Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Wednesday, January 26, 2011

Makan Malam Bersama GMUKM


Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) dengan ini menjemput rakan-rakan untuk hadir ke program Makan Malam Bersama GMUKM pada :
  • Tarikh   : 26 Januari 2011
  • Masa    : 8 Malam
  • Tempat : Perkarangan Sudut Pidato
Semua mahasiswa/i UKM dijemput beramai-ramai hadir. Tayangan exclusive daripada GMUKM dan Menu menarik menanti anda !!!

Ber-GM Lebih Baik !

Monday, January 24, 2011

Kenapa GMUKM tidak bergabung

Merespon isu cadangan penggabungan GMUKM dan Aspirasi sepertimana yang akhir-akhir ini dilontar dan dibincangkan di laman sosial 'Facebook', maka GMUKM siang tadi telah mengadakan sidang mesyuarat ringkas di kampus Bangi yang berlangsung di antara ahli-ahli Majlis Pengerusi/Presiden (MP) GMUKM.




Namun dukacita dimaklumkan kepada teman-teman bahawa Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) telah membuat ketetapan untuk lebih gemar mengambil sikap bertanding dan bersaing secara sihat di dalam Pilihanraya Kampus (PRK) kali ini daripada bergabung atas beberapa sebab yang disebut di bawah; di samping demi mengekalkan budaya persaingan yang sihat dalam memupuk dan mengasah 'soft-skill' serta bakat kepimpinan di kalangan mahasiswa UKM.

GMUKM memahami niat dan harapan daripada rakan-rakan mahasiswa yang menginginkan suasana harmoni dan sejahtera di dalam kampus tercinta ini. Namun pemimpin-pemimpin 'front' GMUKM yang bersidang siang tadi telah sebulat suara menyatakan bahawa keberadaan GMUKM di dalam PRK bukan sekadar ingin memperoleh mandat dan memenangi kerusi-kerusi MPP, tetapi yang lebih diutamakan di sini adalah kepentingan dan peranan kita selaku mahasiswa mewujudkan fenomena persaingan politik yang sihat dan penerapan politik nilai seperti yang sebelum ini diwar-warkan.

Namun, dalam pada itu GMUKM mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan mahasiswa yang melontarkan saranan yang bernas dan relevan untuk dibincangkan. Kita memahami bahawa lontaran dan pandangan yang membina ini adalah demi kemaslahatan dan agenda mahasiswa yang inginkan suasana politik kampus yang bersatu.

Kita juga memahami bahawa nawaitu rakan-rakan lebih kepada usaha-usaha mengurangkan pergeseran antara kedua-dua pihak, tetapi di peringkat pemimpin-pemimpin 'front' GMUKM terpaksa membuat tetapan menolak penggabungan bersama Aspirasi atas tiga (3) sebab utama di bawah;

a) Perbezaan dasar dan prinsip perjuangan :
GMUKM secara jelas sebelum ini telah menggariskan bahawa dasar kita adalah konsisten; iaitu memperjuangkan KEILMUAN, FALSAFAH UKM dan KEBAJIKAN di samping prinsip GMUKM yang jelas meletakkan (i) Demokrasi (ii) Keadilan Sosial (iii) Non-partisan (iv) Keintelektualan (v)Kesepaduan kaum ; dalam apa jua perkara sekalipun. Namun begitu, kita mendapati Aspirasi sehingga kini masih kabur dalam soal dasar dan prinsip perjuangan mereka. Ini menjadi salah satu sebab yang menyebabkan sukar untuk kita bersama-sama Aspirasi.

b) Pembawakan organisasi yang perlu jelas dan tersusun:
GMUKM sedari awal pada sesi 2010/2011 telah menamakan saudara Hafiz bin Abdul Razak, FPI/3 sebagai Pengerusi GMUKM dan ini telah diwar-warkan kepada seluruh mahasiswa. Bukan itu sahaja, umum juga mengetahui bahawa GMUKM merupakan suatu badan yang menaungi badan-badan atau 'front' yang terdiri daripada MAMPU (Membina Mahasiswa Penggerak Ummah) yang telah wujud sejak 1987 selain Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (GMLN - sejak 2000) , Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI - sejak 2009) dan AKSIS (Angkatan Siswi Dinamis - sejak 2010) selain beberapa buah 'front' kecil yang senior seperti Laws Faculty Council (LawFaC) dan Pertubuhan Mahasiswa Profesional Perubatan & Kesihatan UKM (Pro-PK). Ini juga secara jelas diwar-warkan kepada rakan-rakan mahasiswa untuk mengelakkan sebarang salah faham di kalangan mahasiswa selain ia membuktikan GMUKM jujur dan telus dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa.

Namun begitu, GMUKM sehingga kini masih menanti-nantikan siapakah yang sebenarnya di dalam 'board' utama Aspirasi; adakah sekadar gah pada nama atau memang tiada mahasiswa yang menggerakkannya Kelab Aspirasi secara berpusat selama ini. Adakah diharapkan kepada ahli-ahli Kelab Aspirasi di kolej-kolej kediaman sahaja. Jika begitu, jelas masih tiada 'centralised' di sudut pentadbiran dan pengurusan badan Kelab Aspirasi ini sendiri. Jika ini benar, sudah terang lagi bersuluh GMUKM lebih tersusun dan sistematik gerakerjanya berbanding Aspirasi kerana ahli-ahli cawangan GMUKM melangkaui kolej, fakulti dan kampus-kampus di UKM. Dan ahli-ahli cawangan GMUKM dapat dipusatkan dengan jayanya. Jika begini halnya, untuk apa kita bergabung dengan Aspirasi ?

c) Memiliki perancangan dan perlaksanaan program yang realistik dan mesra mahasiswa:
Sungguhpun GMUKM melalui MPP pada kali ini tidak memegang sebarang portfolio, namun secara jelas gerakerja yang dilakukan MPP GMUKM amat ketara perbezaannya berbanding MPP Aspirasi. MPP GMUKM tidak mengharapkan untuk sekadar menunggu dan mengikuti program-program yang dianjurkan oleh pihak universiti, tetapi turut menggerakkan dan mengadakan program-program ke arah kebajikan dan ke arah memenuhi kehendak mahasiswa di samping meraikan rakan-rakan mahasiswa melalui program-program yang dianjurkan.

Umum mengetahui, antara yang sering dilakukan termasuklah aktiviti pengedaran dan sumbangan sempena musim perayaan seperti edaran kad raya dan kurma (sempena bulan Ramadhan & Hari Raya Aidilfitri), bendera Malaysia (sempena Hari Kebangsaan) dan edaran buah limau mandarin (sempena Tahun Baru Cina). Ini belum lagi termasuk edaran kempen-kempen seperti kempen membaca (READ - You'll Conquer The World) dan edaran penanda buku berkalendar pada awal tahun ini.

Ini belum termasuk program-program yang dianjurkan di fakulti-fakulti melalui MPP yang memenangi kerusi fakulti seperti program diskusi dan wacana ilmu. Jika hendak ditulis, dikhuatiri akan panjang jadinya.

Perhatikan pula di sudut Aspirasi, secara jujurnya apakah program yang benar-benar diusaha dan dilakukan oleh MPP Aspirasi sendiri selama ini? Adakah sekadar mengharapkan program disusun oleh pihak pentadbiran UKM seperti Hari Wanita pada tahun lepas? 

Atau hendak dikatakan program-program kolej itu adalah program MPP Aspirasi ? Bukankah itu program JAKSA ? atau MPP Aspirasi hendak katakan JAKSA itu juga adalah program MPP?? Kita kembalikan kepada rakan-rakan mahasiswa untuk menilai, dimanakah sebenar ASPIRASI mahasiswa ini sendiri? 

Pesanan ringkas kepada teman-teman, "tepuk dada, tanyalah iman."

GMUKM merasakan cukuplah dengan tiga hujah di atas untuk menjadi sebab mengapa ahli-ahli Majlis Pengerusi/Presiden GMUKM pada hari ini terpaksa menolak cadangan untuk bersama-sama Aspirasi pada PRK sesi kali ini.  Kita pulangkan kepada teman-teman juga untuk menilai, yang mana madu yang mana racun. Yang mana kaca dan yang mana permata.

GMUKM juga dalam pada itu terbuka kepada rakan-rakan mahasiswa untuk melontarkan kepada kami sebagai penambahbaikan. Tiada istilah 'tutup pintu' antara kita kerana jelas kita adalah GABUNGAN MAHASISWA UKM.


Ber-GM Lebih Baik!

Sunday, January 23, 2011

Amalkan akhlak & etika penulis sebenar

Gabungan Mahasiswa UKM(GMUKM) mengingatkan kepada rakan-rakan mahasiswa khususnya kepada penyokong-penyokong GMUKM dan 'front-front' yang bernaung di bawah GMUKM supaya menjaga etika dan adab semasa berinteraksi di alam maya.

Saudara Hafiz bin Abdul Razak ketika mengulas perihal ini menjelaskan, “ Rakan-rakan perlu ingat, apa yang kita perjuangkan hari ini bukan (atas) isu peribadi atau emosi.Kita tawarkan (dengan jelas Gagasan GMUKM) Realisasi Varsiti. (Maka adalah) lebih baik kita tumpukan penerangan (perihal ini dalam bentuk tulisan masing-masing) di Facebook atau blog. Elakkan kerja-kerja (yang) membuang masa seperti posting perkara tidak berasas di blog atau Facebook.

" Kita berdiri dalam PRK pada sesi kali ini dengan penuh keyakinan bahawa kita akan merampas kembali kerusi PMUKM yang kita menang tujuh tahun yang lalu. Justeru saya selaku Pengerusi GMUKM sekali lagi menasihati dan menyeru kepada rakan-rakan untuk bersedia dan bertindak selaku kita 'government-in-waiting' pada kali ini.

" Justeru dalam fasa menjelang PRK (Pilihanraya Kampus) yang (semakin) hampir ini, saya menyeru kepada rakan-rakan mahasiswa untuk menjaga adab dalam (menulis) blog mahupun (laman sosial) Facebook, " tambah Hafiz lagi ketika dihubungi wartawan GMUKM semalam.

GMUKM dalam pada itu juga menyeru kepada rakan-rakan mahasiswa di segenap peringkat sama ada di pihak GMUKM (kolej dan fakulti), dan lawan di Aspirasi untuk sama-sama kita menerapkan amalan politik nilai di dalam fasa kita hendak memasuki Pilihanraya Kampus.

Juga diingatkan untuk rakan-rakan mengelakkan sebarang serangan peribadi tidak kira ia benar atau tidak kerana ia akan menjerumuskan kepada situasi yang lebih buruk kelak. Jangan kita abaikan akhlak dan etika kita selaku penulis-penulis artikel kerana dibimbangi akibat tulisan kita akan menimbulkan perpecahan lagi.

Mengakhiri kalam, GMUKM sempat meneliti surah Al-Hujurat ayat 6 sebagai pesanan yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang seorang fasiq kepadamu membawa satu berita, siasatlah terlebih dahulu. Agar jangan nanti kamu bertindak ke atas suatu kaum dengan kejahilan. Lantas semua itu akan mengheret kamu kepada penyesalan atas apa yang kamu lakukan.” 

Elakkan kontroversi, tingkatkan prestasi.

Ber-GM Lebih Baik!

Saturday, January 22, 2011

Elakkan provokasi menjelang PRK

Mendapat maklumat setelah meneliti posting di blog NadiUKM , saudara Hafiz Abdul Razak selaku Pengerusi Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) bertindak segera semalam menziarahi mangsa yang sudah berniaga di Kolej Ibrahim Yaakob (KIY) sejak tahun 2000.


Beliau yang mesra dikenali 'Mak Cik Sally' oleh penghuni KIY memaklumkan beliau terkejut apabila mendapat surat pemberhentian kontrak daripada Pengetua baru kolej berkenaan, baru-baru ini atas sebab yang tidak jelas.

Beliau berkata sejak sebelas tahun berniaga, inilah kali pertama beliau mendapat surat daripada pihak pentadbiran kolej dan ironinya, ia adalah surat pemberhentian kontrak, bukannya surat amaran atau tunjuk sebab.

Beliau kini dalam proses rayuan dan berharap permohonannya dipertimbangkan.

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) dalam pada itu melahirkan rasa kekesalan dan terkejut dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang bertindak sengaja 'menutup periuk nasi' orang lain atas kepentingan diri sendiri.

Khabar angin yang mengaitkan mangsa dengan badan GMUKM juga adalah liar dan tidak berasas. Tindakan menyamakan pengunjung-pengunjung surau KIY yang digelar 'kaki surau' dengan GMUKM juga nyata tidak benar dan tiada pembuktian.

Apa yang selalu di peringkat GMUKM tekankan kepada rakan-rakan mahasiswa, biar apa pun pandangan mahupun ideologi kita, kita sewajibnya mengamalkan politik nilai. Elakkan perkara-perkara yang mencetuskan provokasi, sabotaj, diskriminasi atau apa-apa sikap yang jelas bertentangan dengan politik nilai.

Biarkan kita selaku mahasiswa bebas mengamalkan fahaman dan pendekatan kita yang tersendiri. Elakkan perkara-perkara yang jelas melampaui dan melanggari etika dan moral seorang mahasiswa.

Kepada pihak-pihak yang terbabit juga, kita mengharapkan jangan hanya atas kepentingan diri, kita bertindak menutup periuk nasi orang lain. Tiada guna kita bertindak atas emosi dan tanpa pertimbangan moral.

Kepada Mak Cik Sally pula, kami di GMUKM berharap Mak Cik Sally tabah dan menghadapi dugaan ini dengan cekal dan tenang.

Jauhi kontroversi, tingkatkan prestasi.


Ber-GM Lebih Baik!

Tuesday, January 18, 2011

AKSIS ucap tahniah kepada RapidKL



Angkatan Siswi Dinamis (AKSIS) gembira dan menyambut baik langkah Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) selaku pengendali perkhidmatan bas RapidKL yang berjaya melancarkan bas khusus untuk penumpang wanita secara rasmi semalam.

Perkhidmatan bas khusus untuk penumpang wanita yang telah memulakan tempoh percubaan bagi perkhidmatan bas untuk golongan wanita sahaja, yang dikenali sebagai Rapid Bas Wanita, mulai bulan lepas telah dijalankan di tujuh laluan yang mempunyai jumlah penumpang ramai dengan dua sesi perkhidmatan, iaitu di sebelah pagi jam 6.45 dan 7.30 manakala di sebelah petang pada jam 6 dan 6.45.

Menurut Pengarah Kumpulan Bas Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, berdasarkan soal selidik terhadap 1,400 responden semasa tempoh percubaan, sebanyak 92 peratus amat bersetuju dan menyokong sepenuhnya perkhidmatan Bas Wanita tersebut serta memohon untuk ditambah perluasan operasi Bas Wanita tersebut.

Duta AKSIS tahun 1/2, Nur Izzati Othman dari Fakulti Sains & Teknologi (FST) ketika ditemui melahirkan rasa gembira dan mengucapkan tahniah di atas usaha pihak syarikat pengendali bas RapidKL tersebut.

" Kita di AKSIS mengucapkan terima kasih dan syabas di atas usaha murni pihak RapidKL ini.

" Sekian lama kaum wanita mengalami masalah (untuk) menggunakan bas, akhirnya suara kaum wanita kini didengari. (Umum ketahui) Ada sebilangan wanita enggan menggunakan perkhidmatan awam bukan kerana berlagak, tetapi (akibat) risiko diraba atau dicabul menyebabkan kami kaum wanita kurang (gemar) menggunakan perkhidmatan awam.

" Insyallah selepas ini, akan ramai mahasiswi yang bertukar kepada perkhidmatan awam (selepas kewujudan Bas Wanita ini). Kita harapkan, usaha sebegini akan diteruskan dan lebih banyak kawasan (operasi) akan menyediakan perkhidmatan sebegini, " tambah Izzati.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semalam ketika merasmikan pelancaran Bas Wanita berkata, bas seumpama itu merupakan pilihan terbaik untuk golongan wanita ketika menggunakan pengangkutan awam kerana wanita didapati mendominasi penggunaan kenderaan sama ada persendirian atau pengangkutan awam di ibu kota.

Justeru usaha pihak Syarikat Prasarana amat bertepatan dalam memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat ibu kota.

Untuk makluman, bas khusus untuk penumpang wanita ini tertera perkataan 'Bas Wanita' akan beroperasi sepenuhnya mulai hari ini dengan dua perkhidmatan disediakan bagi setiap laluan di waktu pagi dan petang.


Namun walaupun dikhaskan untuk wanita sahaja, kanak-kanak di bawah usia dua belas tahun dibenarkan menggunakan perkhidmatan bas tersebut dengan ditemani rakan atau saudara perempuan.

Ikon bas 'untuk wanita sahaja' akan diletakkan pada cermin depan bas, tingkap, pintu dan skrin LED dalam kenderaan itu bagi membezakannya daripada bas biasa.

Lapan laluan terbaru yang ditambah ialah bagi yang bernombor U6 dari Taman Jasa Utama ke Medan Pasar, U31 (Pandan Indah ke Maybank Puduraya), U46 (Damai Perdana ke Bukit Bintang), U66 (Taman Medan ke Pasar Seni), U68 (Taman Sentosa ke Pasar Seni), U82 (Bandar Utama ke KL Sentral), U224 (Taman Dato' Senu ke Pasar Seni) dan U623 (Stesen LRT Kelana Jaya ke Subang Parade, melalui Sunway Pyramid).

Laluan terdahulu ialah U1 (Hab Pinggiran Batu Caves ke Medan pasar, U8 (Hab Damansara Damai ke Medan Pasar), U22 (Hab Sri Nilam ke Jalan Hang Lekiu), U40 (Hab Terminal Kajang ke Pasar Seni), U60 (Hab Puchong Utama ke Hab Pasar Seni), U80 (Hab UiTM Shah Alam ke Pasar Seni) dan U81(Hab Subang Suria ke Hab Pasar Seni).

Bagi perjalanan di sebelah pagi untuk penumpang wanita ke tempat kerja, ia akan berlepas pada pukul 6.45 pagi dan 7.30 pagi manakala di sebelah petang untuk penumpang pulang selepas bekerja, ia akan berlepas pada pukul 6 petang dan 6.45 petang.

Monday, January 17, 2011

Mahasiswa tidak matang berpolitik: Satu Hipokrasi

Oleh : WandyBlog



Era pascamerdeka menyaksikan kemodenan teknologi dan pertumbuhan ekonomi yang pesat. Pertumbuhan institusi pendidikan dan Ianya diikuti dengan perkembangan gerakan mahasiswa yang sememangnya bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Perbicaraan mengenai gerakan mahasiswa ini seringkali memenuhi ruang diskusi kini dalam kalangan masyararkat sama ada perbicaraan mengenai kajian secara formal sehinggalah perbualan di kedai kopi. Perbahasan agenda mahasiswa ini telahpun memenuhi ruang entiti masyarakat kerana mahasiswa bukanlah golongan yang terkebelakang dalam proses sosial dan demokrasi. Golongan mahasiswa ini dianggap sebagai entiti yang ‘murni’ kerana peranan mahasiswa dan gerakannya terlalu banyak dalam proses pendemokrasi di Negara luar.

Golongan mahasiswa yang juga acap kali diingatkan bahawa merekalah yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan Negara suatu masa kelak; namun mereka juga sering dimomokkan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) mengenai pembabitan mereka dalam pelbagai aktiviti terutamanya politik. Jelas kenyataan bercanggah ini satu hipokrasi. Malangnya wacana yang dibentuk pihak berkuasa tidak menghiraukan aspirasi dan keperihatinan golongan mahasiswa.

Penahanan mahasiswa yang mengikuti kempen pilihanraya kecil yang lalu jelas menunjukkan bahawa hak keistemewaan yang dikecapi oleh belia hilang secara tiba-tiba apabila mereka mendaftarkan diri sebagai mahasiswa. Ironinya, penahanan mereka ini hanya kerana mengedarkan risalah untuk memeriahkan lagi proses demokrasi di Negara kita seperti mana Negara lain yang mengamalkan pemerintahan demokrasi.

Mungkin ada pihak yang takut dengan bayang-bayang mereka sendiri kerana gerakan mahasiswa mampu untuk menjatuhakn sesebuah pemerintahan melalui beberapa siri gerakan mereka ini. Kita tidak dapat membohongi sejarah yang lampau mengenai potensi mahasiswa yang kita ada. Sejarah telah menyaksikan gerakan mahasiswa amat berkesan dalam perubahan corak dan pola politik di sesebuah Negara.

Kejayaan mahasiswa dalam menjatuhkan banyak pemerintahan di Negara luar telah membuka mata ramai pihak mengenai potensi dan kebolehan mahasiswa. Sebut sahaja mengenai peristiwa penggulingan Presiden Argentina iaitu Presiden Juan Peron, ianya juga dikaitkan dengan Mahasiswa yang bertindak sebagai lapisan pertama pembangkang Peronist melawan pihak pemerintah pada masa itu dengan mengunakan slogan mereka yang tersendiri iaitu “No to cheap shoe dictatorship”. Perhimpunan yang dimulakan oleh golongan mahasiswa itu menyeru rakyat lain untuk berhimpun sehingga membawa kepada pengulingan Presiden Juan Peron pada tahun 1955.

Mahasiswa juga terlibat dengan lansung dalam pengulingan Presiden Iran iaitu Presiden Shah Mohamad Reza Pahlevi sehingga tercetusnya revolusi Iran. Kita singkap kembali sejarah revolusi Iran. Mahasiswalah yang memainkan peranan penting dalam  peringkat pertama revolusi Iran apabila sejumlah mahasiswa Islam menentang kepimpinan Shah dengan mengadakan demonstrasi. Kerajaan Shah kemudiannya menghantar tentera untuk menenteramkan demonstrasi tersebut sehingga menyebabkan beberapa orang mahasiswa terbunuh. Akibat daripada peristiwa pembunuhan mahasiswa tersebut, maka tercetusnya pergeseran di Tabriz sehingga tercetusnya peristiwa revolusi Iran melalui perhimpunan oleh rakyat Iran yang lain. Revolusi Iran berlaku dengan kepimpinan Ayatollah Khomeini mengambil alih kepimpinan Shah Iran.

Pemerintahan Presiden Ferdinand Marcos pada tahun 1986 melihatkan peranan gerakan mahasiswa di Filipina dalam memperjuangkan hak dan keadilan sejagat. Kira-kira 50 ribu mahasiswa dan pekerja menyerbu kediaman Malancang pada 30 Januari 1970 untuk menunjukkan rasa tidak puas hati dan kekecewaan mereka terhadap pemerintah diktator Ferdinand. Kejayaan mahasiswa dalam penawanan beberapa tempat di Filipina tersebut membuktikan bahawa mahasiswa bukanlah golongan yang lemah dan golongan yang boleh ditutup mulut untuk mengikut rentak pemerintah yang sumbang.

Sejarah telah mencoretkan peranan yang amat besar dilakukan oleh gerakan mahasiswa selaku penggerak utama terhadap terjadinya perubahan sosial, budaya, politik dan lain-lain. Kekuatan mahasiswa ini dibuktikan dengan peristiwa pengulingan Juan Peron di Argentina pada tahun 1955, Perez J Menez di Venezuela pada tahun 1958, Soekarno di Indonesia pada tahun 1966, Ayub Khan di Pakistan pada tahun 1969, Reza Pahlevi di Iran pada tahun 1979, Jeneral Chun Doo Hwan di Korea Selatan pada tahun 1087, Ferdinand Marcos di Filipina pada tahun 1985 dan Soeharto di Indonesia pada tahun 1998.

Walaupun majoriti peristiwa pengulingan pemerintahan itu tidak dimonopoli oleh gerakan mahasiswa kerana ada komuniti lain yang turut menyertainya sehingga tercetus gerakan revolusi, namun gerakan mahasiswa memainkan peranan yang penting dalam menjadi ejen pengerak kepada tercetusnya perubahan pemerintahan tersebut. Siri pengulingan ini berlaku akibat daripada penyelewengan dalam pemerintahan dan juga korupsi.

Pembabitan mahasiswa dalam banyak peristiwa di seluruh dunia ini membuktikan besarnya peranan dan pengaruh mahasiswa dalam sesuatu kepimpinan sesebuah Negara. Sebagai seorang anggota masyarakat, kita tidak seharusnya memandang remeh mengenai peranan mereka ini kerana golongan mahasiswa yang kita ada ini. Mereka juga merupakan mahasiswa yang berumur lebih 21 tahun dah sudahpun matang mengenai politik yang ada di Negara kita. Jika Negara maju dapat membenarkan rakyatnya mengundi ketika umur serendah 18 tahun, kenapa di Negara kita menghalang mahasiswa yang berumur diatas 21 tahun untuk berpolitik?

Jika mahasiswa itu tidak matang untuk masuk ke dalam politik, apakah belia yang tidak masuk ke universiti dan sama umur dengan mahasiswa itu matang berpolitik? Hal ini seolah-olah menghilangkan keistimewaan orang yang bergelar mahasiswa sedangkan merekalah yang menjadi harapan kepada masyarakat di luar untuk memacu masa depan yang gemilang. Pengarahan kepada AUKU berlaku apabila kerajaan menegaskan pelajar tidak dibenarkan bergabung atau menyokong mana-mana parti politik dan kesatuan sekerja. Hal ini merupakan kesedaran pihak kerajaan untuk mencegah kebangkitan pelajar melalui perundangan.

Larangan pelajar untuk mengikuti politik (bukan menyertai parti politik) akan menjauhkan pelajar dengan rakyat dan menyekat idea pelajar menyumbang kea rah pembangunan. Sokongan mana-mana pihak pelajar kepada mana-mana pertubuhan parti politik tidak bermakna mereka menyokong parti tersebut.

Secara tuntasnya, mahasiswa bukanlah golongan yang masih lagi dianggap sebagai dangkal dan kebudak-budakan. Sejak dari zaman berzaman mahasiswa telah dihalang untuk melalui kancah politik. Penulis berharap agar mahasiswa diberikan layanan yang sama rata dengan rakyat Malaysia yang lain untuk boleh bergiat dalam politik. Mahasiswa inginkan bahawa mereka bebas berpolitik bukannya memasuki parti politik. Pemikiran mereka sudahpun matang bagi menilai sesuatu perkara. Justeru itu, sudah tiba masanya untuk memansuhkan AUKU dan Akta 174 yang menajadi tembok penghadang kepada kebebasan golongan mahasiswa kini.

---------------------------

Info Penulis
Mohamad Safwandi Suaidi merupakan seorang penuntut di salah sebuah Institut Pendidikan Guru Malaysia dan sedang mengikuti program persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan - http://wandy-infinity.blogspot.com/

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !