Assalamualaikum dan Salam Kemerdekaan
31 Ogos bukan tarikh yang asing bagi penduduk tanahair kita. Tahun ini merupakan tahun yang ke-53 kita menyambut hari kemerdekaan yang jatuh pada bulan Ramadhan. Ianya diraikan oleh segenap lapisan masyarakat dengan slogan dan sorakan yang penuh bersemangat untuk menzahirkan rasa gembira kerana dapat hidup di atas muka bumi yang bebas daripada cengkaman penjajah.
Kebiasaannya, malam kemerdekaan menjadi tumpuan masyarakat untuk menanti detik-detik 12 malam. Letupan bunga api menghangatkan suasana dan menjadi simbolik ulangtahun kemerdekaan. Ramai anak muda dan golongan remaja tidak ketinggalan dalam menghargai kemerdekaan hasil titik peluh pejuang terdahulu.
Selain itu, ada yang memilih untuk mengadakan majlis berbuka puasa, ceramah kemerdekaan, bersolat terawih secara berjemaah dan Qiamullail untuk menyambut kemerdekaan di samping memuliakan Ramadhan. Kempen cegah maksiat turut digerakkan bagi membanteras perilaku sumbang yang melibatkan ramai golongan remaja. Sememangnya, terdapat golongan anak muda yang cenderung untuk meraikan kemerdekaan dengan berpesta, berkaraoke, melakukan seks bebas dan sebagainya.Justeru, adakah merdeka gagal untuk difahami? atau ada kemungkinan ianya sutelah disalahtafsir?
Golongan anak muda ini memahami bahawa merdeka merupakan bebas secara mutlak. Dalam erti kata lain, mereka bebas untuk melakukan apa-apa sahaja yang diingini tanpa kongkongan atau keterikatan daripada mana pihak. Lebih menyedihkan apabila mereka sanggup melakukan perkara yang bertentangan dengan agama atas alasan kebebasan dan menganggap bahawa diri mereka sudah merdeka.
Oleh yang demikian, usaha untuk memimpin generasi muda ke arah erti dan nilai kemerdekaan yang sebenar perlu digerakkan secara bersepadu kerana merdeka BUKAN bebas secara mutlak. Kita masih terikat dengan sistem beragama yang mampu menjamin kelangsungan hidup manusia di atas muka bumi. Ayuh! sahutlah seruan pencerahan, buktikan bahawa generasi merdeka punya kekuatan untuk mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.
SALAM KEMERDEKAAN!
Ber-GM Lebih Baik!
0 comments:
Post a Comment