Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Tuesday, August 11, 2009

38 Maut H1N1 : Dijangka 5,500 hingga 28,000 rakyat Malaysia akan hadapi perkara yang sama



Jumlah kematian akibat selesema A (H1N1) di negara ini telah meningkat kepada 38 orang apabila enam lagi kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam hari ini.

Jumlah keseluruhan naik mendadak kepada 2,253 kes apabila 270 kes baru - rekod tertinggi dalam satu hari - dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Semalam enam kematian, sementara kelmarin lapan kematian dilaporkan - termasuk kes-kes yang baru disahkan dan belum dilaporkan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini menganggarkan 5,500 hingga 28,000 rakyat Malaysia akan mati dalam wabak selesema itu jika 20 peratus daripada 27.7 juta penduduk negara ini dijangkiti virus A (H1N1).

Unjuran ini dengan mengambil kira andaian kadar kematian antara 0.1 hingga 0.5 peratus daripada 5.5 juta orang yang dijangkiti, kata pengarah penyakit berjangkit WHO Dr Tee Ah Sian hujung bulan lalu.

GMUKM menyokong langkah kerajaan untuk melancarkan satu kempen besar-besaran minggu ini bagi menyedarkan orang ramai tentang bahaya penyakit selesema A (H1N1) ini. Menurut Perdana Menteri, langkah yang paling berkesan ialah melalui proses mendidik orang ramai iaitu memberikan panduan kepada rakyat Malaysia," katanya selepas melancarkan bangunan baru Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur semalam.

Dalam pada itu, GMUKM turut melahirkan sokongan desakan Naib Presiden PAS agar satu persidangan khas Parlimen diadakan bagi membincangkan wabak tersebut yang disifatkannya "ancaman kepada keselamatan negara".

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi bahawa kertas putih mengenai pelan tindakan menangani jangkitan penyakit itu perlu dibentangkan di Parlimen dan penubuhan jawatankuasa keselamatan Negara perlu diwujudkan dengan segera agar langkah-langkah pencegahan yang lebih serius dapat diambil.

Mahfuz yang dipetik BERNAMA turut menggesa pihak kerajaan mengambil langkah ketat seperti Mexico di mana seseorang yang dijangkiti penyakit itu dikuarantinkan dengan ketat dan ia telah berjaya mengawal situasi ini daripada menjadi lebih teruk.

GMUKM menyokong saranan kedua-dua pihak dan mereka perlu berbincang bagi mengatasi masalah yang melibatkan rakyat ini. Ketepikan ideologi politik kerana wabak ini tidak menyerang penyokong BN semata-mata, tetapi turut menyerang penyokong PR juga.




Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan Diumumkan Sasterawan Negara ke-10

Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan atau nama penanya Anwar Ridhwan telah diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-10 di Putrajaya tengah hari tadi.

Beliau yang merupakan salah seorang penulis novel terkenal di Negara ini menerima hadiah wang tunai RM60,000 atas anugerah tersebut. Sebelum ini, anugerah yang sama turut diberikan kepada Kamaludin Muhammad (Keris Mas)(1981), Shahnon Ahmad (1982),Datuk Dr. Usman Awang (1983), Datuk A. Samad Said (1986), Muhamad Abdul Biang (Arena Wati) (1988), Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh (1991), Datuk Noordin Hassan (1993), Datuk Abdullah Hussein (1996) dan S Othman Kelantan (2003).

Anwar Ridhwan telah dilahirkan pada 5 Ogos 1949 dalam keluarga petani yang berasal dari Perak tetapi kemudiannya menetap di Sungai Besar, Selangor. Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Sastera (1973)dari Universiti Malaya, kemudiannya memperolehi ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D)(1998) yang kesemuanya juga dari Universiti Malaya.

Bekas pengarah penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu yang terkenal dengan novel Naratif Ogonshoto – satira politik yang mengecam kerakusan orang berkuasa dan memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul "Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto" turut diterbitkan dalam bahasa Rusia (penterjemah Victor Pogadaev) pada tahun 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia).

Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada 2000 melalui novelnya itu turut terkenal dengan novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Arus. Antara cerpen karyanya yang lain ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976)dan Dari Kiev ke Moskova (1992).

Sebagai budayawan yang kritis dan mengolah isu kuasa dalam karyanya, Dr Anwar turut lantang mempertikaikan dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bersama-sama dengan sasterawan Negara yang lain.
GMUKM mengucapkan syabas kepada beliau dan berharap agar bidang kesusasteraan Melayu terus dimartabatkan di negara ini seiring dengan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini.



tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !