AKSIS mengucapkan selamat hari wanita kepada semua yang bergelar wanita. Hari Wanita Kebangsaan bagi negara kita yang jatuh pada tarikh 25 Ogos pada setiap tahun sebenarnya telah mula diperkenalkan oleh Tun Tan Sri Dr. Fatimah Hashim yang merupakan bekas Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO.Beliau yang juga merupakan Wanita Pertama Malaysia yang dilantik menjadi Menteri Kabinet Malaysia (20 Mei 1969 – 28 Februari 1973 ) telah memulakan perayaan Hari Wanita Kebangsaan pada tahun 1962 dan ianya berlanjutan sehinggalah ke hari ini.
Pada tahun ini, genap 48 tahun sambutan ini diraikan di negara kita. Peranan dan fungsi kaum wanita dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara sememangnya tidak dapat dinafikan. Peranan dan fungsi cergas wanita ini telahpun bermula sejak sejarah awal Tanah Melayu, hatta ketika negara kita berada dalam cengkaman penjajah, era perjuangan menuntut kemerdekaan, era membangunkan ekonomi negara dan sehinggalah sekarang dalam zaman teknokrat, langit terbuka dan dunia tanpa sempadan. AKSIS menyokong penuh segala usaha yang dilakukan untuk memberi peluang kepada wanita di negara ini menunjukkan kebolehan mereka yang sebenar. AKSIS juga ingin menyeru mahasiswi sekalian agar berani tampil ke hadapan dan serlahkan potensi sebenar anda. Dalam masa yang sama AKSIS juga ingin menyeru rakan-rakan mahasiswi sekalian agar tetap teguh berpegang dengan nilai-nilai murni supaya mahasiswi yang ada di institute-institut pengajian tinggi di negara kita mampu melahirkan golongan intelektual yang cemerlang dari segala segi,baik gerak kerja mahupun sahsiah.
Mutakhir ini, golongan mahasiswi seringkali dihujani dengan masalah-masalah sosial yang kini kian membarah di dalam masyarakat. Kes buang bayi, pergaulan bebas mahupun kes-kes keruntuhan akhlak di kalangan golongan intelektual kian menjadi paparan dada-dada akhbar harian. Oleh itu, AKSIS amat berharap, sambutan hari wanita kebangsaan ini dapat membawa satu transformasi positif kepada wanita-wanita di negara ini. Wanita bukan lagi dijadikan bahan-bahan komersial mahupun symbol dagangan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.Hakikatnya, AKSIS mahukan satu perubahan dalam negara kita. Perubahan yang menjamin keselamatan kita, anak-anak kita dan ahli keluarga serta anggota masyarakat kita. Tidak ada ertinya menyambut Hari Wanita Kebangsaan setiap tahun jika segala titik bengit ini tidak mampu diperbetulkan seperti kata pepatah melayu, Kita tidak mahu menerima madu di tangan kanan dan pada masa yang sama diberikan racun pada tangan kiri!
0 comments:
Post a Comment