Sebagai sebuah negara Islam, masyarakat di Malaysia seharusnya menghayati sejarah kehidupan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang meletakkan kepentingan kesatuan dan perpaduan di kalangan manusia sebagai asas kecemerlangan dan pemangkin khaira ummah iaitu umat yang berkualiti dan baik. Tambahan pula, negara kita ini didiami oleh pelbagai jenis kaum serta lapisan masyarakat, perpaduan itu menjadi suatu kemestian dalam setiap kehidupan rutin kita.
Sejajar dengan era globalisasi dan kemajuan teknologi pada alaf ke 21 ini, seharusnya, soal perpaduan tidak boleh diambil ringan memandangkan setiap pihak perlu menjalankan gerak kerja secara bersama dan seiring sejalan dalam merealisasikan hasrat negara untuk menjadi negara maju dan terkehadapan seperti Korea dan Jepun sebagai contoh.
Hal ini saya utarakan setelah melihat keruncingan masalah perpaduan di Malaysia yang berlaku akibat kepentingan sesetengah pihak yang cuba menimbulkan isu perkauman yang akhirnya menimbulkan perpecahan sesama rakyat. Apabila sebahagian manusia dijangkiti sikap tamak dan mula bersikap pentingkan diri untuk mengejar kemewahan duniawi, maka serta merta mereka akan mula melupakan nilai-nilai murni yang ditekankan oleh syariat Islam itu sendiri sekaligus membawa malapetaka ekoran kemurkaan dari Allah S.W.T. Bak kata pepatah, "sudah terhantuk, baru nak terngadah". Umat manusia seharusnya belajar dari sejarah dahulu dan kesilapan yang dilakukan oleh kaum-kaum yang mendapat balasan dan azab dari Allah.
Aspek perpaduan ini boleh diimplementasikan dalam segenap kehidupan manusia sebenarnya. Bukan hanya bila timbul isu perpaduan, tersemat di fikiran kita perlu dihimpunkan semua masyarakat itu di dalam suatu program semata-mata. Perpaduan juga boleh diterapkan di dalam solat berjemaah di masjid, sewaktu berjual beli, di dewan kuliah, di tempat kerja mahupun di mana-mana sahaja. Dalam Al-Quran, terdapat banyak ayat yang membicarakan mengenai kepentingan perpaduan dan kesatuan itu baik sesama Islam, mahupun dengan orang bukan Islam.
"Dan, berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya." (Ali Imran:103)
Oleh itu, saya menyeru sekalian masyarakat agar tidak sesekali menolak soal perpaduan untuk kepentingan diri. Kerana apabila timbulnya perpecahan, setiap orang pasti ingin menjadi orang yang terkehadapan dan akhirnya akan menimbulkan persengkataan yang membawa kepada sengsara kepada semua seperti peristiwa Tragedi 13 Mei. Ingatlah bahawa hidup di dunia hanya sementara. Usahlah kita berdendam sesama kita dan hargailah tempoh yang singkat di dunia ini untuk menjalin hubungan harmoni antara masyarakat. Kan bersatu itu lebih baik..
" Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, seseorang tidak beriman hingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri." [Rasulullah S.A.W]
Noraini bt Jumahir
Exco Perpaduan Dan Kemasyarakatan PMUKM
MPM Kerusi Umum 1/2
MPM Kerusi Umum 1/2
0 comments:
Post a Comment