Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Sunday, May 29, 2011

Implimenkan inisiatif untuk belia

Editor GM-UKM sempat menemui beberapa orang pimpinan 'front' mahasiswa untuk mendapatkan komen dan respon berkenaan inisiatif yang diumumkan YAB Perdana Menteri petang tadi.

Saudara Fariq Fitri selaku Duta GMUKM ketika diminta mengulas, mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana bersungguh-sungguh mendekati untuk memahami nurani para belia.

" Cuma apa yang diharapkan di peringkat kami selaku mahasiswa UKM (agar) inisiatif-inisiatif yang diumumkan oleh PM petang tadi akan diimplemenkan dan bukan janji-janji kosong.

" Parlimen Belia, konsep mentor(-mentee) dan lain-lain yang disebut juga kita minta diperhalusi dan diperjelaskan dengan lebih terperinci (agar) rakyat khususnya para belia dan kami (mahasiswa) juga tidak letih menunggu.

" Apa pun, di peringkat kerajaan dan rakyat khususnya di kalangan belia perlu ada 'give-and-take' supaya apa sahaja usaha pihak kerajaan mampu dan mahu disambut oleh rakyat dibawahnya," ulas saudara Fariq dengan panjang lebar.

Koordinator Siswazah Progresif (KS-Pro) , saudara Arif Misrol yang juga merupakan Speaker Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) pula ada pandangannya yang tersendiri berkenaan enam inisiatif oleh kerajaan untuk belia tersebut.

" Menyentuh perihal 'Parlimen Belia' , saya rasa kita perlu rujuk kembali kepada 'Parlimen Mahasiswa' yang kini satu-satunya berjaya ditubuhkan di USM (Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang). Sejauh mana keberkesanan dan relevannya 'Parlimen Mahasiswa' tersebut.

" Saya bukan hendak menolak idea 'Parlimen Belia' seperti yang disebut Datuk Seri Najib (Tun Abdul Razak) tersebut, tetapi itu yang saya kata, kita kena rujuk kes terdahulu sebagai rujukan.

" Saya juga dengan rendah diri meminta kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib (Tun Abdul Razak) selaku Perdana Menteri Malaysia untuk memantau keenam-enam inisiatif yang diumum petang tadi agar ia tidak menjadi omongan kosong seperti yang sebelum ini."

Untuk rekod, enam inisiatif yang telah diumumkan Perdana Menteri Malaysia semasa perasmian Himpunan Sejuta Belia petang tadi merangkumi usaha kerajaan untuk memperkenalkan khidmat sukarelawan, portal belia, ikon remaja dan mewujudkan 'youth park' di sekitar Putrajaya serta memperkenalkan konsep mentor-mentee kepada belia dalam beberapa bidang termasuk keusahawanan, sektor awam, aktiviti sosial, industri, kreatif dan profesional selain daripada mewujudkan Parlimen Belia bagi mengetahui pandangan, cadangan dan citarasa golongan belia di negara ini.

Tambah saudara Arif yang juga merupakan pelajar siswazah jurusan Sarjana Keselamatan Nuklear UKM, " Bukan hendak menyalahkan mana-mana pihak, tetapi sekadar bersangka baik, saya mencadangkan keenam-enam inisiatif yang disebut oleh Perdana Menteri itu tadi dijadikan hitam-putih dan dijalankan jelajah-jelajah penerangan berkenaan inisiatif tersebut; agar ia tidak tertumpu kepada belia yang berada di kawasan bandar sahaja, sedangkan masih ramai belia di luar bandar tidak mempunyai apa-apa aktiviti.


" Mungkin dengan idea pihak kerajaan untuk mewujudkan khidmat sukarelawan di kalangan belia juga sudah boleh dijalankan dengan penggemblengan usaha dengan agensi-agensi kerajaan yang lain. Manakala inisiatif kerajaan seperti mewujudkan 'Anugerah Ikon Remaja' dan portal khusus belia, boleh kita anggap sebagai usaha oleh pihak kerajaan untuk mendekati belia yang merupakan golongan terbesar di Malaysia ini. 

" Apa yang penting, saya secara peribadi mengharapkan inisiatif-inisiatif yang diumumkan oleh PM petang tadi ini dan sememangnya ikhlas dan bukanlah 'gula-gula pilihanraya' kerana kami (mahasiswa) khuatir, di atas dorongan inisiatif yang 'mengujakan' ini , yang akhirnya sekadar manis di bibir sahaja. Seperti bidalan, 'habis madu, sepah dibuang," tambah beliau lagi. 



Himpunan Sejuta Belia sempena Hari Belia Negara yang bermula semalam dan berakhir esok, akan menampilkan lebih 200 acara dan program bagi golongan belia seperti sukan, kreativiti, seni dan sukan lasak. Rata-rata yang hadir ke majlis himpunan ini berpuas hati dan bertekad akan mengajak ramai lagi rakan-rakan untuk hadir dan mencapai sasaran himpunan seramai sejuta orang belia di dalam program tersebut.


0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !