Isu buang kolej bukan isu baru. Setiap tahun isu ini hangat diperkatakan oleh mahasiswa UKM. Para pemimpin GMUKM dan MPP Mahasiswa menerima banyak aduan berhubung isu ini. Justeru, maklumat pelajar dikutip melalui wakil kolej yang dilantik. Rata-rata mahasiswa kecewa dengan apa yang berlaku.
“Saya betul-betul terkejut. Sebelum ni saya diwar-warkan, siapa yang mengundi GMUKM akan dibuang kolej, tapi saya yang mengundi Aspirasi baru-baru ni pun dibuang juga. Kalau nak kata saya tak aktif kolej, tak patut sebab merit saya tinggi. Kenapa perlu dibuang ke Zaaba?”kata seorang mahasiswa yang hanya mahu dikenali sebagai Joe.
Nabilah Mohd Maiyidin (MPP Umum Thn 3 & 4) berkata bahawa penjelasan yang diberikan oleh pihak pengurusan kolej cukup mengecewakan. Ada yang mengakui terpaksa mengikut arahan, tidak kurang juga yang buat tak endah.
Kita persoalkan mengenai piawaian atau standard yang digunapakai. Merit atau kuasa mutlak pihak pengurusan kolej? Kalau merit yang digunapakai, kenapa ada pelajar yang mempunyai merit yang tinggi dibuang manakala pelajar yang mempunyai merit yang rendah dikekalkan? Pihak pengurusan kolej perlu beri alasan yang munasabah kerana ramai mahasiswa yang keliru,” tegas beliau.
Susulan daripada pembuangan tersebut, MPP Mahasiswa telah meminta mahasiswa terbabit supaya membuat rayuan permohonan kolej. Kemungkinan pihak pengurusan kolej tersilap, mungkin juga ianya konspirasi yang sengaja diwujudkan oleh sekumpulan ‘ketam’ yang mengajar anaknya berjalan betul. Suatu sumber menyatakan bahawa merit hanya sekadar prosedur. Pihak pengurusan kolej tidak ambil kira kerana mereka sudah mempunyai senarai nama yang perlu ‘ditendang’ keluar.
“Kita bangkitkan isu ini bukan untuk mencari salah. Tapi mencari penyelesaian kepada konflik yang dah sekian lama dipersoalkan. Kalau memang ada usaha untuk membersihkan saki-baki pelajar yang tidak ‘sebulu’ dengan pentadbiran, ianya patut dihentikan kerana jelas membuktikan ketidakmatangan dan sikap tidak bertamadun. Tekanan demi tekanan hanya membuatkan mahasiswa semakin sedar bahawa mereka bukan lemah,”ulas Mohd Hafiz Abd Razak, Pengerusi GMUKM.
Wartawan GMUKM turut menerima maklumat bahawa ramai ‘budak-budak surau’ yang dibuang. Wan Ahmad Fahmi (MPP Fpend Thn 1 & 2) yang ditemui berkata, pembuangan ramai budak-budak surau tanpa sebab yang munasabah merupakan suatu bentuk ancaman terhadap kebebasan beragama.
“Takkan imarahkan surau menjadi suatu kesalahan? Salahkah berperwatakan Islamik? Kalau mereka dibuang kerana tak aktif kolej, saya tak kisah. Tapi mereka terlibat aktif dengan aktiviti-aktiviti surau. Ada sijil, ada rekod dalam buku JAKSA. Adakah mereka ancaman kepada pihak kolej? Kalau merit betul-betul digunakan sebagai piawaian, mengapa golongan yang tak aktif dikekalkan? ”ujar Fahmi.
Selain itu, sistem pengesahan juga menjadi pertikaian. Ada pelajar yang diberi pilihan untuk menerima atau menolak. Ada pelajar yang terus disahkan menerima masuk ke kolej yang ditawarkan secara automatik. Masalah teknikal seperti ini merumitkan lagi keadaan. Hal ini kerana terdapat mahasiswa yang berubah fikiran dan bercadang untuk menolak tawaran tersebut kerana dibuang ke kolej yang mengenakan yuran yang lebih mahal berbanding kolej sebelumnya.
Para pemimpin GMUKM dan barisan MPP Mahasiswa memandang serius akan hal ini. Justeru, isu ini akan dipanjangkan ke pihak yang berkenaan. Sokongan mahasiswa keseluruhannya amat penting bagi memastikan isu ini mampu diselesaikan dengan cara yang terbaik.
Seorang lagi MPP Mahasiswa, Muhamad Faiz Ismail turut mengulas berhubung isu ini. Beliau berterima kasih kepada mahasiswa yang peka terhadap hak mereka.
“Masalah mahasiswa menjadi tanggungjawab mahasiswa untuk suarakan. Apabila mahasiswa bersuara, jangan ringan-ringan mulut mengatakan bahawa mereka ‘pembangkang’ universiti. Universiti sepatutnya terbuka menerima kritikan dan pandangan mahasiswa. Lagipun pentadbir bukan orang lain, mereka seperti ibu bapa kita. Mereka punya hak untuk tegur dan nasihat kita. Insyaallah, kita akan cuba diplomasi,”katanya.
Beliau turut mengingatkan tentang amalan penyalahgunaan kuasa.
“Kita tahu pentadbir pun berpolitik. Jadi, kita tak nak ada pihak yang sewenang-wenangnya ‘mencantas’ sesiapa saja yang mereka tak suka, atau pun menyalahgunakan kuasa demi kepentingan kedudukan mereka,”tambahnya lagi.
0 comments:
Post a Comment