Fokus. Mungkin ini ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan keadaan mahasiswa yang kini sedang membuat persiapan terakhir menjelang peperiksaan akhir semester yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Sesungguhnya tidak sedikit usaha dan pengorbanan yang diperlukan untuk menguasai ilmu. Semuanya sebagai persediaan untuk ‘pertempuran’ di dewan peperiksaan nanti.
GMUKM MERENTAS KECEMERLANGAN
Segala usaha ke arah kecemerlangan intelektual mahasiswa sangat bertepatan dengan tema KEILMUAN dalam dasar GMUKM. Namun, kecemerlangan akademik belum cukup untuk melahirkan individu yang unggul dalam masyarakat.
GMUKM mendukung FALSAFAH Universiti yang memartabatkan ilmu seiring dengan pembentukan akhlak dan jatidiri mahasiswa. Mahasiswa intelek yang mempunyai jatidiri terpuji akan menzahirkan amalan berbentuk KEBAJIKAN yang bermanfaat kepada orang lain. Semuanya terkandung berpadu sebagai dasar GMUKM: KEILMUAN, FALSAFAH, KEBAJIKAN.
MAHASISWA INTELEK = AGEN PERUBAHAN
Keintelektualan merupakan aset yang tidak ternilai harganya. Jika tidak dipelihara dan digunakan sebaiknya, keintelektualan boleh dimanipulasikan oleh sesetengah pihak untuk kepentingan sendiri. Mungkin juga ‘membeku’ kerana dibiarkan dipengaruhi unsur-unsur kecaman dan ugutan.
Keintelektualan tidak harus menghalang mahasiswa daripada bebas memilih kepimpinan mahasiswa tanpa perlu dipengaruhi rasa takut dan gentar kepada pihak bukan mahasiswa. Kecelaruan sistem urus tadbir kepimpinan sedia ada harus menjadi isyarat kepada semua bahawa mahasiswa perlu berubah pada Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar akan datang. Isyarat ini pasti akan sampai kepada setiap warga kampus agar membentuk suatu kesatuan padu yang ingin berubah. Ayuh, BERSATU BERUBAH!
Justeru ayuh semua mahasiswa berusaha ke arah keintelektualan yang lebih berintegriti. GMUKM mengucapkan Selamat Menghadapi Peperiksaan Akhir Semester buat semua mahasiswa UKM. Semoga setiap usaha dibayar dengan kejayaan. Gandakan usaha, tingkatkan kecemerlangan.
GMUKM.. GOVERNMENT IN WAITING
Pilihanraya Kampus (PRK) merupakan perayaan demokrasi (democracy of ) yang sentiasa diraikan oleh mahasiswa di seluruh negara dan tidak terkecuali di kampus tercinta ini. Dalam pilihanraya kampus lalu, kejayaan Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) menafikan majoriti 2/3 yang Aspirasi, merupakan satu kejayaan yang membanggakan dan di luar jangkaan. Dan pada PRK kali ini, kami menetapkan sasaran untuk menduduki kerusi Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) yang nyata telah gagal dibawa perubahannya oleh Aspirasi pada kali ini. Kegagalan mereka dalam menjadikan UKM universiti perdana dan mahasiswanya bersifat intelek, telah diterjemahkan dengan kejatuhan UKM sebanyak 41 anak tangga iaitu dari tangga 250 pada 2008 ke tangga 291 dalam rangking Higher Education (THE)-QS World University Ranking 2009. Berbanding di UM, kampus mereka berjaya menjadi terulung di Malaysia dan menduduki tangga 180 daripada kedudukan 230 tahun lalu. Fakta yang tidak boleh dinafikan, ianya sedikit sebanyak disebabkan oleh pemerintahan Majlis Perwakilan yang pro mahasiswa, yang tahu apa kehendak dan aspirasi mahasiswa, bukan aspirasi politik luar yang kotor itu.
E-Undi : Mengekang proses demokrasi sejati (the true democracy)
Pilihanraya kampus di UKM telah ditetapkan pada tahun hadapan iaitu selepas 15 Januari 2010. Ini telah dinyatakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar & Alumni UKM, Prof. Dato' Dr. Mohamad Abdul Razak ketika menjawab pertanyaan MPP GMUKM pada Mesyuarat Lembaga Pengurusan Universiti pada 28 September lalu. Ia juga selari dengan peruntukkan Perlembagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (Pindaan) 1999 yang menyatakan bahawa hendaklah pemegang jawatan MPP itu selama satu tahun. (PRK 2009 dijalankan pada 15 Januari 2009 lalu). Bahkan jaminan TNC HEPA bahawa sistem e-undi atau e-voting, tidak akan digunakan dalam PRK UKM pada tahun hadapan. GMUKM mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Ayahanda TNC kerana mendengar suara mahasiswa berkaitan isu ini. Bukannya kami membantah tanpa ada hujah yang kukuh, tetapi sebenarnya adalah kerana demi kelangsungan demokrasi sebenar di UKM dan juga sistem pilihanraya kampus yang adil dan bersih (free and fair election). Sistem e-undi telah dibuktikan di UPM sebagai satu sistem yang boleh dimanipulasikan, dan pada masa yang sama membuatkan peranan Polling Agent (Agen tempat mengundi) dan Counting agent (Agen kira undi) ibarat patung semata-mata, yang tidak boleh melihat atau mengira kertas undi kerana ianya bersifat illusi ibarat hantu yang susah dilihat, tetapi selalu diceritakan orang ramai.
Kemenangan Moral 2 Pro M UUM
Kemenangan tidak disangka-sangka, dua orang calon pro mahasiswa, seangkatan dengan GMUKM di Universiti Utara Malaysia (UUM) adalah amat mengejutkan. Dan petanda ini jelas bahawa tsunami politik kampus akan melanda UKM tidak lama lagi. Dalam pilihanraya kampus yang penuh kotor dan berat sebelah itu, pihak Aspirasi UUM telah berjaya memenangi 16 kerusi Kolej Kediaman tanpa bertanding. GMUKM juga berharap agar roh kemenangan Parti Demokratik Jepun (DPJ) menumbangkan Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun yang telah memerintah Jepun sejak Perang Dunia Kedua, akan menjadi petunjuk dan harapan kepada GMUKM untuk menjadi wakil rakyat kepada mahasiswa di UKM ini. Dengan dasar yang tidak pernah berubah dan konsisten iaitu perjuangan selari dengan falsafah Universiti, kebajikan mahasiswa diutamakan dan nilai keintelektualan dijunjung, maka GMUKM yakin akan dapat menjadi mata dan telinga kepada mahasiswa untuk menjuarai isu-isu mereka. Banyak lagi isu-isu tertunggak yang gagal diselesaikan oleh Aspirasi. Antara contoh jelas isu jenayah yang dilaporkan oleh OCPD Bangi bahawa UKM paling banyak kes jenayah di Bangi terutamanya kecurian motorsikal. Juga isu-isu kebajikan seperti isu yuran, isu kemalangan jalan raya, isu mahasiswi, isu Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG), isu penyalahgunaan kuasa pengetua seperti digambarkan dalam kes Pengetua Ungku Omar yang mendenda pelajar melakukan study circle (usrah) dan pelbagai lagi isu kebajikan mahasiswa. Dan ianya jelas gagal dimainkan oleh Aspirasi dibawah kepimpinan Presiden paling lemah dalam sejarah UKM.
Maka peranan GMUKM yang menjadi penyelamat kepada mahasiswa UKM untuk keluar daripada kepompong ketidakmampuan Aspirasi dalam memperjuangkan suara mahasiswa. Kami berjanji akan terus selari dengan perjuangan Universiti, tetapi pada masa yang sama tidak akan memingkirkan suara mahasiswa yang menjadi prioriti kami. Dengan kehadiran 12 MPP GMUKM dalam pentadbiran PMUKM, ia sedikit sebanyak merealisasikan konsep semak dan imbang (check and balance) kepada PMUKM Aspirasi. Walaupun gagal mendapat jawatan dan dinafikan hak dalam mesyuarat PMUKM (Hanya dua kali dalam seumur hidup 12 MPP), ianya tidak menjadi penghalang kepada 12 MPP kami untuk bergerak kerja dan merealisasikan manifesto mereka. Kemampuan menjadi pendesak utama isu-isu mahasiswa, kejayaan penganjuran program intelektual seperti Festival Ilmu dan Forum, pembaikan jalan-jalan utama kampus, pembinaan hentian bas di FPEND dan FST, perjuangkan isu park and ride, jelas menjadi alibi (bukti-bukti kukuh) bahawa MPP GMUKM bersedia untuk berkhidmat kepada mahasiswa.
Justeru itu, GMUKM menyeru kepada seluruh mahasiswa UKM, untuk sama-sama bersatu hati dalam pengundian pada PRK tahun hadapan, berikanlah kepercayaan undi kepada GMUKM dan lakukan perubahan demi menjadikan varsiti kita dan mahasiswa UKM berkebolehan dalam memenuhi hasrat 1 Malaysia yang diuar-uarkan hari ini. BERSATU BERUBAH.