PTPTN dijangka defisit belanjawan RM 40 Bilion pada 2020. Inilah berita yang disiarkan dalam Buletin Utama sebentar tadi. Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin, berkata bahawa pihaknya kini sedang menjalankan kajian terperinci bagi mengatasi masalah itu.
GMUKM mensyorkan kepada Kementrian Pengajian Tinggi agar memansuhkan terus PTPTN ini dan menukarnya dalam bentuk zakat mahupun biasiswa bagi kaum bukan islam. Hal ini kerana dalam satu tahun sahaja, hasil pungutan zakat mencecah RM 1 bilion. Sedangkan pelajar juga merupakan salah satu daripada 8 asnaf yang diwajibkan pemberian zakat tersebut. Bagi biasiswa pula, ia merupakan hak yang telah lama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Memetik kata-kata Pengerusi Institut Profesional Baitulmal (IPB) Tan Sri Hanafiah Ahmad,
“Pinjaman PTPTN adalah untuk kemudahan semua rakyat Malaysia. Jika pinjaman ini menggantikan pemberian biasiswa untuk pelajar Melayu Bumiputera, maka hak keistimewaan orang Melayu telah diketepikan. “Sekiranya ada pelajar Melayu bumiputera yang berjaya ke universiti tetapi tidak memperolehi biasiswa, bermakna perkara ini bertentangan dengan semangat dan hasrat yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai Hak Keistimewaan Orang Melayu,” katanya semasa konvokesyen ke-6 IPB tahun lalu.
Jelas bahawa hanya satu sahaja jalan penyelesaiannya, mansuhkan PTPTN dan kembalikan biasiswa kepada semua. Kurangkan rasuah dan kembalikan hak rakyat mendapat pendidikan percuma. Sebenarnya pelaksanaan pendidikan percuma ini bukanlah satu perkara baru untuk dilaksanakan. Dalam sejarah ketamadunan Islam, pendidikan percuma ini telah diberikan dari peringkat rendah sehingga peringkat tinggi. Sebagai contoh semasa pemerintahan Bani Abbasiyah di Baghdad, pendidikan percuma telah diberikan sehingga menjadikan kota Baghdad sebagai pusat tumpuan para penuntut ilmu dari seluruh dunia.
Demikian juga dengan pemerintahan Islam di Andalus, telah memberikan pendidikan percuma sehingga ramai penuntut ilmu dari Eropah berhijrah ke sana. Sehingga hari ini masih terdapat beberapa universiti di negara-negara dunia Islam yang mewarisi pendidikan percuma ini termasuklah Universiti Al-Azhar. Beberapa sumber digunakan untuk pembiayaan pendidikan percuma ini termasuklah wakaf, zakat dan sedekah.
Pendidikan percuma diberikan oleh kerajaan sesebuah Negara Kebajikan kerana ia dilihat sebagai keperluan asasi bagi setiap rakyat. Di kebanyakan negara yang mengamalkan dasar Liberalisme, menganggap pendidikan tinggi bukanlah keperluan asasi rakyat, justeru kerajaan tidak bertanggungjawab menyediakannya secara percuma.
Di Malaysia, penggubalan akta-akta berkaitan pendidikan pada pertengahan dekad 1990-an salah satunya mempunyai tujuan ini. Malaysia dilihat menuruti beberapa negara seperti Australia menjadikan pendidikan tinggi ini peluang untuk menambahkan pendapatan negara melalui kutipan yuran dan seumpamanya. Termasuk di UKM sendiri, yuran masih membebankan mahasiswa itu sendiri.
Bagaimanapun masih terdapat banyak negara yang mengekalkan pelaksanaan pendidikan percuma sehingga peringkat pendidikan tinggi seperti negara-negara Sweden, Norway, Finland dan lain-lain di Eropah, Arab Saudi, Kuwait dan lain-lain dari kalangan negara pengeluar Minyak, Cuba sebuah negara Sosialis serta Sri Lanka sebuah negara membangun. Hakikat ini menunjukkan bahawa pendidikan percuma ini tidak semestinya dilaksanakan hanya oleh negara-negara kaya. Jadi apa ditunggu lagi, mansuhkan PTPTN, berikanlah pendidikan percuma kepada seluruh rakyat jelata.
1 comments:
kalau duit pnjaman jd biasiswa,student akn gune sewenang-wenang nya dan x akan menghargai duit itu sbb dorang dah x perlu bayar...
Post a Comment