Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Tuesday, January 15, 2013

Bawani: Pencetus Suara Mahasiswa


15 JAN — Semalaman laman sosial Facebook dibanjiri dengan video berkenaan dengan Forum Suara Mahasiswa di Universiti Utara Malaysia sehingga tercetusnya satu “trademark” “Listen, Listen, Listen” yang mungkin menjadi satu slogan hangat selepas ini. Perkara ini juga menjadi tumpuan Yahoo World News.

Apa yang istimewanya forum tersebut? Bermulanya dengan bacaan ikrar oleh Yang Dipertua Pelajar yang sangat pesimis bunyinya terhadap demonstrasi jalanan dan “anasir luar” menjadi perosak anak-anak bangsa sehinggalah situasi menjadi signifikan apabila seorang mahasiswi India, Bawani yang berjiwa besar bangun menyatakan pendiriannya tentang Perhimpunan Bersih dan bertanyakan solusi masalah PTPTN dan ditambahkan dengan sedikit pendapat beliau berkenaan dengan isu tersebut dihiasi dengan tepukan mahasiswa-mahasiswa yang hadir.

Malangnya belum sempat pelajar tersebut menghabiskan ayat, Presiden Suara Wanita 1 Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin telah memotong soalan beliau dengan kurang etika dengan perkataan “listen, listen, listen, listen...” dan lagi sekali dihiasi juga dengan tepukan mahasiswa-mahasiswa yang hadir. Persoalannya disini, apakah pendirian mahasiswa-mahasiswa tersebut? Adakah mereka menyokong Bawani atau berteriak bersorak kerana Bawani diberikan respons begitu?

Disini, saya bukan ingin memberi pandangan terhadap Sharifah Zohra Jabeen tetapi saya ingin memberi respons berdasarkan pemerhatian terhadap suara mahasiswa di Malaysia yang sepatutnya diberikan perhatian lebih daripada “amanat kerajaan” kepada mahasiswa.

Kita fikir kembali setakat mana “sekatan” AUKU sebelum ini memberi perubahan kepada pembangunan mahasiswa? Mahasiswa telah lama “dihantui” oleh AUKU, yang menyebabkan pergerakan mahasiswa Malaysia menjadi lesu dan tidak bermaya dan akhirnya malap di pentas dunia. “Advokasi” adalah perbezaan antara persatuan di zaman sekolah dan zaman universiti dan juga merupakan salah satu ciri-ciri gerakan mahasiswa.

Namun nilai “advokasi” itu hilang apabila adalahnya sekatan terhadap mahasiswa kerana tidak boleh bersuara untuk mengutarakan cadangan,teguran serta idea-idea segar untuk pemantapan sistem negara dan akhirnya virus menikus mahasiswa pun menular sehingga banyak pelajar didodoi enak dengan cinta,hiburan melampau dan menyebabkan seks luar nikah,masalah sosial,akademik dan sebagainya.

Selain itu, pelbagai alasan telah digunakan oleh pemimpin-pemimpin tertentu untuk membuang sifat kepimpinan mahasiswa, antaranya mahasiswa telah menggunakan duit rakyat untuk belajar, mahasiswa perlu terlibat dalam politik selepas tamat tempoh belajar, dan alasan yang paling tidak boleh diterima adalah “akan wujudnya Adam Adli kedua” sekiranya pelajar dibenarkan mengamalkan konsep demokrasi di Kampus.

Kita lihat betapa inferiornya masyarakat kita terhadap kebangkitan mahasiswa. Dengan ini tidak dapat tidak tumpuan mahasiswa harapan bangsa dalam penguasaan ilmu tentu kurang. Amatlah merugikan mereka dan masyarakat Melayu jika mereka gagal. Sekali lagi, alasan TAKUT digunakan. Kebebasan adalah fitrah manusia. Sekiranya mana-mana pemerintah menyekat fitrah rakyat, maka masyarakat akan melawan dan bangkit menuntut fitrah mereka. Sebab itulah semakin lama, semakin ramai mahasiswa yang berani bersuara menentang kerana mereka merasakan mereka tidak diberikan hak untuk memilih dan bertindak.

Dari mana sistem ini datang? Sistem ini adalah sistem yang dibuat oleh “Oppressor” (penindas) untuk kekal berkuasa terhadap the “Oppressed” (yang tertindas). Oppressor merupakan golongan manusia yang sentiasa cukup makan, pakaian, pelajaran dan mereka akan menggunakan apa cara sekalipun untuk dapatkan kuasa dan apa yang mereka mahu dan mereka hanya melihat diri mereka sebagai manusia dan mereka melihat masyarakat sekeliling mereka sebagai “objek”. Seolah-olah dunia ini mereka yang punya.

Oppressed pula golongan yang dijadikan objek oleh si Oppressor untuk kekal berkuasa. Saya menerangkan hal ini bagi menampakkan bahawa sistem pendidikan yang diimplementasi sekarang telah membentuk siapa kita dulu, sekarang dan masa hadapan. Sekiranya kita merasakan kita adalah hasil sistem “banking education”, maka kita adalah yang ditindas.

Dahulu ketika British memerintah Tanah Melayu, sistem “banking education” telah bermula. Kita diajar hanya untuk menerima tanpa berfikir dengan terbuka. Jadi, lahirnya bangsa yang malas kerana tidak seronok untuk menimba ilmu kerana asyik mendapat input dan outputnya hanyalah pada kertas peperiksaan. Lihatlah berapa ramai dalam video tersebut bertepuk tangan riang melihat Bawani dihina dalam keadaan tersebut namun bagi saya, hal itu menampakkan dan membuka mata semua orang di mana tahap sensitiviti pemuda pemudi yang bakal mentadbir Malaysia pada masa akan datang.

Dengan ini, perlulah setiap pemimpin membenarkan mahasiswa menyuarakan dan mengeluarkan idea untuk memastikan pembangunan negara dari segi material dan pembangunan model insan dapat dibaikpulih. Setelah lebih 50 tahun merdeka, kita masih lagi dalam pemikiran takuk lama. Kurangnya sensitiviti, pengaruh Sanzaro semakin menular kerana sifat tidak pedulinya kita terhadap ilmu, idea baru dan masyarakat marhaen.

Kita dilahirkan untuk berinteraksi sesama manusia. Sistem pertukaran ilmu seperti debat, forum, sesi dialog dan perbincangan sepatutnya menjadi budaya ilmu di Malaysia. Sepatutnya budaya sosial di negara kita perlu berteraskan ilmu, bukan hanya untuk gosip,provokasi,politik kotor,artis,cinta dan hiburan semata-mata. Namun budaya ini menjadi asing dan bagaikan alien di negara kita. Sebab itu paradigma kita masih lagi tidak berubah, masih lagi seperti dahulu.



Walaupun yang demikian, saya sangat lega apabila Timbalan Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyatakan di laman Facebook beliau bahawa beliau akan jawab dengan baik sekiranya beliau berada di forum tersebut dan tidak akan mengeluarkan ayat yang membawa maksud “buat apa duduk di Malaysia dan buat apa belajar di UUM”. Inilah pemimpin yang kami impikan. Semoga ramai lagi pemimpin yang tidak membelakang suara-suara mahasiswa seperti Saifuddin.

Saya sebagai mahasiswa yang telah lama memerhatikan drama politik negara kita, menyeru kepada yang memegang kuasa politik di Malaysia agar berhenti menyuapkan rezeki yang bersumberkan wang cukai rakyat secara berlebihan, tadahkanlah telinga kepada kami agar kami boleh menyuarakan pendapat dan bersemangat dalam menimba ilmu untuk pembangunan ummah terutamanya di saat-saat genting yang semakin dekat dengan hari pembubaran Parlimen.

Layanlah kami seperti manusia, bukan robot yang hanya boleh menerima bukan memberi. Tahniah saudari Bawani! Solidariti kami bersama kamu atas keproaktifan yang patut dicontohi oleh kami pemuda pemudi warisan Negara. Teringat kata-kata Buya HAMKA “Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja”. Semoga kita semua menjadi masyarakat yang berusaha ke arah negara yang harmoni diampuni Tuhan.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Lead The Changes! Ber-GM Lebih Baik!

1 comments:

fairlman said...

bawani lu nie memang bawa sial dan lu sememangnya berada di bawah. lu tak layak duk di malaysia pi la ke Cuba dan bawa keluarga kamu skali sbb lu tarak layak duk di malaysia yg aman.

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !