GABUNGAN MAHASISWA UKM (GMUKM) menyambut baik enam inisiatif oleh kerajaan yang telah diumumkan oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri Malaysia untuk mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan belia hari ini ketika merasmikan Himpunan Sejuta Belia sempena Hari Belia Negara 2011 di Putrajaya.
Enam inisiatif tersebut antaranya adalah usaha kerajaan untuk memperkenalkan khidmat sukarelawan, portal belia, ikon remaja dan mewujudkan 'youth park' di sekitar Putrajaya serta memperkenalkan konsep mentor-mentee kepada belia dalam beberapa bidang termasuk keusahawanan, sektor awam, aktiviti sosial, industri, kreatif dan profesional selain daripada mewujudkan Parlimen Belia bagi mengetahui pandangan, cadangan dan citarasa golongan belia di negara ini.
Menyentuh lebih lanjut berkenaan Parlimen Belia tersebut, wakil pemimpin belia dalam Parlimen tersebut akan terdiri daripada mereka yang dipilih oleh golongan belia itu sendiri.
"Syarat umur (wakil belia dalam Parlimen itu) mungkin bawah 40 tahun," ujar beliau di hadapan ribuan belia yang berhimpun di Putrajaya sempena Hari Belia Negara 2011 yang bermula semalam, 27 hingga 29 Mei nanti.
"Para belia (boleh) memilih wakil mereka, boleh membahas usul-usul, boleh membuat cadangan dan kerajaan akan memberi pertimbangan yang sebaik-baiknya terhadap cadangan-cadangan itu," kata Datuk Seri Najib ketika menjelaskannya.
Himpunan Sejuta Belia itu menampilkan lebih 200 acara dan program bagi golongan belia seperti sukan, kreativiti, seni dan sukan lasak.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan beberapa menteri Kabinet semasa Majlis Perasmian Himpunan tersebut petang tadi.
Di sebelah pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghadirkan diri dan melahirkan rasa kagumnya dengan semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan golongan belia negara ini bagi menjayakan program tersebut.
"Yang amat istimewa ialah semangat kesukarelawanan. Saya dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mereka datang sendiri, mereka tidak disediakan apa-apa logistik. Mereka buat khemah sendiri cari tempat, menguruskan pasukan sendiri, biasanya kita kena menanggung dengan perbelanjaan besar," katanya.
Katanya sambutan itu akan diteruskan pada masa akan datang memandangkan ia menjadi daya tarikan utama kepada golongan belia yang menyediakan ruang untuk mempamerkan kebolehan dan kemahiran mereka dalam bidang yang diminati termasuk sukan, muzik dan kerjaya.
"Saya rasa hari ini istimewa kerana berpeluang untuk menyaksikan sendiri kehadiran sejumlah yang agak besar belia.Di sini saya merasakan nadi dan jantung belia Malaysia berhimpun di Putrajaya," kata beliau.
0 comments:
Post a Comment