain kecuali bertujuan mengambil tahu apakah perancangan dan hala tuju sebenar sistem ko-kurikulum yang baru ini. 

" Jika sistem kokurikulum pada tahun 2008 dipinda dengan alasan menambahbaik dan mengemaskini sistem kokurikulum ketika itu, yang memang banyak pihak komen, apa pula rasionalnya sistem ko-k (kokurikulum) pada tahun lepas dipinda sekali lagi sedangkan banyak pihak (ber)puas hati ? " ujar YDP Jaksa tersebut yang enggan dikenali.

" Kami di peringkat bawahan ini selalu diberi notis 'last minute' tentang tajuk yang (bakal) dijalankan pada hari ko-k (Sabtu). Setakat sekarang, boleh dikatakan setiap minggu kami (akan) dapat tajuk pada hari Jumaat."

" Dr Kadderi perlu faham bahawa kami juga manusia biasa. Kalau selalu begini, kami tak dapat buat persiapan. (Jadi kalau begini) bagaimana kita nak bentuk perjalanan (sistem) ko-k yang baik? " soal beliau lagi.

Gabungan Mahasiswa melihat isu ini amat serius dan perlu diberi penerangan yang lebih terperinci lagi. Maklum balas daripada mahasiswa yang telah mendengar taklimat pada minggu lalu juga amat kurang memberangsangkan. Mereka mengadu taklimat yang diberikan seolah-olah melepaskan batuk di tangga. Segala persoalan yang dikemukakan seolah-olah diperlekehkan dan enggan dijawab dengan baik.

Justeru kami Gabungan Mahasiswa dengan 'frontliner' daripada  MAMPU, KAMI, GMLN, AKSIS dan 'front' lain-lain lagi yang mewakili suara mahasiswa yang kini tertindas dan kebingungan menyeru kepada pentadbiran Pusat Perkembangan Pelajar (PPP) khususnya kepada PM Dr Kadderi Md Desa untuk turun padang menjelaskan isu HE / HX ini sejelas-jelasnya dan tidak berdolak-dalih dalam isu ini. Gabungan Mahasiswa optimis isu ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik melalui siri-siri taklimat penerangan yang bukan sekadar kepada mahasiswa tahun satu dan dua, tetapi terbuka kepada semua mahasiswa UKM.

Gabungan Mahasiswa juga memberi kata dua kepada pentadbiran PPP supaya tidak 'saling menendang bola' dalam mencari pihak yang bertanggungjawab dalam kekacauan isu HE/HX ini. Gabungan Mahasiswa percaya pihak pentadbiran khususnya PM Dr Kadderi bijak menangani isu ini dan tidak bisa menunggu mahasiswa UKM bangkit menyatakan isu ini di jalanan kerana ini bakal mendatangkan malu kepada pihak Dr Kadderi sendiri.

Dalam pada itu Gabungan Mahasiswa mengharapkan secebis lagi kesabaran daripada teman-teman mahasiswa kerana kita melalui MPP Mahasiswa yang dipilih teman-teman akan berusaha akan cuba mengikut prosedur dalam mendapatkan penjelasan berkenaan isu ini. Walaupun kaedah ini penuh  birokrasi, namun  Gabungan Mahasiswa optimis isu ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik melalui prosedur yang ada; walaupun kini sudah ramai pihak luar menyatakan kesanggupan membantu kita  termasuk melalui cara guaman dan tindakan undang-undang. 

SUARA MAHASISWA SUARA KERAMAT.

Ber-GM Lebih Baik !

Falsafah UKM bukti perjuangan mahasiswa relevan

Sewaktu penubuhan Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) pada tahun 1970-an, mahasiswa masih teraba-raba mencari identiti untuk dijadikan dasar perjuangan dan kepimpinan kampus serta masyarakat luar kampus. Berbagai-bagai ideologi dan pemikiran liar menghantui mahasiswa dan menujah masuk dari semua sudut yang ada. Mahasiswa ketika itu terpaksa berhadapan dengan gejala kuning barat, fahaman liberal, atheisme, dan tidak berpegang kepada agama secara syumul. Kesemua ini membuatkan kehidupan mahasiswa bertambah keliru.

Dalam kekeliruan inilah mahasiswa ketika itu berani menongkah arus bangkit mencari prinsip-prinsip hidup yang fitrah dan lebih sempurna. Akhirnya senada dan sebulat suara majoriti mahasiswa ketika itu memilih asas pembentukan PMUKM adalah berdasarkan asas-asas ajaran Al-Quran, As-Sunnah dan nilai-nilai sejagat.

Ini dibuktikan di dalam ucapan YDP PMUKM pertama bagi sesi 1971/72 , saudara Ramli Hj Ibrahim yang dipetik berkata, "..sejak dari mula lagi PMUKM telah meletakkan dasar-dasar Islam sebagai landasan perjuangannya. Penegasan dasar-dasar keIslaman ini merupakan satu peristiwa penting di dalam perjuangan mahasiswa dewasa ini..."

Masyarakat kampus bukan Islam ketika itu juga dilihat memahami kebenaran ajaran Islam apabila ajaran tersebut diamalkan secara syumul dalam pentadbiran PMUKM ketika itu. Sementara itu mereka juga merasakan penting untuk memperjuangkan masalah-masalah budaya dan agama mereka di dalam kampus dalam kerangka perbincangan di peringkat PMUKM. Suasana harmoni jelas kelihatan ketika itu hasil betapa kuatnya prinsip-prinsip yang dipegang kepimpinan PMUKM yang akhirnya berjaya menyatupadukan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang.

Kekuatan prinsip-prinsip kepimpinan PMUKM yang dipegang oleh mahasiswa berjiwa pejuang isu mahasiswa ketika langsung tidak mengganggu urusan pentadbiran malahan dilihat banyak membantu pihak pentadbiran universiti ketika itu. Mahasiswa melalui PMUKM ketika itu diberi peluang seluas mungkin malah sering diajak berbincang dalam membincangkan beberapa isu-isu mahasiswa selaku pelanggan bagi pihak pentadbiran UKM.

Kekuatan dan keteguhan prinsip-prinsip kepimpinan PMUKM ketika itu menarik minat pentadbiran universiti. Dari detik-detik inilah tergambar corak falsafah UKM. Malah direkodkan pada tahun 1978 pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kelihatan turut mendokong prinsip-prinsip yang agak selari dengan idealisme mahasiswa ketika itu dengan menjadikannya sebagai intisari Falsafah Universiti yang kekal sehingga sekarang iaitu paduan ILMU,IMAN dan AMAL.

Justeru Gabungan Mahasiswa menyeru seluruh mahasiswa kembali menghayati Falsafah UKM yang menekankan tiga prinsip utama ini. Dengan konsep ILMU yang sentiasa membawa kepada kebenaran, sambil disaluti konsep IMAN yang mengandungi unsur-unsur ketaqwaan, tawakkal dan keyakinan kepada Pencipta; dan akhirnya dipraktikkan dengan konsep AMAL menuntut seluruh mahasiswa menterjemahkan kebenaran ilmu itu dengan berjuang menentang kebatilan dengan berbekalkan ilmu yang benar-benar sahih.




RUJUKAN :
1. Mohd Shuhaimi Al-Maniri (1995), Di Sebalik Tabir Politik Kampus, Pustaka Generasi Baru, Bandar Baru Bangi 
2. Shaharir Mohamad Zain (1994), Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia, Tafsiran dan Penghayatan, Penerbit UKM, Bangi

Friday, August 20, 2010

Di Sebalik Falsafah UKM

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysisa (GMUKM) berkesempatan merujuk informasi di Laman Web Rasmi UKM berkenaan apa yang dimaksudkan dengan Falsafah UKM. Di situ,  Falsafah UKM ada menyebut dan menekankan "Paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti."


Panduan perlaksanaan aspek-aspek utama yang terkandung dalam Falsafah UKM perlu diperjelaskan dengan sebenar-benarnya kepada semua warga kampus UKM supaya kita selaku warga Universiti tidak mudah diperbodoh dengan sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Di sini, Gabungan Mahasiswa berusaha menjejak sejarah dan penafsiran yang paling tepat berkenaan Falsafah UKM dan mendapati huraian paling tepat berjaya dilakukan oleh Profesor Dr. Shaharir Mohammad Zain yang merupakan bekas Timbalan Naib Canselor (HEA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sendiri yang menerbitkan sebuah buku bertajuk, "Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia, Tafsiran dan Penghayatan" yang diterbitkan Penerbit UKM pada tahun 1994.

KONSEP ILMU : perlu mempunyai tiga (3) perkara utama iaitu; 
- ILMU sentiasa bersifat mengembang
- INTEGRASI ilmu yang berbagai-bagai disiplin
- ILMU sentiasa membawa kebenaran

KONSEP IMAN : harus mengandungi unsur-unsur taqwa, tawakal dan keyakinan yang padu terhadap Allah Tuhan Semesta Alam. (Mengikut Amriah binti Buang (1994), perkataan 'Allah' perlu diletakkan untuk mengelakkan makna-makna Tuhan yang tidak dikehendaki seperti athiesme, materialisme, entiti Tuhan yang kabur dll)

KONSEP AMAL : perlu dibersihkan daripada penumpuan unsur-unsur hiburan semata-mata. Amal yang terkandung dalam Falsafah Universiti adalah berteraskan aqidah yang tulen. Ungkapan 'gabungan teori dan amal' membuktikan mahasiswa bukan sahaja perlu perlu menuntut ilmu yang benar dan sahih tetapi mahasiswa perlu menterjemahkan kebenaran ilmu itu dengan berjuang menentang kebatilan dengan berbekalkan ilmu yang benar. 

Nota : 
Gabungan Mahasiswa menyokong penuh penafsiran Prof Dr Shaharir yang jelas dan tepat  merujuk kepada Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia. Dukacita mahasiswa hari ini semakin terpesong daripada konsep asal penubuhan UKM yang jelas diterjemahkan melalui Falsafah UKM ini. Justeru Gabungan Mahasiswa mengajak rakan-rakan mahasiswa supaya menghayati Falsafah UKM ini dan mampu menghadaminya seterusnya menterjemahkan dalam pengamalan dan praktikaliti sehari-hari di bumi UKM ini.

* Prof Dr Shaharir kini merupakan professor matematik di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).


Ber-GM Lebih Baik!

Thursday, August 19, 2010

Hari Ungu Kembali


'Hari Ungu' anjuran Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) kembali menjadi fenomena di bumi UKM hari ini. Sempena bulan Ramadhan sebagai bulan umat Islam berpuasa, Gabungan Mahasiswa meraikan bersama para mahasiswa dengan aktiviti mengedarkan kurma dan Taqwim solat bulan Ramadhan di kolej-kolej kediaman dan kawasan persekitaran.



Aktiviti bermula dengan semua aktivis Gabungan Mahasiswa yang terdiri daripada MAMPU, KAMI dan AKSIS berkumpul untuk mendengar taklimat operasi daripada Pengerusi Gabungan Mahasiswa, saudara Hafiz Abdul Razak.Seusai taklimat, ahli Gabungan Mahasiswa menuju tempat-tempat yang ditetapkan.




'Gelombang Ungu' juga turut dirasai di Kolej Pendeta Za'ba apabila aktivis AKSIS dan MAMPU turut mengedarkan kurma dan Taqwim solat kepada para penghuni kolej berkenaan.










Taqwim solat bulan Ramadhan yang diedarkan.

Aktiviti 'Gelombang Ungu' ini berakhir pada pukul 6.30 petang. Kepada semua mahasiswa UKM, kami di Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) mengucapkan selamat berpuasa dan semoga mampu menjadikan bulan Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan-Ramadhan yang lalu.



Ber-GM Lebih Baik!

Syabas YBhg NC!


Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan semula YBhg. Prof. Tan Sri Dato Dr Sharifah Hapsah binti Syed Hassan Shahabuddin selaku Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia yang disambung kontrak sehingga 27 Ogos 2012.

Di peringkat Gabungan Mahasiswa, kita mengharapkan pelantikan walau sesiapa pun sebagai Naib Canselor akan membawa universiti yang menjadi tempat kita bernaung menuntut ilmu memacu ke arah lebih dinamik dan terkehadapan dalam membina jati diri mahasiswa selari dengan Motto UKM , ' Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan'.

Gabungan Mahasiswa juga optimis dengan pelantikan YBhg NC membawa pelbagai lagi agenda yang dapat menjadikan universiti sebagai universiti sebenar, bukan universiti sekadar nama di atas kertas akibat sistem pentadbiran yang tidak sistematik atau kucar-kacir. Gabungan Mahasiswa juga optimis YBhg akan mendengar keluhan para mahasiswa dan mampu mengatasi sebarang karenah birokrasi yang samada sengaja atau tidak sengaja yang wujud dalam sistem pentadbiran universiti.

Akhir kalam, kami di peringkat Gabungan Mahasiswa mengucapkan syabas dan tahniah kepada YBhg NC dan mendoakan YBhg NC lebih dinamis dalam mentadbir universiti tempat kami menuntut ilmu.

Ber-GM Lebih Baik!

Friday, August 13, 2010

'Hentikan campurtangan politik di universiti'

Syarahan perdana dan tayangan Student Power oleh seorang aktivis sosial, Fahmi Reza telah mendapat perhatian umum di kalangan anak muda dan mahasiswa di Malaysia, kata Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

Beberapa siri syarahan telah dijalankan secara terbuka di luar kampus khusus di Lembah Klang, kata presidennya Hilman Idham.

Menurutnya, pihak penganjur juga telah menambah inisiatif untuk menjalankan syarahan perdana ini di dalam kampus.

"Namun, percubaan untuk menganjurkannya di dalam kampus itu telah digagalkan apabila program itu diarah dibatal serta-merta - minggu lepas di UiTM Kampus Puncak Perdana dan semalam di kampus Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

"KAMI melahirkan rasa kecewa dengan pentadbiran universiti yang membatalkan program syarahan itu tanpa sebab yang munasabah.

"KAMI juga mengecam sekeras-kerasnya campurtangan politik yang tidak mahu program sebegini terus berlangsung," tegasnya.

Bagi KAMI, tambahnya, pihak universiti seharusnya lebih bersikap terbuka dalam membuat keputusan dan mengabaikan sebarang tekanan politik yang diberikan khususnya daripada Kementerian Pengajian Tinggi sendiri.

"KAMI menolak sebarang campurtangan politik dalam universiti atas kesedaran bahawa autonomi universiti itu harus diserahkan kembali kepada mahasiswa.

"Masalah yang terbesar dengan sistem pengajian tinggi di Malaysia ialah apabila segala keputusan dan tindakan yang akan diambil itu adalah tindakan dan keputusan politik.

"Keputusan ini akhirnya adalah di tangan naib canselor yang dilantik langsung oleh Menteri Pengajian Tinggi atas dasar lantikan politik.

"Maka keputusan yang dibuat oleh Naib Canselor dan pentadbirannya juga adalah keputusan politik. Ini adalah masalah yang terbesar bagi IPTA di Malaysia," tambahnya.

Ata
s kesedaran itu, katanya, KAMI berpendirian bahawa:

1. Pihak Naib Canselor dan pentadbiran universiti harus lebih terbuka dan demokratik dalam membuat keputusan;

2. Mengecam keras sebarang campurtangan politik dalam keputusan yang diambil oleh universiti; dan

3. Mendesak agar universiti membenarkan penganjuran program syarahan perdana Student Power.



SUMBER : MalaysiaKini

Larangan politik: Pelajar cadang anjur forum terbuka

Sekumpulan mahasiswa bercadang untuk mengadakan forum terbuka bagi membahaskan keputusan kerajaan melarang mahasiswa terlibat dalam politik kepartian.

Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia, Mohd Ridhuan Othman berkata pihaknya bercadang menganjurkan forum tersebut sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadual pada 27 Ogos ini.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, beliau berkata, pihaknya akan menjemput wakil kerajaan, parti pembangkang, ahli akademik dan mahasiswa bagi membahaskan perkara tersebut.

Mohd Ridhuan yang juga graduan pelajar Universiti Malaya (UM) mengulas mengenai keputusan kabinet kelmarin yang melarang mahasiswa terlibat dalam politik kepartian.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata seksyen 15, AUKU yang dipinda baru-baru ini, sudah memadai dalam konteks membenarkan mahasiswa mengambil bahagian dalam politik kepartian selepas mendapat kebenaran naib canselor.

Turut hadir dalam sidang media itu antaranya jurucakap Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) Ahmad Shukri Kamarudin, Pengerusi Pro Mahasiswa Malaysia (Pro-M) Mohd Shafie Hashim dan Presiden Kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma), Abdullah Omar Muhammad Fuad.

Ketika dihubungi Malaysiakini kemudiannya, Mohd Ridhuan berkata pihaknya akan bermesyuarat hujung minggu ini bersama wakil persatuan mahasiswa lain untuk menetapkan tarikh, tempat serta aturcara forum tersebut.
'Kami ada otak'

"Hasil forum itu nanti akan dimasukan dalam memorandum untuk diserahkan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga anggota MT untuk dibincangkan mesyuarat tersebut," katanya.

M
ereka juga bercadang untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada PKR dan PAS supaya dapat dibincangkan di peringkat parti masing-masing.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama juga, Ahmad Syukri berkata beliau "muak" dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamed Khaled yang melarang mahasiswa supaya tidak terlibat dengan politik.

"Mahasiswa tidak bodoh, kami ada otak. Kami sudah muak dengan dogma tidak membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik," katanya.

Beliau juga menempelak kerajaan yang didakwanya bersikap dwi-standard kerana membenarkan penubuhan kelab Umno di luar negara tetapi tidak membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik di dalam negara
SUMBER : MalaysiaKini

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !