Syabas dan Tahniah kepada semua pengundi UKM, yang telah bertungkus lumus memberikan harapan baru kepada mahasiswa. Semoga kemenangan 12 kerusi MPP Mahasiswa, akan menjadikan suasana check and balance (semak dan imbang) dalam Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia dapat direalisasikan
Walaupun PRK 2009 mencatatkan pelbagai suka duka perjuangan. Tetapi kemenangan GMUKM terutamanya di kerusi Umum tahun 3 membuktikan bahawa mahasiswa sudah bersatu untuk berubah. Mereka sudah jauh tidak mempedulikan ugutan buang kolej, ugutan JAKSA yang bersekongkol dengan Aspirasi, ugutan Felo ataupun pengurus kolej yang berkelakuan persis mahasitua, dan pelbagi lagi ketempangan yang dilakukan oleh pihak Aspirasi yang dibelakangnya dimainkan oleh Hal Ehwal Pelajar.
Meskipun begitu, perjuangan pelajar mesti diteruskan. Mahasiswa UKM sudah jauh terkehadapan. Sudah jauh meninggalkan sikap jumud dan ta’sub kepada Aspirasi. Kata-kata dongengan, jika tidak menyokong Aspirasi, akan dibuang kolej”..Sudah jauh ditinggalkan oleh mahasiswa yang waras dan berani melakukan perubahan.
Satu kalungan pingat keberanian diberikan kepada mahasiswa yang mengundi GMUKM kali ini. Kami, yang mempunyai 12 orang suara, akan terus berperanan menjadi MPP untuk mahasiswa. MPP yang bertindak sepertimana suara mahasiswa itu sendiri. Segala isu, antaranya isu yuran pelajar, kebajikan, keselamatan mahasiswa, akademik dan pelbagai lagi hal yang berlaku kepada mahasiswa, akan dijadikan tema ucapan kami kepada pihak pentadbiran. Kami berjanji, akan bersuara sepertimana mahasiswa keseluruhannya bersuara.
Kemenangan akan diisi dengan bekerja, membantu mahasiswa keseluruhannya. Apa gunanya elaun diberikan, yuran kolej free dibayar kepada MPP, tetapi masalah mahasiswa, disembunyikan dan dipandang sipi oleh mereka. Justeru, MPP Mahasiswa seramai 12 orang ini, pasti akan melakukan perubahan untuk bertugas sebagai perwakilan pelajar yang sebenarnya. Pada minggu-minggu yang mendatang, kami MPP mahasiswa akan turun di setiap kolej dan fakulti untuk mendengar permasalahan mahasiswa dan akan cuba ketengahkan kepada pihak sepatutnya. Ingat wahai mahasiswa UKM, kami MPP mahasiswa lahir daripada suara mahasiswa. Segala masalah, aduan dan rintihan mahasiswa, akan kami jadikannya sebagai amanah untuk kami selesaikan.
Teruskan membuat perubahan wahai mahasiswa UKM. Jangan kita perjudikan nasib tanah air kita dengan memilih pemimpin mahasiswa yang gagal bersikap kritis dan gagal membantu mahasiswa yang memerlukan. Jangan kita semua memilih pemimpin mahasiswa yang hanya pentingkan popular dan elitis, sedangkan segala kebajikan mahasiswa, disembunyikan ibarat menyapu ke bawah permaidari.
Akhir kalam, selamat melakukan perubahan. Selamat untuk melaksanakan sebuah masyarakat mahasiswa yang bersatu padu. Hal ini amat penting dalam menjadikan negara Malaysia maju dan aman damai di masa hadapan. Perubahan itu perlu, untuk bersatu menuju kejayaan. MPP Mahasiswa..Untuk perubahan dan pendamaian....
Wakil MPP Mahasiswa
0 comments:
Post a Comment