Pendahuluan : Generasi Baru Berwawasan
Golongan belia merupakan majoriti dalam sesebuah negara. Di Malaysia sekitar 60 peratus penduduk tergolong belia (15-40 tahun). Mereka merupakan golongan paling produktif bagi mewarisi masa depan negara dan melaksanakan pelbagai bentuk rancangan pembangunan. Golongan ini juga menjadi 'beban' (liabilities) kepada masyarakat jika menjadi penagih dadah, penjenayah dan seumpamanya.
Di zaman kegemilangannya, generasi muda khususnya mahasiswa dekad 70-an berjaya memperlihatkan fungsi mereka sebagai catalyst perubahan masyarakat. Zaman mahasiswa dekad 60-an dan 70-an telah banyak memaparkan peristiwa penting berlaku hasil daripada perjuangan pelajar yang melahirkan hasrat perjuangan mereka terhadap sesuatu isu. Sesetengahnya meneroka perubahan seperti kewujudan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) telah bermula daripada perjuangan pelajar kerana perjuangan mendaulatkan bahasa kebangsaan dan Islam.