Di celah kehangatan suasana Aidil Adha yang memasuki hari ke-4, kami di Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) berkesempatan melihat komen-komen, pandangan dan wacana daripada segenap peringkat usia berkenaan Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) 1971 atau lebih dikenali Akta 30 ini terutama selepas isu ini hangat dibincangkan di kalangan Ahli Parlimen dan ditambah pula isu UKM4 & 2UKM baru-baru ini.
Mahasiswa merujuk pada satu kelompok pelajar yang berada di peringkat yang tinggi dalam sistem pendidikan formal sesebuah negara. Pengemblengan tenaga kelompok mahasiswa ini berteraskan daya keintelektualan yang bersifat idealis untuk mencapai matlamat yang digagaskan bersama, selaras dengan kedudukan mereka di puncak menara ilmu. Natijahnya, lahir satu arus gerakan yang sentiasa bersama dengan kebenaran (al-haq) dan sama sekali tidak bersekongkol dengan kebatilan hatta kelompok mereka ini dikenali sebagai 'independent group'. (Zuhdi b. Marzuki, 2002:th).
Mahasiswa terdiri oleh dua suku kata iaitu 'maha' yang melambangkan besar atau berkuasa; dan 'siswa' iaitu merujuk kepada kelompok penuntut atau pelajar di instiusi pengajian tinggi (IPT). Hasil sistesis kedua-dua suku kata ini memberi makna tersendiri – iaitu suatu ‘bangsa’ yang bukan sahaja mulia disebabkan kesempatan menuntut ilmu di peringkat tinggi (Universiti), tetapi turut mempunyai kuasa mobilisasi massa berteraskan kapasiti intelektual yang dimiliki oleh mereka. (Zainulfaqar b. Yaacob, 2006:20)
Profesor Feaur dari Universiti Toronto dalam bukunya 'The Conflict of Generation – The Charactor and Significance of Student Movement' bahawa aktivisme mahasiswa lebih suatu pemberontakan dan kecenderungan ini lebih dilihat sebagai persoalan konflik antara generasi (generational conflict). Kondisi ini berlaku berpunca oleh kebencian kepada generasi lama yang sudah 'establish'. Maka, mahasiswa dilihat sebagai 'pressure group' yang 'anti-establisment'. (Mohammad Abu Bakar, 1972:13).
Ironinya, mahasiswa mempunyai nilai-nilai tersendiri yang perlu diperhatikan; (1) mahasiswa adalah ‘bangsa’ terpelajar. (2) mahasiswa ini mempunyai gagasan pemikiran dan tindakan yang tersendiri – disebut sebagai idealisme. (3) pergerakan mereka adalah bersifat tersendiri.
Bersangkutan nilai-nilai di atas ini, lahirlah rupa dan gaya aktivitisme mahasiswa Malaysia yang gemar berwacana, berdiskusi, berdebat, berpidato, mengeluarkan kenyataan akhbar, menghantar memorandum hatta berdemontrasi di universiti dan turun dalam lapangan ummat.
Sesungguhnya rakyat kepingin melihat bentuk dan wajah aktivitisme mahasiswa yang bersifat non-partisan. Begitu juga dengan parti-parti politik, kesatuan buruh/pekerja, badan bukan kerajaan (NGO) hatta pihak Kerajaan sendiri. Masing-masing mempunyai persepsi tersendiri berhubung satu-satu atau majmuk aksi mahasiswa Malaysia.
Bagi kaum rakyat marhaen, mahasiswa dahulu lebih dekat dan terkenal dengan istilah 'independent group','pressure group', 'cataliyst', 'check and balance' dan sebagainya.
Ini kerana rakyat suatu masa dahulu pernah melihat partisipasi yang benar-benar menggugat daripada gerakan mahasiswa dalam isu kemiskinan rakyat di Teluk Gong (1967), Baling (1974) dan sebagainya.
Rakyat juga telah melihat betapa lantangnya mahasiswa dalam isu anti-kolonialisme oleh Kerajan (1946-1950an); isu anti-Tunku (1966); isu pencerobohan AS ke atas Hanoi-Haiphong (1966); isu bahasa dan kependidikan nasional (1967); isu sosio-ekonomi negara (1969); isu tuntutan Sabah oleh Filipina (1969); isu pencerobohan Rusia ke atas Szekoslovakia (1969); dan banyak lagi.
Aksi-aksi di atas ini turut diperhati kerajaan dan parti-parti komponen kerajaan. Mereka lebih prejudis dan menganggap bahawa mahasiswa cuba bersikap anti-establishment hatta berhasrat untuk mengambil alih kerajaan Malaysia. Bertitik tolak pada sangkaan ini, AUKU mula diperkenalkan pada 27 April 1971 dan kemudiannya dipinda pada tahun 1974, 1995 dan 1999 (peringkat Universiti Malaya sahaja).
Adakah patut mahasiswa ditohmah sebagai 'anti-establishment' disebabkan sikap lantang mereka itu kebetulan sama dengan sikap lantang pihak-pihak tertentu (Contoh: Labour Party of Malaya, 1954)?
Menurut Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim (2005), kelantangan mahasiswa era 1940an berpunca oleh tempuhan pengalaman mahasiswa dengan suasana Perang Dunia II yang turut ditempuhi oleh Malaya. Kelantangan mahasiswa era 1950an pula berpunca oleh tempuhan pengalaman mereka dalam era kemerdekaan Malaya. Maka, sikap anti-kolonialisme mereka sudah tentu masih menebal dan mereka ini tentu peka dengan tindak-tanduk kerajaan baru pada waktu tersebut (Abdul Razaq Ahmad, 2005:9-11)
Kelantangan mahasiswa era 1960an/1970an pula disebabkan oleh tempuhan pengalaman bekerja sebagai guru pendidik di luar bandar/desa oleh kebanyakkan calon mahasiswa sebelum mereka melanjutkan pengajian di Universiti. Mereka melihat tahap pendidikan anak bangsa mereka. Mereka melihat generasi muda mereka. Natijahnya, lahir/timbul kesedaran nasional dalam diri mahasiswa-mahasiswa pada waktu tersebut. (Muhammad Abu Bakar, 1972:23-24)
Apa yang cuba dirumuskan di sini adalah aksi-aksi mahasiswa dalam satu-satu zaman tersebut berpunca oleh kesedaran dan tempuhan pengalaman. Dan partisipasi mereka dalam lapangan ummat adalah suatu perjuangan nilai atau lebih tepat disebut ‘politik nilai’.
要继续
0 comments:
Post a Comment