Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Thursday, August 25, 2011

Ramadhan - Bulan Merdeka Daripada Nafsu

Hari dan minggu berlalu begitu cepat, tanpa disedari kini kita sudahpun berada pada minggu terakhir  Ramadhan. Maka sepuluh terakhir Ramadhan ini adalah masa yang cukup bernilai dan berharga yang perlu direbut oleh kita semua sebagai insan yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT, kerana masa yang terakhir inilah yang akan menentukan samada puasa kita ini mendapat keberkatan dan menjadi penebus segala kesalahan dan dosa yang telah dilakukan selama ini.

Merdeka & Ramadhan
Saban tahun pada 31 Ogos negara kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan. Setiap kali sambutan ini diadakan maka terbayanglah di fikiran kita bagaimana penjajah yang silih berganti menjajah negara kita selama kurang lebih 500 tahun.

Apa yang menarik pada kali ini adalah Ramadhan disambut serentak dalam bulan Kemerdekaan. Menariknya Ramadhan itu dikaitkan dengan pengisian dan makna sebenar kemerdekaan. Fasa terakhir Ramadhan itu sendiri adalah fasa ‘kemerdekaan’, jika diisi dengan pengisian ketakwaan yang bersungguh-sungguh,

Persoalan besar pada hari ini adakah kita sebenarnya sudah merdeka? Adakah sekadar kita lepas bebas ataupun tidak lagi dijajah oleh kuasa barat seperti sebelum ini, ataupun kerana kita telah mencapai kemajuan seperti yang kita alami sekarang, kita dikatakan sudah merdeka?.

Ramadhan 'Bulan Merdeka' Daripada Nafsu
Ketahuilah bahawa bulan Ramadhan yang diberikan oleh Allah SWT pada kesempatan kali ini kepada kita merupakan suatu proses untuk mencari erti kemerdekaan yang sebenar. Sedar ataupun tidak bahawa selama ini kita sentiasa dibelenggu oleh dua penjajahan. Pertama adalah syaitan. Ia sebagai seteru terbesar manusia, kerjanya sentiasa mengajak manusia kepada mendurhakai Allah SWT sepertimana janjinya kepada tuhan. Manusia yang terjajah adalah manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada seruan syaitan dalam hidupnya. Manusia yang menurut telunjuk syaitan, sedikit demi sedikit semakin jauh dari Allah SWT hingga hatinya menjadi buta dari kebenaran. Ramadhan datang untuk membantu manusia melepaskan diri daripada penjajah syaitan ini. Syaitan dirantai untuk mengurangkan potensinya, urat saraf kita disempitkan dengan berlapar untuk mengurangkan jalan syaitan menguasai kita. Kedua ialah hawa nafsu dan diri sendiri sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Jaatsiyah ayat 23:

Adakah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan ia disesatkan oleh Allah kerana diketahuinya, dan dimeteraikan atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi petunjuk kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa kamu tidak mahu beringat dan insaf?

Mereka yang dijajah oleh syaitan dan hawa nafsu dirinya sendiri tidak mampu membuat pilihan dalam hidup. Apa sahaja yang diinginkan oleh nafsu semua itu dipatuhi. Mereka ini buta biar pun celik, mereka pekak biar pun bertelinga, mereka menjadi bodoh biar pun menguasai ilmu.

Manusia Rosak Kerana Nafsu
Lihatlah berapa ramai manusia yang rosak kerana hidup bertuhankan nafsu dan berapa banyak tamadun manusia yang musnah apabila pertimbangan tidak lagi berpaksikan tuhan tetapi berkiblatkan hawa nafsu.

Yakinlah bahawa Ramadhan datang mendidik kita untuk memerangi nafsu. Betapa ketika kita ada makanan dan minuman, namun kita tidak memilihnya kerana patuh kepada perintah Allah SWT. Ini adalah pengajaran Ramadhan untuk mengajar kita berkata TIDAK kepada sesetengah kehendak diri dan nafsu. Mereka yang berjaya mengawal diri dan nafsu, adalah mereka yang benar-benar merdeka sehingga membentuk dirinya menjadi seorang insan soleh lagi bertakwa.



Membina Mahasiswa Penggerak Ummah

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !