KUALA LUMPUR, 4 Julai (Hrkh) - Minggu Suai Kenal Mahasiswa di Universiti Kebangsaan (UKM) dipolitikkan bukanlah suatu isu yang baru.
Apa yang lebih mengejutkan budaya ragging dan membuli masih terus berlaku sedangkan ianya telah lama
Menurut Jurucakap Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM), Ng Yong Jin, budaya ragging dan tidur lewat malam sehingga pukul tiga pagi di Kolej Keris Mas pada 1 Julai lalu, jelas menggambarkan bahawa mahasiswa baru diperlakukan seperti kadet tentera sedangkan kedatangan mereka ke Universiti adalah untuk menimba ilmu dan berpersatuan, bukannya menjadi tentera.
“Sememangnya kami sudah mual melihat gelagat Fasilatator minggu suai kenal yang lebih banyak bertindak di luar batasan dan bersifat kebudak-budakan,” katanya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily.
Justeru, Ng berharap agar mahasiswa baru dapat menilai bahawa Fasilitator minggu mesra pelajar yang rata-ratanya adalah penggerak Aspirasi-TSB di UKM merupakan gambaran sebenar sikap mereka yang sememangya dikenali sebagai golongan yang tidak bermoral.
Malahan tambahnya, tindakan berani mahasiswa baru yang mengingkari arahan Fasilitator Kolej Tun Hussien Onn pada hari pertama orientasi wajar dipuji kerana keengganan mereka ditahan lama oleh Fasilitator kolej tersebut.
“Kami amat berharap agar isu ragging dan buli serta kata-kata kesat yang menjadi tradisi dalam minggu suai kenal dihapuskan sama sekali dan ia hanya dapat direalisasikan sekiranya kami dilantik sebagai hamba kepada mahasiswa UKM dalam pilihanraya kampus akan datang,” ujarnya.
Pada masa yang sama kata Ng, minggu mesra pelajar turut menjadi gelanggang politik pihak Umno dan Aspirasi dalam menyuntik fahaman politik terhadap pemikiran mahasiswa condong kepada mereka.
Buktinya, slot program bersama pemimpin pada 30 Jun lalu yang menampilkan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Devamany A/l S. Krishnasamy dan Shaharuddin @ Saifullah, Alumni UKM serta Dato’ Dr Tekhee @Tiki anak Lafe, ahli parlimen Mas Gading, Sarawak telah merendahkan tahap integriti dan keunggulan Universiti apabila unsur politik yang diserap ke dalam pemikiran mahasiswa baru.
Menurut sumber, isu perkauman turut dimainkan dalam minggu suai kenal tersebut.
Pelajar bukan melayu seolah-olah didiskriminasi dan dipinggirkan dalam perkara kebajikan oleh urusetia program dan ini dapat dilihat daripada tindakan fasilitator Kolej Burhanuddin Helmi yang meminggirkan seorang pelajar berbangsa cina yang memerlukan penjagaan rapi akibat penyakit yang dialaminya.
Menurut sumber lagi, keintelektualan mahasiswa turut dicemari dengan penganjuran program Malam Percikan Seni di Dewan Tun Abdul Razak (DECTAR) yang bersifat hedonisme akan menyemarakkan lagi gejala moral di UKM, apatah lagi pergaulan bebas di kalangan fasilitator yang menjadi contoh kepada mahasiswa baru.
Keadaan bertambah buruk lagi apabila, isu kecurian yang berlaku semasa minggu suai kenal telah merendahkan tahap keselamatan mahasiswa disebabkan oleh ‘kerajinan’ sesetengah pengawal keselamatan yang ’sibuk menjalankan tugasan lain’ daripada kawalan keselamatan kampus.
Program sepanjang tempoh lima hari iaitu dari 30 Jun sehingga 5 Julai yang diaturkan oleh pihak pentadbiran kolej dan Universiti lebih banyak terarah hedonisme dan merendahkan martabat Universiti.
Justeru, GMUKM berharap agar isu kecurian dan juga kes jenayah yang berlaku semasa minggu suai kenal tersebut dapat diselesaikan.-harakahdaily
0 comments:
Post a Comment