Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Powered by Issuu
Publish for Free

Provinsi Ungu [Versi Online]

Powered by Issuu
Publish for Free

Thursday, July 7, 2011

Universiti - School of Universal Learning



Universiti mempunyai makna yang cukup akrab dengan ilmu. Newman merujuk universiti sebagai “School of Universal Learning” di mana universiti menjadi pusat ilmu dalam apa bidang sekali pun dan sentiasa kehadapan dalam memandu masyarakat. University seharusnya menjadi tanda aras ketamadunan dan ketertinggian intelektual masyarakatnya. Nilaian universiti terbaik adalah universiti yang mampu menghasilkan impak bukan sahaja terhadap warganya sahaja malah turut mengesan masyarakat umumnya. Impak yang dimaksudkan sudah tentunya merujuk kepada memberi jawapan terhadap polemik yang wujud dalam kalangan masyarakatnya sama ada yang bersifat structural mahupun yang berciri semasa dan dalam masa yang sama, sentiasa menawarkan idea – idea baharu.

Mentakrif Universiti
Tidaklah sesukar itu untuk mentakrif universiti. Universiti wujud sejak berkurun-kurun lampau, yang terawal ialah Al-Azhar (970 SM). Ini kemudiannya diikuti lebih lewat kemudiannya oleh penubuhan universiti-universiti yang ternama seperti Bologna, Paris, Oxford dan Cambridge. Secara umum, sebuah universiti seharusnya mengandungi:

1.Para pentadbir universiti serta Lembaga Pengarah; atau majlis universiti; dan sebagainya yang berkaitan.
2.Istiadat Konvokesyen;
3.Para profesor, dan staf akademik sepenuh masa serta staf lain yang berkhidmat sebagaimana dibenarkan oleh perundangan
4.Graduan dan mahasiswa yang dijelaskan secara terang oleh perundangan

Universiti selalunya ditakrif menurut fungsi serta idealismenya. Sukar untuk menentukan takrifan mana yang tepat dan mesti diterima. Bagaimanapun, secara umum, dan sering berlaku, universiti ditakrifkan melalui peranan atau fungsi mereka (yang ditentukan dan dibataskan oleh perundangan tertentu). Paling asas, secara idealnya, peranan universiti dikatakan sebagai meliputi 3 fungsi utama, iaitu:

i. Mengajar
Sebuah universiti menghebahkan dan memperakui sesuatu pengetahuan sebagai "kebenaran" atau "fakta". Ini melibatkan pengajaran disiplin akademik tahap tinggi, dan seterusnya melibatkan penyebaran maklumat dan pengetahuan. Selain itu, universiti juga membudayakan kemahiran generik yang membawa kepada pengajaran berasaskan penyelidikan

ii. Menyelidik
Dalam atmosfera sebuah universiti, fungsinya secara awal meliputi penyiasatan dan perenungan – tanpa batasan – terhadap apa yang dianggap sebagai "fakta" atau "kebenaran". Oleh yang demikian, amalan menyelidik dilihat bersampingan dengan fungsi-fungsi mengajar dan menyelidik. Ini yang membezakan antara "universiti" dengan institusi pendidikan yang lain. Di sini, peranan universiti sebahagiannya adalah untuk membudayakan kegiatan merenung, memikir, mengkaji dan membuat perakuan berkenaan pelbagai fenomena dalam pembelajaran dan pengajian.

iii. Menawar Khidmat kepada Masyarakat
Kegiatan-kegiatan mengajar dan menyelidik sebenarnya bertujuan untuk memberi sumbangan kepada komuniti universiti dan juga membantu masyarakat umum mencapai cita-cita dan matlamat mereka. Dalam hal ini, universiti menjadi tempat rujukan untuk percambahan idea-idea baru serta memperkembang dan menghalusi idea-idea sedia ada. Universiti jadi gedung ilmu yang digunakan oleh masyarakat.

Peranan-peranan yang lain

i. Menyediakan kemudahan-kemudahan pendidikan pada standard universiti untuk kemanfaatan mahasiswa yang layak untuk mendaftar dan menggunakan kemudahan berkenaan
ii. Mentadbir kursus-kursus pengajian
iii. Mentadbir pengajaran dan peperiksaan
iv. Menyuburkan kesarjanaan dan menghebahkan maklumat-maklumat "fakta"
v. Menganugerahkan ijazah-ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah serta diploma dan sijil-sijil lain

Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidikan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia dan seharusnya yang memikul tanggungjawab ini adalah universiti. Hal ini kerana, mereka yang terbaik dalam kalangan masyarakatnya – daripada sudut akademik – pastinya akan tertumpu dan terkait dengan universiti. Jika tidak, maka rugilah universiti tersebut.

Idealisme Universiti

Pada penghujung abad ke 20, beberapa fenomena penting berlaku di dunia. Namun, dua fenomena besar dipercayai mengubah lanskap kehidupan manusia seluruhnya, iaitu: (1) peledakan maklumat dalam kehidupan manusia; dan (2) konflik ideologi / budaya / agama antara kuasa-kuasa besar dunia. Implikasi daripada fenomena ini, berlaku perubahan dan anjakan besar-besaran seluruh dunia, yang pada hari ini dikenal sebagai "globalisasi". Dalam konteks pendidikan tinggi, banyak universiti di mana-mana rantau sekalipun mula memberikan keutamaan kepada pemakaian paradigme universiti yang tunggal dalam operasi masing-masing. Banyak universiti diharapkan untuk beroperasi seperti badan perniagaan di pasaran, yang berfungsi untuk menghasilkan kepakaran teknikal dalam pelbagai disiplin pengetahuan kepada para graduan dan orang lain yang dianggap sebagai pelanggan.

Man only can become man by education.

Man only can become man by education. Jadi, pada pundak siapa seharusnya beban tanggungjawab mencerahkan dan menyedarkan masyarakat ini diletakkan?

Gerakan intelektual adalah perlu dalam sebarang bentuk gerakan masyarakat sebagai vanguard – perintis barisan hadapan sesuatu gerakan (perjuangan) – yang memacu pengislahan dan pereformasian serta pencerahan sesuatu masyarakat. Tanpanya sebarang gerakan massa itu hanya akan bersifat kosmetik, luaran, popular dan gagal mencetus perubahan – apatah lagi revolusi pemikiran. Hanya dengan adanya pemikiran – pemikiran besar yang bersifat structural yang mampu memberi anjakan paradigma baharu dalam sesebuah masyarakat. Pencerahan dan pengislahan hanya bermula selepas masyarakatnya berfikir.

Dengan itu, universiti – secara sukarela atau terpaksa – didorong dan terdorong untuk memikirkan pemilihan paradigme operasi yang konsisten sebagai pilihan untuk survival dan reputasi masing-masing. Meskipun banyak universiti awal zaman lampau ditubuhkan lebih atas faktor-faktor tuntutan agama, namun kemudiannya, tidak kurang bilangannya universiti tersebut yang kemudiannya beroperasi sebagai 'syarikat-syarikat komersil'. Sebagai contoh, Harvard, universiti tertua di Amerika Syarikat dilaporkan memiliki kekayaan melebihi 6 bilion USD. Di sesetengah negara Asia – misalnya Jepun, Korea, Taiwan – ada kecenderungan atau trend yang menunjukkan bahawa universiti swsta kian menumbuh dan di sebahagian negara tersebut, ada universiti yang disenaraikan dalam pasaran saham. Selain daripada itu, banyak universiti baru dibangunkan terutamanya di United Kingdom, Australia, Amerika Utara, Eropah Tengah dan Timur. Bagaimanapun, di Eropah Barat, perkembangan sebegini tidak begitu dikesan. Semua perkembangan ini menunjukkan ada tanda-tanda bahawa proses perubahan organisasi dalam pendidikan tinggi sedang berlaku secara global. Di negara ini sendiri, trend serupa itu sudah jelas dan terbukti: misalnya, penubuhan universiti berasaskan keperluan industri yang terang-terang ditunjukkan melalui nama universiti seperti UNITEN, Universiti Teknologi PETRONAS, Universiti Industri Selangor, Universiti Multimedia dan beberapa yang lain. Sehingga Februari 2003, Malaysia mempunyai 9 buah universiti swasta, 15 buah universiti awam, dan 685 buah kolej.

Oleh hal yang demikian, jika perkara ini dijadikan sebagai tanda aras universiti yang baik, maka adakah universiti di Malaysia ini amat jauh keterbelakang dalam mendukung makna universiti itu sendiri ? Andainya kita merujuk kepada falsafah pendidikan kebangsaan (FPK), salah satu konsep asas yang terkandung dalam FPK adalah mengenai ilmu, nilai dan peranannya dalam pembangunan insan dan masyarakat – hal yang merupakan inti pati yang mendukung makna universal Knowledge – Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia.

Dalam sejarah peradaban manusia, masyarakat akan sentiasa dapat melihat pendidikan berkembang seiring dengan ketamadunan manusia. Sebagai contoh, sewaktu zaman di mana kegiatan masyarakat adalah berasaskan pertanian, pendidikan lebih mengarah kepada pengembangan dan pembangunan yang bertujuan untuk memajukan teknologi dan kepakaran berdasarkan keperluan pada masa itu. Revolusi Hijau misalnya merupakan contoh apabila bidang pertanian dimajukan khasnya melalui kaedah penanaman tanpa mengikut jadual secara rigid. Penanaman boleh dilakukan secara berulang kali. Bilangan stok makanan ditambah untuk menampung keperluan yang meningkat. Apabila berlaku Revolusi Industri, bidang pekerjaan masyarakat dimajukan melalui pengenalan kepada pengautomasian. Banyak pekerjaan dikendalikan oleh mesin, sekaligus menjimatkan masa dan tenaga kerja secara manual. Pengenalan kepada komputer kemudiannya memberi lebih banyak kemudahan dan kelebihan kepada masyarakat. Produktiviti meningkat seiring dengan kualiti.

Keutamaan Peranan Universiti

Dalam hal ini, minat serta keutamaan universiti harus berjalan seiring dengan fungsi ideal sebuah universiti. Memberi keutamaan hanya kepada fungsi universiti, tanpa memberatkan soal minat dan kepentingan universiti menurut keperluan semasa, akan menyebabkan wujud ketidakimbangan dari segi faktor pemintaan dan penawaran di pasaran. Pilihan terbaik masa kini adalah dengan berusaha untuk mengutamakan minat, kepentingan serta keperluan semasa dengan fungsi ideal universiti. Prinsip-prinsip asas dan tradisi universiti – yang berpaksi kepada mengajar, menyelidik dan memberi khidmat komuniti – perlu disokong dengan strategi bijak universiti terutamanya dalam mendapat faedah terbaik hasil daripada kerjasama erat dan bermakna terutamanya dengan pihak industri.

Ironi, dalam hal ini, ada kecenderungan di kalangan universiti untuk berlumba-lumba 'memasarkan' produk masing-masing, iaitu program-program pengajian pada tahap tertentu tanpa memikirkan sama ada mereka berkeupayaan untuk mentadbir program-program berkenaan selayaknya.

Akhirnya, jika keadaan ini benar berlaku, bukan hanya pelajar-pelajar sahaja yang menajdi mangsa, malah, lebih memburukkan nama baik universiti berkenaan sendiri tentunya tercemar kerana mereka dilihat "rakus" dan "tidak bijak" kerana tersalah membuat pilihan dan keutamaan.

Jika universiti sendiri tidak terbina dengan nilai ilmu, harus bagaimana? Jika universiti Malaysia gagal memainkan peranan utamanya ini – malah makin menyeret masyarakatnya dalam gelap pekat – tak kan kita harus menyuruh para naib Canselor kita kembali menekuni falsafah dan nilai intelektual semula, apa pula kata dunia pada kita nanti? Letak hebatnya Universiti itu bukan pada capaian 'ranking' nya semata tapi pada erti manusia yang mendewasakan MAHASISWA nya.


Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !