SHAH ALAM, 3 MAC : Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi teguran bahawa Malaysia sudah mempunyai terlalu banyak cuti umum sehingga sukar meningkatkan produktiviti.
Dr Mahathir dalam entri terbaru di blognya berkata, jika keadaan itu berterusan dengan kerajaan memilih untuk membayar lebih untuk kurang bekerja, negara akan menghadapi kesukaran kewangan yang serius atau menjadi muflis seperti yang berlaku di negara Barat.
“Apabila kita bekerja jumlah hari yang kurang, maka produktiviti juga akan berkurangan. Kita mempunyai cuti yang terlalu banyak. Terdapat 52 hari Ahad dan ditambah lagi 52 hari Sabtu.
“Kita juga diberi cuti untuk semua perayaan keagamaan, walaupun agama itu mempunyai penganut yang kecil. Kita sekarang pula menggantikan secara automatik cuti umum yang jatuh pada Ahad atau Sabtu dengan hari yang lain,” ujar beliau.
Gaji minimum pekerja swasta
Gaji minimum pekerja swasta
Dr Mahathir juga melahirkan kebimbangan dengan dasar gaji minimum yang bakal meningkatkan gaji secara keseluruhan kerana majikan akan cuba memastikan persamaan antara gred pekerja yang berbeza dapat dikekalkan.
Pada 24 Februari lalu, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Kementerian Sumber Manusia sedang memuktamadkan segala proses sebelum mengumumkan dasar gaji minimum bagi pekerja di sektor swasta di seluruh negara.
Menurut menterinya, Datuk Dr S Subramaniam, tindakan itu akan menyaksikan kira-kira 30 peratus daripada tenaga kerja di negara ini yang kini berpendapatan di bawah RM900 menikmati kenaikan gaji minimum yang belum ditetapkan lagi itu.
Menurur Dr Mahathir, Malaysia boleh menjadi muflis apabila gaji atau pampasan untuk bekerja tidak diikuti dengan pertambahan produktiviti.
"Kita semua mahu menyaksikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi. Namun kita mesti juga bimbang mengenai daya persaingan kita.
"Menambah pendapatan mesti meningkatkan kos pengeluaran melainkan produktiviti turut bertambah," katanya.
Barat gagal kawal masalah inflasi
Menurutnya, Barat kini menghadapi masalah kewangan yang gawat dengan sekurang-kurangnya sebuah negaranya menjadi bankrap selepas membayar gaji berlebihan kepada rakyat mereka.
"Upah dan gaji yang tinggi, bonus yang besar dan pelbagai manfaat seperti bayaran untuk pengangguran menjadikan negara Barat kelihatan makmur. Tetapi cara boros mereka tidak boleh berterusan.
"Saya bimbang Malaysia mungkin menuju ke arah ini jika kita membayar lebih untuk kurang bekerja, seperti yang kita lakukan sekarang," kata beliau.
'Kerajaan selepas saya tidak cekap'
'Kerajaan selepas saya tidak cekap'
Dr Mahathir juga membidas pentadbiran kerajaan yang tidak cekap selepasnya kerana menaikkan gaji kakitangan awam sebanyak 25 peratus.
“Pernah seorang perdana menteri, pentadbiran yang lalu, menaikkan gaji kakitangan awam sebanyak 25 peratus. Namun tidak ada bukti bahawa hasil kerajaan pula meningkat sehingga 25 peratus.
Menurut beliau, pengurangan peruntukan bagi pembangunan adalah tidak baik bagi negara yang sedang pesat membangun seperti Malaysia.
Beliau juga menambah dengan peningkatan kos operasi 25 peratus itu maka ia terpaksa ditampung dengan pemotongan 25 peratus peruntukan pembangunan.
0 comments:
Post a Comment