Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Saturday, August 29, 2009

Selamat Menyambut Kemerdekaan Kali Ke 52. Bebaskan Mahasiswa Daripada Penjajahan : Pengerusi GMUKM



Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan satu detik bersejarah yang telah dicatatkan di dalam buku sejarah negara kita yang bernama Malaysia ini, dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu.

Angka 31081957 telah menjadi angka keramat bagi rakyat Malaysia. Pada detik dan ketika itulah, rakyat Malaysia menyambut hari kemenangan dengan pengembalian kuasa pemerintahan negara kepada rakyat yang berbilang kaum ini.

Apakah erti merdeka? Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga menyatakan bahawa merdeka bermaksud " (merdéka) bebas (drpd penjajahan, kurungan, naungan, dll), lepas (drpd tebusan, tuntutan), berdiri sendiri, tidak bergantung pd yg lain: Malaysia ialah sebuah negara yg ~ dan berdaulat; besok ia jadi seorang awam yg ~ dan tidak lagi menjadi perajurit".Maksudnya di sini jelas bahawa merdeka erti bebas daripada kongkongan mana-mana pihak terutamanya daripada penjajah sama ada berbentuk fizikal mahupun rohaniah. Tetapi jangan salah tafsirkan istilah "Kita Bebas Melakukan Apa sahaja" dengan melakukan perbuatan seperti menfitnah, mengugut, menipu dan bermacam-macam lagi perkara yang membelakangkan undang-undang dan agama.

Juga bukan bermakna kita bebas menyambutnya dengan hiburan mahupun konsert ambang meredeka yang jelas lari daripada roh kemerdekaan dan ia juga bukanlah satu daripada sambutan Merdeka yang disambut oleh nenek moyang kita sewaktu ambang merdeka 31 Ogos 1957 satu ketika dahulu.

Dan bagi umat islam yang sedang berada dalam bulan ramadhan yang mulia ini, sebaik-baiknya jadikan malam kemenangan kita ini lebih meriah dengan zikir-zikir, doa-doa kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas apa yang kita perolehi pada hari ini kerana tanpa Kuasa Allah tuhan seru sekian alam, mustahil negara kita dapat memperoleh kemerdekaan daripada Penjajah British. Jadilah seorang yang memiliki kemerdekaan yang hakiki iaitu terjemahan unggul ke atas pembinaan keperibadian diri kita sebagai seorang yang ‘bersih’ apabila habis ramadhan kelak. Kepada bukan islam pula, jelas ajaran dan kepercayaan mereka amat menitik beratkan persoalan moral dan nilai yang baik, memungkinkan mereka turut menyambut hari kemerdekaan dengan cara yang berhemah dan bersopan.

Mahasiswa yang dihormati sekalian,

Fahamilah dan selamilah erti dan roh kemerdekaan yang sebenar kerana merdeka bukanlah sekadar memasang bendera di atas kenderaan, kolej atau rumah, percikan bunga api yang mewarnai udara bukan maksud sebenar merdeka sebaliknya hayati dan insafilah apa hikmah yang tersirat di sebalik kemerdekaan negara. Merdeka tahun ini sepatutnya anda semua bertekad untuk menentukan apa sumbangan anda kepada negara jangan menyoal apa sumbangan negara kepada anda.

Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 52 ini, saya ingin menyingkap secara ringkas idealisme kebebasan Sun Yat Sen, dan juga memetik pidato presiden Sukarno yang menjanjikan kemerdekaan Indonesia “semua untuk semua” , bukan sekadar melayani tuntutan kelompok kecil.

Saya ingin juga memetik ucapan ‘Tryst with Destiny’ yang disampaikan oleh Jawaharlal Nehru, yang menyatakan bahawa “We have to build the noble mansion of free India where all her children may dwell. The appointed day has come-the day appointed by destiny-and India stands forth again, after long slumber and struggle, awake, vital, free and independent.”

Juga pidato Muhammad Ali Jinnah, pengasas negara Pakistan di Constituent Assembly 1947 yang menganggap kemerdekaan negaranya muncul dari gelojak rakyat, satu “cyclonic revolution” tetapi memberi amaran agar pasukan keselamatan bebas tidak terheret dengan politik dan pemimpin menghindari dari rasuah.

Malah dalam Pemasyhuran Kemerdekaan 31 Ogos 1957, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra telah menekankan soal kebebasan, keadilan dan hak semua rakyat. Dan bagi Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM), kami yakin bahawa kemerdekaan sebenar mahasiswa UKM yang bebas daripada kezaliman Aspirasi akan muncul jua disebabbkan gelombang perubahan dan harapan akan menyinari kampus UKM ini tidak lama lagi. Sama-samalah kita berdoa dan melaksanakan segala tindakan ke arah merealisasikan harapan mahasiswa yang jelas telah ‘dijajah’ dengan kepimpinan lemah Aspirasi sejak 2003 lalu.

Saya yakin semangat dan muafakat Gabungan Mahasiswa yang jelas dan tegas akan mewujudkan perpaduan sebenar di dalam UKM ini sepertimana yang telah digariskan oleh Rukun Negara kita. GMUKM pada masa yang sama terus menolak politik perkauman yang sudah tidak relevan tetapi masih tetap menerima peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai Bahasa Melayu, kedudukan Islam dan hak keistimewaan Melayu-Bumiputra di samping menjamin hak semua rakyat.

Bersempena hari yang ulung ini, ayuh kita sebagai mahasiswa Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain untuk sama-sama kita zahirkan kecintaan kita terhadap Malaysia. Sama-samalah kita mempertahankan kemerdekaan kita kerana 'Perjuangan menuntut kemerdekaan adalah lebih senang daripada mempertahankanya' dan jagalah negara ini dengan sebaik mungkin.

Di kesempatan ini, saya turut menyeru anda semua untuk bersama-sama kita kibarkan Jalur Gemilang; di kolej atau rumah, di kenderaan dan di fakulti anda. Binalah sebuah harapan baru untuk semua. Bebaskan diri kita semua daripada kelemahan dan ketidakyakinan kepimpinan UKM yang ada pada hari ini.

Kita bersatu untuk berubah. Selamat meraikan Hari Kemerdekaan Kali Ke 52!

Dirgahayu Malaysia!

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Hisyamuddin Che Ali
Pengerusi GMUKM 2009







Friday, August 28, 2009

GMUKM Tolak Politik Perkauman



Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) mengutuk tindakan sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan beberapa NGO Melayu yang dipercayai didalangi parti politik Melayu hari ini yang mengarakkan kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke kawasan mereka.

Kira-kira 50 orang yang membentuk jawatankuasa bertindak penduduk seksyen itu berkumpul di masjid negeri, beberapa ratus meter dari bangunan tersebut di Shah Alam, selepas solat Jumaat tadi. Mereka berarak sebagai menyatakan bantahan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Kebajikan Negeri Rodziah Ismail dan Exco Kesihatan Dr A Xavier Jayakumar. Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli Parlimen Shah Alam, YB Ir Khalid Samad.

Didahului dengan pembawa kepala lembu, yang masih belum kering darahnya, penunjuk perasaan berjalan sambil bertakbir dan melaungkan "kami bantah" menggunakan alat pembesar suara. Mereka membawa sepanduk, antaranya bertulis "Take beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya" dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22".
Terdengar juga jeritan seorang penyokong yang melaungkan "Mana Xavier? Kami ada kepala lembu untuk dia,", setibanya kumpulan itu di pintu masuk bangunan kerajaan tersebut yang segera ditutup kerana kehadiran mereka.
GMUKM dalam kenyataan rasminya mengutuk tindakan yang mencemarkan semangat perpaduan itu. Yang berlaku hanya kira-kira kurang dua hari sambutan kemerdekaan kali ke 52.
GMUKM turut mendesak agar pihak Polis menjalankan siasatan terhadap perbuatan ini dan membawa mereka yang menjadi dalangnya ke muka pengadilan.

Menurut Pengerusi GMUKM yang juga Ahli MPP Umum, Hisyamuddin Che Ali dalam kenyataan menyifatkan tindakan perkauman itu sebagai sesuatu yang boleh dielakkan sekiranya kedua-dua pihak bekerjasama dalam menyelesaikan permasalahan ini.

“ Sepatutnya pihak yang bertelagah ini duduk dalam satu meja bulat dan mencari jalan penyelesaian win-win situation,”

“ Jika benar dakwaan bahawa kuil itu dibina di Seksyen 23 yang berhampiran dengan kawasan majoriti penduduk islam, maka ia wajar dipindahkan tetapi jika dakwaan itu palsu dan sengaja diadakan demi kepentingan politik, maka kami berasa kesal dan malu dengan tindakan ini”, ujarnya.

Kelmarin, Dr Xavier dalam kenyataannya meminta penduduk Seksyen 23 itu menimbang semula bantahan mereka terhadap keputusan kerajaan memindahkan kuil ke kawasan itu.
Beliau dipetik berkata, kerajaan negeri bercadang memindahkan pembinaan Kuil Sri Maha Mariaman kira-kira 300 meter dari tapak cadangan asal pembinaannnya kerana ia berdekatan dengan surau.

Berikutan tapak itu dianjakkan agak jauh, kerajaan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina jalan raya di situ bagi memudahkan penganut Hindu ke kuil tersebut. Dilaporkan juga pembinaan kuil itu dibuat untuk keperluan penganut Hindu di Seksyen 19, 20 dan Seksyen 23 di Shah Alam, kawasan yang dipertikaikan pembinaan kuil tersebut.

Hisyamuddin katanya lagi meminta pihak Polis menyiasat perkara itu hingga ke akar umbi dan mendakwa mereka yang terlibat di bawah Akta Polis 1957 dan Akta Hasutan 1948.

“ Kita meminta pihak berkuasa menyiasat perkara ini dan jangan ada pilih kasih dalam kes ini hatta melibatkan pihak UMNO mahupun Pakatan Raykyat,” tegasnya.

Beliau juga meminta semua mahasiswa bertenang dan jangan memainkan sentimen perkauman kerana yakin situasi perkauman pada hari ini sudah berkurang kerana rakyat semakin bijak dalam membuat penilaian sesuatu.

“ Saya meminta semua pihak termasuk Aspirasi dan juga TSB agar tidak mempolitikan isu ini dan kitalah sebagai mahasiswa Melayu, Cina, India dan kaum lain sebagai golongan bebas dalam masyarakat yang perlu membetulkan suasana politik yang bercelaru pada hari ini”

“ Dan saya menyeru kepada semua mahasiswa untuk menolak politik perkauman dan kembali bersatu ke arah perubahan kehidupan yang lebih baik melalui pembinaan satu ketamadunan baru yang pro kepada kebajikan dan kemajuan rakyat,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Penaja Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Mahasiswa (JKMI), Saudari Danalecthumi A/P Langaswaran ketika dihubungi oleh wartawan GMUKM melahirkan kekesalan terhadap peristiwa itu.

“ Sudah hampir 52 tahun Malaysia merdeka, tetapi semangat saling toleransi antara satu sama lain masih gagal dipupuk walaupun pelbagai kempen telah dijalankan dan berjuta duit pembayar cukai digunakan ke arah itu”, ujarnya.

Beliau juga menyifatkan insiden itu akibat permainan parti politik yang meniupkan api perkauman hinggakan rakyat bawahan bertindak tanpa mengikut pertimbangan emosi.

“ Saya bimbang insiden ini akan membibitkan api perkauman dan seterusnya mengulang kembali kejadian 16 Mei dan juga peristiwa Kampung Medan tetapi saya yakin dengan corak politik baru hari ini, rakyat boleh berfikir mana yang lebih baik dan mana yang lebih buruk,” ujarnya lagi.

Pemimpin wanita yang lantang bersuara itu turut menyeru kepada mahasiswa India terutamanya di UKM agar bertindak mengikut rasional dan tidak memainkan api perkauman yang boleh memberi kesan buruk kepada negara ini.

Dalam pada itu, wartawan GMUKM sempat menghantar kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Saudara Chris Wei Kit berkaitan isu ini dan sms yang dibalasnya menyatakan terkejut dengan peristiwa itu dan menggesa mahasiswa bertindak secara matang.

Tegasnya lagi bahawa isu ini perlu disiasat dengan baik kerana melibatkan sentimen agama dan jika tiada jalan penyelesaian yang konkrit, ia mungkin akan menimbulkan bencana yang lebih dahsyat lagi.

“ Saya melihat perkara ini adalah permainan politik kotor untuk mengalihkan pelbagai isu dan saya menyeru semua mahasiswa tanpa mengira kaum untuk bersatu dan menentang politik perkauman yang sudah tiada tempat di negara ini, ujarnya dalam kiriman sms tersebut.

Isu perkauman sentiasa diwujudkan oleh parti politik dalam memenangi hati pengundi yang tertawan dengan isu ini. Di UKM sendiri, pihak CCC pernah memainkan isu perkauman apabila dalam risalah haramnya menyebut bahawa apabila GMUKM memegang PMUKM, segala Pesta Ang Pau dan upacara keagamaan lain akan dimansuhkan oleh GMUKM. Pertubuhan haram itu turut memuatkan artikel tentang perkauman dalam satu risalah yang agak tebal dalam tulisan cina. Pihak GMUKM pernah menghantar satu salinan risalah dan juga terjemahan kepada pihak TNC HEPA, tetapi sehingga ke hari ini, masih tiada lagi tindakan yang diambil terhadap isu ini.

Begitu juga dengan Tindakan Siswa Bersatu (TSB), mereka inilah yang selalu mendombakan semangat melayu dan menolak perpaduan sejati antara kaum. Golongan ini dipelopori oleh Timbalan Presiden PMUKM sekarang ini dan juga kuat di beberapa kolej seperti Rahim Kajai dan Kolej Ibrahim Yaakob. Maklumat yang kami dapat bahawa Graduan Melayu Muda (GMM) yang memiliki sebuah blog fitnah dan perkauman, yang selalu membuat pautan dengan blog GM. Dikatakan golongan ini adalah bekas kepada TSB dan mereka ini adalah alumni TSB yang seringkali memasuki kampus apabila menjelangnya pilihanraya kampus.

Mahasiswa UKM diseru untuk menolak politik perkauman kerana natijahnya lebih buruk daripada sedikit kelebihan. Bersainglah dengan sihat dan pada masa yang sama, semua kaum perlu menghormati antara satu sama lain dengan berlatar belakang sejarah dan populasi kaum di negara ini.



tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !