Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Tuesday, April 27, 2010

Isu Buang Kolej: Mahasiswa Mohon Penjelasan


Isu buang kolej bukan isu baru. Setiap tahun isu ini hangat diperkatakan oleh mahasiswa UKM. Para pemimpin GMUKM dan MPP Mahasiswa menerima banyak aduan berhubung isu ini. Justeru, maklumat pelajar dikutip melalui wakil kolej yang dilantik. Rata-rata mahasiswa kecewa dengan apa yang berlaku.
“Saya betul-betul terkejut. Sebelum ni saya diwar-warkan, siapa yang mengundi GMUKM akan dibuang kolej, tapi saya yang mengundi Aspirasi baru-baru ni pun dibuang juga. Kalau nak kata saya tak aktif  kolej, tak patut sebab merit saya tinggi. Kenapa perlu dibuang ke Zaaba?”kata seorang mahasiswa yang hanya mahu dikenali sebagai Joe.
Nabilah Mohd Maiyidin (MPP Umum Thn 3 & 4) berkata bahawa penjelasan yang diberikan oleh pihak pengurusan kolej cukup mengecewakan. Ada yang mengakui terpaksa mengikut arahan, tidak kurang juga yang buat tak endah.
Kita persoalkan mengenai piawaian atau standard yang digunapakai. Merit atau kuasa mutlak pihak pengurusan kolej? Kalau merit yang digunapakai, kenapa ada pelajar yang mempunyai merit yang tinggi dibuang manakala pelajar yang mempunyai merit yang rendah dikekalkan? Pihak pengurusan kolej perlu beri alasan yang munasabah kerana ramai mahasiswa yang keliru,” tegas beliau.
Susulan daripada pembuangan tersebut, MPP Mahasiswa telah meminta mahasiswa terbabit supaya membuat rayuan permohonan kolej.  Kemungkinan pihak pengurusan kolej tersilap, mungkin juga ianya konspirasi yang sengaja diwujudkan oleh sekumpulan ‘ketam’ yang mengajar anaknya berjalan betul. Suatu sumber menyatakan bahawa merit hanya sekadar prosedur. Pihak pengurusan kolej tidak ambil kira kerana mereka sudah mempunyai senarai nama yang perlu ‘ditendang’ keluar.
“Kita bangkitkan isu ini bukan untuk mencari salah. Tapi mencari penyelesaian kepada konflik yang dah sekian lama dipersoalkan. Kalau memang ada usaha untuk membersihkan saki-baki pelajar yang tidak ‘sebulu’ dengan pentadbiran, ianya patut dihentikan kerana jelas membuktikan ketidakmatangan dan sikap tidak bertamadun. Tekanan demi tekanan hanya membuatkan mahasiswa semakin sedar bahawa mereka bukan lemah,”ulas Mohd Hafiz Abd Razak, Pengerusi GMUKM.
Wartawan GMUKM turut menerima maklumat bahawa ramai ‘budak-budak surau’ yang dibuang. Wan Ahmad Fahmi (MPP Fpend Thn 1 & 2) yang ditemui berkata, pembuangan ramai budak-budak surau tanpa sebab yang munasabah merupakan suatu bentuk ancaman terhadap kebebasan beragama.
“Takkan imarahkan surau menjadi suatu kesalahan? Salahkah berperwatakan Islamik? Kalau mereka dibuang kerana tak aktif kolej, saya tak kisah. Tapi mereka terlibat aktif dengan aktiviti-aktiviti surau. Ada sijil, ada rekod dalam buku JAKSA. Adakah mereka ancaman kepada pihak kolej? Kalau merit betul-betul digunakan sebagai piawaian, mengapa golongan yang tak aktif dikekalkan? ”ujar Fahmi.
Selain itu, sistem pengesahan juga menjadi pertikaian. Ada pelajar yang diberi pilihan untuk menerima atau menolak. Ada pelajar yang terus disahkan menerima masuk ke kolej yang ditawarkan secara automatik. Masalah teknikal seperti ini merumitkan lagi keadaan. Hal ini kerana terdapat mahasiswa yang berubah fikiran dan bercadang untuk menolak tawaran tersebut kerana dibuang ke kolej yang mengenakan yuran yang lebih mahal berbanding kolej sebelumnya.
Para pemimpin GMUKM dan barisan MPP Mahasiswa memandang serius akan hal ini. Justeru, isu ini akan dipanjangkan ke pihak yang berkenaan. Sokongan mahasiswa keseluruhannya amat penting bagi memastikan isu ini mampu diselesaikan dengan cara yang terbaik.
Seorang lagi MPP Mahasiswa, Muhamad Faiz Ismail turut mengulas berhubung isu ini. Beliau berterima kasih kepada mahasiswa yang peka terhadap hak mereka.
“Masalah mahasiswa menjadi tanggungjawab mahasiswa untuk suarakan. Apabila mahasiswa bersuara, jangan ringan-ringan mulut mengatakan bahawa mereka ‘pembangkang’ universiti. Universiti sepatutnya terbuka menerima kritikan dan pandangan mahasiswa. Lagipun pentadbir bukan orang lain, mereka seperti ibu bapa kita. Mereka punya hak untuk tegur dan nasihat kita. Insyaallah, kita akan cuba diplomasi,”katanya.
Beliau turut mengingatkan tentang amalan penyalahgunaan kuasa.
“Kita tahu pentadbir pun berpolitik. Jadi, kita tak nak ada pihak yang sewenang-wenangnya ‘mencantas’ sesiapa saja yang mereka tak suka, atau pun menyalahgunakan kuasa demi kepentingan kedudukan mereka,”tambahnya lagi.


Monday, April 19, 2010

Pinda Perlembagaan Universiti Untuk Parlimen Mahasiswa

Pembentukan Parlimen Mahasiswa hanya dapat dilaksanakan selepas kerajaan mewartakan pindaan perlembagaan universiti awam di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata proses pindaan perlembagaan yang membabitkan 18 universiti awam itu kini pada peringkat akhir.

“Untuk mewujudkan Parlimen Mahasiswa, kita perlu menunggu penggazetan pindaan perlembagaan universiti. Perkara ini kini berada pada peringkat Peguam Negara,” katanya selepas melancarkan Koleksi Kaum Peranakan Asia Tenggara di Universiti Sains Malaysia (USM) di Georgetown, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan sedang dalam proses meminda perlembagaan universiti awam supaya ia selaras dengan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku).

Pada 7 Januari lalu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Mohamad Shafiq Abdul, telah menyerahkan kertas cadangan kerangka penubuhan Parlimen Mahasiswa kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk dipertimbangkan.

Penubuhan Parlimen Mahasiswa itu dicadangkan golongan mahasiswa yang mahu satu saluran bagi menyuarakan pandangan dan pendapat mereka.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled menasihati golongan mahasiswa supaya tidak terbabit berkempen pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, 25 April ini.

“Kita akan memantau supaya golongan mahasiswa tidak turut serta dalam kempen pilihan raya itu,” katanya.
- Bernama

Sunday, April 18, 2010

Kembalikan Roh Universiti - Saifuddin Abdullah

Universiti Malaya: ”Kita kena bawa kembali roh universiti” ujar Dato’ Saifuddin bin Abdullah, Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi dalam pidatonya di majlis Forum Penyuburan Amalan Demokrasi di Malaysia yang berlangsung di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (FSSSUM) malam tadi.

Beliau yang merupakan salah seorang dari ahli panel program tersebut yang diadakan sempena pelancaran Universiti Malaya Centre of Democracy and Election (UMCEDEL) menyifatkan semangat pindaan AUKU (Akta Universiti Kolej Universiti) masih belum difahami oleh semua orang.

Forum tersebut antara lain bertujuan membuka ruang kepada mahasiswa untuk menilai sendiri kesedaran berpolitik dan kesedaran dalam pentingnya menjadi penegur kepada kerajaan dikalangan mahasiswa universiti kini.

“Kalau nak difikirkan dalam AUKU hanya ada tiga perkara yang tak boleh, pertama tak boleh menjadi ahli politik, kedua tak boleh menjadi ahli kesatuan sekerja, ketiga tak boleh menyertai pertubuhan yang disenaraikan oleh menteri (menteri Kementerian Pengajian Tinggi) tak boleh” ujarnya.
“tapi setakat ini tidak ada persatuan yang disenaraikan tidak boleh oleh menteri (Menteri Kementerian Pengajian Tinggi)” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan mengenai AUKU yang dikatakan masih menyekat kebebasan hak demokrasi mahasiswa.

Forum tersebut mengumpulkan empat orang pemimpin masing-masing dari parti yang berbeza sebagai ahli panel iaitu Dato’ Saifuddin bin Abdullah Barisan Nasional (BN), Saifuddin Nasution bin Ismail Parti Keadilan Rakyat (PKR), Salahuddin Ayub Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Anthony Loke Siew FookDemocratic Action Party (DAP).

Ketika ditanya mengenai pihak universiti yang biasanya bersifat ‘pilih kasih’ dalam membenarkan pemimpin-pemimpin dari parti pembangkang untuk masuk ke universiti, beliau memberi jaminan “Boleh panggil wakil-wakil pembangkang dan kerajaan untuk berforum. Dibenarkan. kalau ada yang halang bagi tahu saya”

Antara lain, persoalan mengenai pilihanraya kampus yang biasanya disifatkan tidak bersih dengan campurtangan pihak pentadbiran universiti dan pemimpin parti luar yang menyebelahi satu-satu pihak, beliau menjawab

“apa kata, pelajar sendiri yang organise pilihanraya kampus"


Sumber Mahasiswakini

Saturday, April 10, 2010

PERUTUSAN PENGERUSI GMUKM

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

SALAM PEPERIKSAAN


Universiti merupakan satu institusi pengajian yang paling tinggi disesebuah Negara. Golongan terpelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti merupakan aset kepada Negara satu hari kelak seterusnya menggalas tanggungjawab sebagai seorang Mahasiswa/i yang membawa harapan masyarakat dan bakal menerajui pimpinan sesebuah agensi, pertubuhan dan Negara pada masa akan datang.

Sahabat-sahabat sekalin,

Setelah berhempas pulas kita mendalami pelajaran selama satu semester, kini tiba masanya kita menguji keupayaaan kita  di dalam peperiksaaan yang akan berlangsung tidak lama lagi, namun apa yang perlu diketahui kayu ukur yang sebenar tahap ilmu yang dikuasai bukan setakat merujuk kepada keputusan keputusan yang bakal kita perolehi tetapi bagaimana kita sebagai mahasiswa/i mengamalkan ilmu yang dipelajari didalam kehidupan kita.

Di samping meningkatkan kefahaman kita terhadap setiap mata pelajaran, kita juga tidak boleh lupa dengan peningkatan amal rohani. Amal kerohanian juga harus ditingkatkan sebagai contoh seperti solat hajat, solat taubat dan sebagainya agar segala ilmu yang kita pelajari mudah difahami dan berkekaanl di minda bukan setakat hanya di dewan peperiksaan, akan tetapi berkekalan hingga ke akhir hayat.

Justeru saya sebagai pengurusi Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya dalam menempuhi peperiksaan yang akan berlangsung, semoga peroleh kejayaan yang hakiki.

REALISASI VARSITI.

PENGERUSI GMUKM
M0HD HAFIZ BIN ABDUL RAZAK

Tuesday, April 6, 2010

Semoga Berjaya

Beberapa hari lagi, mahasiswa/i UKM bakal menghadapi peperiksaan akhir semester. Jadikan peperiksaan ini sebagai penilai kefahaman kita mengenai ilmu yang telah dikutip sepanjang semester ini. Ketika kita sibuk mengulangkaji pelajaran, sibuk berbincang bersama rakan-rakan, janganlah kita lupa akan Tuhan yang telah mencipta kita, Dialah yang menentukan kejayaan kita. Usah alpa melaksanakan tanggungjawab kita sebagai hamba Tuhan. Selamat berusaha dan selamat maju jaya dari Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM)

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !