BANGI, 18 Mei, 2011- Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) hari ini beriltizam untuk menggembleng seluruh tenaga mahasiswa membantu UKM menjayakan hasratnya di bawah Pelan Transformasinya.
Presidennya, Ahmad Muzzamil Bin Muhd Hairi dalam satu kenyataan hari ini sempena ulang tahun ke-41 penubuhan UKM berkata ia bersedia menjadi pengantara antara mahasiswa dengan pentadbiran bagi mewujudkan persefahaman yang utuh antara mereka bagi mencapai visi dan misi Universiti.
Berasaskan kepada tiga tonggak utamanya iaitu mahasiswa untuk mahasiswa, mahasiswa untuk masyarakat dan mahasiswa untuk negara, Persatuan, katanya, komited untuk menggembleng tenaga mahasiswa membantu UKM menjayakan perjuangannya.
Pelan Transformasi UKM merupakan ilham pasukan pentadbir yang diketuai oleh Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin yang berhasrat menjadikan UKM sebagai ikon identiti yang maju seiring dengan universiti-universiti kebangsaan lain-lain negara di dunia ini.
Usaha itu menumpukan 8 nic penyelidikan yang strategik dan bersifat multidisplin. Pemilihan nic menekan kriteria penyelidikan yang mampu menggembleng kekuatan dan menyatu padukan pelbagai disiplin tidak kira bidang yang sudah mantap mahupun bidang yang baru.
Muzzamil menyeru setiap mahasiswa menghayati 5 tonggak universiti yang telah ditetapkan iaitu governans berautonomi dan berakauntabiliti; kepimpinan berkaliber melalui sistem pemilihan, pemupukan, penilaian dan pembaharuan melahirkan tenaga akedamik berbudaya cemerlang dan bersikap professional; sistem pengajaran dan pembelajaran menghasilkan siswazah yang yakin dan berkompetensi global dan penyelidikan dan inovasi untuk menjana kekayaan dan kesejahteraan masyarakat.
Kelima-lima tonggak yang menjunjung motto “Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan” inilah yang menjadi teras kecermerlangan UKM.
PMUKM, katanya, juga sentiasa menyokong usaha UKM menjayakan pembelajaran berpusatkan pelajar ('student cented learning') kerana percaya bahawa perkongsian ilmu itu bukan bersifat sehala.
0 comments:
Post a Comment