Sehingga ke hari ini, kritikan dan bantahan telah
ditujukan kepada Kerajaan oleh pelbagai pihak mengenai isu yang hangat
diperkatakan iaitu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau dalam Bahasa
Inggeris sebagai "Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)". Sebagaimana yang diketahui umum, menurut
Prof. Datuk Dr. Agus (Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia) TPPA adalah
perjanjian multilateral terikat yang melibatkan negara Asia Pasifik seperti
Australia, AS, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile, Brunei, Malaysia dan Vietnam. Tambahan beliau lagi, TPPA ini alah tentang
liberalisasi pasaran di mana negara ahli bebas berniaga di pasaran negara ahli
secara terbuka sesuai dengan konsep globalisasi.
Perjanjiaan ini dijadualkan akan ditandatangani
pada Oktober nanti. Pelbagai pihak termasuk
rakyat telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan tidak bersetuju dengan
perjanjian ini. Bagi Gabungan Mahasiswa
Universiti Kebangsaan Malaysia (GM-UKM), kami juga turut membantah tindakan
Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang
tetap mahu meneruskan perjanjian ini. Perjanjian
ini cukup mencurigakan dan meresahkan rakyat. Mana tidaknya, semua perbincangan dalam TPPA
ini dibuat secara rahsia di mana semua teks perbincangan adalah rahsia
sehinggalah selepas empat tahun perjanjian dimeterai. Ini bermakna perjanjian TPPA ini meletakkan
rakyat dalam kegelapan, persoalan dan teka teki. Sebuah perjanjian yang begitu aneh dan pelik
dalam dunia yang terbuka luas tanpa sempadan ini.
Apabila pertanyaan dilemparkan kepada
Kerajaan mengenai bahaya perjanjiaan ini, pihak Kerajaan seolah-olah
menafikannya dan jawapan yang diberikan tidak lain tidak bukan hanya menjurus
kepada kebaikan perjanjian ini.
Sedangkan tidak pula dinyatakan bahaya dan keburukannya. Ini seperti jawapan untuk menutup mata rakyat
dan menenangkan hati rakyat. Kerajaan
menyatakan TPPA ini baik untuk negara kerana ia memudahkan barangan tempatan
untuk memasuki pasaran luar. Selain itu,
negara akan mendapat manfaat daripada TPPA ini kerana pasaran Malaysia akan
lebih besar menjangkau ke 793 juta orang di 60 negara Pasifik. Untuk menyakinkan lagi rakyat, kerajaan
menyatakan bahawa tidak akan berkompromi sekirannya perjanjiaan ini menggugat
kedaulatan negara. Jika benar jaminan
tersebut, kerajaan perlu mendedahkan isi perbincangan perjanjiaan tersebut kepada
rakyat secara terbuka.
Walaubagaimanapun, GMUKM menyifatkan
perjanjian ini lebih membawa kesan yang buruk kepada negara berbanding dengan
kebaikan sebagaimana yang dinyatakan oleh Kerajaan. Memetik komentar Bekas Perdana Menteri
Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau memberi amaran bahawa TPPA ini adalah
merugikan Malaysia dan menyifatkan perjanjiaan ini sebagai “Perkongsian yang
tidak sama rata”. Selain daripada
beliau, ramai lagi pakar-pakar ekonomi yang mengkritik perjanjiaan ini. GMUKM ingin mengajak semua mahasiswa dan
seluruh rakyat Malaysia menilai beberapa kesan negatif yang diketengahkan oleh
Prof. Datuk Dr. Agus sekiranya perjanjian ini ditandatangani. Berikut antara
kesannya :
1) Hampir 80% harga ubat akan menjadi mahal, sehingga
mencecah 1000% dari harga sekarang. Ini kerana ubat generik yang lebih murah
tidak boleh dijual lagi kerana Malaysia terikat menggunakan ubat patented
(asli) yang dihasilkan syarikat famarkeutikal dari luar negara. Kesannya akan
menyukarkan pesakit berpendapatan rendah dan sederhana kerana kos untuk
mendapatkan ubatan menjadi sangat tinggi.
2) Syarikat gergasi akan bebas berniaga di negara
menyebabkan usahawan-usahawan kecil terpaksa bersaing dengan syarikat gergasi
dari luar negara. Ini seolah-olah meletakkan kepentingan syarikat asing
mengatasi kepentingan rakyat sendiri. Ini juga seperti memberi kuasa kepada
negara maju seperti AS, Singapura dan Australia untuk mencereboh ekonomi negara
kita.
3) Kerajaan Malaysia boleh disaman oleh pelabur luar
di tribunal antarabangsa yang berpangkalan di Washington dan Geneva jika
terdapat dasar-dasar kerajaan yang boleh merugikan hak pelabur luar dan
menghalang aktiviti perdagangan mereka. Ini tentunya menjejaskan bidang kuasa
kerajaan dalam menentukan apa yang terbaik untuk rakyat dan negara.
4) Petani tempatan terpaksa bersaing dengan hasil
pertanian luar negara. Lebih merisaukan lagi ialah TPPA bakal memberi kesan
buruk ke atas industri padi negara apabila beras dari Amerika Syarikat yang
menerima subsidi yang tinggi dipasarkan di negara ini. Ratusan ribu keluarga
petani padi di negara ini akan terjejas jika TPPA dimeterai.
5) TPPA juga menyebabkan bidang pelaburan dan khidmat
undang-undang serta pelbagai khidmat profesional tempatan yang lain terpaksa
berhadapan dengan persaingan pasaran terbuka. Mampukah industri perkhidmatan
tempatan berhadapan dengan kemasukan syarikat gergasi ini.
6) TPPA melanjutkan perlindungan hakcipta bahan-bahan
rujukan dari 50 tahun selepas kematian penerbit kepada 120 tahun. Ini bermakna
segala bahan-bahan rujukan yang kini percuma dan telah didigitalkan akan
menjadi terhad kepada pengguna. Ini juga bermakna segala bahan rujukan wajib
dibeli atau wajib dibayar sewa, sekaligus menghadkan kemudahan ilmu kepada
rakyat yang kurang mampu.
Berdasarkan kesan-kesan negatif yang
dikemukan ini, jelas lagi terang bahawa perjanjiaan ini mendedahkan negara
kepada risiko dan ancaman yang besar. Ia
bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara, tetapi juga dapat bakal menggugat
keselamatan negara. GMUKM menyifatkan perjanjian
ini sebagai perjanjian yang merugikan negara sekaligus membebankan rakyat. Rakyat yang kini sudah terbeban dengan kos sara
hidup yang semakin tinggi akan menanggung beban berlipat kali ganda lagi. Jika dilihat pada hari ini pun rakyat sudah
dibebankan dengan kenaikan harga barangan dan keperluan hidup, tidak dapat
dibayangkan bagaimana akan berlaku jika perjanjiaan ini diteruskan. Sudah pasti rakyat akan jadi menjadi mangsa
bebanan dan papa kedana yang tersempit di Tanah Air sendiri. Yang lebih merisaukan, masa depan generasi pewaris
akan berada dalam kegelapan dan penindasan.
Justeru itu, GMUKM menggesa Kerajaan menilai
kembali kesan dan risiko perjanjian ini dengan mengambil kira pandangan,
kritikan dan luahan semua pihak termasuk rakyat. Keputusan yang diputuskan mestilah satu
keputusan yang terbaik tanpa menggadaikan kepentingan negara dan rakyat. Jika perjanjian ini dilihat mendatangkan kesan
yang buruk mengatasi manfaatnya, maka pihak Kerajaan wajib segera menghentikan perjanjian
ini. Sebagai mewakili suara mahasiswa dan anak muda juga, GMUKM mendesak
Kerajaan Malaysia segera menarik diri daripada perjanjian tersebut demi
kebaikan rakyat dan negara. GMUKM
menyeru kepada seluruh mahasiswa, anak muda dan rakyat Malaysia sepakat sebulat
suara menyatakan bantahan dan tidak bersetuju terhadap perjanjian ini. Ingatlah, Malaysia adalah sebuah negara yang
berdaulat, kita semua tidak sekali-kali akan menggadaikannya dan membiarkan
negara dicabuli.
Lead The Changes! Ber-GM Lebih Baik!
0 comments:
Post a Comment