Akhirnya...
Terlaksana juga mimpi itu. Dulunya kita cuma bermain dengan sangkaan yang bersuara di dunia internet ini bakal ada halangan di kemudian hari. Ya, hari ini terbukti sudah. Bermula I Jun 2012 dunia internet dan segala macam alatan sosial lain bukan lagi menjadi tapak permainan selesa yang tiada padanya monarki, diktator, polis dan sebagainya.
Ini untuk Malaysia. Bukan USA, Papua New Guinea, Zimbabwe dan Finland.
Manusia di tanah bekas jajahan British ini nampaknya amat berbesar hati dengan kehadiran akta ini. Saya tidak pasti pemerhatian ini menyeluruhi segenap aspek atau tidak namun itulah suasana yang saya perhatikan di forum-forum perbincangan mengenai perkara ini.
Mungkin tepat dan mungkin juga salah.
Terserah untuk kalian menilai.
Masyarakat kita seolah menyambut baik. Ada juga yang membangkang. Mereka yang sibuk berbicara hal ini adalah mereka yang telah memberi komitmen hampir 70% kehidupan seharian mereka di dunia atas talian.
Saya tidak hairan dengan perbincangan tentang buruk baiknya akta ini akan berpanjangan dan menimbulkan polemik. Kerana itu yang kita harapkan. Cuma sedikit ralat apabila pelaksanaan akta ini nampak tergesa-gesa. Betulkan saya jika kalian terjumpa fakta mengenai perbahasan akta ini di Parlimen sebelum ini.
Bagus, dari satu sudut polemik ini perlu dicetuskan.
Polemik itu akan timbulkan banyak persoalan. Maka dari persoalan-persoalan yang terbina ini akan dapat kita rungkaikan sama ada akta ini wajar digazetkan atau cuma bakal jadi alat boneka sang pemerintah.
Facebook vs Mubarak
Saya sedikit mundur kerana masih menggunakan contoh yang hambar sebegini. Contoh yang sering diulang dalam mana-mana jurnal dan penulisan. Tapi biarlah kerana kata cerdik pandai, kita akan mengulangi sejarah jika kita melupainya.
Kanapa saya tulis Facebook vs Mubarak?
Bagi saya kebangkitan rakyat di Timur Tengah melawan rejim-rejim tirani adalah begitu unik kerana sebelum dari tercetusnya kebangkitan itu, rakyat mereka tidak pernah kenal Youtube, Blogger, Facebook dan sebagainya. Kalau ada pun yang tahu cuma segelintir rakyat yang mendapat akses lain dari kebanyakan orang.
Tirani Timur Tengah masing-masing menggunakan pelbagai sekatan terhadap perkembangan internet. Mereka menyekat segala akses maklumat yang menggunakan saluran internet.
Tapi akhirnya rakyat tetap bangkit. Marhean yang ditekan, secara logik fiziknya suatu yang dikenakan tekanan yang tinggi akan meledakkan kuasa "outcome" yang tersangat besar.
Maka itulah yang terjadi di Timur Tengah. Akhirnya Mubarak dan rakan sejawatnya tumbang dan faktor utama yang menyumbang ke arah kejatuhan mereka ialah angkara saluran internet yang mereka sekat selama ini.
Saya meneliti fenomena ini, dengan merasa yakin Akta Keterangan (Pindaan) 2012 tidak lebih dari memberi tekanan kepada golongan marhean yang semakin tertindas untuk merasa terus tertindas.
Mungkin natijah akhir kepada akta ini akan merealisasi bertukarnya tampuk pemerintahan Putrajaya ke tangan Pakatan Rakyat.
Ini telahan yang bersifat drastik saya kira. Akan tetapi mereka yang menggubal akta ini dengan niat tertentu mungkin boleh fikirkan akibat yang bakal mereka terima kelak selepas akta ini berjaya diimplementasikan dalam perundangan negara.
Akta Untuk Mengunci Mulut
Hal ini dibimbangi secara khususnya, jikalau akta ini cuma berdiri atas kehendak nafsu sang pemerintah yang mahu mengunci mulut mereka yang menyebar kebenaran melalui saluran alternatif yang semakin berkembang muttakhir ini.
Ia akan menjadi ulangan akta-akta draconian lain seperti Akta Hasutan, ISA dan sebagainya yang lebih mudah bersifat selektif. Terjaminkah pemerintah yang mereka mampu memimpin akta ini sehingga tidak akan lahir anak emas dan anak tiri?
Jika tidak, maka tidak salah untuk saya membuat dakwaan awal yang akta ini tidak lebih sebagai radas yang akan digunakan pemerintah menjelang PRU-13 terutamanya untuk menyekat sebarang hebahan dan pembongkaran skandal yang melibatkan badan kerajaan.
Hal ini biasa. Bicara tentang isu ini pun tiada apa yang baru. Ianya seperti ulangan drama-drama terdahulu.
Sebagai contoh, Akta Hasutan adalah sebuah akta yang begitu popular untuk merejam ahli politik bukan kerajaan ke penjara. Apa sahaja laporan polis yang dibuat ke atas ahli politik bukan kerajaan atas dakwaan di bawah Akta Hasutan cuma mengambil masa tidak sampai 5 minit untuk diambil tindakan oleh pihak polis.
Cuba bandingkan bagaimana pula dengan ucapan menghasut oleh Tun Dr Mahathir di Melaka pada 9 Ogos 1999 dengan menyebut 13 Mei dan rusuhan kaum akan berlaku jikalau Barisan Nasional tidak dimenangkan dengan majoriti dua-pertiga pada PRU-10.
Ada sebarang tindakan ke atas Tun Mahathir walaupun pelbagai pihak membuat laporan polis ke atasnya?
Atau ketika itu Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah berlari mahu menegakkan perundangan negara ke atas Tun Mahathir?
Apa yang Malaysia saksikan ialah Tun Dr Mahathir terus bebas selepas itu tanpa perlu meringkuk dalam penjara walaupun jelas apa yang dikatakan beliau ketika itu amat berbahaya kepada keselamatan jiwa masyarakat Malaysia!
Ya itulah realiti akta-akta draconian di tanah air tercinta ini. Ianya digubal bagi memenuhi kehendak nafsu pemerintah. Akta cuma tinggal jadi dakwat kosong di atas helaian kertas-kertas dakwaan. Pelaksanaannya amat selektif. Ia akan menjadi pedang bagi menikam mereka yang berani menyuarakan kebenaran.
Dan saya hampir 100% pasti yang Akta Keterangan (Pindaan) 2012 juga akan mengalami nasib yang sama.
Alasan saya mudah, hanya kerana akta itu wujud di Malaysia yang sedang diperintah oleh segerombolan penguasa yang tidak dapat menerima hakikat betapa rakyat sudah tidak lagi boleh memberi kepercayaan kepada mereka.
Kebaikan?
Mungkin ada. Mustahil ianya lansung tiada nilai positifnya. Maka mereka yang suka menyambut kehadiran akta ini akan menjadikan hujah negara lain sudah lama mengamalkannya.
Ya kawan, negara mana yang telah mengamalkan akta serupa begini?
Jika ada datanglah dengan hujah dan bukti yang kukuh. Kalau ya pun ada, saya amat yakin pelaksanaan akta itu di negara tersebut tidak melahirkan anak emas dan anak tiri.
Untuk Malaysia, kalian boleh jamin?
Jika tidak boleh, cukup lah saya katakan betapa akta yang sedia ada dalam perundangan Malaysia ini sudah lebih dari cukup untuk mendidik rakyat Malaysia supaya lebih berdisiplin.
Tidak percaya?
Berilah peluang dalam PRU-13 nanti kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah. Anda akan melihat hal ini akan terbukti!
ATA, 1:10 AM
Ahmad Tajuddin Abdullah. Penulis adalah penyokong tegar GMUKM. Tulisan ini tidak menggambarkan pendirian sepenuhnya GMUKM.
[Kafeteria Pusanika 暂时关闭通知]
7 years ago
0 comments:
Post a Comment