Tanggal 31 Ogos 2013 merupakan hari yang bersejarah
bagi Tanah Air yang tercinta kerana pada hari ini, Malaysia menyambut Ulang
Tahun Kemerdekaan yang ke-56. Sambutan ini diadakan sebagai memperingati detik
yang penuh bermakna apabila Tanah Air mencapai dan memperolehi kemerdekaan
daripada penjajah pada tanggal 31 Ogos 1957.
Kemerdekaan yang dicapai membolehkan pemimpin
tempatan mengurus tadbir dan memerintah negara mengikut acuan sendiri tanpa
perlu mengikut jari telunjuk penjajah lagi. Kebebasan ini merupakan satu
anugerah yang berharga dan bernilai buat negara. Oleh itu, anugerah kemerdekaan
yang dicapai oleh Tanah Air ini harus disyukuri dan dihayati dalam erti kata
yang sebenar-benarnya.
Penghayatan kemerdekaan tidak terhenti hanya dengan
mengadakan majlis sambutan, mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan
membangkitkan semangat Patriotisme dalam diri warganegara semata-mata. Bahkan
penghayatan kemerdekaan yang sebenar-benarnya adalah pada pengisiannya. Rakyat
perlu diberi kefahaman dan kesedaran akan erti serta nilai disebalik makna
kemerdekaan.
Merdekanya negara dan rakyat bukan sekadar berjaya
mengusir penjajah keluar daripada negara, tetapi yang teramat penting adalah
mengeluarkan dan menghapuskan idealogi yang telah ditanam oleh penjajah dalam
pemikiran rakyat. Apalah erti kemerdekaan yang dicapai jika pemikiran rakyat
masih dijajah dan dibelenggu oleh Barat.
Oleh itu, marilah bersama-sama berusaha membebaskan
diri daripada penjajahan pemikiran yang sudah lama berkubu. Semoga dengan
bebasnya masyarakat daripada idealogi penjajah ini akan dapat melahirkan generasi
yang berjaya membentuk negara bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Itulah
harapan kita semua.
Pada ruang dan kesempatan yang ada, Gabungan
Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) mengucapkan "SELAMAT
MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-56" kepada seluruh rakyat Malaysia,
khususnya kepada warga Universiti Kebangsaan Malaysia. Merdeka, Merdeka,
Merdeka.
"Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpah
Darahku"
GABUNGAN MAHASISWA UKM (GMUKM)
2013/2014
0 comments:
Post a Comment