Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Wednesday, November 25, 2009

PTPTN sedia E-Forum Bantu Selesai Masalah

Saluran e-forum Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) akan memberi ruang kepada peminjam untuk mengajukan
sebarang masalah atau pertanyaan dengan tepat, cepat dan mudah.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kewujudan saluran itu dapat membantu orang ramai menyelesaikan segala kemusykilan mereka dengan bantuan kakitangan daripada jabatan itu yang akan mengemas kini saluran
berkenaan pada kadar segera.

"Kalau sebelum ini jika ada sebarang pertanyaan mengenai PTPTN, orang ramai terpaksa menyuarakan melalui akhbar dan kadang-kala ada di antara pertanyaan itu tidak berjawab, mungkin kerana ada kakitangan yang terlepas pandang atau soalan itu sudah sering ditanya.

"Dengan adanya saluran ini, masalah seumpama itu tidak akan berlaku lagi kerana akan ada ruangan untuk soalan yang sering dipersoalkan untuk mengelakkan soalan berulang dan kakitangan kami juga akan menjawab semua soalan yang dikemukakan dengan seberapa pantas yang boleh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Beliau sebelum itu turut melancarkan saluran e-forum PTPTN yang diwujudkan melalui laman web kementerian.

"Saya sebagai menteri juga akan sentiasa memantau saluran ini untuk memastikan ia menepati matlamat dan sasaran yang ditetapkan," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau berkata PTPTN telah menyediakan moderator yang terlatih, berpengetahuan dan berpengalaman untuk membantu menyelesaikan semua persoalan yang dibangkitkan secara spontan.

Interaksi secara langsung ini, katanya, diharapkan mampu mengubah persepsi masyarakat bahawa kerajaan mampu untuk memberikan perkhidmatan yang responsif, cepat, telus dan secara langsung.

"Forum melalui laman web ini diharap dapat memberi peluang kepada umum untuk berbahas atau menjadi pentas mengemukakan pendapat mengenai isu-isu permohonan pinjaman, pembayaran balik pinjaman, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan isu berkaitan pembayaran balik PTPTN secara interaktif," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Eksekutif PTPTN Yunos Abd Ghani berkata pihaknya memerlukan masa sekurang-kurangnya seminggu untuk menangani kes peminjam yang telah disenaraihitamkan kerana tidak membayar pinjaman.

"Biasanya kita perlukan masa selama seminggu untuk lepaskan mereka daripada disenaraihitamkan, tapi kalau mereka memerlukan masa yang lebih singkat kerana ada urusan penting di luar negara dan sebagainya, mereka boleh hubungi kami untuk memberikan cadangan atau berbincang mengenai bentuk bayaran yang mereka ingin lakukan.

"Apa yang penting, pinjaman itu perlu dibayar semula sama ada secara ansuran, potongan gaji dan sebagainya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Putrajaya. BERNAMA

Thursday, November 19, 2009

TEMUDUGA FELDA

Salam Mahasiswa.



Pada 19/11/2009, bertempat di bilik msyuarat FST, temuduga terbuka untuk pelajar pra siswazah tahun akhir, sarjana dan PhD akan diadakan oleh pihak FELDA. Mereka yang berminat, walaupun daripada fakulti lain dialu-alukan untuk turut serta. Butiran temuduga tersebut adalah seperti berikut:

Temuduga FELDA
Tarikh: 19 November 2009 (Khamis)
Masa: Bermula pukul 9 pagi
Tempat: Bilik Mesyuarat FST (Dalam DAM)

Sila bawa resume, salinan asal dan fotostat sijil serta keperluan yang berkaitan.

Maaf kerana saya pun lambat dimaklumkan.


Mohd Arif b. Misrol
Majlis Perwakilan Pelajar,
Fakulti Sains Teknologi.Tahun 3 dan 4.

Wednesday, November 18, 2009

Selangor digesa boikot program BTN

Selangor digesa supaya berhenti menghantar mahasiswa di pusat pengajian tinggi milik kerajaan negeri ke program anjuran Biro Tata Negara (BTN) kerana ia didakwa menyemai sentimen perkauman di kalangan pelajar.

Sekumpulan ADUN muda Pakatan Rakyat Selangor menggesa pemulauan program agensi bawah Jabatan Perdana Menteri itu melalui satu surat kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

ezam leave pkr pc 280607 amir sariADUN Batu Caves, Amirudin Shari berkata bantahan itu dibuat memandangkan sebahagian pengisian program berkenaan didapati tidak berkaitan dengan usaha pemupukan nilai-nilai kenegaraan atau penyebaran ilmu.

"Sebaliknya ia merupakan program politik kepartian Umno-BN dan perkauman semata-mata," kata wakil rakyat PKR itu sebagai jurucakap kumpulan ADUN tersebut kepada media selepas persidangan DUN hari ini.

Wakil-wakil yang turut hadir pada sidang media itu, Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang).

"Justeru kita berpandangan kerajaan negeri perlu bertindak untuk mengarahkan jemaah (senat) universiti untuk menghalang pelajar daripada menghadiri program BTN," kata Amirudin, yang juga naib ketua Angkatan Muda PKR, lagi.

Pusat pengajian tinggi yang dimiliki kerajaan Selangor termasuk Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Inpens.

Amirudin juga memberikan alasan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) juga tidak mewajibkan pelajar menghadiri program anjuran biro berkenaan.

"Tapi sepanjang pengalaman saya di universiti dan saya percaya perkara ini turut dipropagandakan kepada para pelajar, mereka perlu hadir program BTN.

"Jika tidak, mereka tidak akan lulus. (Dakwaan) ini sesuatu penipuan," tambahnya ketika membacaknya kenyataan bersama mereka.

"Peserta kursus didoktrinkan dengan propaganda tentang ketuanan Melayu dan ancaman (negara) luar dan tidak diberikan ruang untuk mencabar propaganda tersebut memandangkan programnya berjalan secara satu hala sahaja."

Seorang lagi wakil rakyat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata, sebagai seorang pelajar tajaan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), beliau sendiri - yang pernah mengikuti program BTN - mendapati ia tidak sepatutnya wujud apabila kerajaan sedang bercakap tentang 1Malaysia.

"Sepanjang program tersebut, apa yang ditekankan adalah (parti) Keadilan ini, Anwar adalah ejen Yahudi, DAP adalah parti ejen Singapura dan PAS adalah parti ajaran sesat," katanya.

"Itu saja yang disertakan dalam modul mereka yang bersifat politik kepartian yang sepatutnya tidak wujud sebagai satu program bawah JPM."

Tambahnya, peserta juga "dimomokkan" tentang tentang "ancaman orang Cina" dalam program yang disertainya itu.

"Ada beberapa mahasiswa (berbangsa) Cina yang hadir (dalam program tersebut).

"Saya boleh bayangkan betapa mereka rasakan diri mereka begitu takut dalam situasi tersebut kerana modulnya sendiri bersifat perkauman," katanya.

Monday, November 16, 2009

GMUKM tidak akan gentar


Bangi 16 nov 2.53 pm | Pertemuan wartawan GMUKM dengan saudara Mahfuzan MPP FPI tahun 3 dan saudara Ammar Ishak, Presiden Gabungan Mahasiswa Lantang Negara (GMLN) di Singgahan Ilmu Fakulti Pengajian Islam semalam dalam merespon isu berkaitan perkampungan Aspirasi UKM di Pangkor selama 4 hari untuk memperkasakan calon mereka, saudara Mahfuzan berkata :

" Kami tidak gentar dengan saingan yang ditunjukkan Aspirasi. Pada peringkat kami, semua persediaan telah dibuat dan hanya menunggu pembubaran PMUKM supaya kami dapat berkempen dan menawan hati mahasiswa yang telah lama menunggu perubahan".

Pihak GMUKM berharap supaya dalam pilihanraya akan datang, persaingan yang sihat berlaku dan tidak ada campur tangan daripada pihak ketiga.

"Kami berharap pilihanraya akan datang adalah pilihanraya yang telus dan adil. Biarlah mahasiswa yang mencaturkan bagaimana pembawakan yang mereka inginkan bukan melibatkan campur tangan HEP dan menafikan hak mahasiswa untuk kepentingan mereka" Respon Saudara Ammar.

Pimpinan GMUKM juga mengucapkan takziah terhadap mangsa banjir di Kedah dan Perak. Maklumat terbaru dilaporkan 1,793 orang penduduk telah dipindahkan berbanding 1,338 petang semalam di Kedah manakala di Perak seramai 630 orang mangsa banjir meningkat sejak pagi ini berbanding 522 orang semalam.

Tuesday, November 10, 2009

BTN : Sebaran Ideologi UMNO-ASPIRASI?


Bangi 9 Nov 1.50 pm| Pemberitahuan mengenai penglibatan mahasiswa tahun 1 dari Fakulti Pengajian Islam ke Biro Tata Negara (BTN) banyak menunjukkan ketidakpuasan hati dikalangan mereka.

Seorang pelajar tahun 1 dari Jabatan Usuluddin yang tidak mahu dikenali berkata : " Saya sangat tidak gembira perlu menyertai BTN. Sepatutnya selepas habis peperiksaan, saya perlu meluangkan masa bersama keluarga dikampung, tetapi terpaksa menghadiri program ini pulak. Saya tidak tahu untuk apa program ini dibuat dan apa kepentingannya pada saya".

Program yang pada asalnya dijadualkan berlangsung selama 6 hari ini telah berubah menjadi 5 hari bermula pada 14 nov sehingga 18 hb Nov 2009 dan tempat sebenar program ini dijalankan masih belum diberitahu. Pada asalnya, BTN dirancang untuk dijalankan di Melaka dan Johor, tetapi terpaksa dibatalkan atas beberapa faktor tertentu yang perlu diambil kira.

Mengikut maklumat yang diperolehi wartawan GMUKM, pelajar yang enggan menyertai program ini telah dimomokkkan dengan kegagalan untuk bergraduasi oleh pihak pentadbiran FPI.

Sehubungan itu, wartawan GMUKM sempat bertemu dengan beberapa mahasiswa yang pernah menjalani program BTN untuk melihat sejauhmana keberkesanan program ini dalam memupuk nilai patriotik terhadap negara.

"Apabila saya menghadiri program ini, kami banyak dimomokkan dengan parti politik. Kami telah didoktrin dengan politik luar yang kotor. Saya amat pelik bila mereka banyak mendedahkan berkaitan UMNO dan memberitahu kebaikan UMNO sedangkan terdapat AUKU yang menghalang mahasiswa terlibat secara langsung dengan politik. Kalau nak bercakap berkaitan semangat patriotisme, saya tidak pula dapat merasainya ". Ujar NorAisyah Yusof, pelajar FPI syariah tahun 3.

" Setiap daripada ceramah yang diadakan pasti ada menyelitkan berkaitan politik luar. Setiap masa kami diberitahu berkaitan UMNO,PAS dan PKR. Program ini juga tidak dapat memberi banyak kebaikan kepada saya tambahan lagi mereka sangat tidak menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam beberapa aktiviti yang dijalankan. Saya sangat malu kerana saya seorang pelajar agama tetapi disuruh untuk melakukan aktiviti yang tidak berfaedah" Respon yang diberikan oleh Fatimah Mat Saman, Usuluddin tahun 3 FPI.

Taklimat pemberitahuan mengenai BTN telah diadakan pada hari Khamis lepas (5 Nov 2009) dan disampaikan oleh Prof. Idris bin Zakaria iaitu Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPI. Taklimat ini juga dihadiri oleh pegawai program Biro Tata Negara untuk menjawab persoalan yang berlegar-legar dalam minda mahasiswa.

Sunday, November 8, 2009

Testimoni SPKG


Bangi 7 nov 8.57 am| Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) merupakan satu sistem untuk mengukur sejauh mana kebolehpasaran graduan UKM dalam sektor pekerjaan. Sistem ini juga merupakan satu keperluan dalam Kerangka Kelayakan Malaysia yang menentukan kualiti setiap program yang ditawarkan oleh IPTA/IPTS di Malaysia.

Wartawan GMUKM sempat menemui beberapa orang pelajar UKM berkaitan sistem yang diperkenalkan pada tahun lepas untuk melihat maklum balas terhadap pelaksanaan sistem ini.

Mohd Nazri Tahir, FPI tahun 2
" Pada pandangan saya, sistem ini merupakan satu sistem yang perlu dikaji semula keberkesanannya. Memang bagus untuk melahirkan mahasiswa yang boleh memenuhi pasaran kerja, tapi kita perlu melihat balik beberapa aspek penting yang perlu ditekan. Jangan hanya kita memikirkan aktiviti sahaja sedangkan akademik sanggup diketepikan".

Nurul Jawahir Md Ali, FSSK tahun 2
"Adalah tidak adil mahasiswa hanya dibebankan untuk menghadiri aktiviti kolej yang tidak menjana keintelektualan mahasiswa. Bukankah kita perlu menjadi mahasiswa yang bijak dalam semua aspek? dan saya melihat kebanyakan aktiviti kolej hanya bertumpu kepada hiburan dan tidak dapat mencambahkan pemikiran mahasiswa. Bukan saya kata tidak ada aktiviti yang baik tetapi aktiviti yang tidak bermanfaat banyak dihidangkan kepada mahasiswa. Kekadang kami terpaksa menghadiri program kolej walaupun banyak assignment yang perlu disiapkan. Saya jadi keliru, yang mana perlu diutamakan. Adakah SPKG supaya saya boleh still tinggal dalam kolej atau tanggungjawab saya menyiapkan assignment yang perlu dihantar".

Fariq, FST tahun 1
"SPKG ni bagus kalau perlaksanaannya dirancang dengan baik. Saya berminat untuk menyertai persatuan-persatuan yang ada kat UKM ni sebab saya rasa penyertaan dalam persatuan sebegini dapat membina kredibiliti diri saya. Masalahnya sekarang saya terpaksa menghadiri program kolej semata-mata untuk SPKG. Saya berpendapat, mungkin 51% penilaian yang perlu dinilai oleh pihak kolej perlu diberikan kepada penglibatan dalam persatuan-persatuan di UKM. Selain itu, takkanlah dengan membuat perkara remeh temeh juga akan diberi merit untuk SPKG? sepatutnya satu standard aktiviti perlu dibuat untuk lebih memperkasakan SPKG".

Mengikut maklumat yang diperolehi pihak GMUKM, kebanyakan pelajar tahun 1 dan tahun 2 tidak berminat dengan sistem baru ini. Kebanyakan tenaga akademik juga banyak mempersoalkan keberkesanan SPKG ini.

Seorang pensyarah dari Pusat Pengajian Biosains Bioteknologi FST juga tidak berpuas hati dengan penglibatan pelajar di kolej.

"Penyertaan pelajar di kolej perlu dilimitkan kerana matlamat datang ke universiti ini adalah untuk belajar. Saya juga tidak faham kenapa aktiviti di kolej lebih dititikberatkan sedangkan pelajar perlu mendalami ilmu terlebih dahulu untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang, kerana untuk memenuhi pasaran kerja, akademik akan dipandang terlebih dahulu", tambahnya lagi.

Bagi sistem ini, nilai PNGS Kompetensi Generik akan dilaporkan dalam transkrip keputusan setiap semester. Selain itu, para graduan UKM akan mendapat Diploma Supplement untuk memaparkan PNGK Kompetensi Generik yang diperolehi sepanjang berada di UKM.

Friday, November 6, 2009

GMUKM MENYANJUNG TINGGI SARANAN KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI..


KEMENTERIAN Pengajian Tinggi membenarkan sudut pidato atau Speaker's Corner diperkenalkan semula di semua institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mengasah bakat pengucapan umum berkesan di kalangan warga kampus.

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata aktiviti yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa itu sebelum ini dihentikan berikutan pelaksanaan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Sambil menjelaskan aktiviti itu boleh diperkenalkan semula setelah AUKU dipinda Februari lalu, beliau berkata, sudut itu memberi pelajar peluang menyuarakan pendapat menerusi pidato umum yang dinanti-nantikan warga kampus.

“Kementerian memberi peluang pelajar berkongsi pengetahuan dengan mengemukakan isu dan topik bernas untuk dikongsi bersama, selain dapat memperkemaskan sistem pengurusan sedia ada dalam usaha memartabatkan IPT.

“Mahasiswa adalah golongan pencetus minda positif dan idea membina dalam membangunkan komuniti kampus serta masyarakat sekeliling,” katanya.

Saifuddin berkata, pelajar bebas berpidato dengan mengemukakan isu semasa, antaranya politik, ekonomi dan sosial selain pandangan serta kritikan bernas dalam memperkasakan pentadbiran IPT dan negara.

“Kami lebih liberal dalam hal ini kerana yakin pelajar mempunyai wawasan dan pandangan jelas mengenai setiap topik dan isu yang akan mereka kemukakan.

“Usaha ini adalah antara langkah kementerian lakukan bagi melahirkan pelajar serba boleh dan mempunyai semangat juang tinggi,” katanya.

Mengimbau kembali kegemilangan sudut pidato di IPT sekitar 1960-an hingga 1970, katanya, pemimpin pelajar ketika itu di kalangan mereka yang petah berpidato dan mempunyai idea bernas untuk dikongsi bersama.

Beliau berkata, pemimpin kampus juga mempunyai pengikutnya yang berpengaruh dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, hasilnya negara mempunyai pemimpin yang berani dengan semangat juang tinggi.

“Ramai pemimpin negara hari ini lahir di kalangan pemidato yang bernas mindanya ketika di kampus dan kini menjadi tokoh disegani,” katanya.

Mengulas kemungkinan kelonggaran itu menyebabkan pelajar menjadi alat pihak tertentu menyalurkan dakyah politik mereka, Saifuddin berkata, warga kampus golongan berpelajaran.

Katanya, mahasiswa tidak terpengaruh dengan anasir negatif yang cuba mempengaruhi mereka kerana masing-masing berfikiran matang, manakala topik perbincangan pula dikupas secara rasional sesuai tahap pendidikan. -

'Sarfa perlu sahut cabaran, jangan jadi pengecut'



Bangi 5 Nov 16.19 am | Dunia maya UKM dikejutkan dengan pengeluaran artikel ’15 dalil mengapa Nik Aziz tidak layak digelar mursyidul am dan perlu disingkirkan’ yang disiarkan oleh Saudara Sarfarizamal bin Md Saad di blog beliau pada 30 oktober 2009. Artikel yang ditulis oleh seorang blogger yang dikenali sebagai Panglima Perang Siber yang merupakan YDP Blogger Pembina Negara. Saudara Sarfarizmal telah menyiarkan artikel tersebut melalui blog beliau di http://sarfarizmalsaad.blogspot.com/. Pelbagai reaksi timbul akibat tindakannya itu termasuk serangan di blog beliau sendiri. Saudara Sarfarizmal telah menarik balik artikel yang disiarkan di blognya sehari selepas itu.

Ketika ditanya mengenai perkara ini kepada mantan Presiden MAMPU (Membina Mahasiswa Penggerak Ummah), Saudara Mohd Farid Bin Hamlud, berkata “ Mahasiswa perlu bertindak profesional dan berfikir secara objektif dalam isu ini. Isunya ialah tuduhan bersifat peribadi terhadap TGNA dan tuduhan tersebut disebarkan pula oleh Timbalan Presiden PMUKM. Oleh itu, Saudara Sarfarizmal perlu bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan yang dikeluarkannya. Kesimpulannya, saya mencabar Saudara Sarfarizmal menyertai Debat Terbuka bersama – sama saya untuk memperjelaskan isu yang sebenar dan menentukan yang mana satu yang benar”.

GMUKM berpandangan sebagai seorang pemimpin mahasiswa, Saudara Sarfarizmal telah melakukan sesuatu yang mencalar kewibawaan seseorang pemimpin. Tindakan Timbalan Presiden 2 PMUKM yang telah menyiarkan artikel yang memfitnah peribadi seseorang adalah amat tidak wajar. Walaupun artikel tersebut tidak ditulis oleh beliau namun perbuatan menyiarkan perkara yang beliau sendiri tidak tahu akan kesahihannya adalah ibarat mengikut secara membuta tuli. Melakukan sesuatu tanpa usul periksa. Sebagai seorang pemimpin, Sarfarizmal haruslah mempamerkan dan memberi contoh teladan yang baik kepada mahasiswa/i .

Mahasiswa yang bijak adalah mahasiswa yang mampu mencari dan menyelidiki kesahihan sesuatu berita atau perkara dan mampu memberikan hujah atas setiap apa tindakannya. Setiap apa yang kita lakukan mestilah mempunyai sebab dan munasabab yang kita mampu untuk menerangkannya kepada orang lain.

PRK UKM Sudah Menampakkan 'signal' Hijau

Bangi, 5 November 2009- Lampu hijau dari pihak pentadbiran UKM mengenai pilihan raya kampus UKM telah kelihatan apabila notis mengenai Bengkel Calon Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar dikeluarkan. 

Notis yang dipaparkan di paras 5 Pusanika itu dikeluarkan pada 4 November 2009. Bengkel Calon akan diadakan pada 18 hingga 20 Disember 2009, tarikh tutup menghantar borang pula adalah 11 Disember 2009. Namun, mahasiswa yang pernah ke bengkel tersebut sebelum ini dikecualikan daripada bengkel ini.

Sebelum ini, bengkel calon diadakan buat pertama kali pada awal tahun ini iaitu pada 1 hingga 4 Januari 2009 di A'Famosa Resort, Melaka. Seramai 167 orang mahasiswa telah menyertai bengkel berkenaan. GMUKM menjangkakan lebih ramai lagi mahasiswa akan hadir ke bengkel pada kali ini.

"Jentera GMUKM sudah bersiap siaga untuk bertempur, 1 lawan 1 bersama Aspirasi atau nama barunya kini Sahabat 1 Malaysia. Kami mengharapkan rakan-rakan mahasiswa dapat membuat penilaian dengan baik untuk menentukan siapakah pemimpin mereka. GMUKM sedia menanti untuk menggantikan Aspirasi di tampuk pemerintahan PMUKM," jelas MPP FPend Tahun 3 dan 4, Affandi B Abdul Rahman yang menang atas tiket calon mahasiswa ketika pilihan raya kampus yang lepas.


Wartawan GMUKM sempat bertanyakan pendapat kepada seorang mahasiswa yang merupakan duta GMUKM di FPI, Mohd Nazri Tahir, "Saya melihat perkara ini merupakan satu persaingan sihat dalam arena politik kampus. Ini adalah penting kerana mahasiswalah yang akan memimpin masyarakat satu hari nanti. Diharapkan bengkel calon pada kali ini dapat menerangkan dengan lebih jelas mengenai peranan mahasiswa sendiri untuk mencorakkan universiti dan menjaga kebajikan rakan-rakan mahasiswa."

 

Thursday, November 5, 2009

CCTV: Di mana pemerhatinya?


Bangi 5 Nov | ‘Adalah menjadi satu yang memalukan bagi sebuah kolej yang dilengkapi CCTV seperti Kolej Dato Onn yang merupakan kolej pertama dibina berlaku peristiwa seperti ini’.

Ini adalah respon Saudara Affandi bin Abd Rahman, MPP tahun 3 dan 4 Fakulti Pendidikan berkaitan isu kecurian yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini terutama di kolej berkenaan.

Dalam respon tersebut juga, beliau berpendapat CCTV perlu dimanfaatkan semaksimum mungkin kerana banyak wang telah dibelanjakan untuk menjamin kebajikan dan keselamatan para penghuni kolej khususnya dan warga UKM amnya.

"Kalau kita hanya meletakkkan CCTV tanpa ada pemerhati dan pemantau, jadi bagaimana kita ingin memastikan keselamatan mahasiswa UKM terjaga dan terbela. Duit yang dibelanjakan juga seolah-olah hangus begitu sahaja kerana CCTV tersebut hanya dijadikan sebagai bahan perhiasan semata", jelasnya lagi.

Beliau juga mempersoal kewujudan biro kebajikan JAKSA kolej berhubung kejadian tersebut dan keseriusan pihak kolej dalam membanteras kejadian seperti ini terus berulang.

Dalam pada itu, wartawan GMUKM sempat menemui salah seorang daripada mangsa kecurian komputer riba, Mohd Fadhlan Sugiman, pelajar tahun 1 Fakulti Pengajian Islam.

Dalam temubual tersebut, beliau sempat mengatakan kekecewaan terhadap sikap sesetangah pihak bertanggungjawab mengenai kehilangan komputer riba miliknya.

"Saya harap kebajikan saya dijaga, jangan hanya ada biro kebajikan sahaja tapi kebajikan tidak terjaga", demikian luahan pelajar tahun satu ini kepada pihak wartawan GMUKM.

Kolej Dato Onn juga merupakan salah satu kolej yang didiami oleh ramai pimpinan PMUKM antaranya Saudara Mohd Nasir yang merupakan presiden PMUKM sekarang sebelum pembubaran dilakukan.

Pihak GMUKM berharap semua yang berwajib seperti pihak keselamatan UKM dan pihak kolej mengambil langkah serius dalam menangani masalah kecurian yang semakin berleluasa terutamanya dalam musim peperiksaan.

Monday, November 2, 2009

Gamis desak bongkar laporan audit negara

KENYATAAN MEDIA GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS) BAGI LAPORAN AUDIT NEGARA 2010

Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) mendesak agar pembongkaran hasil Laporan Audit Negara diteruskan dan tidak "disejukkan". GAMIS memandang, isu ini adalah isu yang serius memandangkan ianya akan memberi kesan kepada pelbagai sektor pembangunan Malaysia hari ini dan akan datang serta ia melibatkan tanggungjawab menguruskan harta rakyat.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas peringkat tinggi, diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, untuk menyiasat laporan Ketua Audit Negara 2008 dan mengambil tindakan yang sesuai terhadap mereka yang bertanggungjawab bagi penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang disebut dalam laporan itu.

Isu Laporan Audit Negara 2008 ini menjadi panas seketika apabila Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang membentangkan laporan tersebut pada 19 Oktober lalu di parlimen. Namun, GAMIS memandang, isu ini seolah-olah semakin "sejuk" untuk diambil tahu. Mungkin isu-isu politik semasa lebih "panas" untuk dibincangkan sedangkan isu ini adalah isu besar di Malaysia.

Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kerajaan mungkin terpaksa menanggung sebahagian besar daripada kerugian berjumlah RM1.14 bilion dalam Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang dan Ipoh. Dalam laporan lain, Ketua Audit Negara turut mengesan tindakan pembekalan alatan kepada badan berkanun Persekutuan pada harga yang 'tidak masuk akal'.

Selain itu, laporan tersebut menunjukkan bahawa beberapa pembayaran yang mencurigakan telah di buat oleh pihak MARA kepada pembekal mereka untuk barangan yang nilainya jauh melampaui harga pasaran. Adalah dangkal dan tidak masuk akal apabila mengetahui pihak MARA membelanjakan lebih RM80,000 bagi dua unit laptop (komputer riba) berjenama Acer Aspire 5052 sedangkan harga pasaran hanya RM4,500 sahaja untuk seunit laptop jenis dan spesifikasi tersebut di pasaran awam. MARA juga membeli komputer meja (desktop) pada harga hampir RM7,600 seunit, sedangkan di pasaran kita boleh mendapati komputer meja yang canggih lengkap dengan perkakasannya dengan harga kurang dari RM2,000.

Laporan Audit Negara 2008 juga turut mendedahakan, Kementerian Pelajaran membelanjakan hampir RM60,000 untuk kerja membekal, menanam dan penyelenggaran taman Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 2, Pasir Putih, Kelantan dari pembekal tempatan secara pembelian terus, dan membayar harga pokok-pokok yang terlalu mahal. Menurut laporan tersebut, kementerian berkenaan telah membayar sehingga RM4,550 bagi 13 pokok kemboja dan RM9,000 bagi 12 pokok pinang merah, sedangkan pokok kemboja dan pinang merah bagi jumlah yang sama, masing-masing boleh dibeli dengan harga RM585 dan RM1,560.

GAMIS memandang, sekiranya isu ini tidak ditangani secara serius, ianya turut akan merosakkan Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini. Pemantauan yang telus perlu dilaksanakan agar rakyat tidak tertipu dengan beberapa janji yang nampak seolah-olah menguntungkan rakyat namun hakikatnya ada individu-individu tertentu yang mengaut keuntungan di atas nama kebajikan kepada rakyat.

"GAMIS megalu-alukan pakej ‘netbook’ termasuk perkhidmatan jalur lebar dengan bayaran RM50 sebulan untuk dua tahun kepada mahasiswa. Namun, pemantauan perlu dibuat terhadap siapa yang menerima tender sedemikian? Berapa kos sebenar mengikut harga pasaran? Ini bukanlah isu percaya atau tidak kepada pihak kerajaan, akan tetapi rakyat menanti-nantikan ketelusan pihak kerajaan agar rakyat tidak tertipu dengan kebajikan yang diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu. Jika tidak ada masalah, apa yang perlu ditakutkan?" ujar Presiden GAMIS, Mohd Idris Bin Mohd Yussoff.

"Saya berpandangan, rakyat masih belum lupa isu Laporan Akauntan Negara 2006 yang pernah mendedahkan, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), telah membayar RM224.94 bagi satu set pemutar skru berbanding harga pasaran hanya RM40. Persoalan di sini, siapa yang didakwa setakat ini? Apa Tindakan yang diambil?" ujar Mohd Idris lagi mempersoalkan tindakan kerajaan setakat ini bagi membuktikan keseriusan kerajaan untuk mengatasi masalah ini.

GAMIS mengalu-alukan penubuhan pasukan khas peringkat tinggi yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini. Namun, apa yang dinantikan bukan sekadar pasukan khas akan tetapi tindakan susulan agar penyelewengan harta rakyat tidak lagi berlaku. Sudah berapa banyak badan khas yang telah ditubuhkan namun tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab masih di tahap yang minimum.

"Saya anak seorang pesawah. Saya memahami penderitaan rakyat bawahan yang menghadapi kesulitan hidup. Mungkin ada pihak yang gelabah dengan pembongkaran demi pembongkaran peyelewengan hak rakyat. Namun, jangan kita lupa berjuta rakyat yang sedang menangis kerana harta mereka sedang dirompak oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Justeru, semua pihak termasuklah pimpinan dan ahli parlimen yang telah dilantik oleh rakyat mesti mengesat air mata rakyat. Jangan hanya kerana isu EGM dalam PAS, ADUN lompat parti dari PKR dan agenda membumikan 1 Malaysia oleh Barisan Nasional, para "perompak" terus terlepas. Mahasiswa juga tidak hanya harus sekadar dibuai mimpi menanti hasil bajet 2010 terhadap mahasiswa, dalam masa yang sama masalah rakyat diketepikan ", tambah Mohd Idris lagi.

GAMIS berharap, semua pihak harus menjadi pendesak bagi "memanaskan" lagi isu ini agar rakyat terus dibela demi kemakmuran Malaysia yang seharusnya dinikmati oleh semua rakyat. SPRM perlu telus dalam siasatan disamping para pimpinan sama ada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat tidak boleh menghampakan harapan rakyat yang memilih mereka dalam pilihan raya yang lepas.

Mohd Idris Yussoff
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !