Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Saturday, June 4, 2011

Manipulasi Media Dalam Kehidupan

Menyentuh serba sedikit tentang Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka berlaku tidak lama lagi, kedua-dua pihak sama ada parti kerajaan dan parti pembangkang sedang bermain tarik tali. Namun, bukan tali yang ditarik tetapi perhatian dan kepercayaan rakyat. Jika kita sedar, sekarang ini sedang berlaku perang media yang sangat dahsyat. Kedua-dua pihak memanipulasikan semaksimum mungkin saluran media yang ada dalam Malaysia ini untuk mewujudkan isu bagi memancing perhatian rakyat. Namun, pernahkah kita bertanyakan pada diri, inikah isu yang kita (rakyat) hendak dengar?

Jika dianalisis dari sudut politik, pada pilihan raya umum 2008, berlaku tsunami politik adalah disebabkan oleh peranan media alternatif yang digunakan sepenuhnya oleh pembangkang. Pembangkang telah memanipulasikan sepenuhnya media alternatif seperti internet, blog, Facebook dan sebagainya untuk memainkan isu-isu yang timbul dalam negara. Media merupakan faktor tradisional, dan apabila ia dimanipulasikan oleh mereka yang berkuasa, boleh memenangkan mereka pada pilihan raya. Di pihak kerajaan, BN telah menggunakan semua media cetak milik kerajaan terutama akhbar harian nasional tanpa segan silu mengenepikan etika kewartawanan, dan menyokong BN secara membabi buta.

Namun, teknologi maklumat yang sudah maju dan kemudahan akses kepada internet dan media alternatif yang lain telah menyebabkan berlaku kontradiksi dan perang isu antara kedua-dua belah pihak sebelum pilihan raya umum 2008. Rakyat kelas menengah dan golongan belia tidak mudah mempercayai segala imej baik yang dipaparkan mengenai BN di kaca televisyen kerana sebelum masa pilihan raya media yang sama telah membongkar beberapa kes yang melibatkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Oleh itu, rakyat yang mendapat akses kepada internet mendapat maklumat yang lebih tepat dari laman-laman web parti-parti pembangkang terutamanya blog-blog. Terdapat juga maklumat yang diperoleh melalui blog-blog yang diwujudkan oleh individu-individu yang mempunyai kaitan yang rapat dengan apa yang berlaku dalam BN. Imej Abdullah Ahmad Badawi yang dilihat sentiasa tidur dalam parlimen misalnya disebarluaskan dan pembongkaran penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang semakin meluas di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi yang menunjukkan imej yang bersih turut dihighlightkan.

Faktor rakyat memilih untuk merujuk media alternatif adalah disebabkan oleh faktor pembandaran atau urbanisasi. Lerner dan Lipset mempunyai pendapat yang sama iaitu urbanisasi merupakan prasyarat proses pendemokrasian. Urbanisasi bermaksud penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar. Maksud lain ialah pertambahan saiz bandar dengan pembinaan infrstruktur dan kemudahan lain. Kehadiran pelbagai penduduk di bandar telah menjadikan sifat masyarakat ini bersifat majmuk atau heterogen. Kepelbagaian latar belakang menjadikan setiap kumpulan penduduk ini mempunyai kepentingan yang berbeza menyebabkan wujudnya pelbagai parti politik.

Bagi memastikan kepentingan mereka dijaga, golongan kelas menengah ini lebih bersifat terbuka dan mencari parti politik yang dapat memastikan kebajikan mereka terpelihara. Dengan lambakan maklumat di internet dan media cetak, terpulang kepada rakyat untuk menilai pihak yang mana satu yang menjuarai isu-isu masyarakat berbanding pihak yang telah menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.

Kelemahan pentadbiran DS Abdullah Ahmad Badawi turut menjadi faktor perubahan pola pengundian masyarakat Malaysia. Apabila DS Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pemerintahan pada 31 Oktober 2003, beliau berusaha keras untuk membawa imej bersih dan berlainan dengan pemerintahan Mahathir yang bersifat autoritarian. Keadaan ini menyebabkan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan Dasar Wawasan Negara (DWN) yang digagaskan oleh Mahathir tidak diberikan perhatian. Masyarakat Cina memandang perkara ini dengan rasa terkejut dan cemas. Mereka membuat kesimpulan pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi adalah lemah sekaligus menukar undi mereka kepada pihak pembangkang.

Selain itu, turut berlaku konflik kepimpinan dalaman sama ada antara parti dalam BN atau dalam UMNO sendiri. Konflik ini dipaparkan melalui media arus perdana seperti Utusan, Berita Harian dan lain-lain. Disebabkan Abdullah Ahmad Badawi tidak mahu dibayangi dengan imej Mahathir, beliau kurang memberi perhatian terhadap DPN dan DWN. Keadaan ini menyebabkan Mahathir menyerang Abdullah secara terbuka melalui akhbar. Manakala masalah dalaman parti BN berlaku dalam kalangan kepimpinan MCA yang melibatkan menterinya Ong Ka Ting. Masalah antara parti adalah menteri-menteri di bawah Abdullah sentiasa menyerang antara satu sama lain. Kritikan secara terbuka di dada-dada akhbar memaparkan kelemahan parti.

Kelemahan pentadbiran yang berlaku menyebabkan rakyat mula membuat perbandingan antara pemerintahan Mahathir sebelum ini. Sungguhpun Mahathir seorang yang lantang dan tegas, tetapi semua orang akur bahawa beliau seorang pemimpin yang dinamis dan berpandangan jauh. Sewaktu zaman Mahathir juga, tidak pernah berlaku kritikan secara terbuka antara pemimpin.Setiap permasalahan diselesaikan di dalam parti.

Melihat kepada pemerintahan DS Najib sekarang ini, pelbagai isu diketengahkan sehingga rakyat menjadi keliru siapakah yang sedang berkata benar? Sebagai mahasiswa, kita perlu bijak melihat dan menganalisis isu yang betul-betul berkait rapat dengan kepentingan mahasiswa khususnya dan rakyat umumnya. Ada isu yang perlu kita ketepikan dan ada isu yang seharusnya kita bangkitkan dan persoalkan. Sebagai contoh, antara isu perbicaraan DS Anwar Ibrahim dengan isu kenaikan tarif elektrik, petrol, gula, barang asas, gas, yang mana satukah yang wajar diberikan perhatian dan memberi kesan besar kepada kita?

Kita perlu memikirkan kesan besar sesuatu isu yang akan menimpa masyarakat keseluruhannya dan bukan isu yang hanya memberi kesan kepada individu. Isu kecil perlu diikuti namun setelah isu yang lebih besar iaitu kebajikan rakyat mendapat penjelasan dan pembelaan. Jangan mudah keliru dengan mainan isu. Kaji dan teliti dari pelbagai sumber dan kemudian buatlah penilaian.

Kesimpulannya, media merupakan saluran penyampaian terbaik sesuatu isu yang berlaku dalam negara kepada rakyat. Namun, permainan media sememangnya mengelirukan dan mampu mempengaruhi cara berfikir masyarakat. Oleh itu, sebagai mahasiswa kita perlulah melihat setiap isu dari pelbagai sudut sebelum membuat penilaian dan berhujah dengan fakta yang kita peroleh. Jangan kerana hendak menegakkan benang yang basah kita menjadi mahasiswa yang mandul pemikirannya dan menjadi pak turut kepada pihak tertentu.


Editor:
Nurhidayu Rosli
Pengerusi AKSIS


1 comments:

Mazlum Syahid said...

https://drive.google.com/file/d/0B6ut4qmVOTGWMkJvbFpZejBQZWM/view?usp=drivesdk

Web: almawaddah.info

Salam


Kepada:

 

Redaksi, rektor dan para akademik


Per: Beberapa Hadis Sahih Bukhari dan Muslim yang Disembunyikan


Bagi tujuan kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah. info

Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. 


Daripada Pencinta Islam rahmatan lil Alamin wa afwan

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !