Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Sunday, May 22, 2011

Belia-Pelajar Dalam Gerakan Sukarela – Suatu Refleksi Sejarah

Disampaikan oleh : Azizan Bahari, PhD

GERAKAN BELIA-PELAJAR MALAYSIA 1957-1969
Kemerdekaan pada 1957 membawa situasi dan cabaran-cabaran baharu kepada negara. Tumpuan utama ketika itu ialah membina tapak pemerintahan sendiri (indigenous rule) yang kuat agar kemerdekaan yang dicapai itu dapat diisi sebaiknya dan negara seluruhnya tidak tergugat oleh sebarang ancaman atau kuasa lain.

Dalam arus kemerdekaan ini pergerakan belia yang selama ini berada di bawah naungan (patronage) penjajah juga mencuba mencari identiti baru. Pergerakan sedar bahawa ia perlu menentukan dan memainkan peranan baharu selaras dengan tuntutan masyarakat dan negara. Dalam kata lain, ia perlu memberi makna kewujudannya di dalam sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Namun, dari segi dasar dan program tidak banyak yang dilaksanakan oleh pergerakan belia ini. Pergerakan dibelenggu oleh hal-hal dalaman dan modus operandi seperti menyelesaikan masalah pentadbiran, kakitangan, perlembagaan, dan sebagainya. Kegiatan rata-ratanya masih bersifat riadah dan “mengisi masa lapang” sahaja.Kekecualian dalam hal ini terdapat dalam kalangan pelajar-pelajar universiti yang ternyata semakin aktif di sekitar 1960-an apabila isu-isu penting ekonomi, politik dan sosial semakin giat diperjuangkan.

Mulai 1965, sebagai contoh, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya mulai aktif menganjurkan forum-forum seperti tentang “Soal Ekonomi Bumiputra”, “Faham Nasionalisme Malaysia”, “Peranan Intelektual Melayu” dan “Mengenai Bangsa Melayu Mundur”. Majlis-majlis perbincangan juga diadakan di luar kampus seperti dalam membincangkan isu penubuhan Universiti Kebangsaan. Keadaan ini dikatakan kerana pengaruh kehadiran pelajar-pelajar Melayu yang semakin bertambah ketika itu (mereka umumnya dari latar belakang kampung yang miskin).

Pelbagai isu lain turut diketengahkan oleh pelajar sehingga memungkinkan tertubuhkan Speaker’ Corner atau Sudut Pidato di Universiti Malaya pada Mei 1966 di mana para pelajar mempunyai lokasi khas di tengah-tengah kampus di Lembah Pantai itu untuk berkumpul dan melahirkan perasaan dan sikap mereka tentang pelbagai isu semasa.

Pada 1967, sempena 10 tahun merdeka, PBMUM menganjurkan Simposium Masalah Penduduk Luar Bandar.Perkara-perkara penting berhubung ekonomi desa, pembahagian tanah, kesihatan, persekolahan anak-anak Melayu petani, dan sebagainya mendapat perhatian khusus simposium. Ini diikuti pula oleh peristiwa klasik dalam sejarah kebangkitan kaum tani Melayu – Peristiwa Telok Gong – pada 1967 apabila pemimpin petani-petani Melayu, Hamid Tuah, dan beberapa orang pengikutnya ditangkap pihak berkuasa kerana dituduh meneroka tanah secara haram di Telok Gong, Selangor. Peristiwa ini memperlihatkan kebangkitan pelajar pimpinan PBMUM dan PMUM mengutuk dan mencabar Kerajaan Selangor yang dianggap berlaku zalim dan tidak berperi kemanusiaan terhadap para petani yang tidak bertanah.

Isu-isu lain turut mendapat perhatian pelajar. Dasar Pelajaran Kebangsaan, Kempen Pilihanraya, Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Kampus, Peristiwa 13 Mei 1969, dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Pindaan 1975, semuanya sudah terpahat menjadi sebahagian sejarah gerakan pelajar Malaysia.


GERAKAN BELIA-PELAJAR 1970-AN
Peristiwa berdarah 13 mei 1969 turut memberi kesan meluas terhadap gerakan belia-pelajar. Peristiwa yang mempersoalkan keseluruhan falsafah dan halatuju negara itu turut memaksa belia merenung kembali ke dalam diri mereka serta memikirkan kembali peranan belia dalam konteks pembinaan sebuah masyarakat yang adil, stabil dan sejahtera.

Ekoran perkembangan gerakan pelajar di atas maka dekad ini dari awalnya melihat sumbangan pelajar kepada perkembangan aktivisme gerakan belia tanahair. Pertubuhan-pertubuhan pelajar seperti Gabongan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung, Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia, dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia yang keseluruhannya menggabungkan hampir kesemua persatuan pelajar di maktab dan universiti kita ketika itu ternyata lebih articulate tentang pelbagai isu, mengemukakan idea-idea dan komentar yang bernas, serta mula mendapat tempat dalam pergerakan belia pimpinan MBM. Begitu juga peranan aktif turut dimainkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia dan Young Christian Workers dalam isu-isu sosial semasa. Secara kolektif pertubuhan-pertubuhan belia-pelajar ini telah memberikan nafas dan daya intelektual kepada pergerakan belia kita.

Di sini harus diingat bahawa selain faktor-faktor sosial (termasuk ekonomi) dan politik dalam negeri yang digambarkan di atas, aktivisme pelajar dalam isu-isu berkenaan juga dipengaruhi oleh arus perkembangan dan situasi antarabangsa seperti yang dimanifestasikan oleh gerakan-gerakan anti-Perang Vietnam (yang dilancarkan Amerika Syarikat), “student power”, dan juga protes pelajar terhadap establishment di Eropah, Jepun, Amerika Latin dan Amerika Syarikat.

Serentak dengan pelbagai pertubuhan dan gerakan mempersoalkan asas-asas dan arahtuju negara, pergerakan belia turut bangkit dengan pelbagai isu yang mencakup kepentingan-kepentingan belia dan masyarakat luas. Isu-isu yang dimaksudkan ini meliputi soal penyertaan belia dalam proses membuat keputusan (dan dasar-dasar negara), kebebasan dan autonomi pergerakan belia, nilai-nilai moral dan spiritual masyarakat, demokrasi, pengagihan kekayaan negara secara adil, penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin dan pentadbir, perhubungan yang adil dan saksama antara negara, serta soal pencerobohan dan jenayah kuasa-kuasa imperialis, Zionis Israel dan sekutu-sekutu mereka terhadap rakyat dan negara-negara di pelbagai benua, dan sebagainya.

Perlu dinyatakan bahawa pergerakan belia (khususnya para pemimpinnya) berbangga dengan sifat vokal serta kebebasan relatif mereka daripada ikatan atau naungan politik kepartian. Mereka, khususnya pemimpin Majlis Belia Malaysia, cuba mempertahankan kebebasan ini kerana beranggapan itulah cara terbaik untuk menyuarakan dan mewakili kepentingan belia dan masyarakat luas tanpa terpaksa tunduk pada kepentingan pihak tertentu.Walau bagaimanapun, ini tidak bererti pemimpin-pemimpin berkenaan tidak aktif atau tidak menyertai mana-mana parti politik. Sebahagian mereka aktif dan menyandang jawatan, tetapi kegiatan politik kepartian ini tidak ditonjolkan di medan gerakan belia.

Dekad 1970-an mesti direkod sebagai dekad aktivisme gerakan belia dalam pelbagai bidang. Peristiwa Tunjuk Perasaan Pelajar-Belia pada 3 Disember 1974 kerana menyokong tuntutan kenaikan harga getah oleh pekebun-pekebun kecil getah di Baling, Sik dan utara Perak merupakan satu contoh klasik. Peristiwa itu menyebabkan beberapa orang pemimpin belia-pelajar (dan juga tenaga akademik) ditahan polis dan kemudiannya turut memaksa perpecahan Majlis Belia Malaysia dalam 1975.

Penubuhan ”parlimen belia” Majlis Perundingan Belia Negara, deraf awal Dasar Belia Negara, kerja-kerja persiapan bagi penubuhan Yayasan Belia Malaysia, rancangan penubuhan Pusat Belia Antarabangsa, penubuhan Committee for ASEAN Youth Cooperation, dan sebagainya itu, semuanya berlaku dalam dekad ini. Pergerakan belia negara ini muncul sebagai tenaga yang disegani bukan sahaja di dalam negeri, tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa.


GERAKAN BELIA-PELAJAR 1980-AN DAN SETERUSNYA
Setelah kira-kira dua dekad menghadapi pelbagai persoalan, cabaran dan ujian dan melihat hasil-hasil yang tercapai sehingga ini maka gerakan belia-pelajar semakin yakin bahawa ia sudah diterima dan diiktiraf sepenuhnya oleh kerajaan dan masyarakat umum. Kesan-kesan daripada Dasar Ekonomi Baru yang terlaksana sepanjang dekad sebelumnya juga dirasakan memanfaatkan masyarakat umum, termasuk golongan belia, dalam pelbagai bentuk. Keadaan ini barangkali turut membuat belia umumnya lebih selesa (complacent) dengan keadaan.

Dalam kalangan pemimpin belia kebangsaan dan bekas aktivis pelajar, termasuk mereka yang kuat mengkritik establishment, parti-parti politik pemerintah diterima sebagai platform baharu yang wajar digunakan untuk meneruskan kegiatan. Ini boleh difahami kerana gerakan belia selaku gerakan pendesak sahaja tanpa kuasa dan kedudukan untuk melaksanakan agenda dilihat sebagai mempunyai keterbatasannya. Penyertaan high profile dan keaktifan beberapa orang pemimpin ini di dalam parti-parti politik berkenaan membantu mewajarkan (memberi justifikasi kepada) dasar-dasar dan agenda pemerintah di mata belia umum. Di sini, proses penyerapan atau inkorporasi gerakan belia arus utama (mainstream) ke dalam sistem tadbir urus negara yang disebutkan tadi boleh dikatakan tiba ke kemuncaknya! Inisiatif semakin diambilalih oleh kerajaan, sedangkan peranan dan pengaruh gerakan sukarela, termasuk belia, kelihatan semakin terbatas.

Sebahagian pemimpin belia berpendapat bahawa kerajaan kini mengambil kira persoalan-persoalan yang dibangkitkan belia. Malah ada antara mereka yang menyatakan bahawa ”zaman pergerakan belia sebagai kumpulan pendesak (pressure group) sudah berakhir”. Apa yang dituntut sekarang, tambah mereka, ialah ”tindakan-tindakan konkrit di pihak belia sendiri bagi mengisi slogan-slogan dahulu”.

Rata-rata pemimpin belia dan pelajar kelihatan semakin cenderung kepada politik kepartian. Pemimpin-pemimpin utama pergerakan belia juga kelihatan berlumba-lumba mencipta ruang-ruang baru (tentunya secara lebih kreatif!) untuk menempatkan diri di kedudukan strategik agar lebih hampir dengan the corridor of power. Tidak cukup dengan jawatan politik dan pentadbiran yang tinggi, contohnya, ada yang bertekad dan akhirnya berjaya menguasai kepimpinan tinggi dalam pergerakan belia. Ini tidak syak kerana prospek masa depan yang cerah yang dijanjikan. Pergerakan belia-pelajar dilihat mereka lebih sebagai suatu platform untuk mobiliti sosial, khususnya ekonomi dan politik; persoalan untuk kepentingan belia dan masyarakat luas seperti dalam dekad-dekad yang dibincangkan tadi agak samar-samar.

Inisiatif bagi pelbagai program diambil oleh pihak berkuasa dengan peranan belia yang terhad. Pergerakan belia meneruskan program-program biasa yang tampaknya lebih banyak publisiti berbanding usaha dan hasil yang konkrit. Demikian boleh dipersoalkan, umpamanya, apakah terjadi kepada Pelan Bertindak 10 Tahun Belia Malaysia yang diisytiharkan MBM?

Dalam masa yang sama, afluen ekonomi yang dicapai negara mencetuskan nilai-nilai dan gaya hidup baharu dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda. Apa yang dikatakan gejala sosial semakin menyelinap ke dalam kehidupan, menimbulkan cabaran-cabaran baharu yang menuntut ditangani sebaiknya. Namun, jurang yang wujud di antara pergerakan belia dengan golongan remaja-belia, dan hakikat bahawa pergerakan semakin kurang mampu menggarap sentimen dan trend baharu dalam kalangan remaja-belia serta faktor-faktor yang mempengaruhi nilai, sikap dan amalan baharu mereka, menyulitkan keadaan. Sehubungan itu, seperti pemimpin-pemimpin lain masyarakat, para pemimpin dan pekerja belia juga lebih banyak melahirkan keresahan dan kebimbangan terhadap trend remaja-belia itu tanpa mengemukakan idea-idea bernas untuk menghadapi keadaan.

Sikap kalangan pemimpin belia di atas barangkali turut dipengaruhi oleh preoccupation masyarakat dan negara ketika itu. Di sana-sini topik utama ialah pembangunan ekonomi, perindustrian, pembinaan infrastruktur, peluang-peluang baharu dan sebagainya. Kesenangan material dan gaya hidup mewah semakin menjadi sasaran baharu kehidupan.

Begitu juga pemodenan negara dengan perubahan pantas yang berlaku sedang masyarakat rata-ratanya tidak memahami keadaan dan implikasi-implikasinya, serta tidak mempunyai sense of control terhadap perkembangan ini, tambah menyulitkan keadan dan turut menyumbang kepada ketidaktentuan hala dan sikap pimpinan belia rata-ratanya.

Di lewat 1990-an, ekoran kegawatan ekonomi dan konflik politik, pergerakan belia mainstream tetap menjarakkan diri dari remaja-belia yang mahukan reformasi dalam tadbir urus negara, sistem kehakiman, ketelusan pemimpin dan pentadbir, serta peranan media dan instrumen-instrumen lain negara. Sesetengah pemimpin pergerakan turut mengkritik trend remaja-belia ini dan ini menjadikan pergerakan lebih terpencil dari arus baru yang semakin berkembang itu.

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menimbulkan saluran dan media alternatif bagi masyarakat, khususnya golongan remaja-belia-pelajar. Media dan instrumen-instrumen konvensional tidak lagi mempunyai monopoli dalam mempengaruhi dan membentuk nilai, persepsi dan sikap generasi muda. Pilihanraya Umum Ke-12 pada 2008 yang menyaksikan peralihan kerajaan di beberapa negeri terkaya di Malaysia Barat mengejutkan banyak pihak dengan reaksi mereka yang pelbagai, termasuk persoalan cepu emas ”bagaimana memenangi kesetiaan dan sokongan remaja-belia terhadap pemerintah?”


KE MANA GERAKAN BELIA-PELAJAR SELANJUTNYA?
Kertas ini diakhiri dengan beberapa soalan yang mungkin dapat memberi petunjuk kepada perkembangan selanjutnya.

Ke mana gerakan belia-pelajar kita seterusnya? Soalan ini perlu dijawab oleh golongan belia-pelajar sendiri. Seperti dalam sejarah sejak berdekad lalu, belia-pelajar sendiri muncul untuk mengambil sikap dan menentukan agenda mereka. Faktor-faktor sekeliling dan luar, hatta peraturan-peraturan serta sistem kawalan yang ketat oleh pihak berkuasa penjajah sekalipun tidak semestinya terlalu invincible sehingga mustahil dibolosi.

Adakah gerakan belia-pelajar hari ini peka, prihatin dan terlibat dalam isu-isu kepentingan bersama? Dari suatu sudut orang boleh menjawab ”ya!” kerana sukar dibuat perbandingan antara dahulu dan sekarang disebabkan oleh faktor-faktor persekitaran dan suasana yang berbeza. Apa yang dianggap penting, serta pendekatan dan cara, juga berbeza antara zaman dan generasi. Yang lebih utama ialah bagi belia-pelajar sendiri untuk melakukan refleksi diri, mengadakan soul searching, bagi menentukan sikap dan pendirian mereka berhubung kepentingan masyarakat dan negara. Yang pokok ialah iltizam dan sumbangan belia-pelajar kepada proses pembangunan, ketahanan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.

Soalan lain yang berkaitan ialah apakah peranan atau misi belia-pelajar dalam konteks perkembangan semasa dan masa depan kita bersama? Seperti dicatatkan di atas, soalan ini telah dijawab dalam pelbagai cara dan bentuk oleh belia-pelajar dahulu dengan segala kehebatan dan keterbatasannya. Belia-pelajar hari ini juga perlu terus meneliti hal ini bukan sahaja kerana makna yang terkandung di dalamnya bagi diri individu belia-pelajar sendiri, tetapi juga bagi survival kelangsungan kehidupan bermasyarakat kita dan ketamadunan manusia.



Bahan-Bahan Rujukan
1. Azizan Bahari : (1999). Pergerakan Belia: Identiti dan Perjuangan. Dlm. Menoleh Sejarah Menyorot Arah. Siddiq Fadzil, Zambry Abd.Kadir & Azizan Bahari.
Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar.

2. Azizan Bahari : (1995). Belia dan Masyarakat.
Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar

3. Hussein Mohamed : (1986). Gerakan Belia di Malaysia.
Kuala Lumpur: Gateway Publishing House.

4. M.A. Fawzi Mohd. Basri : (1980). Pergerakan Belia di Malaysia, satu catitan ringkas mengenai perubahan dan perkembangan Majlis Belia Malaysia 1950-1980.

5. Muhammad Abu Bakar : (1973), Mahasiswa Menggugat.
Kuala Lumpur: Pustaka Antara

*Artikel ini disunting daripada kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Kesukarelawanan Kebangsrelawanaan 2009 bertemakan “Mahasiswa dan Pembangunan Komuniti” di Universiti Utara Malaysia oleh Dr. Azizan Bahari anjuran bersama Universiti Utara Malaysia, Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia, dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di UUM, 27 Feb - 1 Mac 2009. Kertas kerja ini boleh diperolehi di laman sesawang ini

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !