Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Wednesday, January 12, 2011

Kenyataan Media : Ayuh Suburkan Politik Nilai !

KENYATAAN RASMI GABUNGAN MAHASISWA UKM (GMUKM)
Ayuh Suburkan Politik Nilai !


Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) memandang serius dengan isu penyebaran risalah-risalah fitnah dan cubaan menjatuhkan maruah Duta-Duta GMUKM yang terang-terang dilakukan oleh pihak yang langsung tidak bertanggungjawab. GMUKM berpandangan jelas bahawa apa yang cuba ditimbulkan oleh pihak-pihak berkenaan sebagai amalan politik tidak matang dengan niat sengaja menjatuhkan kredibiliti dan maruah GMUKM serta Duta-Duta GMUKM. Bagi GMUKM, hal ini juga menjadi tanda-tanda pilihanraya kampus (PRK) kian hampir ke kemuncaknya.

GMUKM sangat kesal dengan tindakan segelintir pihak yang cuba mengelirukan mahasiswa UKM dengan mendakwa GMUKM terbabit dengan parti-parti politik dan pertubuhan luar. GMUKM sedari awal penubuhannya telah menegaskan bahawa kita merupakan pertubuhan yang bersifat independen dan non-partisan; yang mana sama sekali tidak akan cenderung mahupun berpihak dengan mana-mana parti politik mahupun pertubuhan luar. GMUKM merupakan suatu badan yang menaungi seluruh mahasiswa UKM  di mana masing-masing memiliki idealismenya tersendiri dan tidak perlu terikat dengan mana-mana pandangan parti atau pertubuhan luar.

Justeru, GMUKM secara tegas menyeru kepada pihak-pihak yang berkenaan supaya mengemukakan bukti yang sahih sekiranya benar GMUKM ada terbabit dengan mana-mana parti politik atau pertubuhan luar.  GMUKM juga dalam hal ini menyerahkan secara total kepada mahasiswa-mahasiswi UKM untuk menilainya sendiri berdasarkan sejarah dan 'track record' GMUKM selama ini.



Berkenaan flyers yang menjatuhkan kredibiliti dan maruah Duta-Duta GMUKM, kita berpandangan jelas bahawa isu ini sengaja ditimbulkan oleh segelintir mereka yang masih tidak matang dan gemar berpolitik di  kampus dengan cara kebudak-budakan. GMUKM juga melihat perlakuan label-melabel seseorang individu itu adalah tidak perlu dan jelas merendahkan tahap intelektual yang dimiliki seseorang bergelar mahasiswa. Tindakan menyebarkan risalah yang melabel Duta-Duta GMUKM ini juga membuktikan pihak-pihak terbabit terdesak dan tiada isu untuk diketengahkan. Apa yang kita harapkan, apa yang ingin diketengahkan dalam suatu persaingan yang sihat adalah 'politik nilai', bukan politik buruk-memburuk atau jatuh-menjatuh seperti terjadi kini. 

Oleh itu, GMUKM dalam hal ini menyeru kepada rakan-rakan mahasiswa untuk tidak mudah terpengaruh dengan risalah-risalah tidak bertanggungjawab sebegini. Selaku mahasiswa di menara gading, seharus dan semestinya kita mampu menilai dan membezakan di antara yang benar dan yang palsu dalam sesuatu isu.

Mengakhiri kalam, GMUKM mengharapkan budaya fitnah-memfitnah dihentikan dan tidak menjadi kebiasaan khususnya sepanjang Pilihanraya Kampus (PRK) yang bakal berlangsung dalam masa terdekat ini. GMUKM sentiasa mengalu-alukan sebarang komentar daripada rakan-rakan mahasiswa dengan cara  kita membuka seluas-luasnya ruang dan peluang untuk kita berdiskusi sama ada di laman sosial 'Facebook' mahupun komen-komen di blog rasmi GMUKM; http://gm-ukm.blogspot.com .GMUKM meraikan sebarang cadangan, kritikan mahupun pandangan sama ada yang bersetuju atau tidak bersetuju dengan pandangan GMUKM. Bagaimanapun, kita pohon agar komentar itu ditulis dengan bahasa yang berhemah sesuai dengan tahap kita sebagai salah seorang mahasiswa di bumi UKM tercinta ini.

Ber-GM Lebih Baik!


(MOHD HAFIZ BIN ABDUL RAZAK)
Pengerusi Gabungan Mahasiswa
Universiti Kebangsaan Malaysia
Bangi, Selangor Darul Ehsan.

Tarikh : 12 Januari 2011

1 comments:

kacak said...

ber-jimbek lebih baekk~~
double thumbs up!!!

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !