Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Monday, January 3, 2011

Berhati-hati di jalan raya



GABUNGAN Mahasiswa UKM (GMUKM) mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah Norimanisah binti Omar yang kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalan raya di kawasan Sabak Bernam malam semalam. Arwah yang berasal dari Terengganu merupakan mahasiswi tahun 3 dari Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK) dalam jurusan Komunikasi Maklumat dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke kolej kediaman di Kolej Keris Mas dari rumah seorang kenalan.

GMUKM amat prihatin dan cakna akan isu-isu keselamatan khususnya bagi siswi-siswi yang acapkali menunggang motosikal di jalan raya. Umum mengetahui penunggang dan pembonceng motosikal merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk terlibat dalam kemalangan dan mendapat kecederaan parah. Justeru di peringkat Gabungan Mahasiswa ingin menasihati dan berpesan kepada rakan-rakan mahasiswa supaya meningkatkan keselamatan dan penjagaan diri semasa di atas jalan raya. Biasakan diri untuk memeriksa kenderaan anda sebelum ke mana-mana kerana kerosakan teknikal kenderaan seperti brek tidak berfungsi dan tayar haus juga antara faktor yang sering menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Untuk makluman rakan-rakan mahasiswa, termasuk kes semalam sudah berlaku empat buah kemalangan maut yang meragut nyawa siswi UKM sejak dua bulan yang lalu. Antara yang masih segar dalam ingatan adalah kehilangan Siti Esah binti Mohamed, FPI/3 & Hidayu Yaakob, FSSK/2 (13 Nov. 2010) ; Siti Nabilah binti Anuar, FST/1 (23 Dis. 2010) ; dan terkini Norimanisah binti Omar, FSSK/3 (2 Jan. 2011).

Insiden-insiden yang tragik ini juga agak menyayat hati bagi kami di barisan Gabungan Mahasiswa UKM. Memang benar kalam-Nya dalam surah Al-A’raf ayat 34, “ Dan setiap umat itu mempunyai ajal (batas waktu). Apabila tiba ajalnya, mereka tidak dapat meminta dilambatkan atau dicepatkan walaupun sesaat” namun sebagai manusia, kita juga dituntut untuk bermohon dan berdoa kepada Tuhan untuk melindungi diri kita dan orang-orang sekeliling kita. Sebagai saranan, GMUKM menyarankan rakan-rakan menjadikan Doa Naik Kenderaan sebagai salah satu usaha tawakkal kita. InsyAllah, dengan izin-Nya..



Akhir kalam, buat arwah Norimanisah binti Omar...



Al-Fatihah.


-------------------------------------------------------------------

BLOG PM-UKM : Al-Fatihah buat Allahyarhamah Norimanisah binti Omar

Salam takziah daripada MPP Gabungan Mahasiswa buat keluarga allahyarhamah Norimanisah binti Omar yang telah kembali ke rahmatullah akibat satu nahas kemalangan malam semalam.

Allahyarhamah merupakan siswi tahun akhir dari program Komunikasi Maklumat dari Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK) dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang ke UKM dari rumah kenalan di Sabak Bernam, Selangor. Allahyarhamah kini masih berada di Bilik Mayat, Hospital Sabak Bernam. Untuk makluman juga, allahyarhamah merupakan penghuni Kolej Keris Mas (KKM).

Untuk rekod, ini merupakan kemalangan yang meragut nyawa yang ketiga dalam tempoh dua bulan yang melibatkan mahasiswa UKM sendiri.

MPP GMUKM yang cakna dan prihatin akan kes-kes sebegini menasihati seluruh warga UKM terutamanya rakan-rakan siswi agar berhati-hati di jalan raya dan di mana jua pada setiap masa. Kita berharap agar kes kemalangan seperti ini sedaya upaya dihindari pada masa akan datang. Pandu cermat, jiwa selamat. Ingatlah keluarga tersayang.

Kami di barisan MPP GMUKM turut mendoakan agar roh allahyarhamah ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat allahyarhamah Norimanisah binti Omar.

Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (QS. 62:8)


Al-Fatihah.

1 comments:

MamaFarhan said...

takziah buat NORIMANISAH BINTI OMAR...

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !