Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Saturday, September 4, 2010

Budayakan Budaya Membaca

Di celah-celah kesibukan kita menyambut Syawal sebagai Hari Kemenangan pada hujung minggu ini, Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) ingin mengajak rakan-rakan mahasiswa untuk berfikir sejenak berkenaan budaya membaca di kalangan mahasiswa hari ini.

Melalui pemerhatian GMUKM, budaya membaca bukan lagi budaya mahasiswa tetapi hanya budaya siswazah post graduates, budaya pensyarah dan budaya 'mat skema'. Menyentuh buku-buku yang bukan alirannya, bukan kursusnya dianggp pelik dan ganjil. Membeli buku bukan lagi budaya mulia, sehinggakan peruntukan pinjaman dan biasiswanya tidak diperuntukkan untuk membeli bahan-bahan ilmiah ini. Hasilannya adalah golongan berpemikiran eksklusif yang buta sosial dan buta ilmu kehidupan ini sendiri. Apalah erti 'mahasiswa' jika dipisahkan dengan buku? Harus diingatkan melalui pembudayaan membaca inilah tercetus revolusi-revolusi yang menggegarkan dunia. Malahan kemerdekaan negara kita tidak akan tercapai jika golongan cendikiawan tiada dan tiada satu pihak yang menghidupkan budaya membaca ini.

Justeru, di peringkat GMUKM ingin mengajak rakan-rakan mahasiswa untuk menghidupkan kembali budaya membaca ini dengan mulakan membaca sebarang buku mulai hari ini. Buat permulaan, GMUKM ingin mengajak sahabat membaca sebuah buku, bersempena Hari Kemerdekaan yang baru berlalu. 


Judul : Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan
Pengarang : Mohammed Salleh Lamry
Penerbit :Penerbit UKM
Genre : Sejarah
Mukasurat : 204  halaman
Cetakan Pertama : 2005
ISBN : 967942717x

GMUKM mencadangkan buku ini bukan untuk mencetuskan sebarang provokasi, tetapi pada pandangan GMUKM, penulis buku ini bijak menilai sesuatu isu (dalam konteks ini temanya kemerdekaan Tanah Melayu) dari sisi pandang yang lain. Buku ini mengandungi 11 bab yang antara lain kandungannya melingkari topik berkenaan gerakan politik, perjuangan kemerdekaan dan tanggapan umum terhadap perjuangan bersenjata nasionalis kiri pada zaman penjajah. Untuk buku ini, penulis melakukan penyelidikan dengan menggunakan tiga sumber termasuk sejarah lisan. Penulis juga menemubual secara langsung tokoh-tokoh Melayu berkenaan.  

Dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan, gerakan nasionalisme Melayu terbahagi kepada aliran kiri dan aliran kanan. Aliran kiri dipelopori oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM), diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Muda (PKMM) dan badan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Tanah Air (BATAS). Aliran kanan pula dipelopori oleh persatuan Melayu negeri-negeri dan diteruskan oleh United Malays National Organisation (UMNO) dan berjaya mencapai kemerdekaan. 

Perjuangan nasionalisme aliran kiri memang tidak berjaya mencapai matlamatnya. Gerakan nasionalis kiri terpinggir dan terkeluar dari arus perdana kerana tekanan penjajah dan hanya mendapat sokongan daripada golongan minoriti Melayu. Namun, satu kelompok kecil dari kalangan pemimpin gerakan nasionalis kiri Melayu ini telah memilih jalan lain untuk meneruskan perjuangan mereka. Mereka menyertai perjuangan bersenjata mulai 1948 bersama Parti Komunis Malaya (PKM) setelah mendapati perjuangan secara damai tidak dapat diteruskan lagi. Perjuangan mereka ini hanya berakhir dengan termeterainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand pada 1989 di Haadyai. 

 -------------

*MOHAMED SALLEH LAMRY, Ph. D adalah mantan Profesor Madya dan Sarjana Tamu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Mohamed Salleh Lamry adalah salah seorang daripada kumpulan guru Melayu terakhir yang dilantik daripada kalangan orang yang berpendidikan sekolah rendah. Beliau menjadi guru dan melepaskan peluang keemasan untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah atas kehendak keluarga. Menyedari bahawa status guru sekolah Melayu adalah rendah, usaha meninggikan status diri telah dilakukannya hampir sepanjang hayat. Salleh mengambil peperiksaan SRP dan SPM dengan cara belajar sendiri. Kemudian beliau mencari laluan lain menuju ke menara gading iaitu ke UKM dengna mengambil peperiksaan STPM. AKhirnya, beliau ditawarkan menjadi tutor sambil mengambil ijazah Sarjana setelah mendapat ijazah Sarjana Muda.

    Beliau meneruskan kerjayanya bermula sebagai pensyarah, kemudian Profesor Madya dan berakhir sebagai Sarjana Tamu. Usaha meninggikan status diri hanya berakhir dengan mengambil ijazah Doktor Falsafah. Walaupun tidak berjaya menjadi seorang penulis kreatif, tetapi aktiviti penulisan yang dilakukannya ketika bertugas sebagai guru dan tutor telah memberikannya kelebihan dan kemahiran untuk menulis karya ilmiah.

    Minatnya terhadap politik dapat dipenuhi setelah bekerja di universiti dengan membuat pelbagai kajian tentang politik. Beliau berpengalaman menemuramah beberapa orang tokoh Komunis Melayu seperti Rashid Maidin dan Abdullah C.D. iaitu ketika menjalankan kajian tentang politik kiri yang membawa kepada kelahiran salah satu bukunya yang penting iaitu "Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan".

Thursday, September 2, 2010

'Jom Masak-Masak Bubur Lambuk' Berjaya!


Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) dengan tagline terbaru, "Ber-GM Lebih Baik!" terus menjalankan agenda merakyatkan GM dengan mengadakan kerjasama bersama-sama Persatuan-Persatuan Mahasiswa Fakulti serta badan-badan mahasiswa yang lain dalam menganjurkan aktiviti memasak bubur lambuk pada petang tadi dengan Persatuan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (PEMATRA) menjadi tuan rumah.

Aktiviti yang pada mulanya dirancang diadakan di Tasik FKAB terpaksa diubah ke hadapan kafe FKAB bermula pada pukul 3.30 petang. Walaupun agak lewat daripada jangkaan awal, tetapi aktiviti memasak dan mengacau bubur lambuk ini berjaya diselesaikan menjelang pukul 6.00 petang.

Menurut Fakri, mahasiswa tahun dua dari Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina berkata, beliau teruja dengan aktiviti hari ini kerana ia merupakan gabungan beberapa buah fakulti dan badan mahasiswa lain seperti ISIUKM dan PERKIM selain pembabitan Persatuan Anak Negeri Kelantan (PERDANA) dan Melaka (PESAMA).

" Aktiviti ini kelihatan seperti aktiviti mega antara fakulti-fakulti. (Seolah-olah) jadi 'event' rasmi UKM pula! Saya pun tumpang seronok kerana fakulti kami hari ini menjadi tuan rumah. " luah Fakri kepada Wartawan GMUKM.




Seusai aktiviti memasak bubur lambuk, aktiviti membungkus dan mengedarkan dijalankan. Berkat kehadiran hadirin yang ramai, aktiviti tersebut selesai dijalankan menjelang pukul 6.30 petang. Aktiviti mengedarkan bubur lambuk disasarkan kepada para mahasiswa penghuni kolej-kolej kediaman seperti Kolej Burhanuddin Helmi, Kolej Ungku Omar sehingga Kolej Keris Mas di samping perhentian-perhentian bas sekitar UKM.










Aktiviti pengedaran bubur lambuk ini selesai dijalankan menjelang pukul 7.00 petang. Apa yang diharapkan, melalui aktiviti-aktiviti ini dapat dijadikan salah satu lonjakan kepada para mahasiswa dalam kita bermasyarakat. Ditambah pula dengan keberkatan bulan Ramadhan yang mulia ini, diharapkan kita semua dapat saling memberi dan berkongsi sesama insan. Biarpun berlainan fahaman mahupun pandangan, tetapi pada asasnya kita semua warga kampus UKM yang bertanggungjawab membina varsiti tercinta ini menuju visi dan misi serta falsafah varsiti yang jelas.



Ber-GM Lebih Baik!

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !