Gerakan mahasiswa adalah suatu kuasa yang mesti diberikan perhatian dan diambil perhitungan. Dalam lipatan sejarah universiti, masyarakat dan negara, sama ada dilihat secara universal atau secara perbandingan, misalnya, antara Asia dengan benua-benua lain, atau antara dunia ketiga dengan dunia-dunia lain, atau jika di negara ini, sama ada di peringkat sesebuah universiti atau di peringkat nasional, gerakan mahasiswa punya sejarahnya yang tersendiri.
Kadang-kadang ia diakui dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan negaranya, manakala kadang-kadang pula ia hanya tercatat sebagai sejarah di kalangan aktivis dan pendokongnya sahaja. Jika ia diakui dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan negaranya, kadang-kadang ia mendapat penafsiran yang baik, manakala kadang-kadang ia mendapat penafsiran yang kurang baik.