Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Monday, August 30, 2010

Selamat Hari Merdeka

Detik 31 Ogos sudah menghampiri kita. Maka begitulah lumrahnya pada setiap tahun rakyat Malaysia disaran untuk mengibarkan bendera Jalur Gemilang. Tapi, apakah signifikan semua ini? Apakah seluruh fakta sejarah kemerdekaan kita ditulis dengan betul dan adil?

Tanggal 31 Ogos 1957 adalah tarikh kemerdekaan negara kita sebagaimana yang tercatat dalam buku-buku sejarah. Detik bersejarah ini telah dimulakan dengan penurunan bendera Union Jack di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur tepat pukul 12 malam. Keesokan harinya barulah diisytiharkan Merdekanya Tanah Melayu dari penjajah British dengan laungan "Merdeka!" oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka.

Namun demikian, beberapa persoalan timbul disebalik fakta sejarah kemerdekaan negara kita yang sedia ada iaitu: Adakah benar Parti Perikatan sahaja dari mula hingga akhir yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu? Apakah buku-buku sejarah yang ditulis pada hari ini berasaskan kepada fakta sebenar ataupun berasaskan kepada acuan pemerintah? Adakah benar Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan pemimpin-pemimpin pemerintah sahaja yang bersungguh terlibat memerdekakan negara kita?

Bagaimana pula peranan yang dimainkan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan ramai lagi berserta dengan pertubuhan-pertubuhan pimpinan mereka Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) untuk memerdekakan negara kita?

Adalah diakui bahawa tajuk ini sememangnya penuh kontroversi dan menjadi pertikaian sejak sekian lamanya. Penelitian kembali dari perspektif kajian Sains Politik dan Sejarah adalah mustahak bagi membolehkan usaha-usaha untuk mengembalikan keadilan dan kebenaran dalam penulisan pensejarahan fakta perjuangan kemerdekaan negara ini, mampu dilaksanakan oleh pengemblengan semua pihak yang cintakan kebenaran dan keadilan.

Sejarah Awal Perjuangan Kemerdekaan

Mengimbau kembali sejarah kemerdekaan Tanah Melayu diperoleh dari British pada tanggal 31 Ogos 1957. Dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara dan kebebasan bangsa kita, memang banyak golongan telah memberikan pelbagai sumbangan dan pengorbanan-tenaga dan nyawa.

Ketika Portugis menyerang Melaka, Bendahara Paduka Raja muncul sebagai pemimpin yang menentang serangan itu. Lebih tiga abad kemudian, penjajah Inggeris cuba menakluki negeri-negeri Melayu, timbul pula pembesar-pembesar Melayu terkenal: Datuk Maharajalela di Perak, Datuk Bahaman di Pahang, Tok Janggut di Kelantan dan ramai lagi yang bangkit melawan kuasa penjajah.

Dalam perjuangan menentang penjajah untuk mempertahan kedaulatan bangsa ini, dapat dilihat dua tradisi yang jelas. Pertama, tradisi melawan atau menentang penjajah habis-habisan. Kedua, tradisi bekerjasama dengan pihak penjajah.

Mereka yang menentang ada yang dibunuh, diburu, dibuang negeri dan dilucut kedudukan mereka. Yang menang pula kemudian diupah dengan pangkat, martabat dan kekayaan. (Dr. Syed Husin Ali (1998)

Selepas penjajah menakluki negara dan rakyat, maka timbullah golongan yang berjuang untuk menentang penjajahan dan menegakkan kemerdekaan. Sejarah membuktikan golongan yan mula-mula bangkit untuk menuntut kemerdekaan terdiri daripada tokoh-tokoh atau pertubuhan-pertubuhan yang dicop oleh penjajah sebagai radikal dan kiri.

Kenalkah kita dengan nama-nama seperti Ibrahim Yaakub, Ishak Hj Muhammad, Shamsiah Fakeh, Dr. Buhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan Abu Bakar Baqir ?  Mereka memimpin pertubuhan-pertubuhan yang dikenali sebagai Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Hizbul Muslimin. Inilah kumpulan pejuang kemerdekaan dalam golongan tradisi pertama seawal tahun 1930/1940-an. Oleh kerana sikap tokoh-tokoh dan pertubuhan-pertubuhan kiri ini tidak mahu bekerjasama dengan pihak penjajah malah, mereka yang menentang penjajah habis-habisan, maka mereka ditekan, ditangkap dan dipenjara bertahun-tahun.

Berikutan pengisytiharan darurat pada 20 Jun 1948 di mana penjajah British telah mengharamkan parti-parti politik yang keras dan dikatakan berhaluan kiri ini menentang mereka, maka ruang telah terbuka luas kepada Parti Perikatan yang lebih 'lunak' suara mereka di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman , Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock dan Tun S. Sambanthan melanjutkan tuntutan kemerdekaan. Ini disebabkan pihak penjajah British berasa lebih senang untuk menyerahkan kemerdekaan kepada Perikatan kerana Parti Perikatan sanggup bekerjasama, berkompromi dan bersedia menjaga kepentingan ekonomi penjajah.

Justeru, amat perlu untuk menekuni kesemua fakta sejarah kemerdekaan dengan mengambil kira semua peranan yang dimainkan oleh sesiapa juga; baik pemimpin ataupun rakyat biasa di semua peringkat dalam usaha memerdekan negara ini.

Ini penting demi menjamin penghakiman sejarah yang adil bagi mereka yang berjuang secara bersungguh untuk merdeka; kesungguhan perjuangan yang bukan hanya terhad di meja perundingan tapi juga sanggup berkorban nyawa demi memerdekakan tanah air dan membela maruah agama serta bangsa.

Tegasnya, sebelum Tunku Abdul Rahman melaungkan Merdeka pada 31 Ogos 1957, laungan ini sudah bergema dan banyak babak-babak sejarah yang dimainkan bukan hanya oleh Parti Perikatan.

Malahan fakta sejarah menegaskan wujudnya parti-parti politik nasionalis Melayu mendahului Umno dalam perjuangan kemerdekaan. Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang di pimpin oleh Mokhtaruddin Lasso ditubuhkan pada 17 Oktober 1945.Bersama parti ini ialah Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Baris Tani Se-Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) dan pada 14 Mac 1948 ditubuhkan pula Hizbul Muslimin. Ini semua adalah jaringan gerakan nasionalis Melayu yang menuntut kedaulatan dan kemerdekaan daripada British sedari awal daripada UMNO dan Parti Perikatan.

Realitinya pada hari ini, indoktrinasi yang cuba dan sentiasa diterapkan oleh Umno khususnya dan regu kuat politiknya-MCA dan MIC bahawasanya, merekalah pelopor kepada perjuangan memerdekakan Tanah Melayu.

Merujuk kepada sejarah perjuangan kemerdekaan Malaysia hari ini, banyak fakta yang dinafikan kerajaan yang memerintah. Ini jelas apabila sejarah perjuangan para pemimpin dan pertubuhan selain Umno/Perikatan serta rakyat biasa seolah-olah tidak diiktiraf.

Ini dapat dibuktikan bilamana, penulisan pensejarahan perjuangan kemerdekaan hari ini masih melabelkan Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Al-Helmy dan seangkatan dengan mereka serta pertubuhan mereka sebagai golongan radikal dan berhaluan kiri. Juga, mereka ini hanya berperanan kecil dalam usaha memerdekakan Tanah Melayu.

Ini satu ketidakadilan dalam pengungkapan sejarah, kerana fakta sejarah sebenar telah menegaskan Umno dan Perikatan hanya menyambung usaha menuntut kemerdekaan daripada British setelah pemimpin-pemimpin yang dilabelkan radikal ini ditahan oleh British.

Perjuangan sebenar menuntut kemerdekaan sedari awal bukanlah dipelopori oleh Umno/Perikatan tetapi pemimpin-pemimpin dan pertubuhan-pertubuhan yang berhaluan kiri tersebut. Inilah fakta kebenaran yang dinafi dan diselindung.

Generasi muda dan rakyat keseluruhannya telah dikeliru dan terkeliru; ditipu dan tertipu dengan fakta sebenar perjuangan kemerdekaan. Menyeleweng dan menyelindung kebenaran fakta sejarah perjuangan kemerdekaan adalah satu pengkhianatan terhadap sejarah perjuangan bangsa.

Ia mencemar perjuangan dan pengorbanan suci pejuang-pejuang terdahulu dalam membela maruah bangsa dan agama. Pengolahan dan pengungkapan fakta sejarah yang berat sebelah dalam penyataan memerdekakan Tanah Melayu beralasankan untuk mengelakkan kontroversi dan mencetuskan provokasi dalam masyarakat adalah hujah yang amat dangkal.

Ini kerana ia tidak akan membentuk kesatuan dan keharmonian dalam sambutan kemerdekaan pada setiap tahun. Generasi baru daripada salasilah keluarga tokoh-tokoh yang dilabelkan sebagai radikal dan kiri pada hari ini, tidak akan mengiktiraf kemerdekaan yang disambut disebabkan penafian peranan datuk-datuk mereka dalam memerdekakan Tanah Melayu dalam penulisan sejarah tanah air.

Justeru, selagi mana fakta sejarah sebenar dirahsiakan dengan menonjolkan pejuang-pejuang kemerdekaan secara selektif; dengan menyatakan perjuangan menuntut kemerdekaan hanyalah dipelopori oleh pertubuhan moderat Melayu iaitu Umno, lantas menafikan peranan para pemimpin dan pertubuhan lain, maka selagi itulah semangat meraikan kemerdekaan secara bersama tidak akan tercapai.

Penekunan dan penelitian kembali fakta-fakta sejarah dahulu dapat memberikan kefahaman yang mendalam pada kita untuk memahami keadaan sosio-politik hari ini. Yang terdahulu melahirkan yang terkini dan yang terkini akan menimbulkan yang akan datang.

Dalam perjuangan menentang penjajahan demi memerdekakan Tanah Melayu, kedapatan juga dua tradisi yang sama, iaitu: tradisi kerjasama serta kompromi dengan penjajah dan tradisi perlawanan serta penentangan terhadap penjajah. Penilaian dan justifikasi kita mungkin berbeza terhadap kedua-dua tradisi ini. Namun, adalah perlu untuk kita memberi pengiktirafan yang seimbang kepada tokoh-tokoh dan parti-parti penting dari kedua-dua tradisi ini.

Penutup & Kesimpulan

Adalah jelas bahawasanya sejarah perjuangan kemerdekaan pada hari ini tidak benar-benar mengungkapkan fakta pensejarahan yang tepat. Banyak fakta yang diselindung dan diseleweng khususnya bila melibatkan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang tidak sealiran prinsip perjuangannya dengan Umno dan Perikatan.

Seharusnya, kita memandang berat dan menghormati pandangan Tun Dr. Ismail, dengan mengikuti nasihatnya iaitu sebagaimana yang diungkapkan pada tahun 1972 : "sumbangan semua golongan, termasuk golongan kiri' mesti dihormati.' (Dr S.Husin Ali-'Hormati semua pejuang kemerdekaan') Sungguhpun beliau tidak menyebut satu-persatu golongan tersebut, maksudnya agak jelas.

Tiada siapa yang menafikan peranan Tunku dan Umno untuk akhirnya mendapatkan kemerdekaan dari kerajaan Inggeris menerusi perundingan. Tetapi sebaliknya, ia salah jika kita tidak mengiktiraf sama sekali peranan dan sumbangan oleh golongan-golongan lain, termasuk golongan ulama, bangsawan tradisional dan tokoh serta pertubuhan 'kiri' yang disebut tadi.

Pensejarahan semula perjuangan kemerdekaan Negara ini amat penting demi menjamin keadilan dan kebenaran fakta sejarah kemerdekaan keseluruhannya. Ini kerana kita tidak mahu "The victor writes history, the loser writes poetry" (Yang juara menulis sejarah, yang kalah menulis sajak)

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !