Insyallah pada hari Eidul-Adha yang mulia ini, kita akan bersama-sama melaungkan kalam kebesaran Allah SWT dengan kita sama-sama melafazkan kalimah takbir dan tahmid sebagai tanda kesyukuran serta keinsafan kepada Pencipta kita.
Eidul-Adha ini acapkali dikenali dengan Hari Raya Korban, kerana umat Islam dituntut supaya melakukan ibadah korban demi mendekatkan diri kepada Allah SWT, sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s di mana, Allah SWT memerintahkan baginda menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail a.s ; suatu perintah yang amat sukar dilaksanakan mengikut adat dan fitrah semulajadi manusia yang mempunyai sifat penyayang ; ditambah pula dengan darah daging sendiri.
Namun sejarah membuktikan, Nabi Ibrahim a.s melaksanakan perintah Allah SWT ini dengan penuh keyakinan dan ketabahan hati serta keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT. Hal ini seharusnya dicontohi umat hari ini khususnya di kalangan belia dan mahasiswa kita hari ini.
Allah SWT juga merekodkan bahawa perintah kepada Nabi Ibrahim a.s. supaya menyembelih anaknya itu adalah sebagai salah satu ujian yang amat-amat sukar, menguji kekuatan mental, fizikal, emosi serta keimanan Nabi Ibrahim a.s berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah As-Saffat ayat 106-107:
Maksudnya: "sesungguhnya perintah ini ialah satu ujian yang nyata. Dan kami telah tebuskan anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar (kibas)”.
Sewajarnya kisah kepatuhan yang telah ditunjukkan oleh kedua-dua nabi ini menjadi ikutan dan tauladan kepada kita umat Islam hari ini dalam melaksanakan tuntutan dan perintah Allah SWT. Malangnya apakah yang sedang berlaku hari ini?. Manusia semakin hari kelihatannya semakin jauh daripada petunjuk Allah. Manusia semakin hari semakin meragui kekuasaan dan kebesaran Allah. Apakah manusia lupa, suatu hari nanti mereka akan menemui allah dalam keadaan sendiri-sendiri dan dibangkitkan semula dari kuburnya. Kerana kealpaan inilah, manusia lalai dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang hamba terhadap Tuhannya.
Kami di peringkat MPP Mahasiswa menyedari kelemahan umat kita pada hari ini akibat kurangnya KETEKUNAN dan KESUNGGUHAN dalam menangani isu-isu kepentingan umat islam. Kenyataan yang ada di hadapan kita hari ini, umat Islam di kebanyakan negara di dunia hari ini, dalam keadaan begitu lemah, sehingga tidak mampu mengambil langkah pembaikan yang sewajarnya. Ia akibat hilangnya sifat itqan (kesungguhan) dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan, dari peringkat atasan hinggalah peringkat bawahan. Hasilnya, timbullah masalah-masalah seperti berikut:
Pertama: Umat Islam lemah dari segi perancangan jangka panjang. Hakikat hari ini membuktikan, umat Islam tidak mempunyai persediaan sempurna untuk mempertahankan kedaulatan mereka. Kita lebih berserah kepada Allah SWT serta berdoa agar Allah memberikan pertolongan, sedangkan kita tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib kita sendiri.
Kedua: Hilangnya tumpuan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan, kerana umat Islam lebih mementingkan masalah diri sendiri. Inilah fenomena yang amat membimbangkan dunia Islam hari ini. Sekiranya pangkat dan kedudukan menjadi tujuan dan matlamat, maka percayalah bahawa kebajikan masyarakat dan kepentingan umat akan terabai. Natijahnya, masyarakat hilang kepercayaan terhadap kepimpinan, mereka berpecah di antara satu sama lain, masing-masing mempunyai cara dan agenda tersendiri. Akhirnya tidak ada penyatuan fikrah di kalangan masyarakat, apatah lagi penyatuan umat dalam menghadapi cabaran-cabaran besar masakini.
Kita akan terus menerus ditimpa kehinaan, selagi kita tidak berpegang dengan prinsip-prinsip ajaran islam yang sebenar. Kita perlu menanamkan kesungguhan untuk melaksanakan Islam yang sebenar secara menyeluruh dalam diri dan kehidupan seharian, serta mengamalkan fahaman Islam yang tulin yang dapat meyakinkan kepada manusia dan dunia bahawa asas ajaran agama Islam yang suci ini adalah berteraskan wahyu Ilahi yang mengutamakan keamanan, kedamaian serta kesejahteraan manusia sejagat. Dengan ini dapat dibuktikan bahawa islam adalah satu-satunya agama yang bersifat sederhana, betul dan tepat.
Dalam pada itu,dengan tibanya hari raya Eidul-Adha ini, kita dituntut untuk melakukan ibadah korban yang mana ibadah ini penuh dengan muatan hikmah dan nilai utama. Dapat disimpulkan jika ditinjau dari sudut tarbiyyah (pendidikan) , ibadah korban itu dapat melatih dan membentuk watak umat Islam supaya sentiasa bersedia untuk berkorban, dengan mengorbankan sebahagian dari nikmat-nikmat yang dikurniakan untuk kepentingan umat manusia lain yang lebih memerlukannya. Justeru dengan semangat ini umat Islam akan dapat meningkatkan kebaktian kepada Pencipta manakala orang-orang yang beriman pula akan sentiasa siap siaga dan waspada untuk mengatasi pelbagai kesulitan di dalam kehidupan mahupun perjuangan.
Akhir kalam marilah pada hari ini, kita memperbanyakkan sembah salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran.
Selamat Hari Eidul-Adha 1431 H.
Ber-GM Lebih Baik!
0 comments:
Post a Comment