Dalam kekeliruan inilah mahasiswa ketika itu berani menongkah arus bangkit mencari prinsip-prinsip hidup yang fitrah dan lebih sempurna. Akhirnya senada dan sebulat suara majoriti mahasiswa ketika itu memilih asas pembentukan PMUKM adalah berdasarkan asas-asas ajaran Al-Quran, As-Sunnah dan nilai-nilai sejagat.
Ini dibuktikan di dalam ucapan YDP PMUKM pertama bagi sesi 1971/72 , saudara Ramli Hj Ibrahim yang dipetik berkata, "..sejak dari mula lagi PMUKM telah meletakkan dasar-dasar Islam sebagai landasan perjuangannya. Penegasan dasar-dasar keIslaman ini merupakan satu peristiwa penting di dalam perjuangan mahasiswa dewasa ini..."
Masyarakat kampus bukan Islam ketika itu juga dilihat memahami kebenaran ajaran Islam apabila ajaran tersebut diamalkan secara syumul dalam pentadbiran PMUKM ketika itu. Sementara itu mereka juga merasakan penting untuk memperjuangkan masalah-masalah budaya dan agama mereka di dalam kampus dalam kerangka perbincangan di peringkat PMUKM. Suasana harmoni jelas kelihatan ketika itu hasil betapa kuatnya prinsip-prinsip yang dipegang kepimpinan PMUKM yang akhirnya berjaya menyatupadukan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang.
Kekuatan prinsip-prinsip kepimpinan PMUKM yang dipegang oleh mahasiswa berjiwa pejuang isu mahasiswa ketika langsung tidak mengganggu urusan pentadbiran malahan dilihat banyak membantu pihak pentadbiran universiti ketika itu. Mahasiswa melalui PMUKM ketika itu diberi peluang seluas mungkin malah sering diajak berbincang dalam membincangkan beberapa isu-isu mahasiswa selaku pelanggan bagi pihak pentadbiran UKM.
Kekuatan dan keteguhan prinsip-prinsip kepimpinan PMUKM ketika itu menarik minat pentadbiran universiti. Dari detik-detik inilah tergambar corak falsafah UKM. Malah direkodkan pada tahun 1978 pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kelihatan turut mendokong prinsip-prinsip yang agak selari dengan idealisme mahasiswa ketika itu dengan menjadikannya sebagai intisari Falsafah Universiti yang kekal sehingga sekarang iaitu paduan ILMU,IMAN dan AMAL.
Justeru Gabungan Mahasiswa menyeru seluruh mahasiswa kembali menghayati Falsafah UKM yang menekankan tiga prinsip utama ini. Dengan konsep ILMU yang sentiasa membawa kepada kebenaran, sambil disaluti konsep IMAN yang mengandungi unsur-unsur ketaqwaan, tawakkal dan keyakinan kepada Pencipta; dan akhirnya dipraktikkan dengan konsep AMAL menuntut seluruh mahasiswa menterjemahkan kebenaran ilmu itu dengan berjuang menentang kebatilan dengan berbekalkan ilmu yang benar-benar sahih.
RUJUKAN :
1. Mohd Shuhaimi Al-Maniri (1995), Di Sebalik Tabir Politik Kampus, Pustaka Generasi Baru, Bandar Baru Bangi
2. Shaharir Mohamad Zain (1994), Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia, Tafsiran dan Penghayatan, Penerbit UKM, Bangi
0 comments:
Post a Comment