Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Monday, October 31, 2011

UKM4 : Seksyen 15(5) AUKU tidak sah

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara.

Dalam keputusan penanda itu, dua hakim menyanggah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan AUKU sebagai sah di sisi perlembagaan dalam menguatkuasakan sekatan tertentu.

Keputusan majoriti ini diperoleh apabila Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dan Linton Albert membenarkan rayuan empat bekas mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Seorang lagi hakim Datuk Low Hop Bing yang mengetuai panel itu, bagaimanapun berbeza pendapat.

Mahkamah Tinggi pada 28 September menolak saman pemula yang dikemukakan empat pelajar jurusan sains politik UKM bagi mencabar tindakan tatatertib terhadap mereka yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April tahun lalu.

Keputusan dibuat oleh Hakim Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Datuk Aziah Ali.


Pelajar-pelajar terbabit, semuanya bekas ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM, ialah Hilman Idham (presiden), Ismail Aminuddhin (naib presiden), Azlin Shafina Adzha (setiausaha agung), Wong King Chaì (exco).

Mahkamah dengan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September 2010 yang memutuskan seksyen berkenaan tidak melanggar Perlembagaan selepas menolak saman pemula mereka.

Sumber : MalaysiaKini

-------------------


KUALA LUMPUR, 31 Okt — Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti yang melarang penuntut universiti menyertai politik bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan — keputusan yang dilihat bersejarah dalam undang-undang melibatkan pentadbiran dan pengurusan institusi pengajian tinggi negara ini.

Mahkamah membuat keputusan 2-1 dalam permohonan yang dibawa oleh empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencabar peruntukan 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Permohonan itu dikemukakan awal tahun lalu selepas mereka dikenakan tindakan oleh UKM kerana berada di Hulu Selangor ketika pilihan raya kecil kerusi itu April 2010.

Keempat-empat pelajar itu sudah pun menawatkan pengajian mereka dan menerima ijazah pada majlis konvensyen September lalu.

Keputusan 2-1 itu dikurniakan oleh Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dan Datuk Linton Albert memihak kepada plaintif — kini bertaraf bekas penuntut UKM. Kes rayuan itu turut didengar oleh Datuk Wira Low Hop Bing.

Keempat-empat mereka turut telah dihadapkan di mahkamah UKM kerana disyaki terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor tetapi telah bebas tuduhan awal Ogos 2010.

Mereka berempat, ketika itu pelajar jurusan sains politik, ditahan oleh polis di Pekan Rasa dan Ampang Pecah, Hulu Selangor pada 22 April 2010.

Mereka terdiri daripada Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adzha sebelum ini mendakwa tindakan tatatertib yang dikenakan oleh UKM bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti, adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.

Justeru mereka mencabar seksyen itu yang didakwa bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Keempat-empat mereka diwakili oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar, Ashok Kandiah dan Jenine Gill.

Sementara itu, pihak defendan terdiri daripada kerajaan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan UKM diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Woon berkata Mahkamah Rayuan membuat keputusan 2-1 yang memihak kepada permohonan difailkan mereka tahun lalu dan memutuskan tindakan melarang pelajar menyertai politik bercanggah dengan Artikel 10 Perlembagaan.

“Ini satu keputusan yang bersejarah, keputusan tanda aras dalam sejarah... ia melibatkan perjuangan pelajar dan kepentingan publik,” kata beliau sambil menambah pihaknya memutuskan untuk tidak menerima ganjaran kos yang diputuskan oleh mahkamah hari ini.

“Mahkamah ada meminta kami jumlah kos yang ingin dituntut. Tetapi kami memutuskan untuk tidak mengambil ganjaran kos ini sebab kes ini melibatkan kepentingan orang ramai, kami tidak mahu ganjaran. Kami hanya mahu kepentingan orang ramai khususnya pelajar dipelihara,” kata Woon lagi.

Dalam pada itu, Hilman berkata keputusan hakim adalah sejarah kerana kali pertama perjuangan mahasiswa diiktiraf oleh mahkamah.

“Hakim mengulas bahawa generasi muda harus diberi peluang membuat pilihan dan keputusan sendiri dan ini adalah keyakinan saya sekian lama kerana generasi muda harus belajar membuat pilihan dan keputusan sendiri sebelum membuat keputusan untuk negara dan bangsa sebagai pimpinan negara pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu Bernama Online menyebut, Hakim Low menentang dengan menyatakan larangan itu perlu bagi mengelak ideologi politik meresap di kalangan penuntut yang mudah terdedah, tertakluk kepada tekanan rakan sebaya dan mudah terpengaruh, yang akan menjejaskan peranan utama universiti dalam menyediakan pendidikan.

Hakim Hishamuddin dalam penghakiman 21 muka surat berkata Seksyen 15(5)(a) adalah tidak rasional kerana ia menghalang pembangunan pemikiran kritis dan asli penuntut di mana objektif institusi pengajian tinggi berusaha untuk mencapainya.

Katanya universiti seharusnya menjadi tapak semaian ahli reformis dan pemikir dan bukan institusi untuk melahirkan penuntut ibarat robot.

Jelas sekali, katanya, peruntukan itu bukan sahaja tidak produktif malah menindas.

Selain itu, katanya, kebebasan bersuara merupakan salah satu hak asasi utama yang dinikmati oleh seseorang individu dan hak itu turut diktiraf dalam pelbagai dokumen hak asasi manusia seperti Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik.

Hishamuddin berkata ianya adalah asas kepada pewujudan demokrasi dan menghormati nilai diri seseorang dan kebebasan bersuara diberi status terunggul dalam perlembagaan kebanyakan negara.

Katanya beliau tidak dapat memahami cara mana seseorang penuntut yang menyatakan sokongan atau bangkangan terhadap sebuah parti politik boleh memudaratkan atau membawa kesan buruk kepada ketenteraman awam atau prinisp moral.

Hishamuddin berkata kebanyakan penuntut universiti sudah mencapai usia matang di mana mereka boleh menjalin perjanjian, saman dan disaman, boleh berkahwin dan memikul tanggungjawab ibu bapa, mengundi sekira mencapai usia 21 tahun.

“Namun secara ironi, mereka dimaklumkan secara sah mereka tidak boleh berkata apa-apa yang boleh dianggap sebagai sokongan atau bangkangan terhadap sebuah parti politik,” katanya.

Panel itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 September tahun lepas yang membatalkan saman pemula penuntut berkenaan terhadap kerajaan, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM dengan mencabar tindakan universiti berkenaan mengambil tindakan disiplin.

Hakim Linton dalam penghakiman 15 muka surat berpendapat seksyen itu telah melanggar Artikel 10(1)9a) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kebebasan bersuara dan ekspresi.

“Sebuah enakmen perundangan yang melarang penyertaan dalam PRK adalah aspek penting demokrasi dan tidak dalam sebarang standard dikatakan sebagai munasabah,” katanya.

Dalam penghakiman menentang, Hakim Low berkata larangan itu adalah bagi melindungi kepentingan penuntut dan institusi berkenaan sebagai perkara menyentuh dasar dan oleh itu ianya adalah munasabah.

Katanya bukan untuk mahkamah menyatakan undang-undang itu keras dan tidak adil kerana mahkamah hanya diamanahkan dengan tanggungjawab mentafsir undang-undang.

Sebaliknya, Low berkata ia merupakan persoalan dasar yang perlu dihujah dan diputuskan oleh Parlimen.

“Secara tegas antara lain, Parlimen mungkin mahu mempertimbangkan khususnya pindaan Seksyen 15(5) dan Akta itu pada amnya supaya memansuhkan atau menyemak semula,” katanya.

Muhammad Shafee memberitahu panel itu bahawa beliau mendapat arahan daripada anak guamnya untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Sumber : The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !