Gelaran UKM Anti-Ilmu : Datin Aziah Patut Minta Maaf dan Letak Jawatan
UKM Anti-Ilmu. Satu gelaran yang diberikan kepada UKM selepas insiden Prof Madya Dr. Azmi Sharom dihalau dalam program forum Akta Hasutan anjuran Gabungan Mahasiswa Ukm (GMUKM) yang diadakan di Ukm baru-baru ini. Gelaran ini diberikan oleh Gerakan Hapus Akta Hasutan menerusi satu kenyataan melalui medium berita dalam talian Malaysian Insider bertarikh 2 Oktober 2014.
Seingat saya, tidak ada institusi pendidikan yang lebih tinggi dalam dunia selain daripada institusi yang diberi nama universiti. Mana-mana mahasiswa akan menghabiskan pengajian peringkat sarjana muda di tempat yang namanya universiti. Sehinggakan bagi sesiapa yang punya niat untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan Phd juga akan melakukan perkara tersebut di tempat yang namanya universiti. Fokus utama saya adalah untuk menjelaskan tentang martabat universiti sebagai salah satu medan perbukitan ilmu kepada manusia untuk meneroka kebenaran dalam hidup.
Maksudnya, bila sebut universiti, maka ianya cukup sinonim dengan ilmu atau “mesra-ilmu” Namun ianya agak janggal dan berlawanan apabila universiti disifatkan sebagai “anti-ilmu”. Sama keadaannya kalau kita anggap Masjid sebagai contoh. Bila sebut Masjid maka ia akan sinonim dengan ibadah atau “mesra-ibadah”. Cuba bayangkan kalau institusi seperti Masjid kita sifatkan sebagai “anti-ibadah”. Bukankah agak janggal dan memalukan institusi tersebut? Begitu juga keadaan yang sama apabila bercakap tentang isu UKM yang disifatkan sebagai “anti-ilmu”. Memang amat memalukan lebih-lebih lagi untuk salah sebuah institusi pendidikan yang terbaik dan tertua dalam negara.

Sejarah perjuangan yang cukup hebat dan perit ditambah dengan pelbagai kejayaan prestasi UKM yang sudah dilakar dalam negara mahupun luar negara sepanjang penubuhannya merupakan bukan usaha yang mudah. Namun, hari ini, institusi pendidikan UKM yang kita banggakan ini tiba-tiba disifatkan sebagai “anti-ilmu”. Saya berpandangan individu yang patut bertanggungjawab di atas gelaran yang diterima ini adalah Tnc Hepa Ukm, Prof Madya Datin Noor Aziah khususnya selepas surat larangan yang dikeluarkan oleh beliau. Hujah saya untuk mem”bakulsampah”kan surat tersebut telah saya sebutkan dalam tulisan saya sebelum ini. Maka, dengan ini, saya dengan rendah diri memohon Datin untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat bagi membersihkan nama UKM daripada gelaran tersebut dan juga meletakkan jawatan Tnc Hepa Ukm dengan segera sebagai bukti Datin adalah seorang yang berjiwa besar untuk melihat Ukm dipimpin ke arah perubahan yang lebih cemerlang.
Ahmad Afif Zulkipli
Bakal Graduan Ukm 3 november 2014
Mantan Ketua Jentera Politik GMUKM
Mantan Pengerusi Majlis Politik Nasional GAMIS
Bakal Graduan Ukm 3 november 2014
Mantan Ketua Jentera Politik GMUKM
Mantan Pengerusi Majlis Politik Nasional GAMIS
Moving Forward! Ber-GM Lebih Baik!
0 comments:
Post a Comment