Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Friday, May 20, 2011

Artikel Pilihan : Mahasiswa perlu konsensus baru

Kebelakangan ini, setelah berlalu beberapa pilihan raya kampus di universiti-universiti, ramai pihak mula menganalisis berkenaan corak pergerakan mahasiswa di kampus. Apakah mahasiswa hari ini mula kembali lesu, atau sebahagian yang lain menanti-nanti bagaimana corak dan perjuangan mahasiswa seterusnya.

Bagi pandangan rakyat terkini - yang didogmakan dengan media massa - melihat pergerakan mahasiswa di kampus terlalu agresif. Agresif dalam erti kata menunjukkan penentangan dan perlawanan dalam isu-isu hak mahasiswa. Misalnya insiden rempuhan kumpulan Pro-Mahasiswa di UPM kerana tidak berpuas hati pembatalan calon mereka.

Walaupun begitu, tidak dinafikan, memang itu gaya gerakan mahasiswa.

Rentetan daripada itu, pihak tertentu semakin banyak memperkatakan soal kematangan mahasiswa di dalam berpolitik. Ada yang berhujah, mereka matang sekiranya diberi tempat dan ruang, tidak kurang yang sebaliknya, oleh sebab itu mahasiswa perlu disekat - dek ketidak matangannya.

Persoalan matang atau tidak, perlu dilihat dalam konteks mahasiswa. Sesetengah ahli politik hari ini juga boleh ditafsirkan sebagai berpolitik secara tidak matang seperti Umno yang menggunakan video seks untuk menjatuhkan lawan politiknya. Ini bukan sahaja tidak matang, bahkan terlalu kotor dan jijik.

Sejarah

Elok kita meneliti sejarah bagaimana mahasiswa era 60-an memiliki 'suara' yang begitu kuat dan lantang dalam mengimbangi kerajaan persekutuan ketika itu. Sejarah yang melatari Malaysia pada ketika itu adalah permulaan pasca-merdeka yang mana kerajaan masih 'bertatih' merangka dasar dan polisi kerajaan untuk dilaksanakan kepada rakyat.

Ketika itu, hanya dua kelompok sahaja yang dinilai oleh rakyat dan masyarakat sebagai golongan intelek iaitu kerajaan dan mahasiswa. Kerajaan adalah kerana mereka memegang polisi, manakala mahasiswa adalah golongan terpelajar universiti yang di dalamnya mereka belajar berkenaan polisi dan dasar tersebut.

Lebih daripada itu, ruang yang terbuka yang disediakan oleh universiti untuk mahasiswa ini bersuara, mengaktifkan dan mencambahkan lagi idealisme dan semangat perjuangan mereka. Mereka 'belajar dan seterusnya mencabar pengajaran mereka', seperti kata Profesor Ungku Aziz, intelektual terkemuka.

Tidak hairanlah selepas peristiwa 13 Mei 1969, berlaku gerakan mahasiswa memprotes dasar Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pada ketika itu berkenaan pendirian terhadap soal-soal perkauman, jurang ekonomi serta kemiskinan luar bandar. Protes itu dinamakan Demonstrasi Anti-Tunku 1969.

Peristiwa lain, bagaimana mahasiswa juga mendesak penyelesaian terhadap kemiskinan yang melanda masyarakat Baling pada tahun 1974 yang mengheret ribuan mahasiswa dan rakyat ke kawasan Baling.

Kini

Kini isu-isu mahasiswa tidak lebih hanya berlegar di sekitar isu hak dan keperluan mahasiswa, misalnya pemansuhan AUKU, autonomi universiti serta demokrasi dan ketelusan pilihan raya kampus. Mahasiswa lantang di kampusnya, namun hanya sedikit tenggelam apabila 'dilempar' ke luar universiti.

Sedar atau tidak sebenarnya, pada hari ini ruang untuk suara-suara didengari semakin terbuka dan luas. Bahkan semakin ramai intelektual semakin berani bersuara. Jika dahulu hanya dua golongan - mahasiswa dan kerajaan - dilihat sebagai intelektual dan mampu bersuara, pada hari ini tidak lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri mengisytiharkan " Zaman kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir". Apa maksudnya? Kerajaan bersedia mendengar pandangan semua pihak - walaupun kenyataan bermotif politik.

Kemunculan NGO-NGO baru dengan perjuangan masing-masing, serta NGO yang sedia ada yang semakin agresif dan terbuka menyatakan pandangan serta dirancakkan lagi dengan kemunculan media-media baru dan lama yang memberikan ruang luas kepada kumpulan-kumpulan ini memberi kesan bahawa - semua suara boleh dan berhak didengari.

Di mana mahasiswa ketika ini?

Konsensus baru

Tidak dapat tidak, satu konsensus baru perlu difikirkan dan dilaksanakan oleh mahasiswa. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang. Prinsip mahasiswa sebagai third force(kuasa ketiga) masih lagi releven jika diberi semangat dan nafas baru.

Setidak-tidaknya mahasiswa punyai dua pilihan selaku anak muda dan golongan terpelajar.

Pertamanya, mereka boleh mencontohi Mesir, menumbangkan kerajaan yang zalim dan menindas rakyat dengan proses Revolusi. Pendokongnya adalah anak muda - golongan yang tidak punyai apa kepentingan - dalam politik mahupun kuasa.

Keduanya dengan menyatakan keberanian menyertai pilihan raya umum akan datang. Mahasiswa perlu hadir sebagai kuasa ketiga - tidak punyai kepentingan politik - disamping bersih dan berwibawa. Mahasiswa hanya perlu perjuangkan isu mahasiswa dan anak muda seperti PTPTN, peluang pekerjaan dan sebagainya. Sokongannya pasti daripada anak muda dan majoriti mahasiswa di universiti.

Menyertai pilihan raya dengan berhasrat membawa suara mahasiswa dan anak muda ke dalam Parlimen. dalam erti kata lain, mahasiswa menghantar wakil ke Parlimen. Permulaannya, seluruh gerakan mahasiswa harus bersatu dengan matlamat menumbangkan politik kotor dan mengangkat politik nilai dan rakyat.


1 comments:

aifyque_169 said...

Politik 60-an lebih menjurus ke arah kebangkitan mahasiswa dalam usaha untuk memerangi penjajah seperti komunis dan british..langkah-langkah pengukuhan kemerdekaan yang dikecapi setelah kemerdekaan dicapai 1957. Berbeza dengan politik sekarang, pemimpin saling menjatuhkan antara satu sama lain dengan tanpa matlamat yang jelas. Satu saja yang saya nampak di sini masing2 nk tunjukkan kuasa memerintah masing2 dan hasilnya rakyat yang menjadi bahan kajian. Lihat apa yg terjadi di Penang skarang..sebenarnya bersatulah kalian atas nama ISLAM dan hentikanlah permusuhan politik..kalau betulah nampak benda ni, macam2 perkara sperti yang dinyatakan di atas tidak berlaku..mahasiswa kini berpolitik atas dasar hak mahasiswa berpolitik..untuk apa? Apa matlamat? Hak apakah yang tidak lagi tercapai?

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !