Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Thursday, April 7, 2011

Kabinet Siswa

 

 

BAHANG pilihan raya kampus 2011 di seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah pun selesai dan kini tumpuan mula terarah kepada pembentukan kabinet Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta pelaksanaan segala janji manifesto yang dicanang mereka sewaktu berkempen dulu.

Bagi Yang Di Pertua (YDP) MPP Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ibrahim Hussain, 22, berpandu kepada slogan ‘smart, responsible, competitive’, pihak MPP di universiti terbabit menggariskan empat misi utama iaitu kebersamaan dalam meneraju kepimpinan, prihatin kebajikan mahasiswa, pemantapan ilmu dan keunggulan sahsiah serta budaya inovasi dan pengantarabangsaan.

“Langkah pertama yang akan dilaksanakan pihak MPP ialah cuba menghapuskan istilah ekslusif yang sering dilabel kepada MPP dengan memayungi dan membantu mengaktifkan semua kelab dan badan persatuan hal ehwal pelajar serta fakulti bagi mencipta kebersamaan dalam kepimpinan.

“Justeru, melalui hubungan dan kesatuan yang erat daripada semua badan dapat menjadikan MPP sebagai perantara dalam mengetahui masalah sekali gus memenuhi kebajikan mahasiswa berdasar kemampuan dan keperluan universiti.

“Bagi pemantapan ilmu dan keunggulan sahsiah pula, MPP komited menekankan budaya ilmu dengan memperkasakan semula sudut pidato bagi membentuk suasana keilmuan dalam melahirkan mahasiswa yang cemerlang secara holistik,” katanya yang ditemui selepas majlis mengangkat sumpah di Dewan Senat USIM, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang itu berkata, pihaknya akan menggunakan pendekatan berteraskan Islam sebagai aspirasi utama dalam kepimpinan mereka.

Bagi YDP MPP Universiti Sains Malaysia, Muhammad Idzuan Jamalludin, berkata akan memperjuangkan suara dan membuktikan peranan mahasiswa sebagai penyumbang terhadap isu semasa sama ada pada peringkat negara dan global.

“Kami akan berusaha memperkukuh Dewan Perundingan Pelajar atau dikenali juga sebagai Parlimen Mahasiswa yang menjadi landasan untuk pelajar membincangkan isu yang berlaku pada peringkat universiti dan antarabangsa dengan berkongsi ideologi secara matang.

“MPP juga akan membenarkan wakil pelajar untuk terbabit dalam mesyuarat penting universiti seperti di mesyuarat Senat,” katanya.

Idzuan berkata, MPP USM turut memfokuskan aspek pengantarabangsaan pelajar dalam usaha melahirkan pelajar yang berdaya saing dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.

“MPP juga berhasrat untuk menjadikan pelajar USM bertaraf antarabangsa selari dengan kedudukannya sebagai universiti APEX menerusi program mobiliti ke luar negara," katanya.

YDP Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Ahmad Muzzammil Muhd Hairi, 22 pula menjadikan agenda kebajikan sebagai teras utama dalam kepimpinan mereka kali ini dengan usaha menyelesaikan beberapa masalah yang menimpa membabitkan pelajar di situ.

Antaranya masalah bekalan air yang melanda di beberapa kolej kediaman di universiti termasuk Kolej Keris Mas hingga menyukarkan kehidupan seharian pelajar terutama pada hujung minggu.

"Saya dimaklumkan paip baru untuk menggantikan yang lama masih berada di Eropah dan dijangka masalah ini akan selesai menjelang Ogos ini.

"Selain itu, diingatkan juga kepada pelajar supaya dapat berjimat-cermat dalam penggunaan air, sekiranya pelajar tidak membazir menggunakan air saya yakin masalah ini boleh dikurangkan," kata pelajar tahun tiga Ijazah Perakaunan itu.

Cadangan penubuhan jawatankuasa khas untuk memantau harga makanan dan kawalan kebersihan juga akan dilakukan membabitkan pihak PMUKM serta pengurusan universiti.

Ia bagi memastikan pihak pengendali kafeteria tidak mengabaikan kualiti mereka dalam membekalkan makanan kepada pelajar di kampus Bangi, Kuala Lumpur dan Cheras.

Sementara itu, YDP Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) Universiti Malaysia Pahang, Muhammad Fazli Abdul Halim berazam untuk menjalankan tugasan diberikan dengan profesional bersama kesemua 23 ahli MPM yang lain.

Mengenai agenda yang akan menjadi titik utama perjuangan mereka, katanya, kesukarelawanan akan diberikan tumpuan bagi meneruskan kesinambungan usaha MPM sesi lalu.

"Program kempen ‘Kami Prihatin’ yang digerakkan MPM sesi lalu dan disertai bersama pelajar pada tahun lalu di beberapa negeri wajar diteruskan kerana ia mendatangkan manfaat kepada pelajar dan masyarakat.

"Ia dapat memberi kesedaran kepada generasi muda dan masyarakat seluruhnya mengenai gejala pembuangan bayi yang kian menjadi-jadi," katanya.

Siswa perlu bekerjasama dengan pentadbiran

IBARAT aur dan tebing yang saling memerlukan, begitu jugalah halnya dengan pihak MPP dan pengurusan universiti yang perlu bekerjasama antara satu sama lain supaya segala gerak kerja dilaksanakan dapat dijayakan dengan berkesan.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shasabudin, berkata kini sudah tiba masanya untuk PMUKM dan pemimpin pelajar lain bekerjasama dengan pengurusan universiti bagi meningkatkan prestasi dan imej UKM.

Katanya, beliau juga berharap supaya PMUKM dapat bersatu dan mengenepikan segala perbezaan ideologi bagi menjaga keharmonian dalam kalangan pemimpin pelajar.

"PMUKM selaku role model kepada pelajar lain perlu mempamerkan mutu kepimpinan yang tinggi dan cemerlang dalam akademik serta sahsiah supaya dapat dijadikan ikutan.

"Dalam konteks menyuburkan ekosistem ilmu di UKM, pemerkasaan pelajar akan terus dipergiatkan dengan sudut pidato dihidupkan bagi memberi peluang pelajar menyuarakan suara mereka dan maklum balas mengenai kualiti perkhidmatan pemimpin pelajar.

”Selain itu, saya juga berharap PMUKM akan sentiasa peka dengan perkembangan isu semasa pada peringkat nasional atau global dan berusaha merancang program yang memberi nilai tambah kepada pelajar," katanya.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Muhammad Muda, pula berkata MPP memainkan peranan penting dalam membantu pihak pengurusan meneraju kepimpinan universiti.

“MPP ialah wakil pelajar yang dipilih melalui sistem demokrasi kampus dan bukan sekadar mengejar nama atau pangkat, mereka perlu ingat secara rasminya sudah menggalas tanggungjawab yang besar sebagai perantara di antara pihak universiti dengan pelajar.

“Mereka juga harus berfikiran matang dan berperibadi mulia supaya dapat menjadi contoh kepada pelajar lain sebagai pemangkin kepada kepimpinan melalui teladan,” katanya.

sumber :Berita harian (Varsiti)











0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !