Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Wednesday, August 10, 2011

PMUKM Komited Tunaikan Manifesto



Bertepatan dengan tema , "Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti" Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) yang menaungi lebih daripada 100 buah persatuan mahasiswa di UKM kini dilihat amat komited dalam membawa dan mengenengahkan suara dan harapan mahasiswa.

Terbaru, dua perkara yang telah dibangkitkan di dalam manifesto GMUKM sempena Pemilihan MPP awal tahun ini, kini telah berjaya dibawa ke pihak yang berkenaan.

1) CCTV (Closed Circuit Television) | SUMBER : http://pm-ukm.blogspot.com/2011/07/cctv-satu-penjelasan.html |

Pada 26 Julai 2011, saudara Mohd Faizal Ahmad dan saudara Wan Ahmad Fahmi berjumpa dengan Ustaz Muhammad Hafiz Bin Othman, Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam UKM mengenai isu pemasangan CCTV di dalam Pusat Islam, Masjid UKM Bangi.

Untuk makluman pada bulan Mac yang lalu, pihak Jabatan Pengurusan Pembangunan (JPP) dengan kerjasama Pusat Islam telah membuat keputusan untuk melakukan pemasangan CCTV dengan kelulusan pihak atasan pentadbiran UKM. Pemasangan CCTV ini dilakukan berikutan kes kecurian yang sering kali berlaku di dalam Masjid UKM yang menyebabkan banyak kehilangan barangan berharga seperti komputer riba, dompet duit dan sebagainya.

Akan tetapi isu terbaru yang timbul adalah persoalan aurat jemaah wanita yang turut menunaikan solat di dalam Pusat Islam.

Justeru, dengan perbincangan di antara wakil PMUKM dengan Ustaz Hafiz selaku Pegawai Hal Ehwal Islam telah bersetuju menampal notis peringatan kepada jemaah agar menjaga aurat daripada dirakam CCTV yang telah dipasang di bawah belakang dewan solat.



Selaras dengan slogan 'from student for student' hasrat para pelajar pra-siswazah dan siswazah UKM agar mendapat maklumat yang tepat dan benar berkenaan harga yuran kolej kediaman, maka pihak PMUKM telah menemui Ketua Penolong Bendahari Kanan UKM, Tuan Haji Misro Jerut pada awal bulan ini untuk mendapatkan penjelasan berhubung penyelarasan terbaru yuran penginapan kolej kediaman di kampus UKM Bangi.


Di dalam pertemuan bersama PMUKM, Tuan Haji Misro telah menjelaskan bahawa untuk pelajar pra-siswazah, harga yuran kolej diselaraskan pada RM 3.50/sehari (untuk asrama), kecuali untuk Kolej Pendeta Za'ba.

Namun bagi pelajar siswazah tempatan pula, setakat ini ia tidak dapat dipastikan secara khusus. Akan tetapi, menurut beliau, harga yuran kolej untuk pelajar siswazah berkemungkinan besar lebih rendah daripada harga sebelum ini (RM7.00/hari) atau sama dengan harga yuran kolej pelajar pra-siswazah.

Ujar Tuan Haji Misro lagi, "Kita menyedari bahawa bilangan pelajar pra-siswazah semakin berkurangan. (Oleh sebab itu,) Mungkin dengan kekosongan bilik kediaman yang ada, lebih baik ia dimanfaatkan untuk kegunaan mereka yang memerlukan (pelajar siswazah) dengan harga yang berpatutan".


Isu Khas : PMUKM Pohon Penjelasan Isu GSTT | SUMBER: http://pm-ukm.blogspot.com/2011/08/pmukm-mohon-penjelasan-berkaitan-isu.html |

Saudara Izzudin dan Mohd Abdullah (berbaju biru) di kaunter penyambut tetamu di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya

Dalam pada itu, PMUKM membuktikan bahawa kita bukan sekadar 'jaguh kampung' yang hanya berani bermain di gelanggang sendiri. Pada penghujung bulan lalu, Timbalan Presiden PMUKM saudara Mohd Abdullah, Pengerusi Biro Kebajikan & Aduan, saudara Izzuddin bin Pisol serta saudara Afham bin Nazmi selaku Yang Di-Pertua Persatuan Mahasiswa Fakulti Pendidikan (PENDIDIK) telah menghantar sendiri surat yang memohon penjelasan lanjut kepada Kementerian Pelajaran Malaysia ( KPM ) berhubung kekeliruan isu pelantikan Guru Sandaran Tidak Terlatih ( GSTT ). Surat berkenaan juga telah dipanjangkan kepada Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia selain turut diserahkan kepada Pejabat Menteri Pelajaran Malaysia dan Pejabat Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.

Surat ini dihantar ekoran susulan dari aduan bakal graduan Fakulti Pendidikan UKM, berkaitan permohonan penempatan Guru Sandaran Terlatih ( GST ) yang masih belum dibuka sehingga kini. Hal ini menjadi semakin keliru apabila Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Dr Mohd Fuad Zarkashi menerusi surat khabar Berita Harian Online yang bertarikh 27 Julai 2011 menyatakan pihak kementerian menawarkan jawatan guru tetap kepada 13000 Guru Sandaran Tidak Terlatih ( GSTT ).

Isu ini diburukkan lagi kerana pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia telah menghantar surat pekeliling melalui surat Ruj.Fail.JPA.BPO ( S ) 7/13/4-2 Jld.3 ( 17 ) yang bertarikh 20 Mei 2011 yang bertajuk Pembekuan Pengambilan/Pengisian Jawatan dan Pemansuhan Jawatan Kosong Di Semua Kementerian dan Jabatan Persekutuan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Badan Berkanun Negeri.

Kita hanya dapat bertemu dengan dua orang staf Bahagian Sumber Manusia KPM, (dan dalam pertemuan kita tersebut) pihak berkenaan tidak mampu memberi penjelasan dan mereka telah memaklumkan, hanya pegawai atasan yang (lebih) layak untuk memberi penjelasan tepat. (Dalam pertemuan tersebut,) kita tidak dapat berjumpa dengan pegawai atasan untuk mendapatkan penjelasan kerana dimaklumkan pegawai berkenaan dalam mesyuarat dan kemungkinan mesyuarat berkenaan lewat (tamat), insyaallah kita akan datang balik (untuk mendapatkan penjelasan dari pegawai atasan)” ujar Timbalan Presiden PMUKM, saudara Mohd Abdullah bin Mohamed Yusoff.

Apa pun di peringkat kita di Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) amat optimis dengan gerak kerja dan aktiviti MPP kita dalam mengemudi PMUKM pada sesi kali ini. Kita juga mengharapkan sokongan dan dokongan daripada rakan-rakan agar bersama-sama kepimpinan PMUKM sesi kali ini yang diketuai saudara Ahmad Muzzammil serta rakan-rakan di dalam organisasi PMUKM untuk terus menjulang dan membawa jenama 'UKM' menjadi jenama yang disegani di mata masyarakat Malaysia dan dunia.

Di peringkat GMUKM juga mengharapkan segala permasalahan dan isu-isu berbangkit di kalangan rakan-rakan mahasiswa agar segera dibawa ke ahli-ahli Majlis Perwakilan kita di PMUKM melalui emel atau akaun Facebook mereka.

Semoga kepimpinan PMUKM pada kali ini kekal memegang amanah dengan penuh komited dan integriti.


Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !