Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Monday, May 26, 2008

GERAKAN MAHASISWA ISLAM MENCABAR

GERAKAN MAHASISWA ISLAM MENCABAR

BAB 1: SEJARAH GERAKAN MAHASISWA ISLAM DI MALAYSIA

“bagi kita, zaman tolak ansur sudah mati! Sudah kita kuburkan bersama sama keranda jingga yang berbalut dengan segala janji dan kepalsuan manusia”--Noordin Razak

Mahasiswa merupakan pewaris kepimpinan negara dan masyarakat. Sejarah membuktikan keperkasaan, keaktifan dan sifat progresif gerakan mahasiswa telah membuahkan hasil yang cukup lumayan bagi sesebuah negara pada masa depan. Mahasiswa dilihat pendokong utama ke arah reformasi masyarakat melalui revolusi dan secara evolusi melalui penyertaan dalam pentadbiran negara. Sebagai anak muda yang mempunyai sifat kreatif, jiwa memberontak dan bersifat tergesa-gesa akan membentuk keperibadian mahasiswa yang menongkah arus dan mempunyai keinginan yang tinggi untuk mengubah sistem yang bobrak dan korup. Mahasiswa pengubah sistem. Itulah mitos mahasiswa dalam perjuangan mereka dan khayalan ini akan disedarkan selepas mereka keluar dari alam kampus.

Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) bukanlah wadah pinggiran dalam perjuangan sosial, politik dan dakwah seantero dunia. Di Afghanistan, mahasiswa Islam telah menewaskan golongan Sosialis dalam pilihanraya kampus dan mempelopori penubuhan pasukan pejuang Mujahidin melawan Rusia. Ketua Ikhwanul Muslimin Afghanistan, Ahmad Niazi dan mahasiswa Islam Universiti Kabul mula mengerakkan kelompok pelajar Islam yang dikenali Juanan Muslim (kemudian dikenali Jamiyyah al Islamiyyah) pada tahun 1969. Pada tahun 1972, kelompok pelajar Islam berjaya menguasai kerusi di Dewan Mahasiswa Universiti Kabul dan ia telah menakutkan pendokong Komunis dan Sosialis di Afghanistan. Pada tahun 1975, Mohamad Daud mempenjarakan Ahmad Niazi dan tindakan kejam rejim ini menyebabkan ramai pemimpin pelajar termasuk Rabbani dan dan Sayyaf melarikan diri ke Pakistan. Di Mesir pula, mahasiswa Ikhwanul Muslimin telah berjaya mengalahkan golongan nasionalis di Universiti.

Di Malaysia, kebangkitan mahasiswa Islamis berputik pada awal tahun 1970an tetapi mula mengancam survival politik golongan nasionalis pada awal 1980an. Bermula awal tahun 1990an, GMI mula mendominasi politik kampus di hampir setiap universiti di Malaysia. Walaupun disekat dengan pelbagai formula, GMI di Malaysia terus meredah ranjau perjuangan semampu yang terdaya. Di sini, penulis menukilkan sejarah awal perjuangan mahasiswa Islamis di kampus untuk memasyarakatkan masyarakat kampus dengan suluhan Islam. Penulis juga memaparkan pengolakkan antara proksi GMI dan kebangkitan dinasti kepimpinan ulama dalam politik kampus.

SEJARAH PENUBUHAN GERAKAN MAHASISWA ISLAM.

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) diwujudkan pada pertengahan tahun 1950an hasil inisiatif Syed Muhamad Naquib al Attas, seorang pelajar Islam di Universiti Malaya, Singapura. Walau bagaimanapun, peranan PMIUM mula menonjol dan rancak apabila Universti Malaya berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur. Pada tahun 1960, PMIUM di bawah pimpinan Hussein Ahmad berjaya mendapat tanah untuk Masjid Ar-Rahman yang telah dibina pada tahun 1963. Pada tahun 1962, PMIUM bergabung di bawah PKPIM dengan menubuhkan Badan al Rahmaniah atau Badan Dakwah dan Kebajikan Islam SeMalaysia. Sebelum terlaksananya AUKU, PMIUM adalah badan pelajar berautonomi dan tidak bernaung dibawah PMUM. Justeru, ia bergerak bebas tanpa terikat dengan dasar PMUM yang dikuasai oleh mahasiswa sosialis.

Pada tahun 1964, Syed Naquib pulang ke Tanah Air dan menjadi pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu. Kepulangan Syed Naquib merancakkan lagi kegiatan PMIUM apabila beliau cuba menyerap idea ‘faham Islam’ ke dalam pemikiran pelajar. Beliau telah berjaya menangkis hujah yang dikemukakan oleh golongan Sosialis dan Nasionalis dalam beberapa perdebatan ilmiah. Syed Naquib semasa menjadi pensyarah di UM dilihat sebagai mentor kepada pelajar Islamis dimana setelah kuliah ramai pelajar Islamis berkumpul di pejabat atau rumah beliau. Beliau juga merupakan antara tokoh utama mempengaruhi ABIM-PKPIM dan tokoh lagenda gerakan mahasiswa-belia, Anwar Ibrahim. PMIUM cuba melahirkan mahasiswa yang memahami al Quran dan Sunnah yang melaksanakan prinsip Islam dan menyatukan persaudaraan Islam. Pejuangan PMIUM tersebar melalui makalah seperti Suara PMIUM dan Jurnal Sejahtera.

PMIUM adalah pertubuhan pelajar pertama beraliran Islamis di negara ini yang ditubuhkan dengan kaedah yang teratur dan diakui mewakili masyarakat pelajar Islam di kampus terulung negara, Universiti Malaya. Pada 27 Jun 1961, ditubuhkan pula Persekutuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu dan ditukar kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam (PKPIM) pada tahun 1963. Sebelum terjelmanya AUKU, PKPIM memayungi persatuan-persatuan pelajar Islam di setiap institusi pendidikan tetapi peranan ini mula terhakis selepas AUKU 1975 mewajibkan persatuan berbentuk gabungan nasional dan dianggotai persatuan mahasiswa universiti tempatan perlu dibubarkan. Semua persatuan mahasiswa perlu berada dibawah kawalan universiti yang dikenali sebagai Hal Ehwal Pelajar [HEP]. PKPIM bernasib baik diberi peluang untuk bernafas berbanding rakan-rakan gabungan peringkat nasional seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia [PKPM, ditubuh pada 15 Mac 1958] dan Persatuan Pelajar Asia (ASA) yang telah dimansuh. Aspirasi PKPIM dilanjutkan ke luar kampus dengan penubuhan ABIM pada Muktamar PKPIM ke 10 pada tahun 1971.

KEBANGKITAN GERAKAN MAHASISWA ISLAM DI MALAYSIA.

Kemenangan kumpulan Islamis dalam Revolusi Iran mencetus fobia kepada masyarakat sekular terhadap kebangkitan semula Islam. Gerakan Mahasiswa Islam yang digelar orang dakwah dilihat satu elemen yang menakutkan kerana ia cuba menggugat ideologi sekular yang dianuti oleh pemerintah, penguasa universiti dan sebahagian mahasiswa sendiri. Kerajaan sendiri mengkritik kegiatan dakwah di kalangan mahasiswa Islam yang dilihat berlaku ketidakfahaman para pendakwah terhadap kemurnian Islam itu sendiri. Kezahiran Islam dalam cara hidup mahasiswa seperti berpurdah dan berjanggut melahirkan kegelisahan kepada pihak pentadbir varsiti. Di Universiti Teknologi Malaysia, Anuiddin Wahid tidak menggalakkan pelajar memakai purdah. Bahkan pelajar Universiti Malaya pula terpaksa menandatangani perjanjian larangan pemakaian purdah oleh Ungku Aziz. [Lihat Utusan Malaysia, 24.6.1986.] Namun, gaya hidup Islam berasaskan sunnah Rasulullah S.A.W. terus subur, bahkan GMI cuba membentuk kuasa politik di kampus.

Peningkatan kesedaran Islam pada awal tahun 1970an telah meletakkan PMIUM sebagai wadah penting dalam perjuangan Islam di kampus. Walau bagaimanapun, PMIUM bukanlah satu kuasa politik yang mendominasi politik kampus sebagaimana Kelab Sosialis semasa zaman keagungan gerakan mahasiswa pada awal dan pertengahan tahun 1970an. PMIUM pada ketika itu bersifat Nasionalis-Islamis yang berjuang untuk kepentingan Islam dan bangsa Melayu termasuk isu bahasa dan kemiskinan. Siddiq Fadil Presiden PMIUM sesi 1972/73 telah berjaya mengikis semangat nasionalisme sempit dan mengarahkan semangat tersebut mengikut perspektif Islam. Kewujudan golongan Nasionalis-Islamis ini mestilah dibuktikan dengan komitmen yang tegas termasuk pelaksanaan Islam sepenuhnya serta mengamalkan amal Islami secara bersungguh-sungguh. Oleh sebab itu, PMIUM cuba menghalang upacara kemaksiatan di Universiti Malaya seperti majlis ball night dan unsur judi dalam pestaria. Galangan bersifat anti-maksiat ini mengakibatkan PMIUM ditohmah dengan pelbagai gelaran termasuk fanatik, antisosial, perkauman, jumud dan taklid buta.

Perjuangan Islam PMIUM tidak serasi dengan aktiviti PMUM yang bercorak kebudayaan dan kemaksiatan sehingga berlaku ‘perang dingin’ antara PMIUM dengan PMUM.. Oleh sebab itu, PMIUM disingkir daripada AJK Orientasi sesi 1975/76 dan hanya diterima semula pada sesi 1977/78 tetapi pada sesi 1978/79 sekali lagi PMIUM disingkirkan. Keadaan ini mendorong PMIUM mengubah corak perjuangan dengan memasuki politik kampus agar mereka lebih progresif untuk mengambil alih tampuk pimpinan PMUM. Cubaan pertama PMIUM untuk memenuhi cita-cita siasah dengan meletakkan calon mereka dalam pilihan raya kampus. Pada tahun 1977, PMIUM meletakkan calon mereka iaitu Sidek Baba [pensyarah UIA, orang kuat ABIM], Syed Muhamad Dawilah al Idrus [pensyarah USM], Nasaruddin Abdul Jalil dan Naharuddin Abdullah. Namun, hanya Sidek Baba dan Naharuddin Abdullah yang berjaya memenangi kerusi MPP.

Pada pilihan raya sesi 1979/80, PMIUM memenangi 10 kerusi tetapi gagal memperolehi majoriti 2/3. Antara calon PMIUM adalah Redzuan Othman di fakulti Sastera dan Yazid Othman bagi kerusi umum. Kumpulan Islam membentuk Barisan Mahasiswa bagi menentang Gabungan Mahasiswa yang disertai oleh golongan nasionalis. Pilihan raya sesi 1979/1980 telah menelurkan budaya berparti secara terbuka dalam politik kampus. Barisan Mahasiswa yang ‘menang tipis’ telah memilih Anual Bakri Haron [kini, S.U. MB Kelantan] sebagai Presiden PMUM dan Yazid Othman [kini, aktif dalam persatuan wartawan di KL] sebagai Naib Presiden. Kerajaan pelajar Islam mula mencegah aktiviti mungkar seperti jamuan arak dan budaya makan malam tahunan yang dihiasi program mungkar. Aktiviti persatuan perlu terbatas kepada aktiviti tidak bercorak ‘Yahudi’.

Penubuhan kerajaan pelajar Islam yang pertama ditentang hebat oleh proksi Nasionalis. Barisan Mahasiswa tidak dapat membentuk kabinet PMUM yang mantap kerana Gabungan Mahasiswa mendapat 11 kerusi daripada 21 kerusi [tetapi pihak neutral mengalih sokongan kepada Barisan Mahasiswa menyebabkan Barisan Mahasiswa berjaya membentuk kabinet PMUM]. Kesilapan Barisan Mahasiswa adalah memperuntukkan tiga kerusi untuk orang bukan Melayu tetapi tiada orang bukan Melayu mahu bertanding untuk Barisan Mahasiswa menyebabkan Gabungan Mahasiswa menang mudah.

Pada 4 Ogos 1979, Barisan Mahasiswa cuba menubuhkan kabinet PMUM tetapi Ketua Gabungan Mahasiswa, Yusuf Abdul Rahman cuba melakukan undi tidak percaya. Kelompok Islamis mengambil tindakan bijaksana dengan keluar mesyuarat agar korum 2/3 tidak mencukupi untuk mengundi. Yusuf Abdul Rahman menyifatkan tindakan 10 anggota Barisan Mahasiswa tidak demokrat. Barisan Mahasiswa mencabar Gabungan Mahasiswa agar meletak jawatan supaya pilihan raya kampus dapat diadakan semula. Kekecohan ini menyebabkan pendaftar HEP Yunus Nawal dan Puan Chua campurtangan. Akhirnya, Gabungan Mahasiswa bersetuju bekerjasama walaupun cuba dihalang oleh ketuanya, Yusuf Abdul Rahman. Barisan kabinet PMUM diketuai oleh Anual Bakri Haron (Presiden), Yazid Othman (Timbalan), Redzuan Othman (Setiausaha Agung), Zaidan Ali (Bendahari), Amir Hamzah Abdul, Anuar Yusof, Yahya Husin, Mohd Nor Anuar, Abdul Ghani Ghulam Din, Abdullah Rahman, Fong Seng Wah, Cheng Huck Joo, Rosli Ahmad dan Yusuf Abdul Rahman.

Menurut Yusuf Abdul Rahman, Barisan Mahasiswa adalah golongan radikal dan perkauman. Gabungan Mahasiswa berjuang berdasarkan untuk perpaduan dan kebajikan pelajar. Gabungan Mahasiswa menawarkan dasar kompromi dimana jika pihak menjawat jawatan presiden tidak boleh memegang jawatan setiausaha agung tetapi Barisan Mahasiswa membolot kesemua jawatan utama. PMUM tidak berfungsi dengan baik menyebabkan Anual Bakri mahu berbincang dengan Yusuf di Dataran Ekonomi. Pada mulanya Yusuf menolak pelawaan tersebut tetapi setelah diugut oleh Roselan Abdul Rahman untuk menarik balik sokongan terhadap Gabungan Mahasiswa, beliau bersetuju berbincang.

Krisis PMUM selesai apabila Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung meletakkan jawatan iaitu Anual Bakri Haron [kini, S.U. Menteri Besar Kelantan], Yazid Othman dan Redzuan Othman [kini pensyarah Jabatan Sejarah UM, bekas Naib Presiden ABIM]. Kebuntuan kepimpinan PMUM sejak 23 Julai 1979 dapat diselesai dengan kompromi iaitu Yazid Othman sebagai Presiden, Yap Ching Kiat (Timbalan), Rosli Ahmad (Setiausaha Agung), Zaidin Ali (Bendahari) dan Redzuan Othman (Penolong Setiausaha Agung). Tekanan HEP, kospirasi media massa dan masalah pemilihan personaliti menyebabkan golongan Islamis tewas dalam pilihan raya kampus 1980/81 pada 18 Julai 1980 kepada golongan Nasionalis.

Selain itu, kemenangan Gabungan Mahasiswa disebabkan kegagalan Barisan Mahasiswa menangani kes kepincangan perasmian TIG (aktiviti sukan), kegagalan baktisiswa di Sabah dan kegagalan program ke Indonesia. Calon ternama golongan pelajar Islam yang tewas adalah Zaidan Ali, Yazid Othman, Abdul Ghani Golamadin dan Che Yazid Che Seman. Roselan Abdul Rahman dilantik sebagai Presiden PMUM manakala Rosley Ahmad dilantik sebagai Naib Presiden. Kekalahan kumpulan Islamis dalam pilihan raya kampus di Universiti Malaya wajar ditelusuri daripada aspek tekanan psikologi yang dicanang oleh akhbar tempatan terutamanya Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia memberi gambaran kotor dengan mewujudkan polemik ‘Regim KAMI’ di kampus-kampus universiti tempatan. Kekalahan kumpulan Islamis yang disifatkan sebagai pelampau agama di UKM disebar secara meluas di muka hadapan akhbar tersebut. Secara terancang, isu perjudian semasa Pestaria 1980 dihangatkan kembali dengan tuduhan sempitnya pemikiran pimpinan PMUM terutamanya Yazid Othman. Tekanan psikologi ini menyebabkan pelajar terpaksa menolak kumpulan pelajar Islamis.

Pada pilihan raya sesi 1981/82 yang diadakan pada 24 Julai 1981, Islamic Group yang dipimpin oleh Ahmad Shabery Cheek telah berjaya menguasai MPP. Kumpulan Islam dikenali sebagai ‘Kepimpinan Dinamis Mahasiswa Progresif’ berjaya memenangi pilihan raya kampus dan Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai Presiden PMUM. Kemenangan ini meningkat imej kumpulan Islamis yang tercalar pada pilihan raya sesi yang lepas. Di bawah pimpinan Ahmad Shabery, kekuatan mahasiswa Islamis mula terserlah dengan penyertaan dalam demonstrasi anti Amerika.

Penguasaan golongan Islamis atau PMIUM terhadap politik kampus tidak berterusan kerana PMIUM memboikot pilihan raya kampus sesi 1983/84 kerana masih terdapat unsur judi dalam Pestaria sesi tersebut. Kemantapan PMIUM membolehkan calon-calon mereka menguasai pilihan raya kampus 1985/86. Kemenangan ini menelurkan aspirasi baru kepada pelajar Islam kerana kumpulan Islam mula memdominasi kampus-kampus di seluruh negara. PMUM mengorak langkah menubuhkan Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) yang menyelaras aktiviti pelajar Islam di bawah pimpinan Zulkifli Yusof (Presiden PMUM).

GMI: DI BAWAH KEPIMPINAN ULAMA.

Revolusi Iran jelas mempengaruhi aktivis gerakan Islam di seluruh dunia. Kewujudan negara Republik Islam Iran menandakan kemunculan satu eksperimen satu pemerintahan moden yang diperintah oleh kepimpinan ulama. Di Malaysia, kebetulan PAS mengalami krisis kepimpinan paling kritikal dalam sejarah penubuhannya apabila presidennya Dato Asri Muda yang mengimani aliran nasionalis-Islamis cuba ditumbangkan oleh Dewan Pemuda dan puak ulama PAS pada bulan Oktober 1982. Kaum muda dalam PAS yang dipelopori oleh tokoh-tokoh ABIM seperti Fadzil Mohd. Nor, Abdul Hadi Awang dan Nakhaie Ahmad telah bergandingan dengan tokoh muda Islam lepasan universiti di Barat seperti Khalid Samad dan Ishak Ali dari Suara Islam telah mengegarkan pimpinan PAS agar melakukan pemurnian semula ke arah Islam yang syumul. PAS dibawah pimpinan ulama mula mendekati gerakan mahasiswa setelah ‘sayap muda’nya ABIM dilanda krisis idealis selepas kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO.

Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada bulan Mac 1982 telah melanggari keputusan syura dan memungkiri mandat Pak Natsir, Ketua Parti Masyumi Indonesia yang mengarah ABIM menghantar tokohnya ke dalam PAS bagi menyegar semula PAS. ABIM hanya sempat menghantar tokohnya pada gelombang pertama ke dalam PAS melalui Ustaz Fadzil Nor, Ustaz Abdul Hadi Awang, Ustaz Nakhaie Ahmad, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman dan beberapa tokoh muda ABIM. GMI di kampus Malaysia mula bergolak antara pihak yang pro dan kontra keputusan Anwar yang memasuki UMNO. Perpecahan GMI amat terasa di Universiti Malaya dimana proksi ABIM-PKPIM telah gagal mempertahankan pengaruhnya dalam kepimpinan PMIUM. Proksi PAS mula menonjol apabila berjaya merebut jawatan tertinggi dalam pimpinan PMIUM dengan mengalahkan proksi ABIM-PKPIM yang hanya memperolehi 35 undi.

Sebelum pemilihan pimpinan PMIUM 1983/84, Azami Zaharim mencadangkan nama Takiyuddin Hasan sebagai Presiden PMIUM kepada majlis syura, manakala nama Mohammad Hussein sebagai Timbalan Presiden. Tetapi majlis syura telah memutuskan dengan sebulat hati bersetuju dengan jawatan Presiden PMIUM dipegang oleh Mohammad Hussein dan Takiyuddin Hasan bagi jawatan Timbalan Presiden. Keputusan ini diterima oleh Azami Zaharim yang ditugas sebagai Pemangku Presiden PMIUM yang pro ABIM. Dalam mesyuarat itu berlaku, suasana agak tegang kerana ada golongan yang mahu pimpinan PMIUM dikuasai oleh golongan ulama atau agamawan. Golongan ini mahu Ustaz Mohd Taib Ahmad dilantik sebagai Timbalan Presiden PMIUM bukannya Takiyuddin seperti yang diputus oleh syura.
Pengolakkan ini bertambah hangat apabila Takiyuddin Hasan [kini, EXCO kerajaan Kelantan] menarik diri daripada pertandingan jawatan Timbalan Presiden PMIUM untuk memberi ruang kepada Mohd Taib Ahmad memenangi kerusi Timbalan Presiden PMIUM tanpa bertanding. Kumpulan pro PAS yang dikenali kumpulan Enam Kerinchi dikutuk habis-habisan oleh Pemangku Presiden PMIUM, Azami Zaharim sebagai pengkhianat. Kumpulan Enam Kerinchi terdiri daripada Muhamad Hussein [telah dilantik sebagai Presiden PMIUM pada sesi tersebut], Takiyuddin Hasan, Syed Putra Syed Ahmad [kini, wartawan kanan Harakah], Azmi Ali, Fuad Zarkhashi [orang kuat UMNO Johor, Presiden PBMUM 1981/82] dan Mohd Taib Ahmad bersetuju memenangkan Mohd Taib Ahmad sebagai Timbalan Presiden PMIUM. Trajedi ini perlu dikisah kerana ia merupakan kebangkitan pertama pengaruh kepimpinan ulama oleh proksi PAS di kampus-kampus nasional.

Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam lubuk nasionalis-sekular menyebabkan ‘keributan’ di kampus di antara sesama golongan Islamis iaitu mahasiswa proksi ABIM-PKPIM dibantu oleh golongan sekular-nasionalis [diperkuatkan setelah Anwar berjaya menjadi Ketua Pemuda UMNO] dengan mahasiswa proksi PAS yang diasuh oleh Mustapha Ali, Nakhaie Ahmad dan Abdul Hadi Awang.

Kumpulan Enam Kerinci yang dikatakan proksi PAS berazam menaikkan Mohd Taib Ahmad sebagai Timbalan Presiden PMIUM kerana beliau adalah orang kuat Persatuan Mahasiswa Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM) yang diharap dapat membantu Muhammad Hussein menegakkan kepimpinan ulama di kampus Universiti Malaya. Dalam perebutan pucuk pimpinan itu, Takiyuddin Hasan dari Fakulti Undang-Undang telah menarik diri pada saat-saat akhir sehingga proksi ABIM gagal mencari calon alternatif. Azami cuba menolak penarikkan diri Takiyuddin tetapi gagal. Kemenangan ini membolehkan PMIUM dikuasai oleh Dinasti Kepimpinan Ulama sehingga ke hari ini.
Tokoh-tokoh Kumpulan 6 Kerinchi ini merupakan pengasas kumpulan Republik Islam [turut dikenali Kumpulan Universiti Malaya] yang telah bersaing hebat dengan Islamic Represantative Council (IRC, mula berputik di Britain) digiatkan oleh Fauzi Shafie untuk menguasai Dewan Pemuda PAS pada akhir 1980an. Kumpulan Republik Islam terdiri Mohamad Hussein, Husam Musa, Ishak Ismail, Mohd Taib Ahmad, Baharin Mohamad, Syed Putra Syed Ahmad dan Mazlan telah berjaya membina pengaruh yang kuat dalam Dewan Pemuda PAS.

Penyingkiran proksi ABIM daripada PMIUM menyebabkan pimpinan PKPIM-UM melakukan pewarnaan semula dalam PBMUM. Di kampus lain seperti di UKM, proksi ABIM yang mengunakan metode Islamisasi masih memegang tampuk pimpinan PMI dan MPP. PMIUM merupakan wadah pertama penguasaan proksi PAS dalam gerakan Mahasiswa Islam selepas selama ini bergantung harap kepada pengkaderan ABIM.

GMI DAN AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI [ISA].

ISA dan AUKU merupakan kaedah kerajaan mengekangkan pergerakan gerakan mahasiswa di Malaysia. Kebiasaannya ISA dikaitkan dengan mahasiswa sosialis terutamanya dalam peristiwa kebangkitan mahasiswa pada tahun 1974. Dalam era 1980an, GMI turut dinodai oleh AUKU dan ISA yang zalim dan melanggari hak asasi seseorang insan. Zalim disini bukanlah berdefinisi kezaliman ala Barat seperti membunuh dan bersifat diktaktor tetapi zalim dalam definisi Islam. Dalam Islam, zalim adalah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ini bermakna perbuatan zalim tidak semestinya membunuh, menpenjarakan orang tetapi perbuatan zalim juga boleh terpalit jika seseorang meletakkan kopiah pada lututnya. Kerana kopiah dipakai di kepala bukan di lutut. Begitulah luasnya pendefinisian zalim dalam Islam.

ISA selepas tahun 1974 julung kalinya digunakan kepada pimpinan GMI selepas demonstrasi anti konsert Sheila Majid. Polis berjaya menangkap 2 EXCO PMIUM bersama 22 orang pelajar yang lain semasa mereka bertahlil. Mereka telah diikat jamin dengan 3 penjamin dan bersyarat. Pada 15 September 1989, pelajar yang ditahan dipanggil untuk disoal siasat di Balai Polis Jalan Pantai. Dalam soal siasat ini, dua pimpinan PMIUM, Jamali Adnan dan Jamaluddin Ramli telah dikenakan tahanan ISA. Turut ditahan adalah Pengarang Harakah, Ahmad Lufti Othman, bekas Setiausaha Agung PMUTM. Pada 26 September 1989, PMIUM menghantar wakil berjumpa dengan Menteri Pendidikan, Anwar Ibrahim dan Anwar sendiri berjanji akan menyelesaikan masalah ini. Pada 27 September 1989, PMIUM menghantar wakil bertemu Dato NC, Syed Hussein al Alatas atas alasan hukuman yang dikenakan tidak relevan dengan status mereka sebagai mahasiswa. Contoh, Alias Sulaiman daripada Fakulti Ekonomi dikenakan RM 1000 dan Jalal Busri disingkir daripada kolej dan didenda RM 350.

Dekad ini, pimpinan pelajar dari PMUM sesi 2001/2002 iaitu Mohd Fuad Mohd Ikhwan dikenakan tahanan ISA setelah beberapa hari makan tengah hari bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad. Fuad Ikhwan dikenakan tahanan ISA pada tahun 2001 kerana terlibat dalam beberapa demonstrasi haram, penerbitan Majalah Varsiti palsu dan pembakaran DTC. Semasa zaman reformasi, pimpinan PKPIM turut terseret ke dalam tahanan ISA adalah Ahmad Zaki Yamani, penuntut UiTM yang memegang jawatan Setiausaha Agung PKPIM. Pemimpin PKPIM yang lain yang turut ditahan adalah Ahmad Sabrimi Mohd. Sidek dan Ahmidi Dato Manan.

Begitulah dekatnya ISA, AUKU, Akta Polis dan penjara dalam kamus GMI. Untuk siapakah GMI mengorbankan masa dan diri mereka dalam tahanan, dan mengadai masa depan mereka. GMI hanya mahu kebenaran dan keadilan menyinari kehidupan masyarakat negara ini walaupun sebahagian besar masyarakat tidak menghiraukan perjuangan mereka.

RUMUSAN

Bab satu merupakan satu nukilan tentang muqaddimah kebangkitan GMI di bumi Malaysia. Bab ini membolehkan pembaca memahami sejarah awal kebangkitan GMI sebelum meneruskan kajian lanjut tentang GMI. Bagi aktivis GMI, bab ini amat penting bagi mengetahui bagaimana generasi awal GMI mengadaikan masa depan dalam perjuangan mereka. Wahai sahabat mahasiswa! Sedarlah akan sejarah awal GMI, jangan kita berjuang tanpa ilmu, tanpa mengenali asali GMI. Jangan kita asyik terkhayal akan kehebatan mahasiswa terdahulu tanpa mengenali sejarah perjuangan secara dekat. Wahai sahabat mahasiswa! Marilah bersama perjuangan Islam untuk melihat Islam memerintah, bukannya Islam diperintah. Tak kenal, maka tak cinta dan tak tahu.

Tuesday, May 6, 2008

SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI GABUNGAN MAHASISWA UKM

Selamat datang ke blog rasmi Gabungan Mahasiswa UKM

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !