KUALA LUMPUR, 1 Dis. - Pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) digesa segera menyelesaikan masalah penempatan guru, tegas Presiden Gabungan Mahasiswa Pendidik Kebangsaan, Mohd Abdullah Mohd Yusuf semasa Sidang Media Parlimen semalam.
Saudara Mohd Abdullah juga menggesa Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia mengkaji semula dan menyelaraskan dasar pengambilan Guru Sandaran Tak Terlatih (GGSTT), Kursus Pengajian Lepasan Ijazah (KPLI), Diploma Pengajian Lepasan Ijazah (DPLI), j-QAF dan guru pakar luar negara di setiap peringkat kerana dasar tersebut adalah tidak relevan ; dalam masa yang sama masih ramai graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang belum mendapat penempatan.
