Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Sunday, July 17, 2011

AKSIS : Tahniah Buat Bakal Siswi


Setinggi-tinggi tahniah diucapkan buat pemohon-pemohon yang telah mendapat tempat di institut pengajian tinggi awam (IPTA) negara baru-baru ini. Daripada sejumlah 64,703 calon yang memohon seramai 41,267 calon ditawarkan tempat untuk mengikuti Program Ijazah Pertama bagi sesi akademik 2011/2012 di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kata Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa (Berita Harian Online, 15 Julai).

Seperti mana sebelum-sebelum ini, pelajar wanita mendominasi carta dengan mengatasi bilangan pelajar lelaki, di mana 27,001 calon perempuan iaitu 65.4 peratus berjaya mendapat tempat di IPTA, berbanding 14,266 atau 34.6 peratus pelajar lelaki. Satu perkembangan yang diharapkan berterusan pada masa-masa akan datang membuktikan peluang dan ruang untuk bersaing secara sihat tanpa mengenal gender terbuka luas di Malaysia. Kesungguhan yang ditunjukkan oleh pelajar wanita seharusnya dicontohi oleh pelajar lelaki yang semakin ketinggalan sedangkan Malaysia sangat memerlukan pemikir-pemikir muda dalam kalangan lelaki dan wanita selaku pemimpin masa hadapan. Walaupun pendominasian wanita di universiti satu perkara yang menggembirakan, namun keseimbangan jumlah pelajar lelaki dan wanita perlu dipelihara bagi melahirkan persekitaran yang lebih stabil.

Hal ini demikian kerana, menurut Prof Madya Dr Azahari Ismail yang ditemubual Bernama di Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau berkata fenomena kepupusan itu akan memberi implikasi besar kepada agama, sosio-ekonomi dan psikologi masyarakat, khususnya institusi keluarga, kerana lazimnya lelaki adalah ketua keluarga. “Terima atau tidak, kejayaan seseorang itu bergantung kepada pendidikan, jadi kalau bakal-bakal bapa ini tiada pendidikan bermakna institusi keluarga akan hancur.

“Ini akan menyumbang kepada masalah lain seperti fenomena “bapa kelam” iaitu bapa yang tidak berperanan. Sudahlah isteri pandai daripada dia, nak cakap banyak tak boleh dan dalam sesetengah kes itu, gaji bini lebih banyak. Bapa ini ‘powerless and meaningless’ (tak ada kuasa, tak berperanan),” katanya.

Persekitaran yang terlalu didominasi oleh wanita juga berpotensi melahirkan lelaki pondan. Kemungkinan ini dikuatkan dengan kenyataan pensyarah komunikasi UPM, Ishak Abdul Hamid yang berkata budaya komunikasi guru perempuan yang lebih menggunakan kemahiran lisan juga mempengaruhi pencapaian pelajar lelaki di peringkat sekolah.

“Budaya komunikasi pelajar lelaki bergantung pergerakan atau penggunaan visual dan grafik dalam pembelajaran.

“Secara langsung, pengajaran secara lisan lebih membantu pelajar perempuan berbanding pelajar lelaki yang memerlukan elemen bukan lisan dalam meningkatkan keupayaannya memahami sesuatu subjek,” katanya.

Kurang terdedah dengan komunikasi dan perbincangan dalam kelompok lelaki akan mempengaruhi sesetengah individu lelaki yang tidak berpendirian untuk berasa selesa dengan rakan-rakan perempuan dan berasimilasi dengan gerak laku dan gaya perempuan untuk menyesuaikan diri dan diterima kelompok perempuan yang mendominasi di universiti.

Secara peribadi, sudah tiba masanya kaum lelaki mula memikirkan modus operandi untuk merekrut pelajar lelaki sebanyak mungkin ke universiti seperti mana zaman-zaman 70-an dan 80-an. Bukan sahaja gerakan wanita perlu diperkasakan, lelaki juga harus memikirkan perkara yang sama. Selaku wanita, walaupun saya pro-wanita, masih timbul kerisauan saya kepada bakal-bakal bapa kepada generasi akan datang jika mereka tidak mendapat pendidikan yang sempurna dan berada di tempat yang sepatutnya untuk membina sahsiah diri dan intelek bagi menjadi contoh dan tauladan anak-anak. 9 akal lelaki jika tidak digunakan ke arah sepatutnya dan diasah akan dikalahkan dengan 1 akal wanita dan ini merupakan satu fenomena yang memalukan agama dan negara. Di samping pelajar perempuan semakin bersungguh-sungguh menempatkan diri di institut pendidikan, pelajar lelaki juga harus mencari cara agar tidak ketinggalan dalam arus perkembangan ilmu pengetahuan dan mendapat pendidikan tertinggi sebagai bekalan kehidupan bukan sahaja di dunia malah akhirat. Mencegah lebih baik daripada merawat. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

~siswi dinamis, sentiasa optimis~

EDITOR:

Nurhidayu Rosli
Pengerusi
Angkatan Siswi Dinamis (AKSIS)

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !