Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Monday, March 21, 2011

Peranan Mahasiswa Sebagai Generasi Pelapis Kepimpinan Negara



Pendahuluan

Kepimpinan mahasiswa diertikan sebagai kepimpinan yang diasaskan oleh rasa tanggungjawab untuk menjaga kemaslahatan umum. Ia juga dikatakan sebagai medan latihan sebelum terjun ke medan sebenar. Apa pun yang mahu disampaikan dalam pembentangan ini adalah berkaitan Peranan Mahasiswa Sebagai Generasi Pelapis Kepimpinan Negara.

Negara kita diakui mempunyai kepelbagaian kaum yang cukup berbeza dengan diakui keunikan dan keindahan kerana kekuatan perpaduan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, kaum, pegangan agama, kebudayaan dan lain-lain yang menjadikan antara negara unik di dunia ini.

Dalam sedar ataupun tidak, golongan belia (mahasiswa) kini merupakan kelompok terbesar dalam populasi masyarakat di Malaysia – ia informasi baik untuk masa depan negara kerana mempunyai banyak tenaga, idea serta penggerak muda yang akan meneruskan agenda pembangunan Negara.

Menurut perangkaan, 9.8 juta daripada 24 juta rakyat Malaysia berada dalam julat umur antara 15 hingga 40 tahun, dan 46 peratus daripadanya berada dalam lingkungan usia antara 15 hingga 24 tahun.


Persediaan Mahasiswa Bergelar Pemimpin Negara

1. Jadikan Diri Orang Berilmu
Dalam perkembangan dunia sekeliling ilmu pengetahuan kini menjadi modal kehidupan yang amat berharga. Nilai ilmu itu sendiri adalah merupakan asas dalam mewujudkan suasana kehidupan yang lebih baik dan sempurna. Justeru generasi mahasiswa tidak boleh tertinggal dan terpengaruh dengan gejala yang hanya menyekat kemaraan bagi meneruskan pencarian ilmu. Ilmu itu perlu dicari dan difahami dengan sebaiknya. Ilmu itu tidak akan bermakna jika ia tidak disertakan dengan pemahaman yang mendalam mengenainya.

Kenapakah kita memerlukan generasi yang berilmu, kerana dalam melaksanakan setiap perubahan dan menangani perkembangan semasa, ilmu berperanan sebagai pengimbang dalam memberikan panduan kehidupan. Tanpa ilmu pengetahuan yang disertai dengan pemahaman tidak mungkin akan dapat kita perolehi sesuatu perubahan dan pembaharuan yang lebih baik dan sempurna.

Kita juga akan dihormati kerana faedah dan juga manfaat ilmu itu sendiri. Ilmu yang dapat mengangkat kualiti dan kebaikan kehidupan adalah ilmu yang dapat dimanfaatkan.

2. Keikhlasan Dalam Memimpin
Keikhlasan amat penting dalam menjalankan tanggungjawab kepimpinan. Kepimpinan mahasiswa seolah memaksa diri untuk membahagikan kepentingan diri dengan orang ramai. Masa perlu dibahagikan, kewangan juga perlu dikorbankan dan privacy diri diketepikan sementera waktu untuk memastikan amanah kepimpinan dilunas dengan baik.

Semua itu memerlukan kata kunci dalaman yang namanya adalah keikhlasan. Mana mungkin pengorbanan yang ditagih tersebut mampu untuk dilaksanakan sekiranya tidak dipasakkan dalam hati. Justeru, bicara atas nama keikhlasan tidak perlu dipanjangkan perbincangannya tetapi ia seharusnya diukir kemas di dalam hati.

Hati-hati dalam meniti lorong berduri kepimpinan. Jangan sampai susah payah dan pengorbanan yang dibuat langsung tiada hasilnya kerana tidak didasarkan kepada keikhlasan. Keikhlasan juga adalah ubat dan penawar kepada keletihan kerana keyakinan bahawa setiap pekerjaan yang ikhlas dilaksanakan akan di nilai.

Yang paling penting ikhlas perlu mengepalai setiap langkah dan kerja buat kita seharian kerana tugas kepimpinan ini akan semestinya dilihat orang dan diperkatakan samada positif ataupun negatif. Ikhlaskan niat di hati.

3. Kuatkan Jati Diri
Pengaruh sekeliling yang sering berubah dan bermacam caranya, mestilah ditangani dengan sebaiknya, hal ini penting agar suasana dan pengaruh sekeliling yang tidak begitu sesuai dan selari dengan konsep kehidupan bernegara dapat di tangani dengan sebaiknya. Kita perlu bekerja keras untuk menyekat gejala-gejala negatif sambil juga berusaha dengan bersungguh-sungguh menyuburkan nilai-nilai yang selaras dengan falsafah kehidupan di negara kita, Melayu Islam Beraja.

Perubahan dan globalisasi yang berlaku bukanlah merupakan alasan untuk kita menerima apa saja yang datang adalah merupakan pembaharuan. Pembaharuan tidak semestinya menjadikan globalisasi itu asas untuk membelakangkan kehidupan beragama. Kita perlu mempertahankan nilai-nilai orang kitani yang pelikat dengan kehidupan beragama yang betul lagi sempurna. Pengaruh pembaharuan bukanlah bererti ia perlu kita ambil kesemuanya, namun perkara yang baik dapat dijadikan sandaran akan tetapi yang kurang baik mesti kita hindarkan.

Peranan ilmu pengetahuan yang difahami dan dihayati mestilah kita jadikan sebagai asas yang akan membantu kita dalam mewujudkan pembaharuan diri yang lebih teguh. Ilmu pengetahuan dan pendidikan yang tinggi biarlah menjadi asas ke arah pembinaan insan yang lebih berkualiti tinggi. Kita perlu berpegang kepada identiti sendiri, di samping tidak boleh menyempitkan ruang ke arah kemajuan, yang penting bagi kita adalah sensitiviti bangsa. Jika sensitiviti kita tumpul maka ia akan menghakis rasa cemburu. Jika ini terhakis maka akan mudahlah segala pengaruh negatif mencorakkan kehidupan dan pemikiran kita.

Inilah senario yang memerlukan penelitian dan penghayatan serius, isu-isu sedemikian inilah memerlukan bidang pendidikan yang lebih sempurna dan kemas kini.

Kesimpulan

Dengan menghayati persediaan mahasiswa bergelar pemimpin Negara sebentar tadi, kita akan mampu melahirkan sebuah masyarakat yang akan mengangkat tamadun dan kekuatan berbangsa serta bernegara. Kita mesti konsisten mewujudkan sebuah masyarakat remaja dan belia yang bernilai dan berpengetahuan tinggi dengan kemampuan untuk menjadi ‘lampu zaman’ yang dapat menerangi kehidupan beragama, berbangsa dan bernegara.

- - - - - - - - - -  - - - - - - - - - - - - - - - -  - - - - - - - - - - - - - - - -  - - - - - - - - - - - - - - - -  - - - - - -



0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !