Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Monday, September 6, 2010

Utamakan Keselamatan

 

Dengan Ramadhan yang berbaki kurang daripada lima hari ini, dan Syawal bakal berkunjung tiba, maka di kesempatan ini seluruh pimpinan Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) melalui MAMPU, KAMI, GMLN dan AKSIS dengan ini mengambil peluang untuk mengingatkan kepada rakan-rakan mahasiswa sekalian supaya menjaga keselamatan diri semasa di jalan raya dan kampung halaman sewaktu musim perayaan ini.

Harus diingatkan, menjelang tibanya musim perayaan ini ramai yang tinggal, belajar dan bekerja di perantauan akan mula pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut hari raya bersama keluarga. Maka jalan raya akan dipenuhi dengan banyak kenderaan yang berpusu-pusu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Apa yang menyedihkan apabila tibanya musim perayaan akan terjadinya banyak kemalangan jalan raya yang meragut banyak nyawa. Statistik setiap tahun menunjukkan setiap kali tiba musim menyambut hari raya banyak kes kemalangan jalan raya telah berlaku. Hari raya yang sepatutnya menjadi hari untuk bergembira bersama keluarga tersayang telah bertukar menjadi hari yang menyedihkan.

Ada banyak faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Kemalangan jalan raya hendaklah dielakkan sama sekali dari berlaku.Kepada mereka yang merancang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing berhati-hatilah di jalan raya.  Walaupun hendak cepat sampai, tetapi seharusnya jangan memandu laju dan berkeadaan merbahaya. Jangan memandu mengikut perasaan tapi ikutlah peraturan jalan raya.

Di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 September lalu ada memetik bahawa Timbalan Perdana Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati, kerugian sosioekonomi akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2009 lalu mencecah RM9 bilion.Jumlah tersebut tidak termasuk kerugian emosi akibat kesedihan dan trauma yang dialami oleh ahli keluarga mangsa kemalangan.Berita ini amat mengejutkan di banyak pihak. 

Justeru di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM, kita ingin berpesan kepada teman-teman supaya sama-sama menjaga keselamatan diri dan orang lain. Ingatlah orang yang tersayang. Semoga hari raya aidilfitri pada tahun ini akan dapat dapat disambut dengan meriah bersama sanak saudara di kampung. Selamat hari raya aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

Saturday, September 4, 2010

Budayakan Budaya Membaca

Di celah-celah kesibukan kita menyambut Syawal sebagai Hari Kemenangan pada hujung minggu ini, Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) ingin mengajak rakan-rakan mahasiswa untuk berfikir sejenak berkenaan budaya membaca di kalangan mahasiswa hari ini.

Melalui pemerhatian GMUKM, budaya membaca bukan lagi budaya mahasiswa tetapi hanya budaya siswazah post graduates, budaya pensyarah dan budaya 'mat skema'. Menyentuh buku-buku yang bukan alirannya, bukan kursusnya dianggp pelik dan ganjil. Membeli buku bukan lagi budaya mulia, sehinggakan peruntukan pinjaman dan biasiswanya tidak diperuntukkan untuk membeli bahan-bahan ilmiah ini. Hasilannya adalah golongan berpemikiran eksklusif yang buta sosial dan buta ilmu kehidupan ini sendiri. Apalah erti 'mahasiswa' jika dipisahkan dengan buku? Harus diingatkan melalui pembudayaan membaca inilah tercetus revolusi-revolusi yang menggegarkan dunia. Malahan kemerdekaan negara kita tidak akan tercapai jika golongan cendikiawan tiada dan tiada satu pihak yang menghidupkan budaya membaca ini.

Justeru, di peringkat GMUKM ingin mengajak rakan-rakan mahasiswa untuk menghidupkan kembali budaya membaca ini dengan mulakan membaca sebarang buku mulai hari ini. Buat permulaan, GMUKM ingin mengajak sahabat membaca sebuah buku, bersempena Hari Kemerdekaan yang baru berlalu. 


Judul : Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan
Pengarang : Mohammed Salleh Lamry
Penerbit :Penerbit UKM
Genre : Sejarah
Mukasurat : 204  halaman
Cetakan Pertama : 2005
ISBN : 967942717x

GMUKM mencadangkan buku ini bukan untuk mencetuskan sebarang provokasi, tetapi pada pandangan GMUKM, penulis buku ini bijak menilai sesuatu isu (dalam konteks ini temanya kemerdekaan Tanah Melayu) dari sisi pandang yang lain. Buku ini mengandungi 11 bab yang antara lain kandungannya melingkari topik berkenaan gerakan politik, perjuangan kemerdekaan dan tanggapan umum terhadap perjuangan bersenjata nasionalis kiri pada zaman penjajah. Untuk buku ini, penulis melakukan penyelidikan dengan menggunakan tiga sumber termasuk sejarah lisan. Penulis juga menemubual secara langsung tokoh-tokoh Melayu berkenaan.  

Dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan, gerakan nasionalisme Melayu terbahagi kepada aliran kiri dan aliran kanan. Aliran kiri dipelopori oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM), diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Muda (PKMM) dan badan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Tanah Air (BATAS). Aliran kanan pula dipelopori oleh persatuan Melayu negeri-negeri dan diteruskan oleh United Malays National Organisation (UMNO) dan berjaya mencapai kemerdekaan. 

Perjuangan nasionalisme aliran kiri memang tidak berjaya mencapai matlamatnya. Gerakan nasionalis kiri terpinggir dan terkeluar dari arus perdana kerana tekanan penjajah dan hanya mendapat sokongan daripada golongan minoriti Melayu. Namun, satu kelompok kecil dari kalangan pemimpin gerakan nasionalis kiri Melayu ini telah memilih jalan lain untuk meneruskan perjuangan mereka. Mereka menyertai perjuangan bersenjata mulai 1948 bersama Parti Komunis Malaya (PKM) setelah mendapati perjuangan secara damai tidak dapat diteruskan lagi. Perjuangan mereka ini hanya berakhir dengan termeterainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand pada 1989 di Haadyai. 

 -------------

*MOHAMED SALLEH LAMRY, Ph. D adalah mantan Profesor Madya dan Sarjana Tamu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Mohamed Salleh Lamry adalah salah seorang daripada kumpulan guru Melayu terakhir yang dilantik daripada kalangan orang yang berpendidikan sekolah rendah. Beliau menjadi guru dan melepaskan peluang keemasan untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah atas kehendak keluarga. Menyedari bahawa status guru sekolah Melayu adalah rendah, usaha meninggikan status diri telah dilakukannya hampir sepanjang hayat. Salleh mengambil peperiksaan SRP dan SPM dengan cara belajar sendiri. Kemudian beliau mencari laluan lain menuju ke menara gading iaitu ke UKM dengna mengambil peperiksaan STPM. AKhirnya, beliau ditawarkan menjadi tutor sambil mengambil ijazah Sarjana setelah mendapat ijazah Sarjana Muda.

    Beliau meneruskan kerjayanya bermula sebagai pensyarah, kemudian Profesor Madya dan berakhir sebagai Sarjana Tamu. Usaha meninggikan status diri hanya berakhir dengan mengambil ijazah Doktor Falsafah. Walaupun tidak berjaya menjadi seorang penulis kreatif, tetapi aktiviti penulisan yang dilakukannya ketika bertugas sebagai guru dan tutor telah memberikannya kelebihan dan kemahiran untuk menulis karya ilmiah.

    Minatnya terhadap politik dapat dipenuhi setelah bekerja di universiti dengan membuat pelbagai kajian tentang politik. Beliau berpengalaman menemuramah beberapa orang tokoh Komunis Melayu seperti Rashid Maidin dan Abdullah C.D. iaitu ketika menjalankan kajian tentang politik kiri yang membawa kepada kelahiran salah satu bukunya yang penting iaitu "Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan".

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !