Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Sunday, August 22, 2010

Falsafah UKM bukti perjuangan mahasiswa relevan

Sewaktu penubuhan Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) pada tahun 1970-an, mahasiswa masih teraba-raba mencari identiti untuk dijadikan dasar perjuangan dan kepimpinan kampus serta masyarakat luar kampus. Berbagai-bagai ideologi dan pemikiran liar menghantui mahasiswa dan menujah masuk dari semua sudut yang ada. Mahasiswa ketika itu terpaksa berhadapan dengan gejala kuning barat, fahaman liberal, atheisme, dan tidak berpegang kepada agama secara syumul. Kesemua ini membuatkan kehidupan mahasiswa bertambah keliru.

Dalam kekeliruan inilah mahasiswa ketika itu berani menongkah arus bangkit mencari prinsip-prinsip hidup yang fitrah dan lebih sempurna. Akhirnya senada dan sebulat suara majoriti mahasiswa ketika itu memilih asas pembentukan PMUKM adalah berdasarkan asas-asas ajaran Al-Quran, As-Sunnah dan nilai-nilai sejagat.

Ini dibuktikan di dalam ucapan YDP PMUKM pertama bagi sesi 1971/72 , saudara Ramli Hj Ibrahim yang dipetik berkata, "..sejak dari mula lagi PMUKM telah meletakkan dasar-dasar Islam sebagai landasan perjuangannya. Penegasan dasar-dasar keIslaman ini merupakan satu peristiwa penting di dalam perjuangan mahasiswa dewasa ini..."

Masyarakat kampus bukan Islam ketika itu juga dilihat memahami kebenaran ajaran Islam apabila ajaran tersebut diamalkan secara syumul dalam pentadbiran PMUKM ketika itu. Sementara itu mereka juga merasakan penting untuk memperjuangkan masalah-masalah budaya dan agama mereka di dalam kampus dalam kerangka perbincangan di peringkat PMUKM. Suasana harmoni jelas kelihatan ketika itu hasil betapa kuatnya prinsip-prinsip yang dipegang kepimpinan PMUKM yang akhirnya berjaya menyatupadukan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang.

Kekuatan prinsip-prinsip kepimpinan PMUKM yang dipegang oleh mahasiswa berjiwa pejuang isu mahasiswa ketika langsung tidak mengganggu urusan pentadbiran malahan dilihat banyak membantu pihak pentadbiran universiti ketika itu. Mahasiswa melalui PMUKM ketika itu diberi peluang seluas mungkin malah sering diajak berbincang dalam membincangkan beberapa isu-isu mahasiswa selaku pelanggan bagi pihak pentadbiran UKM.

Kekuatan dan keteguhan prinsip-prinsip kepimpinan PMUKM ketika itu menarik minat pentadbiran universiti. Dari detik-detik inilah tergambar corak falsafah UKM. Malah direkodkan pada tahun 1978 pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kelihatan turut mendokong prinsip-prinsip yang agak selari dengan idealisme mahasiswa ketika itu dengan menjadikannya sebagai intisari Falsafah Universiti yang kekal sehingga sekarang iaitu paduan ILMU,IMAN dan AMAL.

Justeru Gabungan Mahasiswa menyeru seluruh mahasiswa kembali menghayati Falsafah UKM yang menekankan tiga prinsip utama ini. Dengan konsep ILMU yang sentiasa membawa kepada kebenaran, sambil disaluti konsep IMAN yang mengandungi unsur-unsur ketaqwaan, tawakkal dan keyakinan kepada Pencipta; dan akhirnya dipraktikkan dengan konsep AMAL menuntut seluruh mahasiswa menterjemahkan kebenaran ilmu itu dengan berjuang menentang kebatilan dengan berbekalkan ilmu yang benar-benar sahih.




RUJUKAN :
1. Mohd Shuhaimi Al-Maniri (1995), Di Sebalik Tabir Politik Kampus, Pustaka Generasi Baru, Bandar Baru Bangi 
2. Shaharir Mohamad Zain (1994), Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia, Tafsiran dan Penghayatan, Penerbit UKM, Bangi

Friday, August 20, 2010

Di Sebalik Falsafah UKM

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysisa (GMUKM) berkesempatan merujuk informasi di Laman Web Rasmi UKM berkenaan apa yang dimaksudkan dengan Falsafah UKM. Di situ,  Falsafah UKM ada menyebut dan menekankan "Paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti."


Panduan perlaksanaan aspek-aspek utama yang terkandung dalam Falsafah UKM perlu diperjelaskan dengan sebenar-benarnya kepada semua warga kampus UKM supaya kita selaku warga Universiti tidak mudah diperbodoh dengan sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Di sini, Gabungan Mahasiswa berusaha menjejak sejarah dan penafsiran yang paling tepat berkenaan Falsafah UKM dan mendapati huraian paling tepat berjaya dilakukan oleh Profesor Dr. Shaharir Mohammad Zain yang merupakan bekas Timbalan Naib Canselor (HEA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sendiri yang menerbitkan sebuah buku bertajuk, "Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia, Tafsiran dan Penghayatan" yang diterbitkan Penerbit UKM pada tahun 1994.

KONSEP ILMU : perlu mempunyai tiga (3) perkara utama iaitu; 
- ILMU sentiasa bersifat mengembang
- INTEGRASI ilmu yang berbagai-bagai disiplin
- ILMU sentiasa membawa kebenaran

KONSEP IMAN : harus mengandungi unsur-unsur taqwa, tawakal dan keyakinan yang padu terhadap Allah Tuhan Semesta Alam. (Mengikut Amriah binti Buang (1994), perkataan 'Allah' perlu diletakkan untuk mengelakkan makna-makna Tuhan yang tidak dikehendaki seperti athiesme, materialisme, entiti Tuhan yang kabur dll)

KONSEP AMAL : perlu dibersihkan daripada penumpuan unsur-unsur hiburan semata-mata. Amal yang terkandung dalam Falsafah Universiti adalah berteraskan aqidah yang tulen. Ungkapan 'gabungan teori dan amal' membuktikan mahasiswa bukan sahaja perlu perlu menuntut ilmu yang benar dan sahih tetapi mahasiswa perlu menterjemahkan kebenaran ilmu itu dengan berjuang menentang kebatilan dengan berbekalkan ilmu yang benar. 

Nota : 
Gabungan Mahasiswa menyokong penuh penafsiran Prof Dr Shaharir yang jelas dan tepat  merujuk kepada Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia. Dukacita mahasiswa hari ini semakin terpesong daripada konsep asal penubuhan UKM yang jelas diterjemahkan melalui Falsafah UKM ini. Justeru Gabungan Mahasiswa mengajak rakan-rakan mahasiswa supaya menghayati Falsafah UKM ini dan mampu menghadaminya seterusnya menterjemahkan dalam pengamalan dan praktikaliti sehari-hari di bumi UKM ini.

* Prof Dr Shaharir kini merupakan professor matematik di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).


Ber-GM Lebih Baik!

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !