Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Tuesday, May 5, 2009

Kembalikan Hak Mahasiswa Malaysia


PTPTN dijangka defisit belanjawan RM 40 Bilion pada 2020. Inilah berita yang disiarkan dalam Buletin Utama sebentar tadi. Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin, berkata bahawa pihaknya kini sedang menjalankan kajian terperinci bagi mengatasi masalah itu.
GMUKM mensyorkan kepada Kementrian Pengajian Tinggi agar memansuhkan terus PTPTN ini dan menukarnya dalam bentuk zakat mahupun biasiswa bagi kaum bukan islam. Hal ini kerana dalam satu tahun sahaja, hasil pungutan zakat mencecah RM 1 bilion. Sedangkan pelajar juga merupakan salah satu daripada 8 asnaf yang diwajibkan pemberian zakat tersebut. Bagi biasiswa pula, ia merupakan hak yang telah lama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Memetik kata-kata Pengerusi Institut Profesional Baitulmal (IPB) Tan Sri Hanafiah Ahmad,
“Pinjaman PTPTN adalah untuk kemudahan semua rakyat Malaysia. Jika pinjaman ini menggantikan pemberian biasiswa untuk pelajar Melayu Bumiputera, maka hak keistimewaan orang Melayu telah diketepikan. “Sekiranya ada pelajar Melayu bumiputera yang berjaya ke universiti tetapi tidak memperolehi biasiswa, bermakna perkara ini bertentangan dengan semangat dan hasrat yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai Hak Keistimewaan Orang Melayu,” katanya semasa konvokesyen ke-6 IPB tahun lalu.
Jelas bahawa hanya satu sahaja jalan penyelesaiannya, mansuhkan PTPTN dan kembalikan biasiswa kepada semua. Kurangkan rasuah dan kembalikan hak rakyat mendapat pendidikan percuma. Sebenarnya pelaksanaan pendidikan percuma ini bukanlah satu perkara baru untuk dilaksanakan. Dalam sejarah ketamadunan Islam, pendidikan percuma ini telah diberikan dari peringkat rendah sehingga peringkat tinggi. Sebagai contoh semasa pemerintahan Bani Abbasiyah di Baghdad, pendidikan percuma telah diberikan sehingga menjadikan kota Baghdad sebagai pusat tumpuan para penuntut ilmu dari seluruh dunia.
Demikian juga dengan pemerintahan Islam di Andalus, telah memberikan pendidikan percuma sehingga ramai penuntut ilmu dari Eropah berhijrah ke sana. Sehingga hari ini masih terdapat beberapa universiti di negara-negara dunia Islam yang mewarisi pendidikan percuma ini termasuklah Universiti Al-Azhar. Beberapa sumber digunakan untuk pembiayaan pendidikan percuma ini termasuklah wakaf, zakat dan sedekah.
Pendidikan percuma diberikan oleh kerajaan sesebuah Negara Kebajikan kerana ia dilihat sebagai keperluan asasi bagi setiap rakyat. Di kebanyakan negara yang mengamalkan dasar Liberalisme, menganggap pendidikan tinggi bukanlah keperluan asasi rakyat, justeru kerajaan tidak bertanggungjawab menyediakannya secara percuma.
Di Malaysia, penggubalan akta-akta berkaitan pendidikan pada pertengahan dekad 1990-an salah satunya mempunyai tujuan ini. Malaysia dilihat menuruti beberapa negara seperti Australia menjadikan pendidikan tinggi ini peluang untuk menambahkan pendapatan negara melalui kutipan yuran dan seumpamanya. Termasuk di UKM sendiri, yuran masih membebankan mahasiswa itu sendiri.
Bagaimanapun masih terdapat banyak negara yang mengekalkan pelaksanaan pendidikan percuma sehingga peringkat pendidikan tinggi seperti negara-negara Sweden, Norway, Finland dan lain-lain di Eropah, Arab Saudi, Kuwait dan lain-lain dari kalangan negara pengeluar Minyak, Cuba sebuah negara Sosialis serta Sri Lanka sebuah negara membangun. Hakikat ini menunjukkan bahawa pendidikan percuma ini tidak semestinya dilaksanakan hanya oleh negara-negara kaya. Jadi apa ditunggu lagi, mansuhkan PTPTN, berikanlah pendidikan percuma kepada seluruh rakyat jelata.

MPP Aspirasi gagal dalam sejarah


Yuran kolej UKM naik

Oleh JUNHAIRI ALYASA

junhairi.alyasa@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bimbang dengan nasib mereka apabila pihak pengurusan kolej di universiti itu berhasrat untuk menaikkan yuran asrama daripada RM490 kepada RM600 bagi setiap semester bermula sesi depan.

Kenaikan yuran tersebut kini menjadi perbualan hangat di kalangan pelajar kerana mereka sudah dibebani dengan kenaikan yuran pengajian sejak tahun lalu.

Malah, kesan kenaikan yuran asrama itu akan turut dirasai oleh 4,000 hingga 5,000 pelajar baru yang dijangka memulakan pengajian mereka tidak lama lagi.

Kosmo! difahamkan, kenaikan yuran asrama itu melibatkan lapan buah kolej kediaman iaitu Kolej Ibrahim Yaakub, Datuk Onn, Aminuddin Baki, Ungku Omar, Burhanuddin Helmi, Rahim Kajai, Ibu Zain, Idris Al Marbawi, Tun Syed Nasir, Tun Dr. Ismail dan Tun Hussein Onn.

Bagaimanapun, pelajar yang menginap di dua buah kolej lagi iaitu Kolej Za'ba dan Keris Mas bakal menikmati penurunan yuran sebanyak RM90 ekoran penyelarasan yuran yang dilaksanakan oleh UKM.

Salah seorang pelajar fakulti undang-undang universiti itu yang cuma mahu dikenali sebagai Munirah mempersoalkan kenaikan yuran tersebut kerana mutu perkhidmatan yang disediakan kepada pelajar masih rendah.

"Kalau dilihat dari segi keselamatan, keselesaan, kemudahan Internet masih lagi mengecewakan pelajar di sini. Kalau nak naikkan yuran pun kena pastikan semua itu dipenuhi dahulu baru pelajar tidak akan mempersoalkan kenaikan ini,'' katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut beliau, kesan kenaikan yuran pengajian pada tahun lalu masih lagi dirasai oleh kebanyakan pelajar dan ditambah lagi dengan bebanan baru ini menyebabkan ramai pelajar merungut.

"Tahun lepas pelajar baru kena bayar yuran pengajian sebanyak RM750 untuk satu semester berbanding sebelum ini cuma RM550. Sekarang nak naik lagi, saya yakin ramai yang akan pening kepala," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar yang cuma ingin dikenali sebagai Faizal meminta pihak pengurusan universiti mempertimbangkan semula kenaikan tersebut ekoran kemelesetan ekonomi dunia yang turut melanda negara ini.

"Saya merayu kepada pihak universiti pertimbangkan keputusan yang bakal dilaksanakan itu. Kalau boleh kami juga ingin tahu perincian sebenar yuran yang dibayar pada setiap semester supaya ada ketelusan di antara pelajar dan pihak pengurusan universiti,'' katanya.

- Inilah berita yang dikeluarkan oleh Kosmo ! pada hari ini. Sama-samalah mahasiswa kita bangkit melawan penindasan ini. Kepada MPP Aspirasi, anda memang gagal membela nasib mahasiswa. Anda sebenarnya sudah menjadi kuda kepang yang senang dihayun ke sana sini mengikut telunjuk orang tertentu. Mahasiswa UKM sekarang, beranikah anda untuk melakukan perubahan pada tahun ini? Berubahlah sebelum terus dizalimi oleh pemimpin celup Aspirasi

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !